Sunday, June 19, 2016

Kerusi DAP DUN Sekinchan dalam ancaman



Dalam kempen PRK Sg Besar baru-baru ini antara pemimpin yang berkempen untuk Pan yang paling celupar dan kuat menyerang PAS adalah ADUN Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim.

Parlimen Sg Besar punya dua kerusi DUN satu DUN Sg Panjang yang diwakili Budiman dari BN dan satu lagi Sekinchan yang diwakili Ng.

Ng mempertahankan Sekinchan dalam PRU ke 13 lalu dengan majoriti 2239 undi mengalahkan calon BN.

Sekinchan merupakan DUN yang majoriti pengundinya sekitar 57% merupakan pengundi Cina.

Tetapi kini PRK Sg Besar telah merobah segala-galanya.

Jika kita lihat keputusan PRK ini buat DUN Sekinchan menunjukkan BN telah menang di DUN ini dengan memperolehi 49.67% undi. Pan yang mewakili DAP sekadar memungut 36.81% undi dan selebihnya PAS.

Apakah maknanya?

Ini bermakna kerusi Ng iaitu satu-satunya kerusi DAP di wilayah sebelah sini di Selangor terancam dan jika trend ini berterusan Ng mungkin sahaja dikalahkan dalam PRU ke 14 nanti.

Di Sekinchan, pengundi Cina telah kembali ke BN dan jika begitulah seluruh Selangor, apakah nasib DAP nanti?

Barangkali Ng akan membatalkan pesta araknya yang dijanjikan itu…….

Saturday, June 11, 2016

Tolak politik ketegangan - Pilih calon PAS



Hari in dalam akhbar Sinar Harian ADUN DAP Sekinchan Ng Suee Lim dilaporkan berkata:

“Kalau boleh sebelum 18 hari bulan nanti saya akan beritahu Dr Rani supaya tarik diri untuk jaga maruah dan tidak dipergunakan oleh Pas untuk menentang Parti Amanah Negara (Amanah). Sebagai kawan saya, dia ada maruah dan jangan gadaikan maruah sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Saya minta Dr Rani tolong balik ke Meru dan jaga jalan di sana yang berlubang-lubang dan sering dilanda banjir. Kalau dia gagal selesaikan masalah di sana tolong jangan persoalkan kerja saya di sini,”

Demikianlah angkuh dan sombongnya kenyataan ADUN DAP itu rakan sekutu Pan yang mengemukakan calon bertanding melawan PAS dan BN di pilihanraya kecil parlimen Sg Besar.
Sebelum ini Ng dilaporkan berkata dalam satu ceramahnya bahawa beliau akan menaja sambutan minum arak kiranya undi yang diperolehi Pan mengatasi undi PAS dalam PRK ini.
Rakyat Malaysia kebelakangan ini memang kritikal dan sering terbuka menyuarakan pandangan dalam mempertahankan hak mereka.

Kerana itu hari ini mereka mudah menyokong mana-mana sahaja parti yang bersedia mendengar dan mewakili suara mereka.

Dalam PRU lalu selain BN, DAP, PAS dan PKR turut menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Walaubagaimanapun Melayu, Cina atau India kah rakyat Malaysia itu, mereka ada had dalam mengkritik dan meluahkan perasaan. Dalam isu-isu rakyat mereka bersepakat menyuarakannya kiranya ia terjejas atau terganggu, namun tidaklah sampai ke peringkat melampau sehingga mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Melayu, Cina atau India, kesemuanya bertanggungjawab dan mereka mahu terus tinggal dalam negara kita yang tercinta yang kekal aman dan sejahtera. Tanah tumpah darah yang aman ini yang memungkinkan kita mencari rezeki yang halal dan membesarkan keluarga dan anak masing-masing wajar dipertahankan

Kritik dan luahkan perasaan namun jangan sampai mencetuskan ketegangan, menggugat keharmonian antara kaum dan membakar kebencian. Politik seperti ini pasti ditolak bukan hanya oleh orang Melayu tetapi siapa sahaja warga Malaysia.

Ahli-ahli politik mesti bijak memain peranan sebagai penyatu rakyat jelata bukannya pemecah belah masyarakat.

Ahli-ahli politik yang mahu menang dengan membakar perasaan orang-ramai, mengadu-domba dan menghina antara kaum dan agama perlu ditolak agar memberi isyarat bahawa Malaysia tidak memerlukan mereka.

Ng Suee Lim sepatutunya berkempen dengan hujah dan fakta, tetapi beliau lebih rela menyerang peribadi dan tergamak menyentuh isu-isu agama lain dalam kempen beliau.

Sebelum ini dalam satu klip ceramah beliau di sana beliau menggulang-ulang kononnya kenyataan Ketua Umno Bahagian Sg Besar satu ketika dahulu bahawa “Cina babi” dan “Cina balik tongsan”.
Mungkin beliau bermaksud mahu memberi amaran pada para pendengarnya agar menolak BN lantaran kenyataan pemimpin Umno itu tetapi ungkapan “Cina babi” dan “Cina balik tongsan” (yang kemudiannya menjadi billboard Pan yang diturunkan oleh SPR) itu diulang-ulangi dalam ceramahnya itu bagi saya bermaksud jahat mahu membakar sentimen masyarakat Cina.

Calon dan jentera PAS insyallah telahpun diarahkan berkempen secara berhemah dalam semangat budaya politk matang dan sejahtera.

Benar YB Dr Abd Rani ADUN Meru bukannya anak tempatan tetapi beliau anak Selangor.

Jika Lim Guan Eng, anak Johor boleh bertanding kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Puteh di Pulau Pinang dan menjadi Ketua Menteri pula, mengapa Dr Abd Rani tidak boleh bertanding di Sg Besar?

Ramai pemimpin DAP pernah bertanding dua kerusi dan menang di Parlimen dan DUN termasuklah Dr Tan Seng Giaw yang pernah menang di DUN Kajang dan Parlimen Kepong sedangkan Dr Tan anak Kelantan!

Suee Lim sendiri pun bukan anak jati Sekinchan!

Yang pentingnya bagi PAS adalah kemampuan jentera dan kuatnya sokongan jentera tempatan. Rekod Dr Abd Rani sebagai ADUN Meru tidak boleh dipertikaikan tanyalah mana masyarakat di kawasannya. Selain itu PAS Sg Besar di bawah Yang Dipertuanya Ustaz Fadzlin Taslimin mempunyai jentera yang mantap dan mampu menyokong calon memberi khidmat terbaik di Sg Besar kiranya Dr Abd Rani menang.

Para pengundi di Sg Besar diharapkan tidak terpengaruh malah akan menolak parti yang didokong oleh mereka yang gemar dan cenderung membikin onar dan mencetus ketegangan.

PAS menawarkan calon terbaik buat pengundi di Sg Besar. Beliau seorang dokotor perubatan lulusan perubatan dari universiti di Mesir. Fasih berbahasa Arab, Inggeris, Jawa dan Melayu selain mampu berkhutbah, memimpin majlis-majlis pengajian agama, tahlil dan seumpamanya.

Tidakkah calon PAS YB Dr Abd Rani Osman calon terbaik buat pengundi Sg Besar?

Undilah PAS insyallah selamat.



Tuesday, June 07, 2016

Sedikit pun orang PAS tak tergiur dengan kamu

"Kepada saudara-saudaraku ahli-ahli Pas, adik-adikku yang dikasihi dan gigih bekerja, kamu boleh terus undi calon Pas tetapi tidak akan menang. Maaf saya berkata sedemikian.
Nak kekal dalam parti itu silakan tetapi tolong undi calon Amanah. Itu sahaja yang boleh cabar BN. Saya ulang sekali lagi, Pas bersendirian dia lebih kuat tetapi sukar untuk menang dalam pilihan raya. Yang bercakap ini bukan sembarangan orang tetapi bekas timbalan presiden,"

Demikianlah sedutan ceramah Presiden Pan, Mohammad Sabu di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar semalam.

Saya sebenarnya tidak berhasrat dan berselera untuk sentuh aktiviti dan politik Pan khasnya dalam PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar ini. Bagi saya parti para pengkhianat ini tiada nilai dan wajar sangat dijauhi dan dinyahkan dari politk Malaysia.

Lantas apabila terbaca ucapan pemimpinnya di atas memang sahlah betapa mereka ini punya krisis identiti, mereka tiada hala tuju perjuangan dan mereka sekadar bernafsu untuk berkuasa dan merebut kedudukan.

Mat Sabu perlu sedar oleh kerana memiliki pemikiran sebeginilah maka beliau ditendang keluar oleh para perwakilan PAS. Para perwakilan PAS sedar bahawa pemimpin seumpama beliau tidak lagi layak dan punya kredibilit sebagai pemimpin gerakan Islam, kerana itu beliau ditumbangkan bersama-sama gerombolannya yang berkongsi mimpi yang sama.

Mana mungkin perjuangan PAS yang didasari Islam mahu disamakan dengan perjuangan parti-parti sekular yang lain.

Puluhan tahun dalam PAS rupanya tidak membentuk jiwa dan kekuatan dalaman Mat Sabu sebaliknya beliau liar dan ghairah dengan perjuangan politik sekular yang lain maka layaklah beliau menjaja hidup mengharapkan kasih orang lain di luar PAS.

Diulang-ulanginya sifir bahawa untuk menang mesti berpakat dengan orang lain walaupun orang itu menentang dan menghina dasar dan matlamat perjuangan kita, tak mengapa, peluk dan dakap juga mereka asalakan kita beroleh kuasa.

Sikap murahan sebegini mahu diumpan kepada orang-orang PAS. Buruk dan rendah akhlaknya.

Orang-orang PAS yang istiqamah dididik untuk berpegang dan terus bersama perjuangan ini walau apa yang menunggu di hadapan. Yang penting mereka ikhlas berusaha dan berjuang kerana yang mahu dikejar bukannya kuasa semata-mata tetapi syurga yang dijanjikan Allah swt.

Mat Sabu mungkin sudah tidak terpesona atau tergiur dengan itu semua kerana seleranya sudah berubah.

Ubah dan tukarlah perjuangan kamu sesuka nafsu kamu tetapi orang-orang PAS sekali-kali tidak akan bersama kamu. Nak undi parti pengkhianat yang mengkhianati perjuangan PAS dan mencuri lari kerusi-kerusi PAS jauh sekali.

Orang-orang PAS punya maruah dan harga diri dan ukuran maruah dan harga diri kami bukannya dipegang oleh kamu tetapi oleh agama yang kami junjung.

Presiden atau Timbalan Presiden, siapa sahaja jika curang dan mengkhianti perjuangan ini maka setaraflah kamu dengan musuh-musuh politik kami yang lain.