Keadaan politik dalam negara
berterus-terusan kelihatan gawat dan berkecamuk. Dalam pada itu tempuh penggal
Parlimen ke 13 ini menghampiri ke penghujungnya dengan Pilihanraya Umum ke 14
mesti diadakan selewat-lewatnya pertenggahan tahun 2018.
Berbagai spekluasi
dicipta berhubung tarikh pilihanraya umum ini, ada seawal Jun atau Ogos yang
pastinya ia wajib diadakan sebelum pertengahan 2018 nanti.
Barisan Nasional semakin cemas
apabila pelbagai isu ketempangan dan kepincangan pentadbiran negara kelihatan
seakan tidak berupaya dirawati dan rakyat pula semakin tertekan dengan kos
hidup yang semakin membebankan dibawah pemerintahan mereka.
Keadaan ekonomi negara dengan
menyusutnya harga minyak mentah dunia dan tidak pulih-pulih harga komoditi
khususnya sawit dan getah terus tidak membantu kerajaan Persekutuan melegakan kehidupan
rakyat.
Dalam pada itu rasuah dan
salah-guna kuasa samada dari kalangan orang-orang politik mahupun kakitangan
kerajaan tersingkap dan terdedah saban hari yang sudah tentu tambah
mengecewakan rakyat dan menghilangkan keyakinan mereka pada kerajaan.
Dalam situasi cemas seumpama ini
rakyat mula menimbang-nimbang, meninjau untuk mengenal-pasti samada wujud kah
satu gagasan yang mampu memberikan alternatif buat mereka bagi menggantikan
Barisan Nasional yang serba mendukacitakan di peringkat Persekutuan.
Jika BN yang serba gagah selama
ini mahu digantikan maka penggantinya perlu lebih gagah demi mahu memenangi
keyakinan rakyat.
Malangnya blok pembangkang pun
hari ini nampak kacau dan tidak menentu. Meski Pakatan Harapan, yang
menggabungkan PKR, DAP, PPBM dan Pan berusaha memaparkan diri mereka sebagai
alternatif yang berwibawa menggantikan BN, namun rakyat kelihatan masih belum
yakin.
Jika dahulunya blok pembangkang
dicucuh semangat juangnya oleh kezaliman melampau yang dilakukan oleh
pentadbiran ketika itu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga beliau umpamanya,
hari ini punca kezaliman itu yang telah membangkitkan kemarahan rakyat sebelum
ini tiba-tiba duduk bersekongkol untuk mahu menjatuhkan pula kerajaan yang ia
sendiri terlibat menaikkan.
Sementara itu blok yang ada ini
terutamanya melalui DAP, kelihatan lebih cenderung bermain politik rasisma dan
menolak sebarang usaha atau langkah menobat dan memperkasakan Islam. Bagi mereka,
Malaysia ini sesungguhnya sebuah negara sekular, negara yang memisahkan agama
dengan pentadbiran dan ia sewajarnya dibentuk dan ditadbir atas kepercayaan
itu.
Sudah tentu sikap seumpama ini
tidak dapat diterima oleh majoriti pengundi Melayu yang merupakan penyokong
tegar BN sebelum ini.
Blok pembangkang ini juga belum
selesai proses pembahagian kerusi sesama mereka, dan proses itu sahaja nanti
dijangka mencetuskan perbalahan dan sengketa, terutama bagi memberi laluan pada
parti baru seperti PPBM apalagi parti nyamuk umpama Pan.
Mahukah DAP dan PKR mentah-mentah
berkompromi menyedekahkan kerusi mereka kepada PPBM dan Pan? Di Selangor
contohnya DAP menguasai kesemua 15 kerusi yang ia tandingi, bersediakah DAP
melepaskan beberapa kerusi buat PPBM ataupun Pan?
Begitu juga kerusi-kerusinya di
Pulau Pinang, mahu dan sanggupkah DAP mengorbankannya buat kawan-kawan barunya
itu? Apa yang nyata mereka masing-masing mahu memperalatkan antara satu sama
lain.
Kesemua keadaan yang tidak
menentu ini mendinginkan keinginan rakyat untuk bangkit membawa perubahan
menukar BN walaupun mereka terbukti telah bosan dan semakin muak dengannya.
Atas kesedaran itulah PAS, yang
disisihkan lantaran pembentukkan Pakatan Harapan, mengambil inisiatif membentuk
kedudukannya sendiri dalam pentas politik negara.
Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi
Awang selaku Presiden bingkas membaca suasana dan berusaha tidak mengecawakan
impian rakyat khususnya majoriti pengundi Melayu untuk melihat perubahan
berlaku dalam PRU akan datang.
PAS melalui “Budaya Politik
Matang dan Sejahtera” nya atau BPMS, berterusan membawa agenda Islam dan
mengajak rakyat bersama menyelematkan negara dan masa depannya dengan Islam.
Hanya Islam mampu menjadi kunci yang boleh membuka pintu penyelesaian ke atas
kemelut yang melanda rakyat dan negara hari ini.
Jentera PAS mensasarkan memenagi
sekurang-kurangya 40 kerusi Parlimen dan penguasaan ke atas lima buah negeri
iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor. Jika PAS mampu
memperolehi sasarannya itu, PAS bakal muncul sebagai “kingmaker” pasca PRU ke
14 nanti kerana diketika itu adalah dijangkakan parti-parti kelompok BN dan PH
bakal gagal memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan khasnya di peringkat
pusat secara bersendirian.
Kerana itu jentera PAS disemua
peringkat perlu istiqamah dan berkerja keras bagi memastikan PAS menyumbang
dalam menyelamatkan rakyat dan negara melalui PRU ke 14 itu nanti sebagaimana
disarankan Tuan Guru Presiden.
Wajarlah disaat-saat kritikal ini
kita merenung dan menghayati wasiat bekas Timbalan Presiden PAS (dulu dikenali
Timbalan Yang Dipertua Agung) Almarhum Prof Zulkifli Muhammad yang
disampaikannya selang dua hari sebelum beliau diambil Allah swt hampir 53 tahun
dahulu. Menurut Almarhum salah satu syarat kemenangan adalah “keikhlasan”.
“Keikhlasan” ini jika dapat
dipupuk, ialah nanti yang akan membawa kejayaan buat PAS.
Ikhlas bererti menyucikan niat
kepada sesuatu tujuan dengan mengenepikan apa yang lain dari itu. Kata
Almarhum: “Kita ikhlas kepada Tuhan, kita sucikan niat pada Nya dan kita
ketipkan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada perjuangan PAS, kita sucikan
niat terhdap tujuannya dan kita ketepikan yang lain dari itu.”
Kata Almarhum lagi: “Kita mungkin
bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi
kalau keikhlasan ada pada kita maka ada harapn cita-cita kita ini akan dapat
kita laksanakan. Apa gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya
kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”
Jentera PAS perlu ikhlas, teguh
dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan dasar, inilah haluan kita
kebelakangan ini dan jika kita berterusan memacu jentera dalam keadaan demikian
tidak mustahil sokongan rakyat akan memihak pada kita.
Biarlah yang tidak ikhlas, yang
punya agenda peribadi apatah lagi yang khianat pegi jauh dari kita.
Keikhlasan kata Almarhum lagi
bukan hanya ditetapkan pada hati dan niat tetapi termasuk amal Amalanlah yang
menunjukkan keikhlasan. Kekalkanlah keikhlasan dalam perjuangan, sehingga kita
bersama memperolehi sasaran yang kita impikan.