Friday, July 31, 2009

Siapa yang sebenarnya lemah dan bersalah

Semasa merasmikan Mesyuarat Agung Umno bahagian Sg. Besar, Selangor (bahagian Khir Toyo) baru-baru ini, Naib Presiden Umno Zahid Umno telah seperti biasa melancarkan serangan ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor. Ternyata Umno termimpi-mimpi mahu menakluk kembali negeri ini setelah tiba-tiba terlepas kuasa dalam keadaan sedar tak sedar pada 8 Mac 2008 lalu. Mereka masih merawat diri dari mimpi ngeri yang samapi kini terus menghantui hidup mereka.

Banyaklah perkara yang menjadi sasaran Zahid tetapi antara yang saya masih ingat bahawa kerajaan baru ini tidak pandai mentadbir, contohnya isu perlantikkan ahli-ahli majli pun tidak selesai dan keduanya asyik sibuk mahu merampas dewan-dewan masyarakat.

Memandangkan Zahid sudah menjual maka perlulah kita membeli.

Rakyat melihat perbezaan besdar antara perlantikkan ahli-ahli majlis di zaman BN dan kini. Berikuit saya turunkan apa yang berlaku di zaman BN dan apa yang berlaku kini:

Dizaman BN ADUN-ADUN turut dilantik sebagai ahli-ahli majlis sehingga berlaku pertindihan kuasa dan percanggahan kepentingan. PBT sepatutnya merupakan kerajaan ketiga selepas kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan tetapi apabila ADUN dilantik bermakna sudah tiada lagi “check and balance” dan kecenderungan untuk berlaku penyalahgunaan kuasa itu besar. Kini ADUN tidak lagi dilantik sekaligus membebaskan PBT dari “dipergunakan” oleh mereka untuk kepentingan kedudukan masing-masing. Kini yang wujud adalah kerjasama harmonis yang menguntungkan semua pihak.

Dizaman BN ahli-ahli majlis dilantik bagi tempuh penggal 3 tahun dan biasanya tempuh ini dilanjutkan sesuka hati pihak berkuasa politik. Tiada tapisan tiada kajian prestasi. Rakyat terbelenggu dengan ahli-ahli majlis pilihan tanpa ada hak bersuara. Kini ahli-ahli majlis dilantik bagi penggal setahun ke setahun. Pihak PBT, ADUN dan kerajaan engeri terlibat dalam emantau prestasi mereka dan mana-mana yang tidak aktif akan digugurkan.

Dizaman BN lantikkan ahli-ahli majlis adalah berdasarkan kuota politik semata-mata, kini kerajaan negeri mewujudkan kuota NGO sehingga memberi laluan kepada masyarakat sivil memain peranan menurut kepentingan dan minat masing-masing.

Berlaku kelewatan sini-sana dalam perlantikklan ahli-ahli majlis ini bukan kerana Pakatan Rakyat tidak tahu mentadbir tetapi kerana prihatin dan serius dalam perananan PBT bukan seperti dizaman BN dahulu!

Kemudian isu dewan-dewan masyarakat. Maklumlah Umno/BN tidak pernah hilang kuasa di Selangor. Dewan-dewan masyarakat sebelum ini bagaikan milik mereka. Lalu apabila hilang kuasa, mereka menyangka dewan-dewan ini menjadi harta pusaka mereka sedangkan hakikatnya ia adalah hak kerajaan negeri, hak rakyat. Zahid patut memberi nasihat kepada orang-orang Umno/BN terimalah hakikat bahawa mereka di Selangor kini sebagai pembangkang bukan lagi kerajaan.

Hormatilah pilihan rakyat, kalau dewan-dewan ini kepunyaan kerajaan negeri walaupun bertatahkan simbol dan lambang Umno atau mana-mana komponan BN, serahkanlah kembali kepada kerajaan yang berkuasa, kan mudah. Akibat kedegilan dan keras kepala beberapa kerat anasir Umno, MCA dan lain-lain kini program-program rakyat yang mahu dianjurkan oleh kerajaan negeri tergendala.

Belilah bangunan sendiri, PAS dahulu begitulah semasa pembangkang.

Insyallah PR kekal berkuasa di Selangor.

Thursday, July 30, 2009

Berjayakah perang jenayah guna tenaga sukarelawan?

Pelbagai usaha digunakan untuk memerangi jenayah dalam negara. Walaupun pelbagai senjata, peluru berpandu, gas beracun digunakan dalam peperangan ini tetapi kadar jenayah tetap mencacak naik. Inilah agaknya bahana apabila manusia lari dari formula yang telah ditetapkan oleh Allah swt terhadap mereka selaku hamba-hamba Nya.

Ragut, rogol, bunuh, samun, culik, cabul semuanya bagaikan sesuatu yang biasa hari ini, berlaku berulang-ulang kali saban hari bagaikan tiada hentinya.

Kini terbit pula inisiatif baru dari Perdana Menteri. Melalui inisiatif barunya ini kadar jenayah jalanan (street crimes) mahu diturunkan sehingga 20% dalam tempuh 14 bulan. Baguslah kalau berjaya. Soal membenteras jenayah ini soal bersama. Ia tidak seharusnya terbatas oleh perbezaan fahaman politik. Orang BN orang Pakatan Rakyat orang tak berparti semuanya mahu ia dibenteras.






Dan salah satu usaha yang akan diambil kerajaan ke arah itu adalah menggembeling tenaga RELA untuk membantu dalam tugas-tugas ini. Sesuaikah begitu?

Tanpa mahu merendahkan anggota RELA yang rata-rata merupakan sukarelawan, saya merasakan mengerah tenaga anggota sukarelawan untuk membenteras jenayah yang semakin menjadi-jadi ini mungkin tidak mampu mendatangkan hasil yang baik. Kaslau anggota polis yang terlatih itu pun kecundang, bagaimana pula dengan RELA yang khabarnya 142 orang akan menjalani latihan 2 minggu sebelum dihantar membantu misi ini. 2 minggu???

Menurut Ketua Pengarah RELA dalam tempuh dua minggu itulah anggota RELA berkenaan akan dilatih prosedur jenayah, menangkap dan menahan serta hal-hal berhubung hak asasi manusia.

Saya merasakan usaha melepaskan anggota sukarelawan yang hanya dilatih 2 minggu untuk berhadapan dengan dunia jenayah, adalah satu kesilapan besar malah akan mengundang seribu satu bencana yang lebih besar.

Kalau bagi tujuan pembenterasan jenayah jalanan ini kekuatan polis yang bertugas perlu dipertingkatkan maka mengapa kerah RELA? Mengapa tidak kerah unit-unit polis yang ramai tetapi tidak terlibat dalam urusan ini? Mengapa tidak dikerahkan FRU contohnya membantu, dari membuang masa menjaga stadium ketika perlawanan bolasepak, atau menyibuki mengawal himpunan aman itu untuk membantu? Gunakan keperkasaan mereka menyepak terajang orang awam itu ke atas penjenayah pula, biar kita saksikan bersama nanti.

Begitu juga contohnya unit pancaragam polis, mereka yang menjalankan tugas-tugas perkeranian di pejabat, kerahkan mereka ini semua ke tengah jalan. Mengapa pula nasib dan kebajikan rakyat harus diperjudikan dengan anggota sukarelawan yang tidak terlatih, sedangkan hasil cukai rakyat dibayar untuk membiayai ketumbukan polis yang saya sebutkan ini.

Kalau benar jujur mahu memerangi jenayah ini, biarlah kita juga serius dan kemukakan idea yang praktikal dan munasabah. Anda bagaimana?
Terima kasih

Alhamdulillah saya dibenarkan keluar hospital kira-kira jam 11 pagi tadi.

Saya ucapkan terima kasih kepada para sahabat yang mendoakan dan memberikan semangat samada melalui blog ini, sms dan yang tidak putus-putus mengunjungi saya di hospital. Saya terpaksa melayan kawan-kawan di kedai mamak sebelah hospital malam tadi apabila ramai yang tidak dibenarkan masuk kerana hospital berkenaan mengenakan syarat ketat atas sebab-sebab tertentu.

Kebetulan seorang kerabat di Raja Brunei turut dirawat di sana disamping kematian kedua H1N1 juga berlaku di situ.

Sekarang saya berihat di rumah dan insyallah akan terus menulis selagi diberikan kekuatan oleh Allah swt berbuat demikian. Terima kasih juga atas nasihat-nasihat kesihatan yang diberikan oleh kawan-kawan. Hebatnya impak blog sehinggakan kawan-kawan yang sudah bertahun tidak berhubung tiba-tiba dihubungkan kembali apabila berita sampai melalui posting dari blog ini.

Terima kasih sekali lagi.
Hargai sensitiviti semua pihak

Satu perkara penting dalam membina sebuah negara Malaysia yang aman dan sejahtera tak kiralah apa jenama dan slogannya adalah kefahaman semua pihak tentang adat, budaya, kepercayaan masing-masing penghuni dan rakyat dalam negara tercinta ini.

Sejarah tidak dapat dipadam walau pahit bagaimanapun ia. Yang dahulu pahit mungkin kini tidak pahit lagi begitu juga sebaliknya. Sejarah membuktikan bahawa orang-orang Melayu atas tuntutan mahukan kemerdekaan bagi bumi ini akhirnya telah bersetuju memberikan hak kewarganegaraan kepada saudara-saudara yang turut menyumbang kepada kemakmuran tanahair ini disamping turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaannya. Maka lahirlah Malaya dan kemudiannya Malaysia yang merdeka dari asal negeri-negeri Tanah Melayu, yang terdiri dari warganya orang-orang Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang asli.

Kembali kepada realiti hari ini, kita sudah semakin dewasa dan sepatutnya semakin matang khasnya dalam kehidupan bermasyarakat yang majmuk namun muhibbah ini. Kita sudah belajar dari berbagai perisitiwa dan pengalaman bahawa di sana ada perkara-perkara yang tidak seharusnya kita sentuhn dan perkecilkan demi memelihara perpaduan yang telah lama dibina ini.

Isu hak orang-orang Melayu berhubung adat-istiadat dan agama dipelihara oleh Raja-raja Melayu, hak kebebasan penganut lain mengamalkan agama mereka terpelihara oleh perlembagaan negara begitu juga bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan hak pembelajaran bahasa ibunda masing-masing.

Saya membawa isu ini kerana sedih apabila sekali lagi isu berhubung masyarakat Islam menjadi kritikan dan dipolitikkan pula oleh pihak-pihak tertentu sekaligus mencerminkan masih ada pihak yang tidak menghargai apa yang telah sama-sama kita bina dengan darah dan airmata selama ini. Isu model yang dikenakan hukuman sebat kerana kesalahan minum arak di Kuantan itu adalah isu masyarakat Islam. (Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris Ahad lalu mensensasikan isu ini sehingga mempertikaikan hukum-hukum Islam, kononnya tiada disebut hukuman ini di dalam al Quran)

Ia melibatkan perundangan Islam dan ia dibicarakan di mahkamah syariah dan melibatkan orang-orang Islam. Kalau ada yang cacat yang kurang atau apa sahaja yang tidak kena biarlah ia dibahas dan dibincangkan dari kalangan masyrakat Islam sahaja.

Begitu juga apa sahaja isu berhubung masyarakat Kristian atau Hindu atau Buddha atau apa sahaja penganut warga Malaysia biarlah ia dibincangkan sesama mereka tanpa campurtangan mana-mana pihak kecuali isu itu turut melibatkan pihak-pihak lain.

Suka atau tidak akan ada sahaja pihak ekstrimis dan yang suka membuat kacau di luar sana. Kita seharunya menjauhkan diri dari kumpulan seumpama ini agar perpaduan yang telah dibina selama ini akan kekal seterusnya. Kita dibenarkan berbeza fahaman politik, anutan agama, tetapi janganlah perbezaan itu sehingga mencetuskan bencana yang akan meruntuhkan negara tercinta ini.

Wednesday, July 29, 2009

Salam hormat dari kamar hospital…..

Berbagai perkembangan sedang berlaku dalam negara kebelakangan ini. Antara yang pastinya tumpuan negara adalah pada inkues kematian mendiang Teoh Beng Hock bekas SETPOL ahli EXCO Selangor Ean Yong Hian Wah yang meninggal dunia secara misteri apabila didapati mayatnya terperosok di tingkat lima Bangunan Masalam iaitu selepas memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan tersebut. Semoga melalui inkues ini akan terbongkar dan terselongkarlah misteri kematian mendiang.

Sementara itu negara mencatatkan kematian ketiga akibat selesema A H1N1 apabila seorang lelaki dikatakan meninggal dunia Isnin lepas. Sekolah dan institusi pengajuan tinggi diperintah tutup dan usaha untuk menyekat menularnya wabak ini nampaknya tidak berkesan. Patikan kita masing-masing memgambil perhatian akan kesihatan diri terutama anak-anak kita. Dan berdoalah agar kita dan kaum keluarga serta kawan-kawan terpelihara dari wabak ini.

Menyentuh hal kesihatanini sebenarnya saya membuat posting ini dari katil hospital. Saya dimasukkan ke wad semalam selepas menghadiri mesyuarat majlis, apabila terasa sakit yang keterlaluan di bahagian pinggang belakang sebelah kiri. Kini doktor mendapat ada batu karang dalam buah pinggang saya. Saya masih menunggu rawatan selanjutnya. Doakanlah semoga saya selamat insyallah.

