Wednesday, December 31, 2008

Debaran menunggu calon PAS

Saya terus menerus menerima panggilan dan SMS bertanyakan siapakah calon PAS untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Rakan-rakan pemberita, bloggers dan sahabat-sahabat tidak terkecuali, sesungguhnya membuktikan betapa minatnya orang-ramai tentang perkembangan KT dan PAS sendiri. Mustapha Ali? Dr Syed Azman? Wan Mutalib? Mat Sabu?

Kalaulah saya tahu, pasti blog ini akan menjadi panas, dikunjungi peminat politik, kawan dan lawan. Malangnya saya sendiri tidak tahu dan tidak mempunyai maklumat. Sebentar tadi memang saya ada menghubungi Tuan Guru Presiden, tetapi untuk perkara lain, wartawan mahukan komen beliau berhubung kenyataan Tan Sri Rashid SPR. Lalu itulah urusan saya iaitu untuk mendapatkan ulasannya.

Kini semua pihak menunggu pengumuman beliau. Keputusannya ada ditangan beliau. Saya percaya berbagai munajat dan istikharah yang telah beliau kerjakan untuk memastikan pilihannya itu nanti pilihan yang terbaik buat Islam. Saya dapat memahami besarnya bebanan yang beliau tanggung ketika ini. Kerana menghormati kedudukan beliau dan besarnya kasih dan ketaatan pada beliau selaku pemimpin lidah ini tidak tergamak untuk bertanyakan pun apa-apa perkembangan berkenaan soal calon.

Biarlah beliau membuat keputusan dan keputusan itu nanti insyallah akan diangkat dan diterima oleh semua biar siapa pun calonnya nanti. Yang penting kita mesti bekerja buat kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat. Ketepikan apa sahaja sentimen, musuh politik yang satu yang perlu dihadapi adalah Umno dan BN.

Soal adakah calon itu muda atau tua, professional atau ulamak, anak tempatan atau tidak, perlu dikesampingkan apabila calon yang muktamad tyelah diputuskan. Berlapang dadalah, dan terima keputusan jemaaah.

Calon PAS akan diumumkan esok. Yakinlah yang calon itu adalah yang terbaik buat kita semua dan buat pengundi parlimen Kuala Terengganu. Perjuangan perlu diteruskan, masa depan agama, bangsa dan negara terletak di tangan kita. Ayuh menangkan calon kita.
PJS bumi harapan kebangkitan PAS di Selangor

Kalau kita perhatikan reaksi pimpinan Umno, masing-masing seolah memperkecil dan memperlekehkan tindakan bekas Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim dan rakan-rakannya menyertai PAS baru-baru ini. Mat Taib dan Khir Toyo semuanya menganggap tindakan Kapten Zahar itu tidak akan menjejaskan Umno dan malah menganggap Kapten Zahar sebagai golongan “desperado” dalam politik. Kononnya kecewa kerana tidak dapat kontrak dan seumpamanya.

Sehinggakan saki-baki pimpinan Umno bahagian dalam PJS pun berani bersuara mengatakan Kapten Zahar pergi pun tidak mendatangkan kesan keranan kononnya beliau tidak pun banyak menyumbangkan kepada bahagian. Siapa yang sebenarnya “desperado” tak tahulah?

Tetapi dalam pada memperkecil dan memperlekehkan tindakan itu tiba-tiba kita mendapat khabar Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak akan mengunjungi bahagian PJS dan mahu berjumpa dengan semua pimpinan parti termasuk mereka yang telah buat keputusan meninggalkan Umno. Tiba-tiba PJS menjadi penting. Tiba-tiba Kapten Zahar yang dikatakan tidak berpengaruh dan “desperado” itu menjadi ancaman, jika tidak mengapa perlu secara tergesa-gesa orang nombor dua dalam Umno perlu turun berjumpa dengan orang-orang bahagian.

Itulah nasib Umno yang retak menantikan belah itu.

Sementara itu Kapten Zahar kini bukan sekadar telah menyerahkan segala pejabat dan jenteranya kepada PAS di PJS malah kini memenuhi permintaan PAS untuk berceramah di sana-sini dan malah akan berkampung di Kuala Terengganu bagi membantu memenangkan calon PAS di sana dalam PR kecil nanti.

Di Selangor sahaja program sedang disusun bagi membawa Kapten Zahar ke lubuk-lubuk Umno bagi mempengaruhi rakan-rakan yang masih berada di dalam parti yang semakin rebah itu, agar mengikuti jejaknya dan meninggalkan Umno beramai-ramai. Umno sudah tiada masa-depan, percakaran dan sengketa dalaman semakin meruncing, politik wang yang cuba dibunuh rupanya kini bangkit menjadi jerangkong terus-menerus menghantui parti itu. Lalu sebagaimana seruan Kapten Zahar tempoh hari apabila menyerahkan borang keahlian PAS nya, bahawa hanya PAS satu-satunya kini parti pilihan bagi orang Melayu/Islam, maka ayuhlah kita bernaung bawah wadah yang baru ini.

Insyallah semua akan selamat apabila kita kembali kepada Islam. Selamat datang ke PJS Najib, bumi harapan kebangkitan PAS di Selangor!

Tuesday, December 30, 2008

Yang Dipertuan Besar NS yang ke 11






Tahniah kepada, Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang telah selamat dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 11. Titah pertama Tuanku setelah dimasyhurkan adalah:

Yakinlah beta akan menjalankan keadilan dan keselamatan hamba rakyat serta yang tinggal di seluruh alam Negeri Sembilan ini.

Mudah-mudahan niat mulia Tuanku itu berjaya dilaksanakan dengan izin Allah swt.

Saya pasti sahabat saya Tengku Zainol, adik ipar Tuanku akan tumpang gembira dan berbangga dengan perlatikkan ini.

Daulat Tuanku.
PR Selangor tak pecah, yang pecah Umno Selangor

Sebagai Ketua Penerangan parti pembangkang di Selangor, suka tak suka Rahman Palil kelihatan mahu sahaja mengeluarkan pandangan atas sebarang isu yang berlaku di Selangor termasuklah yang kadangkala tidak memerlukan pandangan beliau pun. Sikap ringan mulut ini barangkali penting bagi survival politiknya dalam Umno, maklumlah kerusi Sementa yang diwakilinya itu menang percuma sedangkan jika berlaku pertandingan tempoh hari belum tentu beliau mampu mempertahankan gelaran “YB” nya.

Dalam memberi komen terhadapa apa yang dikatakan “perpecahan” dalam PR Selangor, Rahman berkata PR Selangor kini kelihatan rapuh walaupun baru hampir setahun ditubuhkan. Rahman merujuk kepada pertelagahan mulut antara ahli Parlimen Kapar, MB Selangor, Speaker dan ahli Parlimen Klang.

Rahman septutnya beri tumpuan terhadap apa yang sedang berlaku pada parti beliau. Umnoi pasca PRU 12 sudah bukan Umno seperti dahulu lagi. Yang ketara Umno sudah tiada kuasa di Selangor. Dan terbaru “penghijrahan” Ketua Umno bahagian PJS, Kapten Dato’ Zahar Hashim dan rakan-rakannya ke PAS merupakan satu tamparan hebat ke[ada Umno. Dahlah tak ada kuasa, pemimpin dan ahli-ahlinya pula sudah mula meninggalkan parti berkenaan.

Kalau Rahman mahu tahu bilangan mereka yang telah memutuskan untuk bersama Kapten Zahar kini telah mencecah ratusan orang dan saya difahamkan satu majlis khas akan diadakan di Kuala Terengganu sempena PR Kecil di sana, untuk mereka ini menyerahkan borang-borang masing-masing terus ke Tuan Guru Presiden PAS.

Dengan penghijrahan rakan-rakan baru dari Umno ini PAS difahamkan akan terus mensasarkan kerusi-kerusi milik Umno di Selangor untuk memastikan keadaan yang berlaku di Petaling Jaya Selatan akan turut berlaku di bahagian-bahagian Umno yang lain.

Oleh itu lebih baik Rahman menjaga bahtera Umno nya yang semakin tenat dan hampir sahaja karam itu.

Tiada “perpecahan” dalam PR Selangor. Perbezaan pandangan dan pendapat perkara biasa, tapi ia bukanlah perpecahan. Yang retak menunggu belah sebenarnya adalah Umno, dan Selangor akan menjadi medan pertama menyaksikan keangkuhan Umno, insyallah tersembam mencium bumi. Mungkin Rahman sendiri tergerak untuk mengikuti jejak Kapten Zahar? Hubungi sahaja PAS Selangor, insyallah anda akan diterima dengan baik.

Monday, December 29, 2008

Apa lagi Karpal……..

Saya terkejut membaca kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang dimuatkan dalam berita terkini The Star online sebentar tadi. Kata Karpal DAP akan hanya menerima calon PAS bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti dengan syarat PAS tidak berjuang untuk menuntut agenda Negara Islam dengan undang-undang hudud dan qisas.

Kata Karpal lagi DAP tidak pernah berganjak dari pendiriannya menentang perlaksanaan undang-undang syariah berkenaan.

