Siapakah "si bodoh" yang dimaksudkan Nik Aziz? (17/11/14)

Monday, November 17, 2014


Kebelakangan ini seakan ada satu usaha untuk “menggulingkan” Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang?
Mengapa saya nyatakan demikian?

Ianya dapat dilihat secara nyata hasil dari tindak-tanduk beberapa pimpinan dalam PAS sendiri. Dan ini bukan perkara rahsia lagi. Sudah ada pimpinan yang memburuk-burukkan beliau samada dalam majlis tertutup mahupun yang terbuka.
Jika tertutup ianya lebih tertumpu kepada program-program dalaman dan perjumpaan-perjumpaan rahsia. Yang terbuka pula menggunakan “kuda tunggangan” baru sebagai platform iaitu “Pasma”.

Mengapa perlu demikian?
Kerana kehadiran Tuan Guru dilihat sebagai penghalang kepada agenda mereka. Tuan Guru dilihat terlalu konservatif dalam keputusannya, mereka progresif, mereka liberalis yang duduk dalam kepompong Islam. Mereka mahu sebagaimana yang lain mahu PAS menang, akan tetapi bagi mereka demi mengejar kemenangan itu kalau perlu dikendur tuntutan perjuangan PAS, maka perlu kendur. Kalau perlu digadai beberapa pendirian, maka perlu gadai. Kalau perlu pinda dan robah beberapa peraturan maka perlu. Yang penting menang.

Tuan Guru bagi mereka terlalu “dogmatic” , mereka perlukan Presiden PAS yang berketerampilan moden, boleh goyang boleh menari mengikut rentak nafsu tuntutan kemenangan mereka. Kemenangan terlalu dekat, lantas matlamat dalam hal ini wajar menghalalkan cara, terjun sahaja, asal menang.
Saya ingat dalam tahun 90an dahulu pernah saya bertanya seorang pemimpin PAS yang menganuti fahaman ini, berkenaan tuntutan Negara Islam. Katanya nanti dulu. Jangan ditonjol-tonjolkan sangat, nanti orang takut, nanti orang tak undi PAS. Dah menang nanti baru kita cerita. Menipu untuk menang, tak mengapa. Persis konsep taqiyah dalam Syiah.

Namun tentangan dan usaha jahat ini dilihat tidak dapat melebarkan sayapnya khasnya dalam PAS sendiri oleh kerana “istiqamah” Tuan Guru Presiden PAS itu sehingga kini terus didukungi dan disepakati kuat oleh Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak PAS.
Kedua-dua institusi ini begitu kuat dan berpengarahuh dikalangan akar-umbi PAS yang berpegang teguh kepada konsep “Kepimpinan Ulamak”.

Jika peribadi Tuan Guru seorang mungkin boleh diserang-serang dan dipertikai tetapi hakikatnya sikap dan pendirian serta pegangan Presiden PAS itu disepakati oleh pimpinan besar dalam Majlis Syura Ulamak dan keseluruhan Dewan Ulamak disemua peringkat.
Kerana itulah sehingga kini walaupun ada kuda tunggangan baru bernama “Pasma” namun tindak-tanduk mereka dilihat tidak banyak mendatangkan kesan malah lebih merupakan liabiliti buat masa depan politik mereka sendiri.

Kerana itu “think tank” gerombolan ini bertindak luar dari itu. Mereka turut mengadu-domba sesama rakan dalam Pakatan. Jika dalam PAS sesama sendiri pun mereka tergamak dan boleh mencetuskan onar inikan pula sesama Pakatan, dikalangan DAP dan PKR yang ramai cenderung pada anutan mereka. Tafsiran Islam mereka lebih “moderat” dan kena dengan selera kalangan pimpinan DAP dan PKR itu.
Jika sebelum ini isu “Langkah Kajang” cuba digunakan untuk menggulingkan Tuan Guru, hari ini isu baru pula. Isu kononnya Tuan Guru enggan hadir mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Dalam isu ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng digunakan untuk menambah rencah pada tuntutan. Guan Eng berjaya mendapatkan keputusan dari CEC atau pimpinan tertinggi DAP, menuntut Tuan Guru agar wajib hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Kononnya hanya Tuan Guru ada kuasa veto dalam PAS, Jika beliau sekadar hantar wakil, PR tidak boleh buat keputusan.

Ternyata Guan Eng membantu gerombolan dalam PAS cuba menghodohkan imej Presiden PAS itu.
Seorang rakan media saya memberitahu , kenapalah Guan Eng membangkitkan isu seremeh ini (kehadiran Presiden PAS dalam mesyuarat Majlis Presiden PR) , apalah hebat sangat mesyuarat berkenaan? Tambah beliau orang-orang (pimpinan PR) di Pulau Pinang kata di negeri itu sendiri Guan Eng tak pernah ambil prihatin pun mahu memanggil mesyuarat Pakatan peringkat Negeri sedangkan beliau Ketua Menteri.

Dan tambah beliau lagi tidakkah Guan Eng kelihatan biadap apabila cuba mengarah-arah orang nombor satu dalam PAS?
Dan sebelum itu Setiausaha Agung PAS Dato Mustaffa Ali sendiri pernah menjelaskan (berkenaan isu ini) bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah antara parti bukannya individu maksudnya PAS boleh hantar siapa sahaja mewakili ia tidak semestinya Tuan Guru. Beliau turut menjelaskan bahawa jika perbandingan dibuat sejak tahun 2008, Guan Eng lah yang lebih banyak tidak hadir mesyuarat bekrneaan berbanding Tuan Guru!

Mengapa tidak ada pihak yang menonjolkan penjelasan Setiausaha Agung PAS ini? (Bahawa Guan Eng lebih banyak tidak hadir mesyuarat berbanding Hadi, mengapa CEC DAP tidak ambil tindakan terhadap Guan Eng?)
Memang jelas sangat Guan Eng bersekongkol dengan pihak tertentu dalam PAS membangkitkan isu remeh ini. Bergelak besar dan melompat-lompatlah mereka yang menunggangi, kuda tunggangan, bernama Pasma itu. (Awas jangan sampai jatuh kuda!)

Tetapi sejauh manakah imej Tuan Guru benar-benar tercalar dengan kerja-kerja jahat ini, atau adakah beliau semakin kuku mencengkam khasnya dalam PAS?
Sebagai kesimpulan saya meminjam kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz berhubung isu ini yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini:

"Dia (Hadi) tidak datang mesyuarat disebabkan malas atau uzur? Dia uzur. Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat? "Kerja 'orang bodoh' ini (mempersoalkan ketidakhadiran Hadi)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka hari ini.
Siapakah “orang bodoh” itu?

Guan Eng dan gerombolan yang menunggangi Pasma mungkin lebih maklum.

 

2 comments:

Anonymous said...

Amat setuju hamba dgn pandangan tuan. Org kapir hanya boleh jatuhkan Islam dgn menggunakan org Islam. Percayalah tuan.

Anonymous said...

Dah lah bodoh, sombong pula. Antara ciri2 orang jahil muraqab.