Isu Halal : Jangan nyalakan api yang telah padam (14/11/14)

Friday, November 14, 2014


Kontroversi botol mineral yang memperagakan gambar  berhala “Lord Murugan” bersebelahan dengan logo “Halal” baru-baru ini telah pun tamat apabila syarikat pengilang telah bersetuju menarik balik kesemua botol-botol air berkenaan.
Walaupun pihak syarikat menjelaskan bahawa tujuan asal mereka adalah mempromosi tapak-tapak pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, dan pemilihan berhala “Lord Murugan” itu adalah bagi memperkenalkan Batu Caves sebagai pusat pelancongan, namun pemaparan secara menonjol gambar berhala berkenaan membangkitkan ketidakselesaan khasnya dikalangan masyarakat Islam yang telah disuarakan oleh beberapa NGO Islam.

Syukurlah pihak syarikat akur dengan bantahan yang dikemukakan sekaligus meredakan keadaan.
Walaubagaimanpun saya sungguh tidak selesa apabila beberapa pihak khasnya rakan-rakan kita yang bukan Islam yang telah melihat kontroversi berkenaan sebagai keterlaluan seakan penganut Islam di Malaysia ini berlebih-lebihan sensitivitinya. Mereka turut memperlekehkan isu “halal” sehingga menjadikan ia sebagai bahan lawak dan senda gurau.

Selesai isu ini, tetapi komentar yang masih dipanjang-panjang bagi saya masih mengipas api ketegangan walaupun ia kononnya dibuat dalam bentuk senda dan lawak.
Mereka melihat melogokan “halal” botol air mineral sebagai sesuatu yang jenaka. Bagi pemahaman mereka “halal” yang telah diindustrikan dalam Negara kita hanya melibatkan makanan khususnya daging dan sembelihan. Apabila air mineral juga membawa logo “halal” bagi mereka ini sesuatu yang lucu.

Ini termasuklah pimpinan politik parti tertentu dan hari ini Dorairaj Nadason dalam ruangan “Why Not?” nya dalam akhbar harian Inggeris The Star
http://www.thestar.com.my/Opinion/Columnists/Why-Not/Profile/Articles/2014/11/14/Stop-the-fuss-do-a-good-deed-instead/

turut mempertikaikannya.

“In the first place why does a mineral water bottle need a halal logo? Is there non-halal mineral water?
(Pada asalnya mengapa perlu  botol air mineral diberikan logo halal? Adakah (di sana) air mineral yang tidak halal?)

Secara profesionalnya, inilah contoh seorang penulis yang menulis dalam akhbar saluran perdana (yang dibaca merata pelusuk Negara) namun beliau sendiri tidak faham akan isu yang dileterkannya.
Beliau mahu menulis berkenaan isu “halal” tetapi dalam waktu yang sama beliau tidak maklum dan tidak tahu bahawa proses halal di Malaysia kini sudah menjadi satu industri. Agaknya yang beliau tahu tentang halal adalah makanan dan sembelihan, daging khinzir tidak halal, lembu dan kambing yang disembelih menurut ajaran Islam halal, mungkin setakat tu sahaja pemahaman beliau.

Malu pada akhbar besar yang beliau wakili.
Jika Nadason mengambil sedikit masa meluncuri internet untuk memahami darihal proses logo “halal” di Malaysia, beliau mungkin akan ada sedikit maklumat bahawa ia hari ini sudah menjadi industri dan tidak terbatas pada pemahaman cetek beliau itu.

Berikut saya paparkan penjelasan yang boleh diperolehi berkenaan logo “halal” berkenaan.
 
 
 
Sesungguhnya pensijilan “halal” ini bukan sekadar memastikan makanan atau minuman dan produk tadi menepati hukum syarak yang merupakan kriteria utama, malah manfaat yang boleh diperolehi bagi yang bukan Islam (selain masyarakat Islam sendiri), mereka dijamin bahawa pemerosesan dan pembikinan makanan atau minuman yang punya logo ini telah melalui proses yang “hygienic” bersih dan tidak memudaratkan kesihatan.

Dan sudah pasti bagi penggiat industri (samada dimiliki orang Islam atau bukan Islam atau kedua-duanya) kiranya produk mereka punya logo ini, ia boleh dipasarkan kepada ramai, bukan hanya dalam Negara malah diperingkat antarabangsa.
Kerana itu produk halal Malaysia hari ini diterima dan diekspot ke Negara luar, aduhai siapa yang kolot Nadason atau siapa?

Bagi umat Islam produk yang punya logo “halal” memberikan mereka jaminan bahawa ianya boleh digunakan atau dimakan tanpa syak dan was-was. Manakala bagi yang bukan Islam, logo ini memberi manfaat kepada mereka, dalam erti kata mereka diyakinkan bahawa ianya bersih dan tidak memudaratkan kesihatan.
Jangan persendakan apa yang ada tanpa ilmu, “to put it short and simple”, kepada Nadason dan ahli-ahli politik lain yang celupar mulut tanpa usul periksa.

Isu ini telah pun tamat dan menjadi iktibar buat semua, jangan nyalakan lagi api yang telah padam.

 

  
 

1 comments:

Anonymous said...

sampai bila bila pun akan ada puak yang sengaja nak mencari pasai dengan orang Islam.berhati hati.