Saya redha akan apa yang menimpa saya ini sebagai ujian dari Allah swt. Begitulah kita manusia tidak sekali-kali akan sunyi dari ujian Allah swt, ujian kesihatan, ujian kekayaan, ujian aqidah. Oleh itu belajarlah bersukut dan bersabar, berlapang dada dan istiqomah dalam perjuangan.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (al Ankabut 2-3)

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al Baqarah 156)

Friday, July 24, 2009

Yang jelasnya sesuatu yang meragukan perlu ditinggalkan

Alhamdulillah Dato Seri Nizar hari ini membuat penjelasan darihal majlis kontroversi yang melibatkan beliau dan lilin. Beliau mendakwa majlis yang beliau hadiri itu bukannya upacara menyalakan lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock sebaliknya sidang akhbar mengenai majlis menyalakan lilin anjuran DAP.

Semalam dalam Utusan Malaysia Ketua Dewan Ulamak PAS Ustaz Dato’ Harun Taib berkata:

Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu." Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?""

Sebenarnya Pas telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita.

Baguslah semuanya telah jelas dan selesai. Apa pun berdasarkan perkembangan ini kita diajar bahawa majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian individu yang bukan Islam “syubahat” hukumnya dan perlu dijauhi atau dielakkan demi memelihara aqidah.

Nizar tidak hadir dalam upacara seumpama itu dan siapa-siapa pun yang Muslim berdasarkan pandangan Ustaz Harun ini tidak wajar menghadirinya, cukup sekadar mengucap takziah, ziarah tetapi tidak terlibat dalam upacara atau tradisi yang meragukan.
Terokailah jalan yang benar

Saya mendapat maklum bahawa YB Dr Lo’lo Dato Ghazali menafikan apa yang dilaporkan sebagai kenyataan beliau dalam The Malay Mail semalam (yang diulas oleh blog ini) melalui blog beliau http://docpearl.blogspot.com/

Menurut ahli parlimen Titiwangsa dari PAS itu

“Saya terkejut dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan ke atas model tersebut. Memang saya terkejut kerana ada juga Mahkamah Syariah di Malaysia yang berupaya menghukum pesalah dengan hukuman sebegitu walaupun peruntukkan tersebut telah lama ada. Tetapi baru sekarang hukuman sebegitu dijatuhkan bagi pesalah kesalahan tersebut. Saya amat bersetuju dengan hukuman tersebut kerana sekurang-kurangnya hukuman tersebut begitu hampir dengan hukuman Hudud. Di dalam Hudud, hukuman bagi pesalah minum arak adalah 40 kali sebatan malah ada ulamak yang mengatakan sehingga 80 kali sebatan. Sebelum ini tiada Mahkamah yang menjatuhkan hukuman sebegitu walau pun Mahkamah Syariah sepatutnya menghukum mengikut hukaman Allah tetapi di Malaysia ini hukuman yang dikenakan tidak seperti yang ditetapkan Allah dalam Al-Quran dan Sunnah”

Alhamdulillah syukurlah begitu.

Saya yakin semua mereka yang memperjuangkan Islam akan senada begitu, tiada yang akan mengkritik apa lagi mendakwa bahawa hukuman seumpama ini kuno atau zalim. Malah kita semua yang duduk dalam perjuangan Islam ini sejak lebih 50 tahun lalu berjuang agar hukum dan peraturan Islam yang kita junjung dapat akhirnya dilaksanakan sepenuhnya demi menuju keredhaan Allah swt.

Sementara itu sebagaimana yang diduga NGO yang mengaitkan pertubuhannya dengan nama Islam iaitu “Sisters in Islam” (sedangkan tindak-tanduknya banyak yang bercanggah) dalam akhbar hari ini (The Sun) mendesak agar kerajaan menyemak semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukum yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah. Menurut Pengarah Eksekutifnya Dr Hamidah Marican:

Hukuman sebat ke atas wanita bukan sahaja merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Malaysia malah mencabuli jaminan perlembagaan berhubung hak kesamaan.

Beliau mendakwa lagi bahawa menyebat wanita di bawah peraturan Kesalahan Jenayah Syariah bercanggah dengan undang-undang sivil yang tidak menghukum sedemikian ke atas wanita dan lelaki yang berumur sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 289 Kanun Acara Jenayah.

Kalau hukuman sebat mahu disemak semula apa kata SIS cadangkan agar al Quran dan Sunnah turut disemak ataun ditulis semula. Mungkin pakar-pakar yang hebat-hebat dalam SIS boleh membantu. Apa guna kita junjung al Quran jika ia pada pandangan kita banyak cacat dan cela.

Dalam hal ini jika kita jujur mahu memperjuangkan Islam atau mahu masyarakat kembali kepada Islam, maka lakukanlah ia sebagaimana yang ditunjukkan kepada kita oleh amalan dan sirah junjungan besar kita Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya. Berpegang dan pertahanklah Islam itu walau besar mana fitnah dan tekanan yang melanda. Biar kita tidak popular atau hilang sokongan manusia asal jangan hilang sokongan dan kasih sayang Allah dan Rasul Nya.

Wednesday, July 22, 2009

Hukumlah mereka yang maksiat jangan dibela

Kita semua akui bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam oleh kerana ia tidak melaksanakan sepenuhnya tuntutan Islam sebagaimana yang termaktub dalam al Quran dan Hadis. Perlembagaan dan undang-undang yang diguna pakai dalam negara adalah sekular dan tidak bertunjangkan perintah dan hukum-hakam Allah dan Rasul Nya.

Apa yang ada sekadar undang-undang pentadbiran Islam negeri-negeri yang sekadar melibatkan aspek nikah-kahwin, harta pusaka dan beberapa bab berkenaan jenayah yang tidak pun sekelumit dari hukum yang asalnya.

Namun demikian kita dapati usaha untuk menghidupkan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar ini terus diusaha dan diperjuangkan. Walaupun mungkin undang-undang pentadbiran Islam yang sedia ada dhaif dan lemah, ini tidak bermakna kita tidak boleh menggunakannya sebagai batu loncatan ke arah menzahirkan keadilan dan kesempurnaan Islam, jika kita mahu.
Kalau kita perhatikan sejak kebelakangan ini walaupun berhadapan pelbagai kekangan para pegawai dan para hakim mahkamah-mahkamah ini berusaha juga untuk mengheret agar mesej Islam itu dapat dilihat dan dirasai umum.

Atas kitalah mahu memartabatkannya selain pihak-pihak lain berusaha melalui ruang politik dan seumpamanya untuk memimpin rakyat agar menerima Islam sebagai addeen.

Perkembangan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan baru-baru ini umpamanya mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius dalam kerja-kerja mencegah kemungkaran. Kalau dahulu para pesalah yang disabitkan kesalahan sekadar menerima hukuman ringan bagaikan melepaskan batuk ditangga, kini mereka yang terlibat menimbang dengan mata akhirat dan akur bahawa yang pentingnya walaupun kita tidak syarie sepenuhynya, sekurang-kuranya segala ruang yang ada diguna semaksima mungkin agar umat Islam berkejar-kejar mengerjakan amalan yang baik-baik dan benci serta meninggalkan segala bentuk maksiat dan kemungkaran.

Di Kuantan seorang wanita Islam yang bekerja sebagai model samblian dijatuhkan hukuman maksima denda RM5,000 dan 6 kali sebatan rotan kerana kesalahan meminum arak iaitu di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987. Menurut rekod pada bulan Januari lalu mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman sama ke atas satu pasangan yang melakukan kesalahan yang sama.
Untuk makluman mengikut hukum syarak kesalahan meminum arak ini dihukum 80 kali sebatan.

Memang nampak bagaikan keras hukuman itu tetapi apalah 6 rotan berbanding 80, apalah hukum manusia berbanding hukum Allah. Dalam Berita Harian hari ini khabarnya wanmita berkenaan telah pun membayar denda RNM5,000 itu dan meminta agar hukuman sebat itu segera dikenakan ke atasnya. Mudah-mudahan beliau insaf dans egera bertaubat serta tidak mengulangi keselahan ini lagi. Mudah-mudahan hukuman dan kes ini menjadi iktibar kepada yang lain, jangan lagi cuba-cuba untuk berjinak melakukan kesalahan yang sama.

Walaubagaimanapun saya terperanjat apabila membaca akhbar The Malay Mail hari ini http://www.mmail.com.my/content/8727-shock-over-whipping-sentence apabila dilaporkan ada pula ahli parlimen dari Parti Islam SeMalaysia PAS yangs ekana tidak bersetuju dengan hukuman yang dikenakan. Beliau dipetik sebagai berkata:

Hukuman yang dijatuhkan mestilah lebih untuk mendidik dan bukannya mencederakan seseorang wanita untuk mmberikan pengajaran. Menurut beliau lagi hukuman sebat adalah terlalu kasar (walaupun beliau akui tidak tahu bagaimanakah cara sebatan yang bakal dikenakan).

Alngkah lebih baik sebagai wakil PAS kita menyokong tindakan ini dan menjelaskan darihal kewajarannya, tetapi tidak kita memilih untuk menjadi juara dan tidak sedar bahawa tindakan kita itu telah mencetuskan syak wasangka dan peluang bagi mereka yang sememangnya anti syariah untuk menyerang balik Islam.

Bukankah kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan PAS Terengganu satu waktui dahulu pernah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah yang menghukum lebih berat lagi pada mereka yang melakukan kesalah seumpama ini?

Apa pun kembalilah kita kepada al Quran dan Hadis. Biarlah Allah dan Rasul yang menjadi ikutan dan penentu kehidupan kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

(untuk makluman ahli parlimen PAS itu berikut penerangan yang diberikan oleh Ketua Pendakwa Syarie negeri Pahang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkenaan cara hukuman sebat ini dijalankan: “Sebatan akan dilakukan dengan kekuatan sederhana dan selepas melakukan satu sebatan, pelaksana hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya (melibas). Kebiasaannya sebatan hanya meninggalkan kesan merah dan tidak memudaratkan sehingga mampu memecahkan kulit,")

Tuesday, July 21, 2009

Benarkah saya telah dikorbankan?

Saya memang tidak berhajat mendedahkan apa-apa berkenaan isu ini. Saya menganggap ia sebagai suatu dari banyak ujian dan cabaran yang perlu ditempuh dalam menggalas beban perjuangan yang sangat besar dan mencabar ini. Mereka yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah swt bukannya kerana mana-mana individu atau kumpulan.

Tetapi rupa-rupanya ada juga pihak yang rajin menangguk di air keruh. Ianya tidaklah menghairankan saya kerana memang sejurus selepas muktamar lalu sudah memang ada beberapa kerat anasir yang telah menggunakan blog mereka masing-masing untuk mensensasikan perkara ini, “menggoreng” tulisan mereka mengikut selera dan nafsu maklumlah hajat hati nak memeluk gunung, tetapi akhirnya tangan tak sampai.........lalu angkara kecewa maka tak dapat tanduk kalau perlu telinga dipulas, dipulaslah juga asalkan puas.

Petang tadi saya dihubungi oleh pemberita dari Malaysiakini. Beliau meminta saya mengulas maklumat yang beliau perolehi katanya dari seorang pimpinan kanan dari kumpulan “Erdogan” (beliau yang katakan begitu bukan saya). Menurut sumbernya itu saya digugurkan dari jawatan Setiausaha Akhbar Presiden atas desakan kumpulan tertentu dalam parti. Saya dikatakan “instrumental” dalam kononnya mempengaruhi Presiden dalam membawa isu-isu tertentu termasuklah kononnya rundingan sulit dengan Umno dan kerajaan perpaduan.

Saya tidak boleh berselindung-selindung lagi kerana nampaknya ada pihak yang memang mahu mensensaikan perkara ini. Terus terang saya nyatakan sehingga kini saya sendiri tidak dimaklumkan oleh sesiapa secara rasmi tentang perkara ini. Saya memahami ini mungkin kerana masing-masing pihak tidak mahu ianya disensasi dan dipolitikkan.

Tetapi apabila ada jolokkan “nakal” maka sebagai manusia biasa saya punya maruah untuk dijaga dan hak untuk membela diri. Kalau keterlaluan saya mohon maaf, tetapi nampaknya golongan berkepentingan tidak pula segan-segan atau berasa apa-apa jadi mengapa pula saya perlu begitu.

Saya memang awal-awal ada mendengar khabar yang saya bakal dipulas-pulas angkara kekecewaan beberapa pihak. Ada yang mengatakan bahawa tokoh tertentu meletakkan syarat kalau mahu beliau dilantik si anu dan si anu perlu dinyahkan. Dalam perjuangan ini saya sudah sentiasa bersedia untuk menerima risiko, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Saya dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Presiden pada tahun 2007 lalu. Ianya bagi saya satu penghormatan besar kerana diberi peluang berkhidmat kepada salah seorang tokoh yang paling saya hormati yang telah banyak mempengaruhi pandangan dan sikap saya terhadap perjuangan ini sejak usia muda saya. Tetapi satu rahsia, saya tahu perlantikkan ini bukannya dicalonkan oleh beliau tetapi pihak lain namun kerana jiwanya besar, Presiden menerima pencalonan itu walaupun beliau secara peribadi tidaklah mengenali saya yang kecil ini ketika itu.

