Faham dan akur arahan Presiden (29/11/14)

Saturday, November 29, 2014


Sebahagian besar kandungan ucapan penangguhan Tuan Guru Presiden PAS pada Muktamar yang lalu menyentuh isu dalaman khasnya berkaitan istiqamah dalam perjuangan. Bagaimana PAS perlu dimantap dan diperteguhkan demi mengejar cita-cita perjuangan.
Bagi ahli-ahli PAS yang tulus dan komited dalam perjuangan lazimnya ucapan penangguhan Presiden merupakan pengarahan yang wajar difahami, dihadam dan dilaksanakan dalam parti dan perjuangan. Ia merupakan penegasan dan resolusi dari keseluruhan Muktamar.

Satu isu yang meliputi sebahagian besar dari ucapan berkenaan adalah kedudukan Majlis Syura Ulamak dalam PAS. Majlis Syura Ulamak menurut Fasal 8 Perlembagaan PAS:
1(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

1(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.
Tuan Guru Presiden dalam ucapannya cuba memahamkan ahli-ahli betapa besarnya peranan Majlis Syura sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS. Beliau mengimbau kembali betapa Majlis ini dibentuk sesungguhnya untuk menepati ketepatan syariat dalam perjuangan. PAS sebagai parti Islam perlu dan wajar sentiasa berada atas landasan perjuangan Islam yang sebenar.

Tuan Guru menegaskan dalam ucapan beliau itu:
“Peranan Majlis Syura ialah Hisbah, enforcement. Melakukan Hisbah. Peranan majlis Syura ialah Qadha’, mengambil tindakan kalau perlu.

Dalam hal ini, kita mesti teguh dengan pegangan kita. Walaupun kita berakal, mempunyai ilmu yang tinggi, Jangan akal mengatasi Hukum Syariat!”
PAS mahu dipandu bukan mengikut akal fikiran atau perkembangan politik semasa semata-mata tetapi sesuatu ketetapan dan keputusan itu wajib dengan saduran dan tafsiran Islam yang sebenar.

Dan bagi memastikan ia sentiasa dipandu atas landasan berkenaan maka di sana Majlis Syura memain peranan sebagaimana disepakati oleh ahli-ahli PAS.
Tiada parti lain yang punya badan seperti ini selain PAS.

Dan keahlian Majlis ini juga disepakati diwakili oleh mereka yang paling berilmu dan memiliki pengetahuan Islam yang tinggi dalam PAS sebagaimana disebut dalam Fasal 8 Perlembagaan PAS:
8(3) Seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

PAS mungkin punya ramai ilmuan dari pelbagai bidang dan profesion namun hanya mereka yang diiktiraf oleh parti yang mempunyai ciri-ciri dan perwatakkan serta ilmu tertentu yang ditempatkan menganggotai badan tertinggi ini.
Dalam hal ini di ucapan berkenaan Tuan Guru menyebut:

“…..keahlian ahli Majlis Syura Ulama, dari kalangan ilmuan ISLAM yang sedalam dalamnya, yang boleh merujukkan kitab kitab yang muktabar, sumber sumber ISLAM yang muktabar, yang bersifat adil, yang amanah dengan ilmu, dan iltizam dengan Jemaah. Iltizam dengan PAS.”
Kerana itu tidak seperti parti lain bagi PAS, jemaahnya dipandu oleh al Quran dan Sunnah. PAS berpolitik dalam pentas demokrasi dan merebut kuasa melalui proses pilihanraya namun disiplin keahliannya tidak boleh sedikit pun lari dari hukum tertingginya itu.

Lantas bagi ahli-ahli PAS yang komited dan istiqamah, sesuatu pengarahan atau keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamaknya akan dipatuh dan diikuti dengan jiwa yang besar dan dada yang terbuka kerana faham bahawa ianya dibuat demi kemaslahatan perjuangan.
Mereka yang sayangkan perjuangan Islam ini dan mahu mengecapi kemenangan dunia dan akhirat dalam hal ini akan meletakkan ketaatan dan kepercayaan kepada saf ulamak “terkanan “ dalam PAS dalam hal ini Majlis Syura Ulamak. Bukannya percaya “membuta tuli” seperti sangkaan buruk sesetengah pihak tetapi percaya kerana mereka ini telah diamanahkan menghukum dan membuat panduan menurut al Quran dan Sunnah.

