Tuesday, May 08, 2007

Khairy bakal bergelar bapa sebelum Pilihanraya Umum?

Berita Khairy Jamaluddin, menantu PM Dollah Badawi yang bakal bergelar bapa mendapat tempat dalam akhbar THE STAR muka 24. Sekaligus membuktikan betapa besarnya personaliti ini kepada sebahagian besar mereka yang mahu meraih kepentingan dan keuntungan.

Bagi saya eloklah Nori dan beliau akhirnya bergelar ibu dan bapa, sekurang-kurangnya dapat memberikan mereka tanggungjawab baru, mudah-mudahan memberikan kesedaran dan keinsafan, itupun kalau mampu.





Cuma yang menarik perhatian saya terhadap berita dalam THE STAR ini adalah betapa Khairy sebenarnya sedar atau tidak telah mebayangkan tarikh Pilihanraya Umum kepada mereka yang dapat menangkapnya. Tarikh PRU sebagaimana kita semua ketahui adalah hak eksklusif PM. Tetapi siapalah PM hari ini tanpa Khairy, oleh itu apabila Khairy menyebut tentang tarikh hari penting ini, jangan pandang kecil, kerana ianya datang dari seorang yang berada di bawah dagu PM sendiri.

Kata Khairy beliau berazam untuk berada di sisi Nori apabila anak sulungnya itu nanti dilahirkan. Menurut beliau:

Hopefully if there is no political campaign or general election campaign, i will be there.

Harap-harap tidak ada kempen politik ataua kempen pilihanraya umum, saya akan berada di sana.





Menurut berita ini Nori sudah lima bukan mengandung, ini bermakna tinggal empat bulan lagi jika anaknya itu nanti bakal dilahrikan sempurna. Sekarang bulan Mei, empat bulan lagi adalah September. Mungkinkah berlaku PRU sekitar tarikh itu atau pada cuti sekolah pertengahan tahun iaitu antara 18 ke 26 Ogos?

Entahlah hanya Dollah dan Khairy yang tahu.

Monday, May 07, 2007

Menangis tak sudah

Saya terbaca minggu lepas ada pengumuman dari pihak yang berkenaan bahawa harga rumah di Malaysia dijangka naik ekoran kenaikan harga besi-keluli yang banyak digunakan dalam industri pembinaan rumah.

Selepas itu kita mendengar bahawa syarikat pengilangan F&N yang turut terlibat dalam pengeluaran susu manis pekat juga menjangkakan harga keluaran produknya akan naik atas sebab kenaikkan harga bahan-bahan mentah di pasaran.

Dalam pada itu pemegang monopoli siaran TV satelit, iaitu ASTRO juga sedang menimbang untuk menaikkan kadar langganannya. Macam-macam ada!

Demikianlah keadaan hidup kita sejak akhir-akhir ini. Dalam kita leka dengan kehebatan dan apa yang dikatakan kemenangan besar BN di Ijok, dihiburkan pula dengan lonjakkan besar indek Bursa Malaysia kebelakangan ini, diam tak diam, kos hidup kita semakin meningkat.

Makin terhimpit dan tertekan hidup rakyat kebanyakkan.

Dan kemungkinan besar kos-kos lain juga akan terus-menerus meningkat. Tetapi usah lah kita merungut, sebelum ini bila harga minyak petrol dan diesel naik, tol naik, tarif air dan letrik naik, cuma segelintir kecil sahaja yang memberikan reaksi penentangan, sebahagian besar yang lain cuma diam, menahan luka di dada namun lidah tidak berkata-kata.

Berlalulah Batu Talam, berlalulah Machap, berlalulah Ijok, tak siapa yang ambil peduli akan kos-kos yang meruncing ini. Yang penting BN mesti menang bukan sekadar menang tetapi menang besar.

Lihatlah kemajuan negara kita hari ini, lihatlah kemakmurannya. Kita akan bangunkan tamadun dan peradaban baru, kos hidup naik, ahhh itu harga yang perlu dibayar demi pembangunan dan kemakmuran yang dikejar. Maka terimalah seadanya. Malaysia Boleh!
Apa isitmewanya Zakaria Md Deros?

Khamis lepas Pengarah Badan Pencegah Rasuah Selangor (BPR) Mohd Jamidan Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa dua kertas siasatan atau investigation papers (IP) terhadap ADUN Pelabuhan Kelang yang membina ISTANA di Pandamaran, Kelang telah ditutup kerana tidak ada kes manakala satu lagi berada dengan Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguamn Negara untuk siasatan lanjut.

Beliau tidak pula menyatakan apakah kes yang IP yang ditolak itu dan mengapa ianya ditolak. Juga tidak menyatakan apakah kes yang kemungkinan akan dibawa terhadap Zakaria itu.

Kes berkenaan Zakaria sesungguhnya telah menarik minta bukan hanya para pengundi di Pelabuhan Kelang malah rakyat seluruh negara. Ianya telah mendapat publisiti meluas kerana Zakaria adalah seorang wakil rakyat lantas rakyat menuntutu pertanggungjawaban di atas setiap gerak-geri dan tindak-tanduknya selama memegang amanah dari mereka.


Keratan UTUSAN MALAYSIA ketika kes ini
HOT dahulu
Tiba-tiba pihak BPR tutup mulut dan enggan melaporkan perkembangan terkini kes ini walaupun ianya membabitkan kepentingan awam. Memanglah seseorang itu tidak bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya di mahkamah terbuka, tetapi dalam hal ini, ketelusan perlu ditonjolkan agar tidak ada pihak yang curiga dan mengesyaki sesuatu yang tidak baik. Contohnya cuba kita lihat kes penyiasatan terhadap pencabulan alam sekitar di Tanah Tinggi Lojing, Setiausaha Parlimen Kementerian berkenaan dengan senang hati mengumumkan perkembangan penyaisatan kes itu walaupun IP baru sahaja diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Lalu dalam hal ini apa istimewanya Zakaria? Kalau Raja-raja Melayu pun kini tidak terkecuali dari tindakan undang-undang, siapa Zakaria sehingga perlu diberikan keistimewaan?

Dalam akhbar THE SUN hari ini Presiden Transparency International Malaysia (TI Malaysia) Tan Sri Ramon Navaratnam menyeru agar pihak BPR membuat pengisytiharan secara terbuka berhubung kes membabitkan Zakaria ini. Beliau berjata pihak BPR perlu meyakinkan rakyat yang segala usaha telah digunakan untuk membongkar dan menyiasat pertuduhan-pertuduhan terhadap Zakaria itu sebelum ianya ditutup atas alasan tidak ada kes.

Saya yakin rakyat akan melihat perkembangan kes ini dengan penuh teliti dan jika terdapat usaha untuk COVER UP atau melindungi mana-mana pihak, sudah pasti implikasinya akan diterima oleh pihak berkenaan terutama dalam suasana bahang Pilihanraya Umum yang semakin ketara ini.

Saturday, May 05, 2007

Ulangtahun ke 3

Pejam celik rupanya tepat 20 haribulan Mei ini telah genap 3 tahun usia blog ini. Saya mula memperkenalkan Blog ini pada 20 Mei 2004 dengan bantuan sahabat baik saya Mamat (http://kaset79.blogspot.com )

Kini menurut Motigo Webstats yang saya daftarkan pada 12 Julai 2006 (tak sampai setahun lepas) Blog ini telah menerima 532,380 pengunjung. Manakala menurut OneStat yang saya daftarkan pada 17 Oktober 2006 Blog ini telah menerima 338,977 pengunjung.

Setakat ini Blog ini sering berada ditangga nombor 1 ranking Ukhuwah.com dan antara tangga ke 4 sehingga ke 6 bagi ranking MalaysiaBlog. Net. Menurut TECHNORATI Blog ini di link kan di 496 sites dan ranking dunia saya adalah 26,292.

Di Blog ini saya memuatkan pandangan dan persepsi peribadi saya mengenai isu-isu semasa dan apa sahaja yang memikat dan terlintas di hati saya. Alhamdulillah saya menerima sokongan yang baik dari para pengunjung termasuklah teguran dan kritikan yang membina. Ruangan komen diakhir setiap tulisan saya sering dipenuhi dengan reaksi pelbagai dari sahabat-sahabat termasuklah yang regular.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua di atas sokongan yang sangat memberangsangkan itu.

Mudah-mudahan Allah swt mengunriakan saya kekuatan untuk terus berkarya.

Friday, May 04, 2007

Pengundi Cina bijak kerana undi pembangkang di Ijok

Berbagai reaksi diberikan bagi menjelaskan mengapa pengundi Cina di Ijok memberikan sokongannya kepada calon PKR khasnya di Pekan Ijok dan Batang Berjuntai. Reaksi yang berbagai ini sungguh menarik, contohnya dalam The Sun Naib Presiden MCA Dr Chua Soi Lek berkata:

The Chinese voters have spoken up via the ballot box
(pengundi Cina telah bersuara melalui peti undi)

Manakala Presdien MCA Ong Ka Ting pula berkata MCA dan kerajaan perlu mengambil kira sikap masyarakat pengundi Cina ini dan memastikan yang kerajaan kelak bekerja bukan hanya untuk pilihanraya.

