Saturday, October 01, 2005

Tahniah Tok Guru dan rakyat Kelantan

Saya berkesempatan melihat siaran langsung konsert tautan kasih di KB melalui web tv semalam. Walaupun dalam keadaan kualiti siaran yang tersangkut-sangkut lantaran ratusan ribu rakyat Malaysia dari seluruh dunia yang menyesakkan laluan, dengan penuh terharu saya menanggap diri saya sebagai salah seorang saksi terhadap pembentukan suatu sejarah besar dalam gerakan dakwah Islamiyah dalam negara.

Tanpa memperdulikan para skeptik di sepanjang simpang-siur perjalanan, Tok Guru dan rakan-rakan pimpinan di Kelantan dengan dokongan taat setia rakyat jelatanya telah dengan yakin dan berani meneruskan program eksperimen ini, dengan hasrat murni mahu menjelmakan model konsert hiburan berteraskan Islam. Matlamatnya untuk menambat hati golongan muda khususnya agar dapat bertaut kepada satu konsep yang bakal mendekatkan diri mereka dengan Tuhan, berlainan dengan konsert konvensional yang menolak sama-sekali batas-batas hukum.


(gambar-gambar PERAKAN)

Dari apa yang saya saksikan bermula dengan solat berjemaah di padang perdana dan dikuti dengan ucapan para pimpinan termasuk Tok Guru sendiri, konsert ini memang berbeza dari konsert-konsert lain.

Lagu dan nyanyian pada konsert ini tidak sunyi dari membesar dan mengagungkan Allah swt, siapa sekali pun penyanyinya.

Suasana konsert anjuran kerajaan negeri itu sahaja telah cukup menampakkan perbezaan ketara. Para pengunjung dipisahkan antara lelaki, wanita dan mereka yang berkeluarga. Pemisahan ini diterima sebagai satu tuntutan agama tanpa banyak rungutan dan protes dari mereka yang hadir.

Saya tambah terharu apabila Tok Guru dalam ucapannya menyatakan bahawa, banyak perkara-perkara baru yang kerajaan negerinya lakukan tidak terfikir semasa beliau dan rakan-rakan belajar di madrasah. Pajak gadai katanya, ketika belajar dikatakan haram kerana adanya unsur riba, lalu setelah berkuasa tambah beliau prosesnya diubah dan lahirlah Ar Rahn iaitu sistem pajak gadai Islam yang semakin popular di Kelantan hari ini.

Demikianlah juga dengan konsert ini, saya kira yang pentingnya adalah kesungguhan dan keihklasan semua pihak.

Sebagaimana kata Hj Husam Musa dalam ucapannya, berhibur-berhibur juga namun nama baik Kelantan kena dijaga. Saya turut tertarik dengan serangkap pantun (antara yang banyak rangkap) yang Husam sampaikan:

Kelapa pandan halia muda
Tata sopan kita, malam ini kena betul-betul jaga.

Ternyata meleset segala tohmahan dan serangan terhadap Tok Guru dan rakyat Kelantan
berhubung dengan penganjuran konsert alternatif ini. Mudah-mudahan konsert pada malam ini pula sempena pengisytiharan Kota Bharu Bandaraya Islam akan turut berjaya menepati matlamat kerajaan negeri.

Tahniah Tok Guru dan tahniah rakyat Kelantan, mudah-mudahan Allah swt sentiasa memberkati usaha kalian semua. Berjayalah Islam di Bumi Serambi Mekah insyallah.

No comments: