Saya sungguh terperanjat pagi ini apabila membaca laporan
akhbar bahawa pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersedia mengeluarkan
lesen-lesen rumah urut atau pusat kesihatan sekiranya terdapat permintaan.
Kesediaan ini kononnya kerana kawasan perbandaran berkenaan semakin berkembang
dan berkemungkinan memerlukan lebih banyak pusat-pusat seumpama ini atas dasar
permintaan.
Sekarang pun MPSJ telah memberi lesen kepada 211 pusat-pusat
urut (itu di Subang Jaya sahaja bukan seluruh Selangor), tidak termasuk yang tidak berlesen dan beroperasi sesuka hati.
Sebelum ini kalau kita perhatikan banyak pihak telah
mengkritik kerajaan negeri Selangor kerana melalui PBT-PBT nya banyak
meluluskan rumah-rumah urut seumpama ini.
Apa masalahnya rumah-rumah urut ini?
Rata-rata kecuali segelintir, pusat-pusat ini samada
berlesen lebih-lebih lagi yang tidak berlesen sesungguh dan sebenarnya
merupakan sarang-sarang makasiat. Refleksologi dan terapi muka kononnya menjadi
hiasan luar tetapi hakikatnya pusat-pusat ini menjalankan aktiviti maksiat
iaitu urut badan sehinggalah ke aktiviti seksual.
Malah perkara ini diakui sendiri oleh EXCO Kerajaan Tempatan
Selangor yang baru Teng Chang Khim sehingga beliau pernah menyebut akan
mengkaji samada boleh diasingkan rumah-rumah urut ini agar yang untuk lelaki
memberi khidmat kepada pelanggan lelaki dan wanita untuk wanita. Tujuannya:
…..to overcome the
problem of these outlets doubling as prostitution dens.
(….bagi mengatasi masalah pusat-pusat ini menjadi sarang
pelacuran)
Dalam satu kenyataan lain Teng dilaporkan :
Teng menegaskan sejak
2008 kerajaan negeri telah menetapkan dasar untuk tidak mengeluarkan lesen baru
rumah urut dan dasar itu masih terpakai sehingga kini.
“Tentang bab urut saya telah nyatakan bahawa dasar kita
sejak 2008 kita tak keluarkan lesen yang baru. Itu dasar yang masih terpakai,”
katanya.
Oleh itu apa rasionalnya tiba-tiba pihak MPSJ mahu pusing
kebelakang dan menimbang-nimbang untuk meluluskan lebih banyak lesen aktiviti
ini? (apa jadi dengan dasar kerajaan yang disebut Teng itu?) Barangkali MPSJ berpuas-hati bahawa kesemua 211 pusat urut yang dilesenkannya
itu semuanya “putih” menjalankan aktiviti “bersih”, apa kata sebuah badan bebas
dibentuk untuk mengintip dan memberi laporan?
Sepatutnya diperingkat ini suatu perubahan besar perlu
diperkenalkan dalam semangat cadangan Teng Chang Khim itu agar pusat-pusat ini
jika benar masih diperlukan, maka dipastikan benar-benar mejalankan aktiviti yang
sihat dan bersih tanpa ada peluang untuk menyelinap menjadi sarang maksiat.
Bukannya kita terus lulus tanpa had dan kajian.
Saya musykil apa sumbangan ahli-ahli majlis dari PAS yang
duduk di MPSJ dalam perkara ini? Jika dulu semasa zaman BN kita antara yang vokal
menyerang isu ini sekarang kita duduk sebagai kerajaan adakah kita masih vocal atau
duduk senyap mengizinkan perkara ini berlaku?
Semoga sekuarng-kurangnya pimpinan PAS bangkit menjelaskan
kenyataan terbaru pihak MPSJ ini. Jangan hampakan harapan tinggi para penyokong
dan mereka yang bersimpati dengan kita.