Padang Perdana itu Padang Mahsyar?
Ada seorang penulis komen yang saya kira nakal, telah memaklumkan saya bahawa Harakahdaily memetik Tok Guru Nik Abdul Aziz MB Kelantan yang kononnya telah mengumpamakan Konsert Tautan Kasih di Padang Perdana KB pada malam 30 September lalu sebagai Padang Mahsyar.
Saya kira penulis tersebut mahu membuktikan betapa sesat dan jauh terpinggirnya Mursyidul Am PAS itu, dan bahawa konsert anjuran kerajaan Kelantan itu dari mula sehinggalah ke penghujung kononnya didorong oleh pemikiran yang tidak berpunca dari Islam.
Demikianlah apabila ada kalangan yang tidak senang dan tidak dapat menerima keterbukaan PAS dalam menyongsong arus perjuangan Islam kontemporari pada hari ini. Kerja-kerja dakwah yang dipadankan dengan kaedah semasa namun tidak lari dari batas syarak akan dilihat sebagai sesuatu yang bidaah dan menyesatkan atau lebih parah lagi bakal menjahanamkan perjuangan Islam itu sendiri.
Benarkah Tok Guru mengumpamakan ribuan yang hadir di Padang Perdana pada malam konsert itu sebagai berada di Padang Mahsyar? Takkanlah Padang Konsert boleh disamakan dengan Padang Mahsyar? Dah sesat ke Tok Guru?
Mungkin itulah maksud jahat penulis komen tersebut!
Saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk memberikan komen kerana saya terpaksa mendapatkan puncanya, iaitu ucapan Tok Guru pada malam tersebut. Alhamdulillah setelah dapat rupanya bunyinya begini:
Kalau kita fikir malam ini sebagai Padang Mahsyar dan Padang Mahsyar tempat soal-jawab, maka walaupun kita dalam keadaan bergalak, kita dalam keadaan seronok, bila kita ingat tempat ini Padang Mahsyar insyallah segala gerak-geri kita akan berlandaskan ucapan kita: Innasollati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirobbil alamin: sembahyang ku wahai Allah, Haji akau wahai Allah, hidup mati aku, aktiviti cari harta, cari pangkat, cari pengaruh, aktiviti menyanyi kita semua kita buat lillahirrobil alamin.
Berdasarkan petikan di atas jelaslah maksud ucapan Tok Guru itu adalah untuk mendidik dan mengajar. Sebagai Ketua Kerajaan beliau menganggap rakyat Kelantan sebagai anak muridnya, anak-anak beliau sendiri, maka kerana itulah nasihat yang sungguh simbolik dan bermakna itu diberikan.
Kepada yang memberi komen itu jelaslah kata pepatah Melayu hanya jauhari yang mengenal maknikam. Saya pasti puluhan ribu yang hadir dan mendengar ucapan penuh Tok Guru itu faham dan menerima nasihat Tok Guru MB mereka yang mereka hormati dan kasihi itu. Ini terbukti apabila konsert tersebut dan konsert malam berikutnya berjalan dengan penuh lancar, beradab dan sopan.
Manakala bagi yang memang tak kenal-kenal maknikam macam penulis komen itu dan mereka yang seangkatan dengannya maka akan selama-lamanyalah mengatakan intan itu kaca, yang putih itu hitam dan yang benar itu salah, entah sampai bila.
No comments:
Post a Comment