Disinilah dalam ucapannya itu Tuan Guru berpesan:

 “Dengan makna, akal tidak boleh menundukkan hukum syara’.

Majlis Syura Ulama berijtihad secara kolektif, mungkin kita tidak dapat seorang tokoh seperti Imam Imam mazhab, Syafii , Maliki, Hanafi, Hanbali , Suffian at Sauri dan lain lain. Namun kita punyai ilmuan dalam bidang yang pelbagai. Maka dikumpulkan ulama ulama, melakukan ijtihad secara kolektif, dalam masa yang sama ada hubungan dengan professional.”
PAS tidak akan hanyut dan sesat selagi mana istiqamah bersama Majlis Syura Ulamak.

Sejurus selepas Muktamar, memandangkan ada sebuah NGO yang bergerak membawa mudarat kepada perjuangan PAS maka Majlis Syura Ulamak telah terbit dengan keputusan yang disiarkan media pada 12 Oktober 2014
"Majlis Syura Ulama memantau dengan penuh prihatin beberapa tindakan mutakhir ini yang dilihat boleh memecah-belah ahli-ahli Pas seperti yang dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Pasma. Selaras dengan peringatan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 yang lalu supaya tidak berlaku jemaah dalam jemaah, parti dalam parti maka, Majlis Syura Ulama memberi nasihat kepada ahli-ahli Pas supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti Pasma,"

Sekali lagi bagi mereka yang komited dan istiqamah dalam perjuangan, peringatan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura ini sesuatu yang relevan dan perlu diakur. Jemaah dalam jemaah adalah sesuatu yang berbahaya, dan PAS pernah melalui banyak pengalaman seumpama ini dalam sejarahnya.
Pastinya keputusan ini dibuat mengambil kira segala rujukan yang ada pada tangan mereka yang paling berwibawa dalam bab hukum-hakam Islam ini.

Walaubagaimanapun selain mereka yang komited dan istiqamah, rupanya terserlah mereka yang mahu berenang dengan fahaman dan fikiran sendiri. Apakah akal mengatasi syara’ dalam hal ini?
Sedangkan kita duduk tenang dalam satu bahtera menggagahi lautan besar untuk sampai ke satu destinasi kemenangan hakiki, rupanya ada yang mahu meneroka jalan sendiri, mahu ikut haluan sendiri, segala pedoman dan tertib yang ada mahu dilontar lantaran akal fikiran peribadi yang dikira hebat dan “sophisticated” atau jauh ke hadapan itu.

Inilah yang dibimbangi dan dibayangi oleh Majlis Syura melalui keputusannya dan rupanya inilah yang sedang berlaku oleh mereka yang sudah bosan dengan cara dan kaedah kita.
Lalu apa pilihan yang ada?

Bagi yang memilih untuk menongkah arus, sebaiknya angkat kaki dan terjunlah keluar mencari atau membina bahtera baru, kerana bahtera yang ada ini sesunggunya telah dibina atas darah,airmata, keringat dan wang ringgit jutaan warga PAS dari awal penubuhannya (ada yang telah pergi dahulu, ada yang syahid dan ada yang menuggu masa) sehingga kini yang memilih dan mahu kekal istiqamah dengan perjuangan ini menurut adab dan peraturan yang sedia ada.
Saya difahamkan akan ada keputusan selanjutnya dibuat selepas ini apapun ternyata jangankan PAS malah mana-mana parti pun tidak boleh terima jika ada jemaah dalam jemaah, kumpulan dalam kumpulan.

Semoga PAS kekal istiqamah atas dukungan dan sokongan ahlinya yang ikhlas dan komited sampai bila-bila.

 

 

0 comments: