Pak Subky tokoh veteran yang terus istiqomah (10/11/14)

Monday, November 10, 2014


Semalam saya dijemput membentangkan kertas-kerja dalam satu majlis bengkel penulisan anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor yang berlangsung di Puchong. Gembiranya hati apabila dalam majlis tersebut saya berkesempatan bertemu kembali dengan tokoh veteran PAS yang juga veteran di bidang penulisan iaitu Tuan Hj Subky Abdul Latif yang juga merupakan salah seorang panel majlis tersebut.
Lebih gembira lagi apabila Pak Subky yang masih segar walau usia dah mencecah 74 tahun masih mengenali saya dan berkirim salam pada ayah saya yang masih beliau ingati.

Sebelum itu saya memaklumkan para peserta bengkel berkenaan personaliti Pak Subky.  Apa yang paling penting dipelajari dan dicontohi bahawa tokoh veteran ini seorang yang istiqomah dalam perjuangan. Beliau sebelum menyertai PAS merupakan wartawan di Utsan Melau diusia 20an tahun.
Beliau melibatkan diri dalam PAS di usia muda dan pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat semasa Dato Mustapfa Ali ketuanya. Terakhir beliau merupakan AJK PAS Pusat sehinggalah tahun 2005.

Bertanding beberapa kali pilihanraya dan terawal pilihanraya kecil Pelabuhan Kelang tahun 1979 termasuklah menentang Tun Dr Mahathir di Kubang Pasu, namun tidak berkesempatan menang.
Pak Subky berada dalam PAS dizaman PAS belum menang besar seperti hari ini, namun semangat dan kegigihannya tidak pernah luntur, beliau taat pada pimpinan di waktunya sehinggalah sekarang setelah tidak memegang apa-apa jawatan lagi dalam parti.

Pak Subky yang saya kenal ini kalau diberi kesempatan bercakap akan bercakap panjang lebar sebab begitulah resam seorang penulis biasanya, penuh idea dan pandangan dalam kepala sehingga apabila diberi kesempatan bercakap akan meleret-leret, namun semua yang terpacul keluar adalah penuh ilmu dan maklumat buat pendengarnya.
Beliau adalah dari keluarga PAS, dan istiqomah terus bersama kepimpinan ulamak, gagagsan yang turut dicetuskannya bersama semasa beliau dalam Dewan Pemuda dahulu.

Dalam perjumpaan ringkas itu kami sempat berbincang berkenaan beberapa perkara, dan akhirnya beliau berseloroh tentang PASMA, ada pemimpin (tak perlu sebut nama di sini) kata ancaman PASMA ini kecil, siapa kata kecil, bentak beliau. Ianya satu masalah, penyakit yang perlu ditangani segera jika tidak wabak yang sama yang pernah menyerang PAS puluhan tahun dahulu akan berulang.
Semoga Allah swt kurniakan kesihatan dan jadikan Pak Subky kekal istiqomah dalam perjuangan sampai bila-bila.

 

0 comments: