Daripada Abdullah bin Amr bin
'Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
"Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan
sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan
mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang ramai akan
memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu
ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan
menyesatkan orang lain" (HR Muslim).
Sedar tak sedar kita hidup dalam
zaman yang penuh pancaroba.
Hari ini bukan hanya pihak yang
berkelayakan dan punya wibawa tetapi hampir semua termasuk yang tiada ilmu
berani dan lantang bercakap berkenaan hukum-hakam Agama.
Islam sudah seakan boleh ditafsir
dan diberi nafas mengikut nafsu dan selera siapa sahaja yang berilmu serta yang jahil.
Mungkin inilah bahana liberalisma
yang meresap dalam jiwa ramai di antara kita walaupun terkadang kita tidak
menyedarinya. Keghairahan menuntut kebebasan mutlak begitu memuncak sehingga
kita bersedia membebaskan diri kita dari sebarang ikatan adab dan peraturan
serta disiplin dalam beraqidah, beragama dan dalam berjemaah semata-mata kerana
mahu menegakkan sesuatu. Ikatan-ikatan itu bagi kita suatu bebanan dan suatu
kekangan yang perlu diroboh dan dirongkaikan.
Lantaran kedudukan dan jawatan ego
kita semakin membengkak nafsu semakin membongkah sehingga kita melihat sama
sahaja kita dengan yang lain-lain. Jika ada pihak boleh berhujah dan memberi
tafsir bab hukum dan agama, kita juga merasakan kita boleh dan malah lebih arif
dan terkehadapan walaupun terkadang ilmu panjang sejengkal.
Siapa kata hanya ulamak sahaja
yang perlu menjadi rujukan!
Beberapa isu yang meletus
kebelakangan ini benar-benar menguji sejauh mana kesabaran dan istiqamah kita.
Allah swt berfirman dalam al
Quran, surah al An’aam ayat 153 maksudnya:
Dan bahawa sesungguhnya inilah
jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana
jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan
yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam
ucapan dasarnya pada Muktamar PAS ke 60 menyebut:
Kita sama-sama memahami dan
meyakini bahawa Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak boleh dipadamkan,
maka selagi kita beristiqamah (konsisten) di atas landasan Islam dan matlamatnya
yang ditetapkan oleh Allah dan
ditunjukkan perjalanannya oleh Rasulullah S.A.W, maka kita tetap berada di
pihak yang benar dan berpijak di atas landasan hidup yang teguh. Maka kita akan
selamat di dunia dan akhirat, walau pun menghadapi keadaan rebah dan bangun,
kalah dan menang, serta belum dilihat hasilnya di alam dunia ini.
Bermula dengan kes fatwa yang
dikeluarkan terhadap SIS oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor dan terbaru keputusan
Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan batal Enakmen Syariah Negeri Sembilan berkenaan
golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita .
Isu samada SIS ini benar-benar
sesat dan menyeleweng terus diperbahaskan walaupun mereka sedang mencabar fatwa
Majlis Fatwa Selangor ini di mahkamah.
Bagi sesetengah pemerhati SIS
memang sentiasa lantang mengemukakan pandangan dan memiliki pendirian yang
kontra dengan pandangan dan pendirian Islam yang diamalkan. Acapkali SIS
memperkenalkan tafsiran baru dalam bab-bab hukum-hakam agama yang
konon-kononnya memberikan tafsiran baru dan kontemporari terhadap hukum-hakam
Islam yang dilihat mereka statik dan “kuno”.
Hukum Hudud dikritik, hukum
berkenaan nikah kahwin dan faraid juga begitu, malah SIS turut bersama menuntut
memberikan hak beragama kepada semua penganut termasuk yang Islam, dalam
erti kata semua warganegara berhak memilih agama anutan mereka atau menukarnya.
SIS pernah mendakwa “We are all
Allahs children” atau “Kita semua anak-anak Allah”, suatu dakwaan yang sangat
digeruni oleh umat Islam. Namun kerana kita berada di zaman pancaroba seperti
yang disebutkan, ada pula pemimpin Islam yang mempertahankan dakwaan SIS itu.
Dengan menggunakan akal fikiran
dan pengetahuan beliau, pemimpin tadi seakan menghalalkan dakwaan “We are all
Allahs children” itu.
Rupa-rupanya idea bahawa kita
semua (golongan mereka) adalah Anak Tuhan ini menurut Allahyarham Ahmad Deeddat
(yang lebih berpengalaman khasnya dalam bab “comparative religion” berbanding
pemimpin Islam tadi) http://islam101.net/islamic-history/112-prophet-jesus/142-christ-in-islam-by-ahmed-deedat?showall=&start=4
adalah berasal dari fahaman Yahudi!
“Can't you see that in the
language of the Jew, every righteous person, every Tom, Dick and Harry who
followed the Will and Plan of God, was a SON OF GOD. It was a metaphorical
descriptive term, commonly used among the Jews.”
Tidak ada orang Islam yang
mendakwa mereka Anak-anak Allah, kecuali hamba Allah.
Selain itu dalam bab lelaki
berpakaian seperti wanita, ramai yang terkejut dan terperanjat dengan keputusan
Mahkamah Rayuan itu. Umat Islam malah dari semua fahaman politik dan NGO dalam Negara
kesal dengan keputusan itu dan mengharapkan agar keputusan berkenaan akan
disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan apabila ianya dirayu ke sana oleh pihak-pihak
yang terbabit.
Namun sekali lagi lantaran zaman
pancaroba itu, bekas PM pula iaitu Tun Dr Mahathir seakan mempertahankan
keputusan itu. Bagi beliau isu pakaian adalah isu kontemporari. Sebagaimana
dilaporkan dalam akhbar The Star hari ini beliau berkata:
“We say certain type of clothing
is men’s clothing but men and women are wearing jeans. So is jeans for men or
women? In the past men and women dressed differently but now things have
changed.”
“Kita mengatakan pakaian-pakaian
tertentu khas untuk kaum lelaki, akan tetapi kedua-dua lekai dan wanita memakai
“jeans”. Jadi adakah “jeans” sebenarnya untuk lelaki atau wanita? Dahulu pakaian
lelaki dan wanita berbeza tetapi sekarang ianya telah berubah”
Saya sangat keliru dengan
kenyataan Tun ini, dan kadangkala ia kelihatan bersenda pula bahasanya. Isunya di
sini adalah pakaian yang dikenakan oleh mereka itu adalah pakaian wanita yang
tidak digunakan lelaki!
Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abd
Rahman Osman dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata:
Lelaki yang menyerupai perempuan
ataupun sebaliknya perempuan menyerupai lelaki merupakan perbuatan dilaknat
ALLAH yang jelas menunjukkan perkara itu haram dalam Islam.
Kalau lelaki menyerupai perempuan, kita halalkan, ertinya
kita telah menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh ALLAH.
Kerana Rasulullah s.a.w melaknat orang
lelaki yang meniru wanita dan wanita yang meniru lelaki sebagaimana yang diceritakan
oleh Ibnu ‘Abbas r.a.;
لعن
رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّم المتشبهين من الرجال بالنساء
والمتشبهات من النساء بالرجال
“Rasulullah
s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan
wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (Riwayat Imam Bukhari).
Itulah masalahnya hari ini belum
pun dimatikan lagi para ulamak sebagaimana Hadis yang saya petik di awal
posting saya ini namun sudah kita lihat banyak pihak yang tiada “authority” dan
ilmu pun yang sudah berani dan ringan-ringan mulut memberikan pandangan dalam
bab-bab agama, tidakkah tindakan mereka sesat dan menyesatkan orang ramai?
Kerana itu wajar sangatlah dalam
menghadapi situasi seumpama ini kita kekal istiqamah atas landasan yang betul
dan benar.
Sebagaimana nasihat Tuan Guru Hj
Abd Hadi Awang:
"Kita juga difitnahkan oleh berbagai golongan
tertentu untuk mencalarkan Islam yang sebenarnya, walaupun Islam itu adalah
paling sempurna dan murni. Fitnah itu sama ada daripada musuh luar yang
mewarwarkan sementara waktu agenda Islamofobia atau menggunakan lisan atau
tulisan kelompok jahil yang bersemangat tinggi melalui dalaman umat Islam
sendiri. Semuanya akan gagal kerana mukjizat ilmu dari al-Quran dan Sunnah
adalah tetap terpelihara dengan rapi dan amanah."
Tiada pilihan lain bagi kita
selain berpegang kepada mukjizat ilmu al Quran dan Sunnah dan menjadikan ulamak
(yang berpegang dan mengamalkan kedua-dua ini) dan bukannya si jahil sebagai
rujukan dan ikutan.
Semoga beroleh selamat kita yang
istiqamah.
No comments:
Post a Comment