Akhbar The Star hari ini memberi liputan tentang rintihan
para isteri dua warga Malaysia yang telah diculik oleh pengganas Selatan
Filipina , seorang sejak 16 Jun lalu manakala seorang lagi sejak 12 Julai lalu.
Puan Sharifah Erna, suaminya Konstabel Zakiah Aleip telah
diculik semasa menjalankan tugas di Pulau Mabul manakala Puan Chin Pek Nyuen,
suaminya penternak ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun telah diculik di tapak
penternakan mereka di Kunak kedua-duanya di Negeri Sabah.
Menurut laporan pengganas Abu Sayaf menuntut RM6 juta untuk
membebaskan kedua-dua Konst Zakiah dan Chan. Dan pihak pengganas dilaporkan
memberi tempoh sehingga 30 November ini bagi pembayaran wang tebusan berkenaan
dengan mengancam akan membunuh orang tawanan mereka jika wang itu tidak
dibayar.
Sehingga hari ini pihak kerajaan Malaysia masih meneruskan
rundingan dengan kumpulan pengganas itu, dan bertegas tidak mahu mencabuli
dasar “no ransom” atau pembayaran tebusan kepada pengganas.
Sesungguhnya kita wajar bersimpati dengan nasib yang menimpa
keluarga kedua-dua Konst Zakiah dan Chan. Walaupun kita meletakkan penuh
keyakinan kepada kecekapan pihak kerajaan dalam menjalankan rundingan, namun
demikian memandangkan tempoh yang dikenakan oleh pihak pengganas ini semakin
hampir, kita merasakan pihak kerajaan perlu menyemak dan memikirkan semula
kewajaran dasar dan sikap mereka.
Apa pun sebagaimana kita memperjuangkan nasib anak-anak
kapal dan penumpang MH370 dan MH17, dalam kes ini dua nyawa warga Malaysia yang
masih hidup terlibat. Benar kita tidak mahu tunduk kepada tuntutan pengganas,
akan tetapi kiranya kita tiada pilihan pada pandangan saya lebih baik kita
membayar wang tebusan itu sekaligus memastikan nyawa warga kita terselamat dari
kita mempertahankan dasar dan sikap dan sebaliknya menerima mayat yang pasti
akan membangkitkan kemarahan rakyat.
Percayalah walaupun kita mungkin disangka tunduk pada
pengganas apabila memenuhi tuntutan mereka, sesungguhnya kita lebih bermaruah
dan dipandang tinggi kerana lebih menghargai dan mementingkan nyawa warga kita
yang tidak berdosa.
Bayarlah wang tebusan itu dan saya yakin rakyat Malaysia
keseluruhannya tidak akan keberatan daripada kita dihina dengan kedua-dua tebusan
dibunuh oleh pengganas berkenaan.
Kemudian apabila warga kita dibebaskan, kerajaan perlu
melancarkan serangan besar-besaran dengan kerjasama kerajaan Filipina ke atas
penempatan kumpulan pengganas ini. Filipina wajar didesak bekerjasama kerana
jelas dalam kes ini dan kes-kes yang sama, mereka seakan tidak dapat mengawal
wilayah mereka sendiri.
Saya penuh yakin demi menghapuskan pengganas ini dan
kegiatan mereka yang tidak diiktiraf oleh Islam itu, kerjasama MILF yang telah
diberi bantuan oleh kerajaan Malaysia untuk mendapatkan otonomi di Selatan
Filipina dapat diperolehi. Mungkin dengan gabungan Malaysia, Filipina dan MILF
, sarang-sarang pengganas ini dapat dibongkar dan dihapuskan demi menjamin keamanan dan
keselematan di rantau perairan Filipina-Sabah.
Sudah terlalu lama, keluarga berkenaan menderita. Jangan
kita lupakan mereka. Bangkitlah dengan keputusan yang berani, rakyat Malaysia
akan bersatu hati bersama dengan apa-apa tindakan yang bijaksana.
1 comment:
Najib bagi rosmah RM700 juta utk permata x ape, Takkan RM6 juta pun x dpt guna utk bebaskan rakyat malaysia nie. bila nk undi cari rakyat...
Post a Comment