Sunday, October 09, 2005

Awak ingat senang nak buang orang ke laut: Hattan

Memang dalam satu kampung tu bermacam ragam manusia ada. Ada yang pendiam, ada yang kaki lawak, ada yang kaki judi, kaki botol, kaki betina. Salah suatu perangai yang memang ketara adalah yang mulut celupar.

Jenis ini biasanya tidak digemari dalam mana-mana kampung, kecualilah untuk menghangatkan suasana majlis kenduri-kendara dan majlis-majlis keraian.Lain daripada itu biasanya yang jenis ini dijauhi orang.

Demikianlah juga yang sedihnya dalam parlimen kita hari ini. Dari 219 ahli dewan rakyat, tak terkecuali ada juga yang jenis mulut celupar ini. Bercakap tak kira waktu, tak kira suasana, tak kira samada memiliki fakta ataupun tidak.

Sebagaimana pernah dibangkitkan di BLOG ini minggu lalu ahli parlimen Sri Gading, Mohamed Aziz ketika di Parlimen baru-baru ini telah membangkitkan isu cara nyanyian lagu kebangsaan oleh penyanyi rock Hattan semasa pertandingan akhir Piala Malaysia. Menurut beliau versi Hattan itu tidak betul, malah tidak patriotik dan satu penghinaan terhadap lagu kebangsaan itu sendiri. Beliau dilaporkan berkata:

Saya rasa tersinggung apabila mendengarnya. Penyanyi itu patut dihukum, dia patut dihumban ke laut.



Hari ini dalam MINGGUAN MALAYSIA Hattan menjawab pertuduhan Mat Aziz itu.

Menurut Hattan beliau berasa sungguh terhina dengan dakwaan Mat Aziz itu tambahan ianya dibuat di Parlimen. Menurut Hattan ini bukan kali pertama beliau menyanyikan lagu kebangsaan di khlalayak ramai dan setiap kali beliau muncul dengan tanggungjawab tersebut beliau berasa sungguh berbangga, beliau mengira ianya sebagai satu aksi patriotik buat bangsa dan negara.

Bila dituduh tidak patriotik dan diancam mahu di humban ke laut, Hattan berkata:

Saya terhina sangat. Saya ada emak ada saudara-mara. Bukan tak puas hati tapi sedih. Kita sekarang dengan Konsep Islam Hadhari, inikah dia?

Mereka ini tak fikir perasaan orang. Awak ingat senang nak buang orang ke laut? Ingat saya ni anak apa hah?

Tak apa Tuhan nampak apa ada dalam dada saya. Tapi sebagai Melayu, guna perkataan macam itu, maaf saya langsung tak hormat orang macam ni.

Begitulah apabila kita berhujah dengan penuh emosional. Kita berhujah dengan maksud mahu menggahkan diri, kadangkala kita terlalu ghairah dan tidak sedar yang kita sebenarnya menginjak dan memilukan hati dan perasaan orang lain.

Saya rasa dengan perkembangan ini, jangan kan Hattan, orang Sri Gading sendiri pun dah mula mual dan malu dengan sikap dan keceluparan Mat Aziz itu. Dah banyak penggal dah Cik Mat kita ni, dari duduk memalukan kawasan, lebih baik diberi pencen atau ditukarkan sahaja nanti.

No comments: