Friday, September 18, 2015

Rakyat sengsara syarikat judi untung

Dikala rakyat mengeluh lantaran terhimpit oleh tekanan hidup yang parah. Kos hidup semakin tinggi, matawang RM Malaysia menguncup nilainya, inflasi meningkat, seakan tiada nampak jalan keluar. Mampukah kita bertahan terus begini?

Tiada yang terlepas dari cengkaman kemelesetan ini, Melayu, Cina atau India serupa sahaja khasnya dari kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Dalam gawat-gawat begitu tiba-tiba terpapar dalam akhbar hari ini, salah sebuah syarikat judi dalam negara Berjaya Sports Totot telah mengisytiharkan bahawa pendapatan mereka bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2015 meningkat 7.7%.berbanding suku yang sama tahun lepas.

Pendapatannya bagi tempoh 3 bulan itu adalah RM1.34 bilion !

Malaysia sebagai sebuah negara Islam namun syarikat judi yang dilesenkan oleh kerajaan terus menerus mencatatkan pendapatan yang tinggi. Ini baru satu syarikat sedemikian.
Rakyat menderita hidup merana kerana kos barangan dan perkhidmatan yang semakin tinggi sedangkan pendapatan tidak bertambah, namun syarikat-syarikat judi yang besar-besar terus meratah keuntungan atas nestapa rakyat.

Sudah tiba masanya kerajaan mengharamkan aktiviti perjudian seumpama ini.
Ia haram di sisi Islam dan ia juga terbukti meruntuhkan institusi keluarga tidak kira Islam atau bukan Islam.

Alangkah cantik kalau himpunan jalanan selepas ini menumpu kepada isu pengharaman aktiviti maksiat yang mengundang bala Allah swt.

Monday, September 14, 2015

Muhyiddin tidak dipecat kerana dedah dalang komplot guling Najib?

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2080 Edisi Isnin muka F15


Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang pertama selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sepatutnya diadakan pada 31 Julai lalu iaitu beberapa hari setelah pemecatan beliau. Tetapi kesan dari pemecatan itu telah sediti sebanyak berjaya mencetuskan gelombang ketegangan antara sesama Umno dengan pelbagai perwakilan dan pimpinan akar-umbi Umno menyuarakan protes secara terbuka khasnya di Negeri Johor dan beberapa negeri lain lalu tarikh mesyuarat berkenaan telah di tangguhkan.

Sekiranya mesyuarat MT itu diadakan juga Muhyiddin dijangka akan dapat mengutip sokongan simpati samada dari kalangan ahli-ahli MT Umno mahupun dari kalangan ahli-ahli Umno kebanyakkan. Langkah memecat Muhyiddin  itu dikira satu tindakan drastik dan tergesa-gesa oleh beberapa kalangan dalam Umno walaupun ianya prerogatif Perdana Menteri.

Sejurus dipecat Muhyiddin dan mereka yang bersamanya terus menyerang dan mengkiritk Datuk Seri Najib, Presiden Umno dan Perdana Menteri atas pelbagai isu kontroversi yang turut menjadi tumpuan dan keresahan rakyat termasuklah isu kontroversi pengurusan 1MDB dan dana RM2.6 billion yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari penyumbang tertentu.

Rakyat mendapat maklumat langsung dari bekas orang nombor dua di Putrajaya yang sudah pastinya tidak berbohong.

Beraninya Muhyiddin terus-menerus menyerang Najib dilihat telah berjaya menggugat dan mengikis kredibiliti Presiden Umno itu sehingga ada yang menganggap kiranya perlakuan ini berterusan tidak mustahil Najib pula yang akan dipaksa melepaskan jawatannya.
Beberapa tokoh Umno lain turut bersama membantu Muhyiddin dalam serangan ini termasuklah seorang lagi menteri yang turut dipecat iaitu Shafie Apdal, Naib Presiden Umno, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan bapanya Tun Dr Mahahtir.

Dalam kegawatan itu tiba-tiba TPM yang baru iaitu Datuk Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa terdapat komplot meminta anggota Parlimen BN supaya 'menyeberang' bersama-sama dengan pihak pembangkang dengan menandatangani surat aku janji untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. Komplot itu kata Zahid diketuai oleh seorang tokoh tertentu dari parti pemerintah.

Sejurus pendedahan itu serta-merta masing-masing pihak kelihatan berebut membuat penafian. Muhyiddin nafi dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh pun turut nafi. Siapa yang mahu memperjudikan nasib dengan terlibat dalam komplot besar mahu menjatuhkan Najib melalui politik “pintu belakang.”

Di dalam Umno hari ini sudah tiada pemimpin berjiwa penentang sebagaimana Dato Seri Anwar Ibrahim.

Persoalannya kalau dari Umno yang dikatakan terlibat, mudah sahaja buat kita conggak-conggak untuk mengagak siapakah tuan punya badan yang dimaksudkannya. Akan tetapi Zahid menyebut pembangkang juga turut terlibat, siapakah pula individu atau kumpulan pembangkang itu? Yang pastinya PAS tidak tahu menahu darihal komplot ini. Saya tidak pasti pula samada mereka yang khianat dalam PAS ada terlibat atau tidak?

Lantaran itu apabila Umno memutuskan untuk mengadakan mesyuarat MT nya pada 9 September lalu, ramailah penganalisa politik dan pengamal media menjangkakan akan ada pengumuman penting yang bakal dibuat selepas persidangan MT nanti.

Ada yang mengatakan langkah drastik Najib sebelum ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Jika sekadar memecat Muhyiddin dari kerusi nombor dua di Putrajaya Muhyddin masih boleh bergerak ke seluruh negara kerana beliau masih Timbalan Presiden Umno.
Lantas langkah atau opsyen yang tinggal bagi Najib setursnya adalah untuk menyelamatkan masa depan politiknya sendiri iaitu dengan memecat dan melucutkan keahlian Muhyiddin sebagaimana Tun Dr Mahathir pernah lakukan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu.

Lalu ramailah menjangkakan Muhyiddin akan menerima nasib yang sama dengan Anwar. Beliau Shafie Apdal dan beberapa lagi nama lain akan dipecat dari Umno dalam mesyuarat MT malam itu.

Tiba-tiba tidak seperti mesyuarat MT Umno yang terakhir yang dihadiri Anwar, dalam mesyuarat MT yang ini, Muhyiddin terselamat. Beliau sempat berjabat tangan dengan Najib dihadapan kamera, dan dimaklumkan bahawa Muhyiddin memilih untuk terus komit dan taat setia pada Umno dan Najib. Apakah yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat berkenaan sehingga terjadi “u-turn” begitu?

Menurut Raja Petra Kamaruddin di dalam laman Malaysia Today, Muhyiddin dikatakan telah memaklumkan MT bahawa memang terdapat konspirasi untuk mengguling Najib walaubagaimanapun beliau tidak terlibat sungguhpun telah dihubungi oleh pihak yang berkenaan.

Jika benar dakwaan Raja Petra itu maka ini menjadikan kisah di sebalik komplot menjatuhkan Najib itu semakin panas dan kontroversi.

Barangkali kerana itulah Muhyiddin dan rakan-rakannya terselamat kerana mereka telah meyakinkan MT bahawa ada pihak lain dan bukan mereka yang terlibat dalam komplot berkenaan. Dalam erti kata lain Muhyiddin  telah berjaya mencuci tangannya dan dengan itu menyelamatkan dirinya dari terus dikenakan tindakan.

Apa yang berlaku dalam rumahtangga Umno, biarlah Umno sendiri yang selesaikan. Itu masalah mereka. Akan tetapi dengan perkembangan ini Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab memaklumkan pada rakyat bagaimanakah perkembangan selanjutnya darihal dakwaan beliau tentang komplot menggulingkan Perdana Menteri itu.

Kalau bukan Muhyiddin, yang terlibat maka siapakah dalangnya?

Sebanyak mana kita mengkritik dan mahukan jawapan terperinci dari kerajaan darihal skandal 1MDB dan penjelasana darihal penyaluran dana RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, kita juga mahu tahu siapa sebenarnya dalang dalam komplot menggulingkan Perdana Menteri itu, dan rakyat wajib dimaklumkan.

Kita difahamkan pihak polis sedang melakukan penyiasatan dan jika benar komplot ini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara, atas apa sebab sekalipun, kita mau melihat mereka yang terlibat didakwa di mahkamah yang terbuka.

Muhyiddin mungkin telah diampunkan oleh Najib melalui MT Umno dan boleh tidur nyenyak. Siapakah pula yang akan menjadi sasaran selepas ini?

Kegawatan di dalam Umno tidak berakhir dengan mesyuarat MT tempoh hari, ia sebenarnya baru bermula. roslansms@gmail.com

Thursday, September 10, 2015

PAS ambil alih peranan kepimpinan Umno

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2079 Edisi Jumaat muka F8

Hari ini orang-ramai sibuk berkata berkenaan kepincangan kepimpinan Umno secara terbuka, tiada sembunyi lagi. Ketidakpuasan hati kepada kepimpinan negara yang diterajui Umno diluah dan dizahirkan dengan vocal dan berani oleh hampir semua pihak termasuk dari kalangan ahli-ahli dan pimpinan Umno sendiri.
 
Media sosial khususnya menjadi gelanggang menyerang dan mengkritik kepimpinan negara saban hari tanpa henti.

Lebih parah Timbalan dan Naib Presiden Umno masing-masing juga mengkritik Presidennya sendiri. Bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri juga begitu. Ahli-ahli Umno apatah lagi, dalam persidangan-persidangan tahunan bahagian, pemuda dan wanita Umno yang baru sahaja selesai, ada-ada sahaja yang menyerang Najib selaku Presiden parti tanpa selindung-selindung lagi. Malah ada yang mengusulkan agar Najib letak jawatan atau berihat dan terus berundur.

Rata-rata krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno ini terus meletakkan Umno dalam posisi yang sangat lemah dan rendah pada pandangan mata rakyat.

Umno dilihat gagal memimpin negara dengan baik walaupun telah berada dipuncak kuasa sejak Merdeka lagi. Kegagalan menguruskan kewangan negara dengan baik, kegagalan membendung rasuah, kronisma dan nepotisma, kesemuanya telah menghodohkan lagi pandangan rakyat terhadap Umno.

Satu demi satu malapetaka jatuh terhempap atas kepala Umno yang dipimpin Najib dan keadaan ini telah mencampakkan negara ke dalam jurang berbahaya sehingga seolah kelihatan sukar untuk kembali pulih seperti dahulu. Disaat inilah pula terdapat maklumat mengatakan ada kalangan Umno sendiri yang akan mengusulkan undi tak percaya terhadap Presiden mereka sendiri.
 
Ringkasnya keadaan Umno hari ini sungguh-sungguh gawat dan goncang.

Lantaran itu persoalan yang popular yang meniti di bibir rakyat jelata hari ini, mampukah mana-mana pihak mengganti atau mengisi ruang yang bakal dikosongkan Umno itu, jika benar rakyat jelata sudah hilang keyakinan pada mereka?

Dari Perlis ke Kedah, Pulau Pinang ke Perak dan seterusnya Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, hakikatnya dalam situasi hari ini, cengkaman Umno di negeri-negeri berkenaan semakin longgar  

Mana-mana sahaja parti atau kumpulan yang punya pengaruh dan kemampuan, yang disenangi oleh orang-orang Melayu Islam boleh sahaja bersedia melangkah masuk mengisi kekosongan Umno yang sangat kritikal keadaannya itu.

Mampukah PAS? Bolehkah PAS memikul tanggungjawab besar yang ditinggalkan Umno yang kelihatan sudah tiada daya ketahanan itu? Ada yang memperoalkan bukankah PAS juga sedang dilanda krisis? Bukankah PAS juga sedang goyang, bagaimana mungkin ia mahu menggantikan Umno?

Benar PAS kelihatan sedang berhadapan dengan cabaran yang besar di hadapannya, namun demikian pada PAS sendiri ia sekadar satu kocakkan kecil dalam cawan kopi, kerana PAS yang lebih 60 tahun usianya itu sudah terlalu kukuh dan padu untuk dihancurkan begitu sahaja apatah lagi oleh mereka yang kecewa yang telah pun ditolak oleh para perwakilan PAS dalam Muktamarnya yang lalu.

PAS dilihat mampu mengatasi krisis yang melibatkan beberapa kerat bekas pemimpin dan ahlinya yang telah keluar parti dan mahu menubuhkan parti baru itu. Pengalaman yang lampau mengajar PAS, parti-parti baru seumpama ini apatah lagi diterajui pula oleh golongan yang kecewa, tidak mampu bertahan lama malah akan patah begitu sahaja ditelan zaman.

Isunya kini adalah Umno yang dalam keadaan tenat. Pemimpinnya yang dicurigai bukan hanya oleh rakyat jelata malah oleh kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

Menurut sejarah setiap kali Umno berkrisis, PAS lah yang akan mengaut laba. Di Kelantan contohnya menjelang Pilihanraya Umum 1990, Umno teruk bercakaran sesama sendiri, akibatnya mereka hilang Kelantan pada tahun itu PAS sehinggalah ke hari ini.

Orang Melayu Islam seakan mengamalkan sistem dua parti, tertakluk kepada magnitud ketenatan mana-mana satu parti lain. Jika Umno lah yang tenat magnitud sederhana menyaksikan satu negeri jatuh. Terengganu dan Kedah, dua lagi buah negeri bengkung Melayu, juga mampu jatuh apabila kena magnitudnya.

Pilihanraya Umum 1999 adalah satu contoh apabila tahap kemarahan orang-orang Melayu terhadap Umno begitu tinggi magnitudnya sehingga jatuh dua negeri serentak iaitu Kelantan dan Terengganu. Umno kecundang dan PAS melonjak ke hadapan dengan berupaya mengutip 27 kerusi Parlimen.

Hari ini PAS dilihat sebagai satu-satunya parti Islam yang konsisten dalam memperjuangkan dasar dan matlamatnya, tidak seperti Umno yang sudah kabur apa yang sebenarnya matlamat yang diperjuangkannya. PAS dihormati kerana ia tidak pernah bertolak ansur dalam bab prinsip, tidak dengan Umno dan malah tidak juga dengan kawan-kawannya.

Sikap matlamat tidak menghalalkan cara sebegini dikagumi orang-orang Melayu dan dengan kemampuan PAS melahirkan kepimpinan yang istiqamah dan berkualiti berbanding Umno, lebih-lebih lagi telah menambat hati para pengundi Melayu.

Kuat tidak kuat magnitud sokongan orang-orang Melayu terhadap PAS dalam keadaan Umno terlantar begini dapat dipastikan dalam Pilihanraya Umum nanti. Tidak mustahil jika berlaku “Malay swing” atau lonjakkan sokongan orang Melayu, kali ini, orang-orang Melayu yang sudah mula hilang kepercayaan pada Umno setelah lama bersandar pada mereka dijangka akan bangkit dan mengalih sokongan pada PAS, parti yang mereka kenal sekian lama sebagaimana Umno juga.

Kejutan 1999 yang menyaksikan pencapaian PAS yang terbaik sejak Merdeka, diyakini dapat berulang tetapi dengan skala yang lebih besar kali ini.

Bonus PAS adalah ia selama ini telah berjaya meletakkan dirinya bukan sekadar parti untuk kaum Melayu sahaja, tetapi sepanjang bertarung dengan Umno ini, PAS telah berjaya menembusi tembok halangan antara ia dengan masyarakat bukan Melayu, melalui slogan “PAS fo all” dan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) PAS dijangka selain mencatatkan pertambahan sokongan pengundi Melayu, juga akan memperolehi undi bukan Melayu untuk meneguhkan lagi kedudukan politiknya.

Kali ini Umno yang semakin rasis dalam pendekatannya dijangka ditolak sama-sekali oleh masyarakat bukan Melayu.

Kesimpulannya PAS kali ini sudah berupaya menawarkan dirinya secara efektif sebagai alternatif buat Umno dalam menjadi teraju Negara tercinta ini. Umno akan terus berkecamuk dengan isu dalamannya, manakala PAS akan melangkah ke hadapan dengan matlamat menyelamatkan rakyat dan negara dengan keindahan dan keadilan Islam.