Sunday, November 30, 2014

Berikan keadilan pada Chin Peng dan PKM? (30/11/14)


“Oleh sebab itu saya minta supaya peranan Chin Peng kah, peranan Rashid Maidin kah, peranan siapa pun walaupun ideologi mereka berbeza dengan kita Islam mengajar (Berucap dalam Bahasa Arab)(Tepuk) Janganlah kerana kita benci kepada satu kaum menyebabkan berlakunya tidak adil. Berlaku adillah kerana mendekatkan diri kepada ketakwaan. Walaupun Chin Peng dia ada masalah ideologi dengan kita tetapi dia adalah penyumbang yang melawan penjajah (Tepuk) Begitu juga dengan Rashid Maidin begitu juga ramai lagi termasuk tokoh-tokoh agama, Shamsiah Fakeh. Ini semua mesti dijadikan sebagai tokoh yang kita harus ajar anak-anak kita. Kita berlaku jujur. Jangan menyembunyikan fakta dalam kita mengajar anak kita”
Demikianlah petikan ucapan seorang ahli Parlimen PAS dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

Saya teringat diawal-awal era perjuangan Mujahideen Afghanistan yang bangkit menentang regim boneka kominis Rusia di Kabul dahulu, PAS telah mengundang wakil-wakil Mujahideen ini ke Muktamarnya. Ahli-ahli PAS ketika itu dididik bahawa komunisma menindas Islam, lantas kebangkitan rakyat Afghan diterajui Mujahideen wajib disokong.
Saya ingat pernah dalam PRU2004 apabila PKR mahu mencalonkan Dr Syed Hussin Ali ketika itu Timbalan Presidennya bertanding di Parlimen Kota Bharu, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz yang ketika itu Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kelantan telah bantah. Bantahan kerana fahaman Syed Husssin cenderong pada sosialisma dan kata Tok Guru orang Kelantan tidak mahu sosialisma.

Tok Guru dipetik berkata kepada media ketika itu:
``Terus terang saya sebut, saya tolak yang berjiwa sosialis, semalam sudah beritahu dengan telefon, pagi ini dengan surat.Ini kerana sejak zaman-berzaman apabila disebut sosialis ia dikaitkan sebagai adik sedikit daripada komunis,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Begitu juga PAS bertanding 3 penjuru di DUN Kota Damansara dalam PRU baru-baru ini kerana calon PKR ketika itu (yang sebenarnya wakil PSM) mengamalkan fahaman sosialisma dan mengagungkan Marxisma.
Macam mana tiba-tiba ada ahli Parlimen PAS yang bertindak mengambil sikap yang kontra dari sikap PAS sebelum ini?

Benar kita perlu berlaku adil dalam setiap hal. Tetapi sejauh manakah keadilan yang mahu diberi itu sehingga memahkotakan perjuangan Parti Kominis Malaya dan pimpinannya sebagai pejuang Tanahair?

Benar semasa penjajahan Jepun pihak PKM telah memberikan sumbangan tenaga melalui MPAJA (pasukan anti Jepun) yang didokong oleh pihak Inggeris. Benar ketika British kembali mereka bergerak sebagai parti yang sah sehinggalah diharamkan British dan mengangkat senjata menentang penjajah British di Malaya.
Tetapi apakah matlamat perjuangan PKM? Mereka berjuang menentang Jepun, mereka berjuang menentang penjajahan Biritish dengan senjata matlamatnya apa?

Merdeka?
Ya mereka mahu membebaskan Malaya dari penjajahan Jepun dan Biritsh, tetapi apakah yang mahu dibina dari untuhan kerajaan penjajah itu?

Dalam laman web “socialistworld” mengulas buku Chin Peng “alias Chin Peng” yang memuatkan memoirnya diulas bahawa cita-cita perjuangan PKM adalah:
The author makes some significant comments about the ultimate goal of the CPM. On the one side, a military decision was taken to set up "liberated areas" in both the northern and southern regions of the Malayan peninsula. Moreover, they would follow "Mao’s blueprint for revolutionary warfare to the letter". Their aim was to establish not a socialist regime but - as in China, Vietnam and, ultimately, in the Stalinist regimes of Eastern Europe - a "People’s Democratic Republic of Malaya"

Bermakna jika ditkadirkan Chin Peng dan PKM menang dalam perjuangannya dahulu, bermakna Malaysia hari ini tiada, sebaliknya yang ada adalah “ Republik Rakyat Demokratik Malaya” yang menjulang dan mengagungkan komunisma, entah ke mana perginya Islam, Raja-raja Melayu, Bumiputera, kebebasan beragama dan lain-lain yang kita nikmati hari ini.
Lalu perlu dan wajarkah sejarah Malaysia ditulis kembali dengan menobatkan PKM dan tokoh-tokohnya sebagai pejuang tanahair?

Pejuang-pejuang tanahair yang tulen adalah mereka yang mahu memerdekakan Negara ini dari penjajah dengan mengembalikan kuasa kepada anak-anak bangsa merdeka dan memerintah Negara sendiri dengan mendaulatkan identiti kita sendiri bukannya mengimpot fahaman asing yang bertentangan pula dengan agama.
PAS juga merupakan penyumbang kepada kemerdekaan Negara melalui perjuangannya dan terbukti dalam sejarah apabila turut mengambil bahagian dalam mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Reid serta mengambil bahagian dalam Pilihanraya Persekutuan yang pertama pada tahun 1955

Tetapi mahu meletakkan PKM, Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain setaraf sebagai pejuang kemerdekaan dan wira Negara bagi saya adalah keterlaluan. Orang lain berjuang juga seawal Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan lan-lain tetapi tidaklah sampai menyembelih dan membunuh anak-anak bangsa sendiri. Berapa ramai mereka yang tidak berdosa, tanpa mengambil kira tentera dan polis tempatan yang bekerja di bawah Biritish, telah dibunuh dan terkorban ditangan PKM dan anggotanya.
Orang-orang kampung, penoreh getah, peniaga, penternak, peladang Melayu, Cina dan India ratusan terkorban angkara pengganas komunis PKM.

Tiba-tiba mereka ini mahu diangkat sebagai tokoh?
Kalau Babrak Karmal dan Hafizullah Amin dahulu, warga Afghanistan kita tentang regim mereka kerana tunduk pada kominis Rusia lantaran fahaman dan ideologi mereka, mengapa pula PKM Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain mahu kita sanjung?

Saya yakin lontaran pandangan ahli Parlimen PAS itu sangat bertentangan dengan pendirian dan perjuangan partinya sendiri.

Saturday, November 29, 2014

Faham dan akur arahan Presiden (29/11/14)


Sebahagian besar kandungan ucapan penangguhan Tuan Guru Presiden PAS pada Muktamar yang lalu menyentuh isu dalaman khasnya berkaitan istiqamah dalam perjuangan. Bagaimana PAS perlu dimantap dan diperteguhkan demi mengejar cita-cita perjuangan.
Bagi ahli-ahli PAS yang tulus dan komited dalam perjuangan lazimnya ucapan penangguhan Presiden merupakan pengarahan yang wajar difahami, dihadam dan dilaksanakan dalam parti dan perjuangan. Ia merupakan penegasan dan resolusi dari keseluruhan Muktamar.

Satu isu yang meliputi sebahagian besar dari ucapan berkenaan adalah kedudukan Majlis Syura Ulamak dalam PAS. Majlis Syura Ulamak menurut Fasal 8 Perlembagaan PAS:
1(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

1(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.
Tuan Guru Presiden dalam ucapannya cuba memahamkan ahli-ahli betapa besarnya peranan Majlis Syura sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS. Beliau mengimbau kembali betapa Majlis ini dibentuk sesungguhnya untuk menepati ketepatan syariat dalam perjuangan. PAS sebagai parti Islam perlu dan wajar sentiasa berada atas landasan perjuangan Islam yang sebenar.

Tuan Guru menegaskan dalam ucapan beliau itu:
“Peranan Majlis Syura ialah Hisbah, enforcement. Melakukan Hisbah. Peranan majlis Syura ialah Qadha’, mengambil tindakan kalau perlu.

Dalam hal ini, kita mesti teguh dengan pegangan kita. Walaupun kita berakal, mempunyai ilmu yang tinggi, Jangan akal mengatasi Hukum Syariat!”
PAS mahu dipandu bukan mengikut akal fikiran atau perkembangan politik semasa semata-mata tetapi sesuatu ketetapan dan keputusan itu wajib dengan saduran dan tafsiran Islam yang sebenar.

Dan bagi memastikan ia sentiasa dipandu atas landasan berkenaan maka di sana Majlis Syura memain peranan sebagaimana disepakati oleh ahli-ahli PAS.
Tiada parti lain yang punya badan seperti ini selain PAS.

Dan keahlian Majlis ini juga disepakati diwakili oleh mereka yang paling berilmu dan memiliki pengetahuan Islam yang tinggi dalam PAS sebagaimana disebut dalam Fasal 8 Perlembagaan PAS:
8(3) Seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

PAS mungkin punya ramai ilmuan dari pelbagai bidang dan profesion namun hanya mereka yang diiktiraf oleh parti yang mempunyai ciri-ciri dan perwatakkan serta ilmu tertentu yang ditempatkan menganggotai badan tertinggi ini.
Dalam hal ini di ucapan berkenaan Tuan Guru menyebut:

“…..keahlian ahli Majlis Syura Ulama, dari kalangan ilmuan ISLAM yang sedalam dalamnya, yang boleh merujukkan kitab kitab yang muktabar, sumber sumber ISLAM yang muktabar, yang bersifat adil, yang amanah dengan ilmu, dan iltizam dengan Jemaah. Iltizam dengan PAS.”
Kerana itu tidak seperti parti lain bagi PAS, jemaahnya dipandu oleh al Quran dan Sunnah. PAS berpolitik dalam pentas demokrasi dan merebut kuasa melalui proses pilihanraya namun disiplin keahliannya tidak boleh sedikit pun lari dari hukum tertingginya itu.

