Antara kesedihan Pak Lah dan pilu Tok Guru
Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap MB Kelantan dijangka mengetuai rombongan pimpinan PAS untuk menziarahi jenazah Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di Putrajaya jam 1 petang nanti. Tuan Guru turut dijangka menyampaikan takziah bagi pihak Tuan Guru Hj. Abd. Hadi dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yan kedua-duanya berada di Mekah ketika ini.
Memang menjadi amalan sesama Islam dan malah diunjurkan oleh Rasulullah saw agar kita menziarahi saudara sesama Islam kita yang kematian ahli keluarga dan digalakkan agar mengucapkan takziah kepada mereka di atas kehilangan ahli keluarga yang dikasihi.
Tuan Guru pasti bertemu dengan Pak Lah dan pasti menyampaikan takziah disamping kata-kata perangsang dan nasihat. Mereka pasti bersalam-salaman disaat Pak Lah sekeluarga berduka dan bersedih. Insan mana yang tidak bersedih apabila kehilangan isteri yang disayangi, ibu yang disayangi, anak yang disayangi.
Namun segala-galanya telah ditakdirkan Allah swt sebagaimana firman Nya dalam surah al Mulk ayat 2:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Ia Maha Berkuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun, bagi orang-orang yang bertaubat.
Pak Lah perlu reda dan terima perpisahan yang telah diputuskan oleh Allah swt ini, perpisahan sementara kerana selepas ini giliran Pak Lah dan kita semua yang lain pula untuk menyusul.
Cuma mudah-mudahan disaat sedih dan pilu ini, bersempena bulan Ramadhan al Mubarak ini semoga Allah swt turut menggerakkan hati Pak Lah. Tenunglah wajah Nik Aziz itu baik-baik, inilah raut wajah seorang ayah yang kehilangan anak, bukan kerana anakanya telah pergi sebagaimana Endon, tetapi anaknya dipenjara, ditahan tanpa bicara, tanpa peluang membela diri dan Pak Lah dalam bersedih perlu mengambil tahu dan peduli.
Si ayah bergelar Nik Aziz ini sedih dan pilu, remuk dan hancur hatinya merindui anaknya yang Pak Lah tahan sekian lama. Demikian juga isteri dan anak-anak kecil di rumah yang dari hari ke hari menunggu-nunggu dengan penuh harapan insan yang paling mereka sayangi. Takkanlah anak-anak yang tidak berdosa ini tergamak kita biarkan sekali lagi tanpa bapanya di hari umat Islam bergembira apabila tiba 1 Syawal kelak?
Endon telah pergi, mudah-mudahan Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya. Bagi kita yang hidup pertangungjawaban kita kepada Allah swt terus-menerus dituntut. Adil atau zalimkah kita di atas dunia Nya ini?
Mudah-mudahan di bulan penuh barakah ini lembutlah hati Pak Lah sebagaimana lembut hatinya melepaskan Endon pergi ke hadrat Allah swt, lembutlah juga hatinya untuk tidak lagi membiarkan Nik Aziz sekeluarga bersedih dan pilu lagi, lembutlah hatinya untuk melihat anak-anak kecil, cucu Nik Aziz agar dapat berdakap dan berpelukan dengan bapa kesayangan mereka.
Perkenankanlah Ya Allah, Amin Ya Robbal Ala Min.
No comments:
Post a Comment