Saya terkejut pertama kerana kenyataan keras Karpal ini dibuat kerana melayan provokasi Samy Vellu yang dalam akhbar-akhbar hari ini menggelar Karpal “a toothless tiger” kerana tidak berani mengkritik PAS atas isu Negara Islam dan undang-undang syariah. Takkanlah kerana provokasi dari seorang pemimpin yang ternyata telah ditolak rakyat maka Karpal tergamak melukakan hati kawan-kawannya.

Keduanya mustahil Karpal tidak tahu apa tujuan PAS. Nama pun parti Islam. Takkanlah kerana berkawan dengan Karpal maka PAS terpaksa menggugurkan prinsip perjuangannya yang telah dijunjung dengan penuh pengorbanan sepanjang lebih 57 tahun.. Sepatutnya kawan sesama kawan sama-sama menghormati prinsip perjuangan masing-masing, tidak mengkritik atau mengutuknya apa lagi kerana semata-mata mahu memuasakan hati musuh.

Apalah PAS tanpa perjuangan Islam, tiada beza dan mungkin lebih teruk dari Umno. Kerana berpegang teguh pada prinsip inilah maka PAS mampu bertahan sehingga hari ini dan terus-menerus diterima dan diberi pengiktirafan oleh rakyat.

Karpal berhak berkata apa sahaja, tetapi 1 Januari ini Presiden PAS akan mengumumkan calon PAS dan itulah calon yang akan terus memperjuangkan agenda Islam samada disukai Karpal atau tidak.

Sunday, December 28, 2008

Ya Allah selamatkan saudara-saudara kami di Palestin




Disaat saya menulis posting ini regim haram zionis Israel masih lagi berkeras kepala melancarkan serangan udara mereka ke atas bumi Gaza yang ditadbir oleh HAMAS di Palestin. Terbaru setakat ini menurut agensi berita antarabangsa lebih 225 orang telah syahid dan beratus-ratus lagi cedera dan musnah sama-sekali tempat tinggal mereka.

Bom dan peluru berpandu dilancarkan ke atas bumi yang sesak dan padat dengan penduduk. Rakyat Palestin di Gaza kini disekat dari pelbagai penjuru, makanan kurang, bahanapi kurang, ekonomi tidak menentu, dan dalam keadaan begitu binatang bernama regim zionis ini dengan senang hati menggunakan teknologi dan kekuatan ketenteraan mereka memusnahkan saudara-saudara kita yang lemah dan tidak berdosa itu.

Maghrib tadi kita telah memasuki ke tahun Hijrah yang baru, mengingati betapa Rasulullah saw dan para sahabat bersusah-payah berkorban menyeberangi bahang padang pasir, meninggalkan Makkah menuju Madinah dan akhirnya menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama, itu 1430 tahun yang lalu. Tetapi hari ini segala yang ditegakkan oleh Baginda kita biarkan begitu sahaja, darah umat yang dicintai Rasulullah saw itu kita biarkan tertitis dan tertumpah ke bumi tanpa pembelaan, malah seolah kita tidak berupaya melakukan apa-apa, cuma menjadi penonton yang bisu dan bacul.

Regim haram ini bagaikan mencabar umat Islam, ya disambutan Awal Muharam kamu, kami musnahkan dan bunuh saudara-saudara kamu, apa yang boleh kamu lakukan? Kamu mungkin ramai, kaya tetapi kekuatan kamu itu tidak mampu mengusik kami walau sehelai rambut kami!

Saya sendiri yang menulis ini sekadar boleh melayan luapan darah panas dalam tubuh melihatkan kedurjanaan ini berlaku, tetapi apakah yang boleh kita lakukan terhadap bangsa jahanam ini?

Mudah-mudahan Allah swt menggerakkan hati pemimpin-pemimpin negara-negara Islam agar bersatu, mengenepikan perbezaan dan perbalahan, menumpukan sepenuh kekuatan, membela saudara-saudara kita di Palestin dan mengajar regim haram ini. Mudah-mudahan Allah swt memberikan kekuatan kepada saudara-sauadara kita yang dizalimi itu, lindungi mereka, pelihara mereka.

Subuh nanti bacakan qunut nazilah dan terus bacakan saban hari sehingga hancur musnah musuh-musuh Allah ini:

Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh2 kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 mereka

Ya Allah,Leburkanlah kumpulan2 mereka Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka.Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka.

Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa. Wahai Tuhan Yang Penuh Raksasa Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka.

Ya Allah Ya Allah Ya Allah
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Wahai Tuhan yang mengarakkan awan Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab, kalahkan mereka. Kalahkan mereka Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.








Saturday, December 27, 2008

AL FATIHAH

Takziah di atas kemangkatan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.