Lantas bagi ahli-ahli PAS yang komited dan istiqamah, sesuatu pengarahan atau keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamaknya akan dipatuh dan diikuti dengan jiwa yang besar dan dada yang terbuka kerana faham bahawa ianya dibuat demi kemaslahatan perjuangan.
Mereka yang sayangkan perjuangan Islam ini dan mahu mengecapi kemenangan dunia dan akhirat dalam hal ini akan meletakkan ketaatan dan kepercayaan kepada saf ulamak “terkanan “ dalam PAS dalam hal ini Majlis Syura Ulamak. Bukannya percaya “membuta tuli” seperti sangkaan buruk sesetengah pihak tetapi percaya kerana mereka ini telah diamanahkan menghukum dan membuat panduan menurut al Quran dan Sunnah.

Disinilah dalam ucapannya itu Tuan Guru berpesan:

 “Dengan makna, akal tidak boleh menundukkan hukum syara’.

Majlis Syura Ulama berijtihad secara kolektif, mungkin kita tidak dapat seorang tokoh seperti Imam Imam mazhab, Syafii , Maliki, Hanafi, Hanbali , Suffian at Sauri dan lain lain. Namun kita punyai ilmuan dalam bidang yang pelbagai. Maka dikumpulkan ulama ulama, melakukan ijtihad secara kolektif, dalam masa yang sama ada hubungan dengan professional.”
PAS tidak akan hanyut dan sesat selagi mana istiqamah bersama Majlis Syura Ulamak.

Sejurus selepas Muktamar, memandangkan ada sebuah NGO yang bergerak membawa mudarat kepada perjuangan PAS maka Majlis Syura Ulamak telah terbit dengan keputusan yang disiarkan media pada 12 Oktober 2014
"Majlis Syura Ulama memantau dengan penuh prihatin beberapa tindakan mutakhir ini yang dilihat boleh memecah-belah ahli-ahli Pas seperti yang dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Pasma. Selaras dengan peringatan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 yang lalu supaya tidak berlaku jemaah dalam jemaah, parti dalam parti maka, Majlis Syura Ulama memberi nasihat kepada ahli-ahli Pas supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti Pasma,"

Sekali lagi bagi mereka yang komited dan istiqamah dalam perjuangan, peringatan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura ini sesuatu yang relevan dan perlu diakur. Jemaah dalam jemaah adalah sesuatu yang berbahaya, dan PAS pernah melalui banyak pengalaman seumpama ini dalam sejarahnya.
Pastinya keputusan ini dibuat mengambil kira segala rujukan yang ada pada tangan mereka yang paling berwibawa dalam bab hukum-hakam Islam ini.

Walaubagaimanapun selain mereka yang komited dan istiqamah, rupanya terserlah mereka yang mahu berenang dengan fahaman dan fikiran sendiri. Apakah akal mengatasi syara’ dalam hal ini?
Sedangkan kita duduk tenang dalam satu bahtera menggagahi lautan besar untuk sampai ke satu destinasi kemenangan hakiki, rupanya ada yang mahu meneroka jalan sendiri, mahu ikut haluan sendiri, segala pedoman dan tertib yang ada mahu dilontar lantaran akal fikiran peribadi yang dikira hebat dan “sophisticated” atau jauh ke hadapan itu.

Inilah yang dibimbangi dan dibayangi oleh Majlis Syura melalui keputusannya dan rupanya inilah yang sedang berlaku oleh mereka yang sudah bosan dengan cara dan kaedah kita.
Lalu apa pilihan yang ada?

Bagi yang memilih untuk menongkah arus, sebaiknya angkat kaki dan terjunlah keluar mencari atau membina bahtera baru, kerana bahtera yang ada ini sesunggunya telah dibina atas darah,airmata, keringat dan wang ringgit jutaan warga PAS dari awal penubuhannya (ada yang telah pergi dahulu, ada yang syahid dan ada yang menuggu masa) sehingga kini yang memilih dan mahu kekal istiqamah dengan perjuangan ini menurut adab dan peraturan yang sedia ada.
Saya difahamkan akan ada keputusan selanjutnya dibuat selepas ini apapun ternyata jangankan PAS malah mana-mana parti pun tidak boleh terima jika ada jemaah dalam jemaah, kumpulan dalam kumpulan.

Semoga PAS kekal istiqamah atas dukungan dan sokongan ahlinya yang ikhlas dan komited sampai bila-bila.

 

 

Wednesday, November 26, 2014

Penyakit dalam Umno iktibar buat PAS (26/11/14)


Perhimpunan Agung Tahunan Umno bermula semalam dengan perasmian serentak ketiga-tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri oleh Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyuddin Yassin. Seperti biasa media saluran perdana TV, radio dan akhbar utama memberi liputan sepenuhnya perhimpunan berkenaan.
Yang menariknya Umno yang berusia 68 tahun itu kini berada ditahap keresahan. Umno yang merupakan tunjang BN hari ni bersama kawan-kawannya itu sudah tidak lagi menguasai 2/3 majoriti di Dewan Rakyat. Umno bukan Menteri Besar di Kelantan dan Selangor dan BN tidak juga Ketua Menteri di Pulau Pinang.

Umno dan ahli-ahlinya resah dengan prestasi yang ada adakah mereka mampu meneruskan kelangsungan kuasa dan punya masa depan cerah dalam politik Malaysia atau adakah mereka akan berkubur hilang tampuk kuasa.
Ramai berpandangan bahawa pegangan kuasa Umno dalam politik Malaysia semakin longgar. Rakyat termasuklah “power bank” Umno iaitu orang-orang Melayu suidah mula hilang keyakinan malah mual dengan perangai pimpinan Umno. Budaya rasuah, sombong dan bongkak terus menular dikalangan pimpinannya.

Malah Muhyuddin sendiri dalam ucapannya semalam menyebut:
“Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka “.

Lantaran itu tuntutan agar Umno diberi wajah baru, agar pimpinan lama digantikan, agar suara anak muda diberi tempat terus-menerus bertiup kencang dan kuat.
Itulah nasib Umno hari ini.

Barangkali ramai yang tersenyum sinis melihatkan Umno tak-menentu cuba sedaya upaya membetulkan keadaan yang sudah runcing dan agak parah itu. Sudah pasti seteru politik Umno lebih-lebih lagi, benafsu mahu menunggu dan mencuri-curi peluang merampas apa sahaja kuasa yang tinggal di tangan Umno itu.
Umno mungkin boleh bangkit kembali, mungkin tidak, terpulanglah pada kebijaksanaan pimpinan dan ahli-ahli fikir mereka.

Tetapi sesungguhnya penyakit yang mengidap Umno itu adalah satu contoh penyakit yang biasa bersarang di tubuh parti-parti politik. Kuat antibodi dan ubat-ubatannnya, maka berupayalah ia kebah dan sembuh. Jika tiada rawatan atau tidak dirawat atau tersalah ubat, maut boleh menyapa bila-bila masa.
PAS tidak terkecuali.

Hari ini jika Umno sakit dan tenat, PAS juga sedang dilanda wabak.
Jangan seronok dan gembira melihat musuh kita bersilat merawat sakitnya, sedang kita sendiri juga sebenarnya melalui fasa kecamuk dalaman yang tidak kurang hebat juga.

Umno sekuruang-kurangnya tidak guna media untuk serang sesama sendiri. Tetapi dalam PAS pengaruh terhadap media tertentu dieksploitasi sepenuhnya untuk menyerang sesama pimpinan. Umno juga tidak guna parti-parti kerabatnya dalam BN untuk memukul pimpinannya tetapi pimpinan lain dalam PR diguna untuk menyerang pimpinan yang tidak digemari dalam PAS.
Malah Umno tidak pun menggunakan NGO untuk kononnya memperteguhkan BN atau memperbetulkan pimpinan dalam partinya, tetapi PAS sudah melihat kelahiran NGO "adu-domba" iaitu Pasma.

Kerana itu tumpuan harus diberikan oleh ahli-ahli PAS terhadap kanser yang sedang menyerang tubuh partinya.
Dalam rawatan kanser ada yang berjaya dan ada yang gagal. Cepat atau lewat merawatnya adalah penting bagi menentukan kejayaan.

PAS melalui fasa ini disaat ia berada ditahap menang yang besar. Jika di dekad-dekad dahulu PAS dengan cuma 1 kerusi Parlimen dan 2 DUN kesemuanya di Kelantan, ia stabil dan tenang, kini parti Islam yang menjadi harapan sebahagian besar umat Islam dalam Negara ini menjadi gegar dan gempar.
Tok Guru Mursyidul Am pernah berkata bahawa PAS cuma ada satu nakhoda dalam bahtera besar perjuangannya, suka tak suka perlu akur dan taat pada nakhoda ini. Hari ini jangankan nakhoda itu malah Majlis Syura Ulamak dengan Mursyidul Am pun jika tidak ikut selera mereka mahu dilambung dan dicampak ke laut besar, begitulah keadaannya hari ini.

