Assalamualaikum saya menerima artikel ini dari sahabat saya Abu Muiz, lalu saya muatkan di sini untuk dikongsi bersama. Terima kasih ustaz.
Mungkin nanti bersama lagi, atau terpisah keakhir hayat
Oleh ABU MUIZ
Membaca tulisan sahabat saya, Roslan SMS bertajuk, Lanjutan Tahanan ISA: Jangan cenderung kepada si zalim, yang menyentuh berkenaan Ustaz Nik Adli serta ayahnya, kita akan dapat merasakan betapa dalamnya rasa kesedihan hati seorang ayah dari kata-kata yang terungkap oleh Tok Guru Nik Aziz, sebagai menjawab soalan muslimat yang tersebut.
Menurut tulisannya itu, Tok Guru Nik Aziz redha dengan penahanan anaknya, sebagai sebahagian dari ujian Allah s.w.t. terhadap beliau dan keluarganya. Namun, beliau tetap memberi ingat kepada semua pihak yang bertanggungjawab, samada menteri, ataupun orang politik, ataupun sesiapa sahaja; sebagai seorang bapa, beliau akan menuntut haknya di depan Allah s.w.t. di akhirat kelak. Oleh kerana beliau dan keluarganya jelas dizalimi dalam hal ini, maka apabila berhadapan dengan Allah s.w.t. kelak, beliau akan memohon pengadilan. Kalau perlu dipijak dan diinjak muka mereka yang bertanggungjawab dan tali barutnya sekali, akan beliau lakukan dihadapan Kadhi Rabbul Jalil itu.
Ujian yang diterima oleh Tok Guru Nik Aziz ini, nyatanya sangat hebat. Ia tidak mungkin dijadikan ujian untuk kebanyakkan orang. Hanya mereka yang terpilih sahaja akan dihadapkan dengan ujian yang seumpama ini.
Ia adalah umpama ujian yang pernah dialami oleh Nabi Yakub serta Nabi Ibrahim a.s., cumanya, di dalam bentuk yang berlainan. Tetapi kesemuanya menguji rasa kasih sayang sebagai seorang bapa kepada anaknya. Nabi Yakub a.s., walaupun tidak mempercayai cerita anak-anaknya yang sebelas orang itu bahawa Yusuf a.s. telah dimakan serigala, hanya dapat mengatakan; Sabar itu indah! Walau pun dia tahu Yusuf di khianati, tetapi dia tidak dapat menolak penipuan serta perancangan jahat anak-anaknya itu.
Oleh kerana itu, beliau hanya dapat redha dan bersabar. Akhirnya, air matalah yang menjadi dakwat buat merakamkan rasa penderitaan akibat kehilangan seorang anak yang sangat dicintai. Matanya menjadi buta! Namun, kesabaran itu memang indah. Kesabaran panjang Nabi Yakub a.s. itu, dibayar oleh Allah s.w.t. melalui pertemuan semula dengan Yusuf a.s. yang telah pun menjawat jawatan tinggi dan menjadi orang penting di negeri Mesir. Kebahagiaan yang datang itu telah memulihkan penglihatanya semula.
Kita yakin, kesabaran Tok Guru Nik Aziz sekeluarga akan mencapai keindahan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. itu.
Nabi Ibrahim a.s. pula telah membuktikan darjah keimanan dan ketaqwaannya yang tinggi terhadap Allah s.w.t., apabila beliau berdepan dengan perintah Tuhannya untuk menyembelih tengkuk anaknya sendiri. Kesediaan menyembelih tengkuk anaknya itu, membawa kepada akibat bahawa dia akan berpisah dengan anaknya itu selama-lamanya. Dan ujian itu terasa lebih berat baginya apabila mengenangkan Ismail a.s. yang telah dipilih oleh Allah s.w.t. untuk disembelih itu; adalah seorang anak yang sangat patuh dan penyantun.
Jika Ustaz Nik Adli benar-benar bersalah dan dapat dibuktikan kesalahannya, itu barangkali sudah cukup bagi Tok Guru Nik Aziz serta isterinya, memujuk hati mereka agar benar-benar dapat merelakan penahanan itu; serta tidak perlu bagi Tok Guru Nik Aziz menunggu untuk menuntut keadilan dihadapan Kadhi Rabbul Jalil nanti. Tetapi, apa yang berlaku adalah kezaliman. Akta ISA adalah zalim; kerana ia bercanggah dengan sunnatullah. Di sana, Allah s.w.t. sendiri pun tidak akan mengazabkan hambaNya sebelum ia dibuktikan berdosa. Itulah gunanya padang Mahsyar. Itulah gunanya Raqieb dan Atied; dua malaikat yang tugasnya merekodkan segala perbuatan dan amalan manusia, kerana rekod mereka itu sangat berguna ketika berlangsungnya Mahkamah Padang Mahsyar kelak.
Di sana nanti, manusia akan dihimpunkan dan akan dibicarakan seadil-adilnya. Setelah terbukti ia berdosa, barulah ia dicampakkan kedalam api neraka Allah s.w.t..
Jika Tuhan pun di dalam hendak menghukum manusia yang diciptanya sendiri, bertindak sebegitu adil; maka siapalah kita yang merasa layak untuk menghukum sesama manusia tanpa dibuktikan bersalah terlebih dahulu.
Di dalam Islam, meletakkan ikan di dalam akuarium yang kecil, sehingga menyekatnya daripada mendapat makanan dan udara secukupnya; atau mengurung burung di dalam sangkar yang terlalu sempit; adalah suatu kezaliman. Terhadap burung dan ikan pun, kita tidak boleh berlaku zalim. Inikan manusia!
Dia adalah anak kepada dua orang manusia! Dia juga adalah suami kepada seorang manusia! Dan dia juga adalah ayah kepada beberapa orang manusia yang baru hendak mengenal dunia ini dengan belaian kasih sayangnya! Tetapi, mereka telah dipisahkan. Bagi dua ibu bapa, berpisah jauh dari si anak sahaja, sudah cukup untuk menjadikan jiwa keduanya rasa menderita. Katakan, si anak tinggal jauh di negeri yang berlainan, kerana menjawat jawatan yang tinggi, tinggal di rumah yang selesa, berkenderaan mewah; pada dasarnya hidup senang; tetapi dalam keadaan begini pun masih membuatkan hati seorang ayah dan juga seorang ibu berasa pilu yang bersangatan kerana rindu berjauhan. Inikan pula si anak tinggal di penjara; yang sebutannya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan penderitaan yang bakal ditanggung oleh penghuninya.
Jika si anak di sisi ibu bapa pun; makan dan minumnya selalu dibimbangkan oleh mereka, maka tentunya si ibu dan si ayah yang malang itu, selalu memikir-mikirkan bagaimanalah makan-minum, tidur dan kesihatan si anak dipenjara. Mendengar batuk si anak di bilik sebelah pun, sudah membuatkan si ibu atau si ayah tadi tidur tak lena; inikan pula si anak, tiada di depan mata. Sesekali, tidur si ayah atau si ibu diganggu nyamuk, atau kesejukan, atau kepanasan, terfikir pula, bagaimanalah tidur si anak dipenjara.
Sepatah si cucu bertanya; Bila ayah akan balik? Berjuraian pulalah air mata si atok dan nenek mengalir di lurah-lurah kedut tua, sebagai ganti jawapan yang tak terungkapkan. Si ibu pula, sudah puas memberi alasan. Sesekali menyembunyikan tangis disebalik obor perjuangan yang dibekalkan oleh suami. Sesekali, tak tertahankan juga olehnya.
Kedatangan Ramadan memang sangat dirindukan oleh mereka. Ia mungkin menyakitkan ketika ahli keluarga berkumpul di waktu berbuka puasa, tanpa bilangan ahli yang mencukupi. Tetapi, kedatangannya itu terasa sangat nikmat bagi memanjangkan rayu dan munajat. Helaian-helaian dari mashaf al-Quran, basah disirami air mata. Si ayah, si ibu dan si isteri, terasa bagai anak kecil yang merengek-rengek di ribaan Allah. Mengadu kerinduan. Mengadu kelemahan. Memohon ketabahan. Di dalam dakapan Ramadan itu, tangisan dan harapan bertambah syahdu. Mereka mengharapkan keberkatan Ramadan, memustajabkan doa dan harapan buat mempertemukan mereka semula.
Kedatangan syawal pula, membawa rasa serba salah. Mahu bergembirakah atau berduka?
Inilah sedikit gambaran penderitaan yang sedang dirasakan oleh mangsa-mangsa kezaliman ISA dinegara kita ini. Kita perlu berkongsi dengan mereka akan rasa penderitaan ini; walaupun ia tentunya tidak menyenangkan. Sebagai seorang mukmin, memang sepatutnya kita tidak dapat rasa senang, jika di sana ada saudara kita yang sedang menderita. Sekurang-kurangnya, kita berkongsi munajat dan doa dengan mereka.
Di bulan Ramadan yang mulia ini, disamping kita berdoa demi kebahagiaan kita sekeluarga, doakanlah juga untuk Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain ahli keluarga bagi mangsa-mangsa kezaliman ISA yang dilanjutkan penahanan mereka oleh akta yang zalim itu. Biar doa-doa kita itu bersatu di Lauh Mahfuz; dan menjadi kekuatan yang akan menumbangkan si pelaku kezaliman.
Di bilah-bilah malam yang berkat dari Ramadan ini, kita perbanyakkanlah solat hajat. Panjatkan doa kita untuk mereka. Kita perlu yakin dengan doa sebagai senjata. Taufan Katrina yang melanda Amerika itu, mungkin sahaja hasil dari solat-solat hajat dan doa umat Islam diseluruh dunia, ketika Amerika mengetuai serangan zalim keatas Afghanistan serta Iraq dan mengizinkan kezaliman Israel ke atas Palestin.
Doa-doa kita, didengar oleh Tuhan. Solat-solat hajat dan doa kita ketika masjid dan surau dirobohkan di Terengganu, mungkin sahaja telah meniupkan hidayah ke dalam hati Dato Muftinya, sehingga beliau mempunyai kekuatan untuk membuat langkah berani, mengisytiharkan taubatnya dari tulisan-tulisannya yang selama ini menjadi tunggak dalil bagi pelakon-pelakon drama Islam Hadhari di negeri di Terengganu itu.
Sekali lagi, doa kita didengar Tuhan. Bersolatlah, berdoalah dan bersabarlah; kerana kesabaran itu indah!
Saya pernah diminta untuk menuliskan lirik bagi sebuah lagu yang mahu menggambarkan penderitaan dan perasaan pejuang-pejuang yang ditahan di awah akta ISA. Lagu ini, iramanya mirip kepada lagu dangdut dan ia dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang suaranya sangat mirip kepada suara Ahmad Jais. Ingin saya kongsikan bersama di dalam tulisan saya ini. Sila renongkan:
Aku Ini Insan Biasa
Juga Mampu Merasakan Derita
Sepi Aku Dari Kemanisan Hidup
Yang Di Damba Insan
Biar Hidup Lusuh Terfitnah
Kezaliman Yang Diwarnakan Indah
Akukan Bertahan
Salam Rasulullah Obor Mujahadah
Zikir Itu Jadi Hiburanku
Quran Menjadi Teman
Kesabaran Menjadi Ubatku
Berselimutkan Mimpi
Tahjudku Menghiasi Malam
Ibuku, Ayahku, Isteriku, Anakku Dan Temanku
Kita Satukan Keyakinan Ibadah Dan Ketaqwaan
Hidupku, Matiku, Amalku, Ku Pasrahkan Padamu
Hanya Engkau Oh Tuhanku, Tempat Mengadu
Mungkin Nanti Bersama Lagi
Atau Terpisah Keakhir Hayat
Tetapi Yang Pasti
Kitakan Bertemu Diakhirat Nanti
Sekian. Salam dan doa dari Abu Muiz untuk seluruh pejuang-pejuang yang menjadi mangsa kezaliman ISA serta seluruh ahli keluarga mereka.
No comments:
Post a Comment