Friday, October 07, 2005

Hutang RM377 juta: Khir cuba mencari alasan

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (sebagaimana terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara) negeri Selangor Darul Ehsan mempunyai baki hutang sebanyak RM377.33 juta dengan kerajaan Pusat. Dan menurut senarai jumlah ini meletakkan Selangor sebagai negeri yang keempat dalam Malaysia yang paling banyak hutang tertunggak dengan kerajaan Pusat.



Ketua Audit Negara dalam laporannya juga menyebut bahawa Selangor adalah salah sebuah negeri yang tidak membayar langsung ansuran berjadual terhadap tunggakan tersebut sepanjang tahun lalu, 2004.

Semalam akhbar UTUSAN melaporkan MB Selangor Khir Toyo sebagai membuat penjelasan:

Sebahagian besar hutang kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan Pusat berjumlah RM377 juta seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2004, digunakan untuk projek perumahan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, hutang itu juga bukan hutang tertunggak kerana kerajaan negeri membayarnya secara berperingkat-peringkat dan telah membayar RM20 juta baru-baru ini.

Isu untuk apa jumlah hutang itu digunakan tidak berbangkit, isunya adalah kelewatan menjelaskannya. Khir Toyo tidak pun diminta menjelaskan untuk apa wang sebesar itu digunakan, yang ditanya kenapa tidak bayar-bayar mengikut jadual?

Dan seterusnya Khir jelas cuba menyelewengkan fakta apabila menafikan yang jumlah tersebut sebenanrnya adalah hutang tertungak. Adakah MB Selangor mempertikaikan Laporan Ketua Audit Negara?

Kata Khir RM20 juta telah dibayar baru-baru ini oleh itu ianya bukan lagi hutang tertunggak. Wahai Dato MB, Laporan ini adalah untuk tahun 2004. Dan pada tahun 2004 Selangor Negeri Maju lansung tak bayar hutangnya, janganlah dikira yang dibayar baru-baru ini pada tahun 2005 yang tak sampai pun 10 peratus dari jumlah hutang tertunggak yang berjumlah RM377 juta itu.

Memang ini bukan kali pertama Khir bersikap mengaburi fakta. Ketika pengisytiharan Selangor Negeri Maju dahulu pun apabila fakta ukuran kemajuan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, Khir dengan selamba tepis dan tolak ke tepi sahaja.

Isunya sekarang Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa bagi tahun 2004 hutang tertunggak Selangor kepada kerajaan pusat sebanyak RM377.33 juta dan sepanjang tahun tersebut tiada pembayaran dibuat. Khir tak perlulah melenting dan mencari alasan. Apa yang perlu dibuat adalah bayar hutangnya, takkan negeri sahaja maju tapi hutang tak mampu bayar?

No comments: