Tuesday, August 16, 2011

Pertahankan warisan kita


Projek MRT Sungai Buloh – Kajang dijanka bermula November ini. Inisiatif mewujudkan pengangkutan awam yang efisyen dalam bentuk MRT ini sangat dialu-alukan kerana jika berkesan ia bakal mengurangkan bilangan kenderaan keluar masuk ke Kuala Lumpur dan persekitarannya.

Namun demikian mengikut laporan NGO Badan Warisan Malaysia telah melahirkan kebimbangan ekoran tindakan mengambil-alih dan merobohkan 34 bangunan pra Perang Dunia Kedua di Jalan Sultan Kuala Lumpur bagi member laluan kepada projek ini.

Sesungguhnya jika kita perhatikan Kuala Lumpur semakin kehilangan bangunan-bangunan bersejrahnya terutama yang sebelum Perang Dunia Kedua. Ada pun peninggalan yang masih bertahan adalah Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek dan Stesyen serta Ibupejabat KTMB. Itupun kecuali ibupejabat KTMB yang lain telah banyka diubahsuai sehingga menghilangkan cirri-ciri asalnya.

Usaha meghakis warisan kita paling banyak berlaku semasa Tun Dr M sebagai PM.

Sewajarnya kita melihat secara serius perkara ini. Walaupun kebanyakkan bangunan yang dimaksudkan adalah zaman peninggalan kolonial namun harus dingati anak-anak tempatan terlibat dalam membina dan bekerja di dalam bangunan-bangunan ini.

Memang kamajuan diperlukan walaubagaimanapun janganlah sampai warisan kita dikorbankan atas nama pembangunan itu.

Salah satu contoh bangunan milik Melayu yang masih kekal di Kuala Lumpur adalah Kelab Sultan Sulaiman di Kg Bharu. Di sinilah pejuang-pejuang Melayu bukan hanya dari Umno tetapi juga dari parti-parti haluan kiri dan Gerakan islam pernah berkumpul beberapa kali berbincang dan memikirkan nasib serta masa depan tanah air. Bangunan ini yang saya difahamkan milik kerajaan Selangor juga kurang diberi perhatian (ia juga telah memalui banyka proses ubahsuai sebelum ini sehingga menggugurkan nilai asalnya).

Bangkitlah pertahankan warisan kita.

Monday, August 15, 2011

Islam tak sunyi dari kontroversi

Hampir saban hari hal berkenaan Islam menjadi isu perbahasan umum. Sepatutnya ditahap ini kita melihat semakin ramai berbondong menyertai Islam lantaran kemampuan kita berdakwah dan kefahaman masyarakat yang semakin terbuka tetapi sebaliknya apa yang berlaku Islam kelihatan semakin terancam dan mengancam.

Belum pun selesai isu JAIS di Selangor kita bangkit pula isu bacaan ayat-ayat suci al Quran di corong masjid. Masalahnya antara pimpinan dan “authority” dalam Islam saling bertelagah. Ada yang setuju ia ditiadakan dan ada pula yang setuju ia diteruskan terutama sebelum masuk waktu solat.

Yang setuju terbit dengan hujah masing-masing begitu juga yang tidak. Yang keliru kita orang-orang awam apatah lagi yang bukan Islam.

Sewajarnya hal-hal berkenaan Islam ini jangan dipolitikkan terutama kalangan sesama Islam kelak ia tambah mencetuskan kekeliruan serta mengeruhkan suasana.

Jelas isu laungan azan melalui pembesar suara ketika masuk waktu solat diterima semua.

Yang menjadi isu adalah bacaan al Quran.

Dalam hal lain saya pernah menegur sebuah masjid agar tidak menggunakan corong utamanya yang diguna sewaktu laungan azan untuk membesarkan suara penceramah ketika program tazkirah atau pengajian di masjid. Bagi saya pengajian dan tazkirah adalah bagi mereka yang hadir dalam masjid oleh itu biarlah yang di dalam menikmatinya dan tidak mereka yang jauh di luar.

Mungkin ketika khutbah Jumaat ia boleh dipertimbangkan kerana lazimnya ketika solat Jumaat jemaah mana-mana masjid pun melimpah sehingga ke luar.

Namun demikian dalam hal bacaan ayat-ayat suci al Quran ini ternyata kita seakan terperangkap. Menghentikannya bermakna kita seolah mengurangkan sukatan sendiri manakala membiarkannya terganggu pula orang lain.

Mungkin bagi masjid-masjid yang telah lama mengamalknannya biarlah ia diteruskan kerana kalau mahu kira gangguan ia sudah lama diamalkan sepatutnya telah diterima umum. Manakala bagi yang baru tidak perlulah.

Toleransi beragama sangat kritikal dalam Negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Ia mesti berpijak pada asas yang telah diterima sepakat sejak awal pembentukkan Negara ini. Kerana itu tanggungjawab pemimpin untuk meleraikan ketegangan dan pupuk persefahaman namun tanpa mengorbankan yang asas dan pokok.

Semoga Islam terus dihormati dan disenangi insyallah.

Ramadhan: Sayangilah isteri anda lebih-lebih lagi.....

Di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini ramai yang terkejar-kejar meluangkan masa dan kelapangan memperbanyakkan ibadah, solat, membaca al Quran, berzikir dan seumpamanya. Amalan kita dijanji akan dilipat gandakan oleh Allah swt, sesungguhnya bulan ini adalah bulan bonus bagi mukmin yang beramal dan bertaqwa.

Rugilah mereka yang terikat dengan jadual dunia yang padat sehingga tiada ruang untuk mengejar tawaran Allah swt ini. Rugilah lebih-lebih lagi mereka yang terus terjerumus dalam kancah perlakuan dan perbuatan yang dikutuk dan dibenci oleh Allah dan Rasul Nya.

Dalam pada itu sebenarnya ramai dikalangan kita yang terlupa. Di dalam rumah kita rasanya ada insan yang lebih mulia dari kita. Kita yang bangkit sahor, kemudian berpuasa dan kemudiannya berbuka, solat tarawih, membaca al Quran, bangun beribadah malam tetapi terkadang terlupa bahawa ada seorang insan walaupun mungkin tidak seligat kita tetapi dia yang lebih bekerja memastikan sempurna hidup dan ibadah kita.

Yang saya maksudkan adalah insan bergelar isteri. Dia yang bangun awal, melawan malas dan mengantuk semata-mata bagi memastikan makanan terhidang buat kita dan anak-anak. Dialah juga yang sambil beribadah berfikir bagaimana hidangan untuk berbuka nanti dan dialah juga sambil beribadah memikirkan bagaimana menceriakan keluarga dengan pakaian baru dan hidangan di Hari Raya nanti.

Jangan kita terlupa sepanrtas mana kita mengejar Ramadhan dan keberkatannya, isteri kita perlu dihormati dan jasanya dihargai. Adakah ruang dalam doa kita untuk beliau?

Sayangilah isteri anda lebih-lebih di bulan Ramadhan ini............Selamat Berpuasa.

Saturday, August 13, 2011

Mawar merah tiada harumnya

Gembira (dan saya percaya begitulah seluruh rakyat Malaysia) apabila membaca laporan akhbar The Star pagi ini bahawa pihak polis di London telah berjaya menahan seorang suspek dalam kes membelasah dan menyamun pelajar Malaysia Mohd Asyraf Haziq Rosli di UK baru-baru ini. Sebagaimana kita ketahui Asyraf telah dibelasah dan dirompak dalam perjalanan membuat persediaan berbuka puasa sehingga tercedera dan patah rahangnya.

Bayangkan dalam keadaan berpuasa di Negara asing anda diserang begitu dan kemudian dirompak pula. Pastinya insiden itu menecetuskan kemarahan di hati kita rakyat Malaysia.

Asyraf berada di bumi yang dikira paling bertamadun di dunia dengan nilai moral dan susila yang dianggap paling tertinggi berbanding Negara lain. Namun apa yang berlaku ke atasnya ternyata hanya mampu dilakukan oleh mereka yang paling biadap, durjana, tiada pertimbangan kemanusiaan lebih tepat haiwan bertopengkan manusia.

Begitulah tidak semestinya yang bertamadun itu semua baik, yang terpelajar itu semua bijak.

Ada yang mungkin hina, tidak berpelajaran dan miskin namun akhlak dan peribadinya jauh lebih mulia dari yang terpelajar dan berada. Mawar merah sekadar tampak cantik dan menawan tetapi tiada harumnya berbanding bunga tanjung yang halus putih lagi kosong tetapi semerbak menikam baunya.

Asyraf dilaporkan telah pun keluar dari hospital setelah menjalani pemebedahan dan rawatan ke atas rahangnya. Semoga beliau cepta sembuh dan dapat meneruskan pelajarannya dan dalam waktu yang sama kita berharap agar samseng biadap dan kurang ajar di London itu dapat segera disiasat, di bawa kepengadilan dan dihukum seberat-beratnya.

Thursday, August 11, 2011

Pengagihan hasil judi di bulan Ramadhan

Assalamualaikum dan selamat mnyambut Ramadhan al Mubarak kepada semua pengunjung blog ini. Maaf kerana agak lama tidak update oleh kerana banyak perkembangan yang tidak diduga berlaku kebelakangan ini. Apa pun insyallah ia tidak akan menganggu minat saya menulis dan memberikan pandangan. Jika diberi kelapangan dan kekuatan oleh Allah swt saya akan kembali kemaskini blog ini seperti sudah-sudah.

Mungkin kali ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza tetapi tetap citarasa yang sama.

Sedang kita menempuh 11 Ramadhan ini saya terbaca satu laporan dalam akhbar tempatan yang sangat membimbangkan.

Saya pernah berkali membangkitkan isu ini nampaknya ia berulang kembali. Kita umat Islam perlu prihatin dalam perkara ini yang jelas matlamat tidak menghalalkan cara.

Saya petik kata-kata Wakil Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Miskin Daerah Sabak Bernam, Rosmah Mohd Razali:

"Rumah kebajikan kami terdiri daripada 50 penghuni yang terdiri daripada kanak-kanak dari umur dua hingga 18 tahun. Mereka ini memerlukan sepenuh perhatian dan kelengkapan yang cukup seperti tempat tinggal yang selesa, pelajaran, makanan dan pakaian yang cukup seperti tempat tinggal yang selesa, pelajaran, makanan dan pakaian yang cukup bagi membantu proses tumbesaran mereka berjalan dengan baik"

Manakala Pengerusi Rumah Bakri Nur Syaheera, Johari Basri pula berkata:

"Melalui sumbangan ini pihak kami dapat menyediakan baju baru kepada anak-anak yatim agar mereka dapat menikmati suasana Hari Raya walaupun tanpa keluarga di sisi."

Kisahnya, 25 rumah kebajikan telah menerima sumbangan bernilai RM25,000 sebagai sebahagian dari komitmen dan sumbangan kemasyarakatan (CSR) sebuah syarikat yang tersenarai di bursa saham. Biasalah di bulan yang mulia ini dan mana-mana hari perayaan dan seumpamanya syarikat-syarikat korporat, gergasi dan lain-lain mahu menyumbang dan menghulurkan bantuna. Ianya sesuatu yang baik dan wajar digalakkan.

MASALAH nya pastikan syarikat ini beroperasi dalam sektor perniagaan atau perdagangan yang HALAL. Terdapat bertaus syarikat korporat yang tersenarai dalam burasa saham tempatan yang menjalankan operasi perniagaan secara halal mengapa pilih yang sebaliknya.

Penerima-penerima sumbangan di atas menerima cek sumbangan masing-masing dari Timbalan Pengerusi GENTING BERHAD Tun Haniff Omar di KL semalam.

Genting sebagaimana kita tahu merupakan salah sebuah syarikat koperat operator judi kasino terbesar dalam negara.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa sedekah ini HALAL - memang ada yang memakai anutan ini malah sesama Islam hari ini, bagi saya ia HARAM dan memberi publisiti kepada syarikat HARAM dalam program CSR mereka seolah mengiklankan pula aktiviti yang HARAM bertentangan dengan Islam.

Ini sekadar mengingatkan saya dan kita semua agar berikhtiarlah memastikan umat Islam yang susah dan kekurangan dibela dan dibiayai oleh umat Islam sendiri dan tidak oleh operator judi, kilang arak dan sebagainya. Fikirkanlah. Semoga Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari yang lepas.

Monday, June 27, 2011

Bahana rumah urut:: Dari mana nak ke mana?

Sebelum ini bekas Menteri Besar Selangor Dato Seri Dr Khir Toyo pernah mendakwa bahawa terdapat lebih 7,000 lesen Pusat Kesihatan khasnya rumah-rumah urut yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Bilangan yang didakwa oleh Dr Khir itu terlalu “luar biasa” jumlahnya dan sudah pastilah tidak berasas namun demikian hakikatnya rumah urut sukar dipisahkan dari dikaitkan dengan unsur maksiat khasnya pelacuran dan yang berkaitan.

Rumah-rumah urut ini dikategorikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah istilah Pusat Kesihatan iaitu pusat-pusat yang memberikan khidmat yang berkaitan dengan kesihatan. Lazimnya terapi urut badan samada refleksologi mahupun urutan tradisional ditawarkan di pusat-pusat ini. Ianya menawarkan khidmat menyegarkan tubuh badan yang lenguh-lenguh, memulihkan tubuh yang terseliuh dan seumpamanya.

Memang terdapat pusat-pusat yang benar-benar menepati syarat yang dilesenkan, menawarkan khidmat oleh pekerja-pekerja yang terlatih, bersijil dan professional.

Yang menjadi masalah adalah amalan yang dipraktikkan dalam Negara ini mungkin kerana meniru amalan di Negara-negera Timur lain. Urutan yang ditawarkan oleh pusat-pusat ini diberikan oleh pekerja-pekerja wanita, dalam kes-kes tertentu wanita asing warga China, Thai dan Filipina diambil untuk menjalankan kerja-kerja urutan.

Apabila pelanggan lelaki di “urut” oleh para pekerja wanita ini, tambah pula dalam bilik atau tirai yang bertutup maka kecenderungan untuk berlaku aktiviti yang tidak bermoral begitu tinggi apalagi sekiranya terdapat pengusaha yang memang mahu meraih keuntungan dari kerja-kerja pelacuran yang berselindung di bawah nama pusat-pusat urut ini.

Sesungguhnya menurut garispanduan pusat-pusat kesihatan yang ada pada PBT-PBT khasnya di Negeri Selangor aktiviti tidak bermoral apalagi pelacuran memang ditegah dan dilarang kerana sebarang aktiviti seumpama ini sudah pasti jatuh di bawah kategori jenayah dan boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa selain PBT khasnya pihak polis. Oleh itu benarkah maksiat berleluasa di negeri Selangor dengan kelulusan lesen rumah-rumah urut ini?

Ketua Jabatan Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong baru-baru ini mendedahkan menerima begitu banyak aduan dari suri-suri rumah dan anak-anak di Selangor yang mengadu suami-suami dan bapa-bapa mereka menghabiskan wang dan masa di pusat-pusat ini untuk mendapat khidmat seks dari wanita asing. Chong mendesak agar pihak berkuasa menutup pusat-pusat seumpama ini dan kesal kerana kerajaan negeri telah meluluskan begitu banyak lesen.

Hakikatnya berdasarkan garis panduan yang ada yang diamalkan bukan hanya di Selangor malah negeri-negeri lain termasuklah Wilayah Persekutuan, pusat-pusat kesihatan ini memang dibenarkan untuk dilesenkan. Tiada elemen maksiat ataupun jenayah sepatutnya diamal atau dilakukan di pusat-pusat yang dilesenkan. Masalahnya adalah penyalahgunaan lesen sebagaimana dadah yang disalahgunakan. Dan penyalahgunaan ini bukan hanya berlaku di ketika kerjaaan Pakatan rakyat memerintah tetapi memang menjadi masalah sejak sekian lama.

Di sinilah bangkit keperluan untuk mengkaji dan melihat semula relevan dan kesesuaian pusat-pusat seumpama ini. Kerajaan-kerajaan negeri dan PBT-PBT perlu meneliti dengan serius perkara ini dan memastikan jika pusat-pusat ini terus relevan dan sesuai maka peraturan yang lebih kuat dan penguatkuasaan yang lebih keras perlu diambil demi mengelakkan dari penyalahgunaan lesen. Ini bukan masalah fahaman dan sokongan politik tetapi ini masalah sosial yang perlu ditangani semua pihak.

Semua pihak akui bahawa amalan maksiat dan tidak bermoral di pusat-pusat ini perlu dihentikan. Kerana itu sebarang ruang dan kemungkinan bagi pusat-pusat seumpama ini dari jatuh menjadi pusat maksiat perlulah ditutupdan ditangani. Pengusaha-pengusaha perlu dikenakan syarat yang ketat dan pemantauan serta penguatkuasaan mestilah dipertingkatkan dengan tindakan yang paling keras diambil apabila sahaja berlaku penyalahgunaan lesen.

Kesesuaian memebenarkan pelanggan lelaki diurut oleh pekerja wanita juga perlu dikaji semula kerana ternyata inilah bermula punca maksiat dan aktiviti tidak bermoral ini. Malah di Kuala Lumpur kini urutan seks antara lelaki dan lelaki juga sudah hangat diperkata dan dibahaskan.

Bagi orang-orang Islam jelas aktiviti urutan oleh pekerja wanita terhadap lelaki haram hukumnya dan pihak berkuasa agama memang berkuasa mengambil tindakan apalagi sekiranya mukadimah zina ini berlaku dalam tempat tertutup dan bertirai.

Oleh itu kiranya diakui aktiviti ini adalah serius dan mendatangkan kesan yang negative kepada masyarakat maka semua pihak perlu menggembeling tenaga dan fikiran bagi menangani dan membenterasnya. Pihak polis, imigresen, PBT dan kerajaan negeri mestilah mengenepikan segala perbezaan dan duduk mengkaji masalah sosial ini secara serius. Jika rumah urut sudah bertukar menjadi pusat pelacuran dan maksiat maka ia tidak ada tempat dalam masyarakat kita.

Dalam pada itu tindakan terhadap pusat-pusat ini yang tidak berlesen termasuklah yang melanggar syarat lesen wajib diambil tindakan secara bersepadu oleh pihak PBT dan polis. Penangkapan dan pendakwaan di mahklamah perlu dilakukan bagi membuktikan kesungguhan semua pihak.

Rakyat yang semakin maju dan mahukan kehidupan yang lebih sejahtera dan selamat tidak memerlukan pusat-pusat yang cuma menyumbang kepada aktiviti maksiat dan tidak bermoral. Bukan hanya orang Melayu dan Islam malah semua bangsa dan penganut agama tidak mahukan aktiviti yang meruntuhkan institusi keluarga ini. Semoga dengan keprihatinan dan kesungguhan semua pihak kita akan hanya melihat pusat-pusat kesihatan yang benar-benar menawarkan urutan dan terapi secara professional, yang diberikan oleh pekerja-pekerja yang terlatih dan sopan, tiada lagi maksiat dan pelacuran.