Sebelum ini kita dengar syarikat operator nombor ramalan (NFO) iaitu Sports Toto Bhd melaporkan ia memperolehi keuntungan bersih sebanyak RM68.5 juta bagi tempoh suku ketiganya berakhir 31 Mac 2024.
Walaupun empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak lagi memberi lesen premis bagi syarikat perjudian ini beroperasi atas alasan judi itu suatu kemungkaran besar, namun ia tetap mampu mencatat keuntungan dan memberi laba pada para pemegang sahamnya dalam operasinya di negeri-negeri lain.
Terbaru menurut The Edge Malaysia (28 Mei 2024) sebuah lagi NFO iaitu Magnum Berhad pula melaporkan syarikatnya memperolehi keuntungan bersih RM25.99 juta bagi suku pertama 2024, iaitu kenaikkan 64.71% berbanding RM15.78 juta suku yang sama tahun lepas. ( Itu baru 3 bulan belum 12 bulan)
Bermakna industri maksiat ini terus maju dan berkembang bawah pemerintahan Kerajaan madani pimpinan PM ke 10. Oleh kerana Kerajaan ini tidak berhasrat mengekang atau menyekat aktiviti NFO ini tidak seperti empat negeri Melayu yang lain, wajarlah ia memikirkan untuk menaikkan cukai ke atas syarikat-syarikat NFO ini, jangan ia bersenang-senang terus mencuri keuntungan di atas nestapa dan kesusahan kaki-kaki judi.
Ada penganalisa mengatakan bahawa NFO ini terpaksa dilindungi (jangan dibebankan dengan cukai) kerana kononnya mahu menghalang aktiviti perjudian tidak berlesen.
Sepatutunya sebagai sebuah negara Islam industri yang diharamkan syarak ini dan dipersetujui bukan budaya mana-mana kaum di Malaysia, disekat demi melindungi masyarakat. Kesan judi diketahui adalah penyakit sosial yang mudarat sehingga mampu meroboh dan memecahbelahkan institusi keluarga, mendedahkan rakyat pada hutang dan kemuflisan.
Dalam waktu yang sama penguatkuasaan terhadap aktivit judi haram termasuk yang atas talian perlu dipertingkatkan. Hukuman ke tas pesalah juga ditambah.
Jika tidak, Kerajaan madani ini akan terbit sebagai Kerajaan yang menjadikan Malaysia walaupun sebuah negara Islam, tetapi subur dan berkembang industri judinya yang jika bertaraf NFO berlesen, adalah halal di mata Kerajaan.
Allah SWT berfirman maksudnya:
".............Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) asalah Tuhan Yang Maha Pengampun" (Saba: 15)