Manakala TPM Najib Tun Razak pula mengakui sikap pengundi Cina di Ijok ini namun katanya kebanyakkan masyarakat Cina masih setia pada Bn. Tambha beliau dalam akhbar The Star:

The Chinese are very practical people. They know whom to support when the time comes.
(Masyarakat Cina adalah jenis yang bijak. Mereka tahu siapa yang perlu disokong apabila tiba masanya)

Kesimpulannya pengundi Cina di Ijok yang mewakili kira-kira 21% dari jumlah pengundi di sana telah memilih untuk mengundi pembangkang walaupun calonnya orang Melayu, bermakna mereka mengundi bukan kerana bangsa tetapi memilih calon yang berkaliber dan yang mereka yakini. (Ini memang sikap mereka kerana itu Karpal boleh menang di Pulau Pinang dan Kulasegaran di Ipoh serta sebelumnya Allahyarham Ahmad Nor juga di Pulau Pinang walaupun kerusi-kerusi mereka majoriti pengundi Cina).

Peruntukkan mereka dapat, sekolah mereka semakin cantik, kemudahan mereka semakin mewah, namun tak pula mereka macam lembu terhutang budi pada yang memberi sehingga akhirnya menyerah leher untuk disembelih!

Yang menariknya tidak siapa pun mencemuh para pengudi Cina di Ijok. Sikap mereka memilih pembangkang seolah dianggap sesuatu yang bijak sedangkan kalau para pengundi Melayu yang bersikap sedemikian pasti mereka akan dikambing-hitam dan dipulaukan.

Malah orang Melayu rata-rata terutama dalam pilihanaraya kecil beranggapan yang jika mereka mengundi pembangkang mereka akan didiskriminasi. Lalu undilah mereka calon BN walaupun calon itu tidak sehebat calon pembangkang, dan bukan pula dikalangan mereka.

Rupanya 50 tahun Merdeka telah mematangkan pengundi Cina dan menyedarkan mereka darihal hak dan kebebasan mereka yang sememangnya terjamin dalam Perlembagaan Negara yang Merdeka ini. Masalahnya yang semakin sempit, jumud dan beku adalah pengundi Melayu (sebahagian besar) yang makin lanjut usia negara makin buta kesedaran politik mereka.

Saya yakin pihak yang akan banyak meraih keuntungan dari sikap pengundi Cina yang mula ditunjukkan dalam Pilihnaraya Negeri Sarawak tahun lalu dan diikuti dengan Ijok ini adalah parti DAP. Pastinya Kit Siang tersenyum lebar dengan sikap pengundi Cina ini dan pastinya DAP akan mampu mengembalikan kegemilangannya pada PRU 1986 dahulu (atau mungkin mempertingkatkannya lagi) ketika mereka mampu melontarkan 24 orang wakil ke Parlimen dan PRU 1990 apabila mereka kekurangan 3 kerusi untuk membentuk ekrajaan negeri di Pulau Pinang!

Swing dan mood pengundi Cina ini pasti akan mencederakan harapan MCA dan Gerakan pada PRU kelak.

Bagi orang Melayu kekallah terperap di rumah masing-masing, kerana walaupun negara telah jauh dewasa namun hakikatnya sebahagian besar kita masih selesa di bawah tempurung kita masing-masing. Alahai orang Melayu!
Selamat Hari Ibu Bonda ku tersayang
(Datin Hjh Halijah bt Abd Hamid)

Hari Ibu atau Mothers Day disambut oleh rakyat seluruh dunia pada hari Ahad kedua setiap tahun. Oleh itu Hari Ibu tahun ini jatuh pada 13 Mei 2007.

Bagi saya hari memperingati ibu ini sangat besar maknanya malah saya sering sayu dan merasakan diri saya terlalu kecil apabila mengenangkannya. Seorang insan, wanita yang sanggup mengandungkan kita sembilan bulan atas kerelaannya dengan penuh penat jerih dan kepayahan semata-mata mahu melihat kita keluar sihat dari rahimnya.

Dan dalam kepedihan dan kesakitan itu apabila terpacul sahaja kita keluar, si insan bernama ibu tadi boleh melupakan segala penderitaan fizikalnya dan menyambut kita dengan senyuman penuh kegembiraan.

Mana ada manusia di dunia selain ibu yang memiliki perasaan sedemikian?


Malanglah anak yang durhaka. Malanglah anak yang mencampakkan ibu kandungnya ke rumah orang tua. Malanglah anak yang berjaya sedangkan ibunya merempat entah dimana. Malanglah anak yang melihat ibunya sebagai satu bebanan dan jijik melihatnya diwaktu tuanya.

Si ibu terus menatang kita bagaikan emas, nyamuk atau semut yang mengigit kita sudah mengusarkan hati ibu, jerit tangis kita menggegarkan ibu dari tidur atau rihatnya. Perut kecil kita dipastikannya sentiasa berisi, najis si anak ibu yang sucikan tanpa mengenal waktu.

Dan bila semakin membesar ibu terus berperanan, baju anaknya, sekolah anaknya, sakit pening anaknya, kegemaran anaknya, Subbhanallah manakan tidak dikurniakan syurga di telapak kaki suci mu.

Malah diwaktu tua ini saya kekadang tergamam memikirkan, ibu boleh sahaja membaca wajah anaknya, sakit anak dapat dibaca, susah anak dapat dibaca, masalah anak dapat dibaca, hanya dengan merenung wajah manusia yang ia lahirkan, yang ia kandungkan sembilan bulan, si ibu dikurniakan Allah kelebihan dapat mengesan sesautu hanya dengan menatap wajah anaknya, hebat!

Tiada detik tiada waktu berlalu tanpa si ibu memikirkan akan nasib dan kebajikan anaknya, samada semasa mengandung atau semasa membesar dan demikianlah diwaktu tua. Sedangkan si anak boleh menghabiskan masa berminggu-minggu tanpa langsung ada ruang untuk ibu dalam kotak ingatannya.

Kerana itu saya menganggap siapa sahaja yang memandang rendah dan serong terhadap golongan Hawa terutama yang bakal dan telah bergelar ibu, maka dia telah durhaka kerana sekaligus mencerca dan merendahkan golongan yang telah membawanya dengan izin Allah ke dunia ini.

Hari Ibu ini perlu sangat kita jadikan hari bermuhasabah diri. Renungkan kembali komitmen kita terhadap insan bertaraf ahli syurga yang bergelar ibu ini. Jika telah pergi meninggalkan kita maka janganlah putus-putus berdoa agar Allah menempatkannya dalam seistimewa-istimewa tempat. Manakala yang masih hidup, taburkanlah bakti, murahkanlah senyuman, hiburkanlah hatinya. Sesungguhnya tidak ada wang ringgit dan kekayaan yang boleh membeli jasa dan khidmat ibu kepada kita.

Selamat Hari Ibu, maafkan saya.

Thursday, May 03, 2007

Kita semua bagaikan harimau sarkas yang tidak bergigi

Salah satu kolum atau rencana akhbar yang jarang sekali saya terlepas baca adalah NO PUNCHES PULLED yang ditulis oleh R.Nadeswaran dalam akhbar percuma THE SUN. Nades seringkali memaparkan isu-isu berkenaan majlis tempatan dan menyuarakan rintihan para penduduk serta juga mendedahkan penyelewengan dan skandal membabitkan mana-mana PBT khasnya di Selangor dan Lembah Kelang.




Hari ini Nades terus mengulas berkenaan cadangan agar elaun ahli-ahli majlis yang dibayar sekitar RM500 sebulan itu dinaikkan sehingga ke 1,000% iaitu ke RM5,000 sebulan tetapi dengan syarat mereka ini bekerja dengan penuh profesyional dan yang lebih penting mempertahan dan memperjuangkan kepentingan rakyat dalam PBT-PBT berkenaan.

Saya tidak berhasrat mengulas keseluruhan hujah0hujah yang dikemukan, cuma saya mahu memetik satu perenggan dari artikel beliau yang saya kira menarik dan perlu difikirkan bersama.

Di bawah tajuk AN HONEST COUNCILLORS WORTH Nades menulis:

So is RM5,000 a month enough?I cant answer the question because I know of at least a few dozen councilors who are in the Millionaires Club.

(Jadi adakah RM5,000 sebulan itu mencukupi? Saya tidak boleh menjawab persoalan itu kerana saya mengenali lbeberapa dozen ahli majlis yang dududk dalam Kelab Jutawan)

I cant guess as to how they amassed their wealth with just their salaries from routine jobs as teachers, clerks and office workers with an ELAUN of RM500 but I can tell you that if the ACA is as efficient as the Independent Commission Against Corruption in Hong Kong, afew of them would have been transferred from their mansion to cells in Kajang Prison!

Saya tidak dapat mengagak bagaimana mereka berjaya meraih harta sedemikian banyak dari gaji biasa mereka sebagai guru, kerani dan pekerja pejabat dengan ELAUN cuma RM500, tetapi saya pasti jika Badan Pencegah rasuah kita secekap badan yang sama di Hong Kong, pasti mereka ini akan dipindahkan dari rumah mewah mereka ke Penjara di Kajang!

Inilah realiti yang tersingkap di hadapan kita pada hari ini, malangnya realiti ini tidak dapat diubah oleh sesiapa pun dalam Malaysia yang sedang pesat melangkah maju ini. BPR ada tetapi bagaikan harimau sarkas yang tidak bergigi. Laporan yang tersadai di pejabat mereka menggunung tinggi yang saya kira boleh mengayakan seorang pengusaha suratkhabar lama!

Aneh kita semua melihat dan mengetahui tetapi kita juga bagaikan harimau sarkas itu, sedangkan buaya-buaya tembaga yang dimaksudkan semakin kenyang dan bermaharajalela. Malangnya nasib kita semua.