Pahala besar buat insan-insan istimewa
Bulan Ramadhan ini membuatkan saya terfikir akan betapa besarnya pengorbanan beberapa insan istimewa dalam hidup kita. Saya rasa pernah menulis bab ini dalam posting Ramadhan yang lalu namun memikirkan perkara ini penting buta pengajaran maka biarlah ia diulang-ulang.
Sebagai kanak-kanak dan remaja sudah pastilah Ramadhan dilihat sama ada suka atau tidak sebagai satu bebanan, terpaksa lari dari rutin hidup biasa, makan-minum berseronok-seronok. Terpaksa berlapar, berdahaga, mengawal syahwat dan pelbagai pantang-larang lain.
Kita sibuk membuat “adjustment” tetapi siapakah yang sebenarnya lebih sibuk dan terpaksa bertungkus-lumus buat kita? Sudah pastilah ibu tersayang masing-masing. Suka atau tidak si ibulah yang terpaksa memikirkan sahur dan buka anak-anaknya. Si ibulah yang akan lebih berkorban. Apalah tidur mereka berbanding tidur dan rihat kita. Si ibulah yang memasak, menanak air dan nasi, menggerakkan anak-anaknya agar jangan berpuasa tanpa sahur……..
Demikianlah besarnya pengorbanan insan bernama ibu. Kemudian apabila menjelang raya dialah juga yang sibuk-sibuk membuat persiapan buat anak-anaknya. Ke kedai, menjahit atau ke tukang jahit, anak-anak yang berlapar dalam bulan puasa masing-masing dengan seribu satu perangai, si ibulah menyeret diri membuat persediaan kerana Raya mesti istimewa buat anak-anaknya walaupun ala kadar tertakluk kemampuan masing-masing.
Berdayakah kita membalas semuanya itu?
Kini setelah berumah tangga, isteri mengganti tempat ibu. Si isterilah sibuk menyediakan lauk-pauk buat suami dan anak-anak. Suami yang lapar walau warak bagaimana pun terkadang akan masam-masam dan marah-marah melayan karenah isteri. Tetapi siapakah yang sibuk-sibuk memastikan perut si suami dan anak-anak diisi apabila berbuka dan bersahur nanti?
Besarnya pahala mereka ini dibulan puasa. Kita menyangka mahu memenuhi bulan ini dengan amal ibadat, mahu Ramadhan kali ini menjadi lebih baik dari yang lepas-lepas, rupanya pahala si ibu dan isteri kita jangan-jangan malah terkadang hampir pasti lebih besar dari kita.
Ya Allah kau balaslah jasa insan-insan istimewa ini dengan balasan yang setimplanya.
Dalam kita berlapar dan mempertingkat amalan di bulan penuh barakah ini, jangan sekali-kali lupa akan jasa ibu dan isteri kita. Sayangilah mereka.
No comments:
Post a Comment