Umno akan terus mencuba pelbaga ubat-ubatan dan dukun untuk merawat penyakitnya. Itu Umno, dan itulah nasib sebuah parti kebangsaan sekular.
Tetapi PAS parti Islam. Ia mengharapkan sesuatu yang tidak diharapkan oleh perjuangan siasah dunia yang lain. Kerana itu ahli-ahli PAS perlu bangkit memastikan cita-cita dan hambatan suci ini tidak diganggu gugat dan dipersiakan oleh cita-cita dan agenda peribadi pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan dari PAS.

Kita yakin dengan perjuangan PAS. Kita mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit malah nyawa telah pernah dilaburkan oleh mereka terdahulu untuk menegakkan perjuangan memartabatkan seruan Allah swt ini.
Kerana itu PAS tidak boleh dibairkan nazak seperti Umno kerana PAS bukan Umno. PAS bersendi pada keikhlasan ahli dan pimpinannya yang istiqamah dan berteras pula pada para ulamaknya yang gerun pada Allah swt.

PAS perlu dibersihkan oleh tangan ahli-ahlinya sendiri. Bersih dan kikislah PAS dari kanser, penyakit dan apa sahaja wabak yang cuba merebahkannya. Ia mungkin pahit dan menyedihkan tetapi penting demi kelangsungan perjuangan besar ini.
Biar bahtera perjuangan al Quran ini terus tegak gagah belayar menuju destinasinya bersama anak-anak kapal dan nakhoda yang masing-masing bersih dengan satu tekad dan cita-cita yang sama dan kekal istiqamah.

 

Monday, November 17, 2014

Siapakah "si bodoh" yang dimaksudkan Nik Aziz? (17/11/14)


Kebelakangan ini seakan ada satu usaha untuk “menggulingkan” Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang?
Mengapa saya nyatakan demikian?

Ianya dapat dilihat secara nyata hasil dari tindak-tanduk beberapa pimpinan dalam PAS sendiri. Dan ini bukan perkara rahsia lagi. Sudah ada pimpinan yang memburuk-burukkan beliau samada dalam majlis tertutup mahupun yang terbuka.
Jika tertutup ianya lebih tertumpu kepada program-program dalaman dan perjumpaan-perjumpaan rahsia. Yang terbuka pula menggunakan “kuda tunggangan” baru sebagai platform iaitu “Pasma”.

Mengapa perlu demikian?
Kerana kehadiran Tuan Guru dilihat sebagai penghalang kepada agenda mereka. Tuan Guru dilihat terlalu konservatif dalam keputusannya, mereka progresif, mereka liberalis yang duduk dalam kepompong Islam. Mereka mahu sebagaimana yang lain mahu PAS menang, akan tetapi bagi mereka demi mengejar kemenangan itu kalau perlu dikendur tuntutan perjuangan PAS, maka perlu kendur. Kalau perlu digadai beberapa pendirian, maka perlu gadai. Kalau perlu pinda dan robah beberapa peraturan maka perlu. Yang penting menang.

Tuan Guru bagi mereka terlalu “dogmatic” , mereka perlukan Presiden PAS yang berketerampilan moden, boleh goyang boleh menari mengikut rentak nafsu tuntutan kemenangan mereka. Kemenangan terlalu dekat, lantas matlamat dalam hal ini wajar menghalalkan cara, terjun sahaja, asal menang.
Saya ingat dalam tahun 90an dahulu pernah saya bertanya seorang pemimpin PAS yang menganuti fahaman ini, berkenaan tuntutan Negara Islam. Katanya nanti dulu. Jangan ditonjol-tonjolkan sangat, nanti orang takut, nanti orang tak undi PAS. Dah menang nanti baru kita cerita. Menipu untuk menang, tak mengapa. Persis konsep taqiyah dalam Syiah.

Namun tentangan dan usaha jahat ini dilihat tidak dapat melebarkan sayapnya khasnya dalam PAS sendiri oleh kerana “istiqamah” Tuan Guru Presiden PAS itu sehingga kini terus didukungi dan disepakati kuat oleh Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak PAS.
Kedua-dua institusi ini begitu kuat dan berpengarahuh dikalangan akar-umbi PAS yang berpegang teguh kepada konsep “Kepimpinan Ulamak”.

Jika peribadi Tuan Guru seorang mungkin boleh diserang-serang dan dipertikai tetapi hakikatnya sikap dan pendirian serta pegangan Presiden PAS itu disepakati oleh pimpinan besar dalam Majlis Syura Ulamak dan keseluruhan Dewan Ulamak disemua peringkat.
Kerana itulah sehingga kini walaupun ada kuda tunggangan baru bernama “Pasma” namun tindak-tanduk mereka dilihat tidak banyak mendatangkan kesan malah lebih merupakan liabiliti buat masa depan politik mereka sendiri.

Kerana itu “think tank” gerombolan ini bertindak luar dari itu. Mereka turut mengadu-domba sesama rakan dalam Pakatan. Jika dalam PAS sesama sendiri pun mereka tergamak dan boleh mencetuskan onar inikan pula sesama Pakatan, dikalangan DAP dan PKR yang ramai cenderung pada anutan mereka. Tafsiran Islam mereka lebih “moderat” dan kena dengan selera kalangan pimpinan DAP dan PKR itu.
Jika sebelum ini isu “Langkah Kajang” cuba digunakan untuk menggulingkan Tuan Guru, hari ini isu baru pula. Isu kononnya Tuan Guru enggan hadir mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Dalam isu ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng digunakan untuk menambah rencah pada tuntutan. Guan Eng berjaya mendapatkan keputusan dari CEC atau pimpinan tertinggi DAP, menuntut Tuan Guru agar wajib hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Kononnya hanya Tuan Guru ada kuasa veto dalam PAS, Jika beliau sekadar hantar wakil, PR tidak boleh buat keputusan.

Ternyata Guan Eng membantu gerombolan dalam PAS cuba menghodohkan imej Presiden PAS itu.
Seorang rakan media saya memberitahu , kenapalah Guan Eng membangkitkan isu seremeh ini (kehadiran Presiden PAS dalam mesyuarat Majlis Presiden PR) , apalah hebat sangat mesyuarat berkenaan? Tambah beliau orang-orang (pimpinan PR) di Pulau Pinang kata di negeri itu sendiri Guan Eng tak pernah ambil prihatin pun mahu memanggil mesyuarat Pakatan peringkat Negeri sedangkan beliau Ketua Menteri.

Dan tambah beliau lagi tidakkah Guan Eng kelihatan biadap apabila cuba mengarah-arah orang nombor satu dalam PAS?
Dan sebelum itu Setiausaha Agung PAS Dato Mustaffa Ali sendiri pernah menjelaskan (berkenaan isu ini) bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah antara parti bukannya individu maksudnya PAS boleh hantar siapa sahaja mewakili ia tidak semestinya Tuan Guru. Beliau turut menjelaskan bahawa jika perbandingan dibuat sejak tahun 2008, Guan Eng lah yang lebih banyak tidak hadir mesyuarat bekrneaan berbanding Tuan Guru!

Mengapa tidak ada pihak yang menonjolkan penjelasan Setiausaha Agung PAS ini? (Bahawa Guan Eng lebih banyak tidak hadir mesyuarat berbanding Hadi, mengapa CEC DAP tidak ambil tindakan terhadap Guan Eng?)
Memang jelas sangat Guan Eng bersekongkol dengan pihak tertentu dalam PAS membangkitkan isu remeh ini. Bergelak besar dan melompat-lompatlah mereka yang menunggangi, kuda tunggangan, bernama Pasma itu. (Awas jangan sampai jatuh kuda!)

Tetapi sejauh manakah imej Tuan Guru benar-benar tercalar dengan kerja-kerja jahat ini, atau adakah beliau semakin kuku mencengkam khasnya dalam PAS?
Sebagai kesimpulan saya meminjam kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz berhubung isu ini yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini:

"Dia (Hadi) tidak datang mesyuarat disebabkan malas atau uzur? Dia uzur. Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat? "Kerja 'orang bodoh' ini (mempersoalkan ketidakhadiran Hadi)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka hari ini.
Siapakah “orang bodoh” itu?

Guan Eng dan gerombolan yang menunggangi Pasma mungkin lebih maklum.

 

Friday, November 14, 2014

Isu Halal : Jangan nyalakan api yang telah padam (14/11/14)


Kontroversi botol mineral yang memperagakan gambar  berhala “Lord Murugan” bersebelahan dengan logo “Halal” baru-baru ini telah pun tamat apabila syarikat pengilang telah bersetuju menarik balik kesemua botol-botol air berkenaan.
Walaupun pihak syarikat menjelaskan bahawa tujuan asal mereka adalah mempromosi tapak-tapak pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, dan pemilihan berhala “Lord Murugan” itu adalah bagi memperkenalkan Batu Caves sebagai pusat pelancongan, namun pemaparan secara menonjol gambar berhala berkenaan membangkitkan ketidakselesaan khasnya dikalangan masyarakat Islam yang telah disuarakan oleh beberapa NGO Islam.

Syukurlah pihak syarikat akur dengan bantahan yang dikemukakan sekaligus meredakan keadaan.
Walaubagaimanpun saya sungguh tidak selesa apabila beberapa pihak khasnya rakan-rakan kita yang bukan Islam yang telah melihat kontroversi berkenaan sebagai keterlaluan seakan penganut Islam di Malaysia ini berlebih-lebihan sensitivitinya. Mereka turut memperlekehkan isu “halal” sehingga menjadikan ia sebagai bahan lawak dan senda gurau.

Selesai isu ini, tetapi komentar yang masih dipanjang-panjang bagi saya masih mengipas api ketegangan walaupun ia kononnya dibuat dalam bentuk senda dan lawak.
Mereka melihat melogokan “halal” botol air mineral sebagai sesuatu yang jenaka. Bagi pemahaman mereka “halal” yang telah diindustrikan dalam Negara kita hanya melibatkan makanan khususnya daging dan sembelihan. Apabila air mineral juga membawa logo “halal” bagi mereka ini sesuatu yang lucu.

Ini termasuklah pimpinan politik parti tertentu dan hari ini Dorairaj Nadason dalam ruangan “Why Not?” nya dalam akhbar harian Inggeris The Star
http://www.thestar.com.my/Opinion/Columnists/Why-Not/Profile/Articles/2014/11/14/Stop-the-fuss-do-a-good-deed-instead/

turut mempertikaikannya.

“In the first place why does a mineral water bottle need a halal logo? Is there non-halal mineral water?
(Pada asalnya mengapa perlu  botol air mineral diberikan logo halal? Adakah (di sana) air mineral yang tidak halal?)

Secara profesionalnya, inilah contoh seorang penulis yang menulis dalam akhbar saluran perdana (yang dibaca merata pelusuk Negara) namun beliau sendiri tidak faham akan isu yang dileterkannya.
Beliau mahu menulis berkenaan isu “halal” tetapi dalam waktu yang sama beliau tidak maklum dan tidak tahu bahawa proses halal di Malaysia kini sudah menjadi satu industri. Agaknya yang beliau tahu tentang halal adalah makanan dan sembelihan, daging khinzir tidak halal, lembu dan kambing yang disembelih menurut ajaran Islam halal, mungkin setakat tu sahaja pemahaman beliau.

Malu pada akhbar besar yang beliau wakili.
Jika Nadason mengambil sedikit masa meluncuri internet untuk memahami darihal proses logo “halal” di Malaysia, beliau mungkin akan ada sedikit maklumat bahawa ia hari ini sudah menjadi industri dan tidak terbatas pada pemahaman cetek beliau itu.

Berikut saya paparkan penjelasan yang boleh diperolehi berkenaan logo “halal” berkenaan.
 
 
 
Sesungguhnya pensijilan “halal” ini bukan sekadar memastikan makanan atau minuman dan produk tadi menepati hukum syarak yang merupakan kriteria utama, malah manfaat yang boleh diperolehi bagi yang bukan Islam (selain masyarakat Islam sendiri), mereka dijamin bahawa pemerosesan dan pembikinan makanan atau minuman yang punya logo ini telah melalui proses yang “hygienic” bersih dan tidak memudaratkan kesihatan.

Dan sudah pasti bagi penggiat industri (samada dimiliki orang Islam atau bukan Islam atau kedua-duanya) kiranya produk mereka punya logo ini, ia boleh dipasarkan kepada ramai, bukan hanya dalam Negara malah diperingkat antarabangsa.
Kerana itu produk halal Malaysia hari ini diterima dan diekspot ke Negara luar, aduhai siapa yang kolot Nadason atau siapa?

Bagi umat Islam produk yang punya logo “halal” memberikan mereka jaminan bahawa ianya boleh digunakan atau dimakan tanpa syak dan was-was. Manakala bagi yang bukan Islam, logo ini memberi manfaat kepada mereka, dalam erti kata mereka diyakinkan bahawa ianya bersih dan tidak memudaratkan kesihatan.
Jangan persendakan apa yang ada tanpa ilmu, “to put it short and simple”, kepada Nadason dan ahli-ahli politik lain yang celupar mulut tanpa usul periksa.

Isu ini telah pun tamat dan menjadi iktibar buat semua, jangan nyalakan lagi api yang telah padam.

 

  
 

Thursday, November 13, 2014

Bebaskan rakyat Malaysia yang ditawan!!! (13/11/14)


Akhbar The Star hari ini memberi liputan tentang rintihan para isteri dua warga Malaysia yang telah diculik oleh pengganas Selatan Filipina , seorang sejak 16 Jun lalu manakala seorang lagi sejak 12 Julai lalu.
Puan Sharifah Erna, suaminya Konstabel Zakiah Aleip telah diculik semasa menjalankan tugas di Pulau Mabul manakala Puan Chin Pek Nyuen, suaminya penternak ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun telah diculik di tapak penternakan mereka di Kunak kedua-duanya di Negeri Sabah.

Menurut laporan pengganas Abu Sayaf menuntut RM6 juta untuk membebaskan kedua-dua Konst Zakiah dan Chan. Dan pihak pengganas dilaporkan memberi tempoh sehingga 30 November ini bagi pembayaran wang tebusan berkenaan dengan mengancam akan membunuh orang tawanan mereka jika wang itu tidak dibayar.
Sehingga hari ini pihak kerajaan Malaysia masih meneruskan rundingan dengan kumpulan pengganas itu, dan bertegas tidak mahu mencabuli dasar “no ransom” atau pembayaran tebusan kepada pengganas.

Sesungguhnya kita wajar bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga kedua-dua Konst Zakiah dan Chan. Walaupun kita meletakkan penuh keyakinan kepada kecekapan pihak kerajaan dalam menjalankan rundingan, namun demikian memandangkan tempoh yang dikenakan oleh pihak pengganas ini semakin hampir, kita merasakan pihak kerajaan perlu menyemak dan memikirkan semula kewajaran dasar dan sikap mereka.
Apa pun sebagaimana kita memperjuangkan nasib anak-anak kapal dan penumpang MH370 dan MH17, dalam kes ini dua nyawa warga Malaysia yang masih hidup terlibat. Benar kita tidak mahu tunduk kepada tuntutan pengganas, akan tetapi kiranya kita tiada pilihan pada pandangan saya lebih baik kita membayar wang tebusan itu sekaligus memastikan nyawa warga kita terselamat dari kita mempertahankan dasar dan sikap dan sebaliknya menerima mayat yang pasti akan membangkitkan kemarahan rakyat.

Percayalah walaupun kita mungkin disangka tunduk pada pengganas apabila memenuhi tuntutan mereka, sesungguhnya kita lebih bermaruah dan dipandang tinggi kerana lebih menghargai dan mementingkan nyawa warga kita yang tidak berdosa.
Bayarlah wang tebusan itu dan saya yakin rakyat Malaysia keseluruhannya tidak akan keberatan daripada kita dihina dengan kedua-dua tebusan dibunuh oleh pengganas berkenaan.

Kemudian apabila warga kita dibebaskan, kerajaan perlu melancarkan serangan besar-besaran dengan kerjasama kerajaan Filipina ke atas penempatan kumpulan pengganas ini. Filipina wajar didesak bekerjasama kerana jelas dalam kes ini dan kes-kes yang sama, mereka seakan tidak dapat mengawal wilayah mereka sendiri.
Saya penuh yakin demi menghapuskan pengganas ini dan kegiatan mereka yang tidak diiktiraf oleh Islam itu, kerjasama MILF yang telah diberi bantuan oleh kerajaan Malaysia untuk mendapatkan otonomi di Selatan Filipina dapat diperolehi. Mungkin dengan gabungan Malaysia, Filipina dan MILF , sarang-sarang pengganas ini dapat dibongkar dan dihapuskan demi menjamin keamanan dan keselematan di rantau perairan Filipina-Sabah.

Sudah terlalu lama, keluarga berkenaan menderita. Jangan kita lupakan mereka. Bangkitlah dengan keputusan yang berani, rakyat Malaysia akan bersatu hati bersama dengan apa-apa tindakan yang bijaksana.

 

 

Wednesday, November 12, 2014

Tuntutan "mengislamkan" MAS (12/11/14)


Semalam ketika Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi  menggulung perbahasan untuk Bajet kementerian beliau di Dewan Rakyat satu isu hangat yang dibangkitkan adalah berkenaan penghidangan arak atas pesawat penerbangan Malaysia MAS serta pakaian peramugari MAS yang tidak menepati hukum syarak.
Peramugari Royal Brunei
Ianya mula dibangkitkan oleh wakil PAS  Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), yang mahu tahu samada kerajaan bersedia menghapuskan penyajian arak dalam penerbangan antarabangsa.

Buat masa ini arak disajikan secara percuma di atas penerbangsan laluan antarabangsa, “on request” atas permintaan penumpang.
Sudah pastilah sebagai sebuah pesawat yang mewakili Negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya, menghidangkan arak, adalah sesuatu yang sewajarnya dihapuskan. Tambahan sebagaimana didedahkan semasa perbahasan itu, anak-anak kapal termasuklah yang beragama Islam terpaksa menghidangkan arak sebagai sebahagian dari tugas mereka.

Beberapa pesawat dari Negara Islam termasuklah Brunei tidak menghidangkan arak atas penerbangan mereka.
Begitu juga pakaian ketat dan tidak menutup aurat yang digunakan oleh peramugari MAS sewajarnya menepati peraturan Islam.

Cadangan berkenaan turut disokong oleh wakil-wakil kerajaan di Dewan.
Jawapan Timbalan Menteri sebagaimana dilaporkan oleh The Star online adalah seperi berikut:

Ab Aziz concluded by saying he would take the suggestions to the MAS management, and leave the decision to the new company to be formed after its restructuring was done.
"I am confident that the restructuring will include a business model with a more Islamic approach," he said.

Semoga apa yang disuarakan oleh wakil-wakil rakyat kita itu tidak berakhir sekadar dalam dewan sahaja tetapi dipanjangkan oleh pihak kementerian dan dapat dilaksanakan oleh pihak MAS demi mencerminkan amalan, akhlak dan keperibadian kita.