Kerana itu saya masih ingat apabila ada pihak mengadu pada beliau kononnya saya ini (pada satu peringkat setelah dilantik) bagaikan anasir subversif dalam parti, beliau berkata bukankah kamu (sipengadu) dan rakan-rakan yang mencalonkan nama saya dahulu...........

Sepanjang berkhidmat untuk beliau dari tahun 2007 ke 2009 saya cuba memberikan khidmat terbaik saya walaupun saya akur ianya penuh dengan kekurangan. Saya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan beliau yang akan menghubungi saya apabila ada keperluan dan apabila sahaja beliau berada di KL. Setiap kenyataan media beliau itu terbit dari pancaran hati dan pemikirannya tidak ada yang saya bikin sendiri kecuali menyusunnya menjadi satu kenyataan yang kemudiannya dikirim ke pihak media.

Saya juga terlibat dalam menulis kata-kata aluan beliau untuk terbit dalam mana-mana buku cenderamata atau karya sesiapa yang mahu diterbitkan, tetapi semuanya berasaskan rangkuman idea dan pemikiran beliau bukannya pandai-pandai saya sendiri. Segala tulisan dan karya serta pandangan beliau menjadi rujukan saya.

Saya tidak pernah terlibat dalam melahirkan apa-apa gagasan atau idea besar buat beliau kecuali semuanya hasil penelitian dan ilmu serta limpahan pengalaman beliau sendiri. Memang kekadang saya dan rakan-rakan ada diajak berbincang dengan beliau tetapi untuk melahirkan satu idea untuk beliau bawa, demi Allah tidak pernah saya lakukan. Bohong dan fitnahlah malah bagi saya merendah-rendahkan kemampuan dan kewibawaan beliualah kiranya ada yang beranggapan bahawa sayalah yang melahirkan idea buat beliau selama ini.

Saya ingat pernah seorang tokoh meminta saya supaya memberikan nasihat (advice) kepada Presiden, lalu saya katakan bahawa saya ini bukan penasihatnya tetapi seorang pekerjanya.

Ringkaskan cerita benarkah saya digugurkan sebagai Setiausaha Akhbar Presiden? Saya tidak dimaklumkan begitu kerana setahu saya tempuh perkhidmatan saya tamat sejurus selesai muktamar lalu. Memang saya diberitahu bahawa ada pihak mahu saya digugurkan atas alasan terlampau banyak memegang jawatan (walaupun sebelum ini ada juga tokoh tertentu yang banyak juga pegang jawatan), entahlah, tetapi saya difahamkan lantaran syor itu saya disarankan membuat pilihan. Tetapi tiada pula yang mendekati saya untuk membuat pilihan itu.

Lalu apabila PAS Selangor menawarkan saya sebagai Ketua Penerangan Negeri, maka saya menerimanya kerana merasakan saya mahu beri tumpuan pada Selangor, dan kalau kehadiran saya sebagai Setiausaha Akhbar sekadar mengundang fitnah apalagi buat Presiden yang saya kasihi biarlah saya melepaskannya.

Adakah saya menjadi mangsa korban pertembungan dua aliran besar dalam PAS, tak dapatlah saya menjawabnya, tetapi saya masih hidup, dan akan terus aktif dalam parti kerana saya berjuang bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah swt.

Sebenarnya semasa saya menerima jawatan SU Akhbar dahulu saya terpaksa melepaskan jawatan Ketua Penerangan Selangor untuk beri tumpuan pada Presiden. Akan tetapi apabila berlaku rombakan dalam kabinet PAS Selangor sebelum muktamar baru-baru ini saya dirayu agar menerima kembali jawatan Ketua Penerangan ini bagi menggantikan Ketua Penerangan ketika itu yang digugurkan. Saya menerima tanpa berfikir panjang tetapi rupanya apabila saya maklumkan kepada Presiden saya perhatikan beliau tidak berapa bersetuju.

Memang saya bersembah durhaka ketika itu kerana kedua-dua jawatan ini merupakan minat saya, bukannya gila kuasa.

Oleh itu kini apabila ada yang mempertikaikan dan pinta saya buat pilihan, walaupun belum secara rasmi lagi, saya terpaksa akur dan membuat pilihan.

Bagi saya individu dan puak tidak penting yang penting adalah dasar dan perjuangan parti. Biarlah Islam terus berkembang subur dan terus diterima masyarakat sehingga berjaya memerintah dan membimbing ummah. Islam perlu kuat, berdiri teguh laksana satu bangunan yang kukuh. Memang ia tidak akan sunyi dari fitnah dan cabaran tetapi perjuangan perlu diteruskan dan kekuatan pemimpin terletak pada mereka yang mampu menyatupadukan ummah.

Saya yakin pada kepimpinan ulamak kerana itu saya memilih untuk bersama PAS dan saya yakin begitulah juga jutaan yang lain. Islam insyallah akan menang jika tidak hari ini esok, jika tidak dalam hayat kita nanti pada hayat anak-cucu jenerasi yang mendatang. Tiada siapa yang dapat menghancurkannya, walau segagah dan sejahat mana sekalipun mereka itu.

Allahu Akbar!

(Berikut adalah artikel dalam Malaysiakini bertajuk “SU Hadi jadi korban konflik PAS” http://www.malaysiakini.com/news/108939)

Monday, July 20, 2009

Jangan benci PAS kerana mengikut Norman

Norman Fernandez adalah seorang peguam dan beliau sebagaimana ramai rakyat Malaysia hari ini memiliki blognya sendiri. Saya tidak pernah mengunjungi blog beliau sehinggalah dimaklumkan oleh kawan-kawan tentang posting terbarunya yang dikira “panas”.

Posting terbarunya itu berbunyi: “Bila kerajaan PAS robohkan gereja”.

Dimuatkan beberapa keping gambar gereja orang asli di Kg Jias, Gua Musang, Kelantan. Kemudian ditulis dalam postingnya itu:

“Pada 16 Julai 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Baru, Tuan Mohd Azlan Hashim telah mendapati perobohohan gereja yang dilakukan pihak berkuasa adalah tidak sah dan salah serta mendapati tindakan pihak berkuasa selepas merobohkan gereja mencuba mendirikan balai raya menggantikan gereja sebagai menceroboh tanah Orang Asli. Mahkamah telah memerintahkan bahawa ketiga-tiga Defendan membayar ganti-rugi.”



gambar dari blog Norman



Kes ini merujuk kepada tindakan yang dilakukan oleh Pejabat Daerah Gua Musang pada 4 Jun 2007 lalu iaitu merobohkan sebuah binaan haram dalam kawasan pentadbirannya setelah memberikan notis dan makluman.

Norman menulis lagi:

“Alasan pihak berkuasa untuk merobohkan bangunan ini adalah kerana Orang Asli Kg Jiras yang beragama Kristian telah membina bangunan ini sebelum mendapat kebenaran pihak berkuasa. Tetapi hakikat sebenarnya ialah bangunan itu dirobohkan tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana ia adalah sebuah gereja.”

Sebagai seorang peguam saya pasti beliau berhati-hati dalam penulisannya tetapi saya yakin ayatnya yang kedua itu agak provokatif dan cuba membuat tohmahan dan memanaskan hati dan telinga pembacanya.

Hakim tidak pula memutuskan bahawa PBT Gua Musang didapati bertindak jahat sehingga sewenang-wenang merobohkan bangunan gereja itu semata-mata kerana ia gereja! Malah Norman menambah lagi pandangannya dengan menyebut:

“Adakah pihak berkuasa tempatan akan merobohkan bangunan tersebut jika Orang Asli Kg Jiras mendirikan rumah ibadat agama lain yang disenangi pihak berkuasa dan kerajaan PAS? Malahan apabila pihak berkuasa menyatakan kesedian untuk membina sebuah balai raya (dan bukannya membina gereja) menggantikan gereja yang diroboh ditempat lain untuk Orang Asli Kg Jiras, ini menunjukkan dengan jelas betapa kurang senang PAS melihat kehadiran sebuah gereja.”

Sebenarnya semasa saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Presiden PAS dahulu, semasa kejadian ini sejurus mengetahuinya saya segara menghubungi SETPOL Tuan Guru MB Kelantan untuk emndapatkan penjelasan selain rakan-rakan lain dalam PAS Kelantan. Ternyata tindakan PBT Gua Musang itu adalah tindakan pentadbiran yang tidak ada kena mengena dengan apa-apa tekanan politik. Saya malah ditujukkan notis-notis yang telah dikeluarkan oleh pihak PBT Gua Musang.

Norman ternyata cuba menggambarkan seolah PAS benci kepada gereja dan akan merobohkan apa sahaja binaan gereja sekiranya ia berpeluang. Gambaran ini sudah pastilah tidak tepat dan sangat tidak adil terhadap PAS.

Saya juga punya maklumat tentang persengketaan antara masyarakat Orang Asli yang beragama Islam (yang khabarnya majoriti di sana) dan yang beragama Krisitian di sana. Tetapi menulis dan mengadu-domba hal ini hanya akan mengeruhkan hubungan dan mencetusdkan perasaan syak wasangka dikalangan rakyat Malaysia yang berbeza agama.

Mahkamah telah membuat keputusan, ia dapati tindakan PBT Gua Musang salah dan ia perlu bayar pampasan. Mengapa kita bangkit dan heretkan sentimen agama dalam hal ini? Mengapa kita perlu kaitkan kononnya inilah tindakan PAS yang sememangnya benci pada Krisitian?

Saya pernah menulis dalam satu posting saya tentang satu cerita yang dibawa oleh sahabat saya Sdr Hu Pang Chau dari Kelantan. Ia tiada kaitan dengan kejadian di Gua Musang di atas tetapi sekadar mahu menzahirkan kebenaran.

Hu pernah menceritakan saya tentang satu insiden di Kota Bharu yang melibtakan Tok Guru MB Kelantan dan sebuah gereja di Kota Bharu. Saya ingat gereja itu kerana saya pernah menghadiri tadikanya ketika kanak-kanak dahulu (sekitar tahun 60an). Gereja itu adalah The Church of Our Lady Fatima. Di atas bagunan komplek gereja ini terdapat satu binaan salib yang besar.

Tok Guru MB Kelantan akan melalui jalan gereja ini setiap hari bagi menuju ke pejabatnya. Ringkas cerita satu hari Tok Guru perasan bahawa binaan salib itu telah tiada. Menurut Hu beliau segera memanggil para pegawai termasuklah tak silap salah seorang EXCOnya. Beliau arahkan untuk disiasat adakah pihak PBT telah bertindak menurunkan salib itu dan jika betul mengapa.

Akhirnya setelah disiasat pihak gereja memaklumkan bahawa salib itu diurunkan oleh mereka sendiri kerana komplek gereja melalui proses pengubahsuaian.

Moralnya begitulah prihatinnya seorang MB PAS terhadap kebajikan rakyatnya termasuklah penganut agama lain. (bukan hanya di Kelantan malah di Kedah dahulu Terengganu termasuklah Selangor dimana sahaja PAS punya kuasa) Bagi saya Norman keterlaluan dalam menuduh secara umum bahawa PAS memang bencikan agama lain dan akan bertindak sesuka hatinya jika berpeluang.

Janganlah membantu pihak yang bencikan PAS dan Islam. Dapatkan gambaran sebenarnya tambahan sebagai seorang profesional sepatutnya fakta dan bukan emosi yang dijadikan bahan hujah dan tulisan.

Segera tubuh Suruhanjaya Di Raja

Saya tidak sempat mengenali mendiang Teoh secara dekat walaupun pernah hadir dalam majlis bersama beliau. Teoh adalah Setiausaha Politik YB Ean, EXCO kerajaan Selangor yang mayatnya dijumpai terperosok di Plaza Masalam Shah Alam setelah dikatakan jatuh secara misteri dari Pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.




gambar MStar


Teoh pergi ke SPRM sebagai seorang saksi bagi membantu SPRM dalam siasatan mereka terhadap bosnya. Beliau pergi (menurut rakan dari DAP) dengan senang hati dan tenang, memandu kereta sendiri jam 5 petang, disoal-siasdat sehingga jam 3.45 pagi dan esok tengaharinya mayatnya dijumpai.

Teoh bukan suspek tetapi saksi, Teoh dilaporkan akan melangsungkan perkahwinannya hari mayatnya dijumpai.........dan hari ini beliau sudah tiada.

Tidak kiralah siapa Teoh, anak Cina yang mungkin anda tidak kenal pun, tetapi beliau seorang insan yang dijadikan oleh Allah swt, punya keluarga dan keturunan, bukan haiwan bukan tumbuhan. Malah haiwan dan tumbuhan pun kalau mati secara misteri, kita prihatin tetapi inikan pula sesama insan.

Bayangkan hati ibu-bapa dan kaum keluarganya, bayangkan hati tunangnya.

Ini bukan soal DAP atau Pakatan Rakyat atau BN. ini soal kemanusiaan. Beliau mati dan alasan kematiannya tidak meyakinkan sesiapa pun yang waras. Lantas demi meredakan suasana, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pihak-pihak yang terlibat samada secara lansgung atau tidak dan demi mematikan spekulasi wajarlah kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Di Raja yang dianggotai oleh ahli-ahli yang bebas namun berwibawa.

SPRM tidak boleh menyiasat, begitu juga polis, biarlah dalam hal ini semuanya bebas belaka.

Siapa pun kita, saya percaya kebenaran dan keadilan itulah yang kita mahukan.

Takziah kepada kamu keluarga mendiang. Allah selamatkan Malaysia!

Thursday, July 16, 2009

Islam mampu memimpin perubahan di Kedah

Tidak keterlaluan jika saya sebutkan bahawa salah seorang Menteri Besar PAS yang menzahirkan kualiti kepimpinan Islam yang berjaya memikat dan menambat hati musuh dan kawan adalah Ustaz Datuk Seri Azizan Abd Razak, Pesuruhjaya PAS Kedah. Dalam tempoh setahun PAS memerintah Kedah melalui Pakatan Rakyat beliau dan anggota EXCO serta seluruh ADUN kerajaan telah berjaya mengelakkan kerajaan dari terlibat dalam sebarang kontroversi besar dan bertembung dengan mana-mana pihak secara terbuka.

Hubungan beliau dengan kakitangan kerajaan adalah baik dan malah begitu juga dengan Istana Kedah. Jika pun ada konflik-konflik kecil, ia berjaya diurus dengan bijak tanpa menjejaskan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan para pelabur.





Hari ini akhbar tempatan memaparkan kejayaan beliau merealisasikan menjadi Kedah sebuah negeri yang membangun. Beliau berjaya juga menegakkan sebuah projek mega di Kedah. Walaupun projek mega penyaringan minyak (oil refinery) di Yan, Kedah ini menghadapi pelbagai tentangan dan cabaran sehingga ada yang menjangkakan ia bakal gagal, Ustaz Azizan berjaya membuktikan sebaliknya.

Pendekatan beliau yang berhemah dan berbaik dengan semua demi kepentingan rakyat dan negeri akhirnya memungkinkan projek RM36 billion ini, iaitu yang terbesar dalam negara menjelang 2014 kini menjadi nyata.

Projek yang dikendalikan oleh Merapoh Resources Corporation ini bakal menyaksikan pembinaan sebuah pusat penyaringan dan penapisan minyak di kawasan seluas 950 ekar di Yan, Kedah. Melaui projek ini nanti syarikat pengendalinya akan mengimpot minyak mentah dari Timur Tengah yang akan diporoses di sini untuk kemudiannya di ekspot ke pasaran China dan lain-lain negara di Asia.

Ia dijangka menghasilkan 350,000 tong minyak sehari.

Projek ini kelak akan menyaksikan Merapoh menawarkan 30% daripada kontrek binaannya kepada kontraktor tempatan. Ian anti bila siap akan memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 500 jurutera dan para professional selain 1,000 kakitangan lain.

Semoga Ustaz Azizan dan sahabat-sahabat di Kedah akan berjaya dengan izin Allah, kita zahirkan kemampuan dan keunggulan kita kepada semua. Buktikan Islam mampu memimpin perubahan. Syabas!
Isu penggantungan ahli dewan Selangor:
Jangan zalim seperti mereka


Atas kesalahan gagal menghadiri pendengaran awam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS), bekas MB dan ADUN Sg Panjang, Dr Khir Toyo, dijatuhkan hukuman digantung dari menghadiri sidang dewan selama 12 bulan dan elaun serta keistimewaannya sebagai ADUN turut digantung selama tempoh itu.

Sementara itu 4 ADUN lain iaitu dari Dengkil, Sabak, Hulu Bernam dan Batang Kali digantung keahliannya dan elaun serta keistimewaannya selama 6 bulan kerana menghina SELCAT melalui akhbar.

Keputusan ini dibuat dalam persidangan DUN Selangor semalam.

Sekali lagi saya terpaksa menyatakan bahawa kerana tindakan mereka itu memang wajar sangat ADUN-ADUN BN dari Umno itu digantung keahliannya. Tidak ada guna mereka menjadi ahli dewan jika tidak mahu atau enggan menghormati dewan, peraturannya serta institusi yang ditubuhkan olehnya. Dewan adalah merupakan badan legislatif tertinggi diperingkat negeri, ia adalah sebuah badan yang mencerminkan ketamadunan negeri serta amalan demokrasi yang merupakan tunjang kekuatan negeri.

Di Dewanlah segala isu dan permasalahan rakyat dibincang dan diputusakan, serta segala dasar dan perturan berhubung penghidupan rakyat dan kebajikan negeri diaturkan. Suara dan kehendak rakyat diwakili oleh ADUN-ADUN ini. Kerana itu tugas dan tanggungjawab mereka penting dan mereka dipandang tinggi oleh masyarakatlantaran kedudukan mereka itu.

Kerana biadap dan kerana tidak beradab ADUN memang wajar diajar dan diambil tindakan agar kewibawaan dewan dipelihara.

Saya boleh terima penggantungan ADUN-ADUN ini tetapi tindakan menggantung sekali elaun dan keistimewaan mereka sebagai ADUN saya kira agak keterlaluan dan mirip kepada satu kezaliman. Hakikatnya mereka bukan sekadar wakil rakyat di dewan tetap juga dikawasan mereka masing-masing. Rakyat di kawasan mereka telah memberikan mandate kepada mereka, menghukum mereka dengan menggantung elaun dan keistimewaan mereka itu bagaikan menghukum rakyat yang memilih mereka.

Ini bukan soal Khir Toyo dan rakan-rakan, seingat saya PAS dan DAP serta juga PKR memang tidak pernah dapat menerima hukuman seumpama ini. Semasa BN memerintah Selangor dahulu YB Teng Chang Khim yang kini Speaker DUN pernah digantung dari dewan dan digantung elaunnya. Kita bangkit menentang kerana elaun pada kiraan kita ketika itu merupakan hak ADUN itu masing-masing kalaupun dirasa ia wajar digantung dari dewan, mengapa gantung elaunnya sekali?

Semasa ahli parlimen Batu Gajah YB Fong Po Kuan dikenakan tindakan sama oleh Dewan Rakyat kita masing-masing menentangnya sehingga membuat kutipan bagi membiayai YB itu kerana merasakan tindakan terhadapnya itu terlalu zalim.
Dalam proses demokrasi dan amalan badan legislative, penggatungan dari dewan adalah amalan biasa, tetapi menggantung sekali elaun seseorang itu pada saya zalim dan tidak harus diamalkan oleh kerajaan yang didokong oleh rakyat atas nama keadilan dan ketelusan.

Kita mendirikan sebuah kerajaan yang adil dan diterima masyarakat sivil atas runtuhan sebuah kerajaan zalim yang umpama jahiliyah yang ditolak rakyat. Jika kita pun beramal bagai amalan mereka, maka apa bezanya kita. Saya tidak berniat mahu membela Khir dan konco-konconya, mereka dahulu zalim dan kini mereka menghina dewan memang padan mereka dihukum tetapi hukuman itu biarlah berpatutan. Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

Wednesday, July 15, 2009

Iktibar disebalik Manek Urai

Bahang pertarungan dan pergelutan di medan Manik Urai telah pun reda dan selesai. Syabas diucapkan kepada Sdr. Mohd Fauzi Abdullah , laksanakanlah amanah yang diberi oleh rakyat itu sebaik mungkin sebagai wakil yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian PAS itu walaupun dengan majoriti yang amat tipis kerana PAS lah satu-satunya wadah harapan yang kekal dengan prinsip dan dasar perjuangannya.

Tidak keterlaluan dikatakan PAS menang bukan lebih kerana calonnya, jenteranya atau mana-mana pemimpinnya, tetapi PAS menang lebih kerana Islam, bukan hanya di Manek Urai malah seluruh negara dari Perlis hingga ke Johor, bukan hanya PRU ke 12 malah sejak Merdeka warna Islam yang ia kibarkan itulah yang membawa barakah dan menyejukkan hati rakyat untuk mengundinya.

Kemenangan di Manek Urai ini merupakan “hatrick” ataupun kemenangan tiga kali berturut-turut buat PAS dari Kuala terengganu ke Bukit Gantang dan kini Manek Urai, suatu pencapaian luar biasa dan perkembangan baru buat parti dan gerakan Islam ini. Namun yang ketara cumalah kalau kemenangan yang sebelumnya iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, besar dan membanggakan (walaupun kita tidak memerintah Terengganu dan baru sahaja terlepas kuasa di Perak), walaupun bertembung dengan jentera BN yang bagaikan gergasi berkaurng emas, di Manek Urai undi kita merosot, majority kita susut dab BN berjaya menambahkan bilangan undi mereka.

Kita menang dengan majoriti 65 undi berbanding 1352 undi majoriti yang kita perolehi pada PRU ke 12 lalu. Benar “a win is a win” walau dengan 1 undi, namun sebagai sebuah gerakan Islam, parti yang bertunjangkan adab dan prinsip Islam, kita perlu bermuhasabah menyaring dan merenung dimana kekurangan dan kesilapan kita kalau mahu dibandingkan dengan di Kuala Terengganu dan di Bukit Gantang. Biar kita berterus-terang, jujur demi kelangsungan perjuangan yang maha suci ini.

Kita perlu akui suasana di Manek Urai berbeza dengan suasana mana-mana pilihanraya kecil yang melibatkan PAS sejak tahun 50-60an lagi. Suasana agak kelam, ikatan ukhuwah dan mahabbah berjemaah bagaikan diuji di sana. Kalau sebelum ini jika pun ada perbezaan pandangan sesama kita, tetapi apabila terjun ke medan perang segala-galanya diketepikan. Keutamaan adalah mempamirkan satu saf ketumbukan yang padu dan kemas bagi menggerun dan menghadapi musuh. Di Manek Urai kali ini secara jujur saya nyatakan ia tiada malah sebaliknya strategi dan pendekatan asing dibuat sehingga saf tampak tidak kemas, longgar dan renggang.

Ada yang boleh turun, ada yang dilarang. Ada poster yang boleh naik ada yang tidak. Ada yang disusun dan dibenarkan ceramah ada yang tidak. Malah ada pula yang menggunakan gelanggang untuk menyindir dan merendah-rendahkan sesama jemaah. Maaf ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ahli-ahli secara matang melayan karenah ini walaupun hati luka dan gelisah. Kita tidak mahu menzahirkan kelemahan kita walaupun ada yang ghairah begitu. Tetapi kita tidak berdaya menahan persepsi mereka yang di luar saf. PAS dilihat berbeza di Manek Urai, bukan PAS yang biasa-biasa. Kerana itu samada kita sedari ataupun tidak mereka yang di luar saf yang sebelum ini pernah memenangkan kita, kini rimas dan tidak selesa dengan gelagat kita. Mereka percaya dan kasih pada PAS tetapi PAS kali ini tidak tampak bagaikan yang selalu-selalu.

Biarlah kita berlapang dada dan menyelami kekurangan ini dengan penuh adab dan disiplin Islam. Pasti ada hikmah disebaliknya.

Apa pun kepada yang ikhlas yang telah bertungkus-lumus kerana percaya pada PAS dan prinsip perjuangannya, syabas saya ucapkan. Doakanlah PAS kekal sebagaimana asalnya. Buangkan yang keruh ambil yang jernih.

Tuesday, July 14, 2009

Perkembangan yang membimbangkan............

Sejak berlaku kes DAP keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah (yang telah pun selesai dan kembali tenang), sebelum itu kes pemecatan ahli majlis PKR di Pulau Pinang dan isu Kg Buah Pala, ramai menjangkakan ketenangan yang Pakatan Rakyat raih selepas PRU ke 12 dahulu kini bertukar kacau. Tambah di Selangor pun EXCO DAP bertelagah dengan ADUN PKR secara terbuka.

Apakah ini tanda-tanda Pakatan Rakyat menuju kehancuran?

Memang pihak musuh politik PR terus sahaja menalakan senjata ke arah PR. Mulanya kerajaan Kedah dikatakan akan jatuh (macam Perak), Pulau Pinang pula retak dan kini Selangor pula dikatakan menuju ke arah perpecahan.

Ini semua mencetuskan kebimbangan dikalangan para penyokong dan rakyat jelata yang telah memberikan sokongan dan undi kepada PAS, PKR dan DAP dalam PRU lalu. Malah kejadian di Perak dijadikan cermin betapa kerajaan negeri PR mudah sahaja jatuh jika masalah berlarutan.

Memanglah BN girang apabila musuh politiknya sakit begitu juga PR terhadap BN. Tetapi solanya apakah kesan ini mampu merobohkan sebhuah kerajaan negeri?

Di Kedah momokkan dan serangan BN dan konco-konconya ternyata tidak berkesan. Akhirnya semangat tolak-ansur yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri terserlah, lalu biduk lalu kiambang bertaut, kerajaan Kedah pimpinan Ustaz Datuk Seri Azizan Abd Razak kekal bertahan sekaligus menyejukkan hati rakyat.

Apa lagi di Pulau Pinang yang mana pegangan PR begitu kukuh, saya tidak yakin masalah kecil yang berlaku di sana mampu membawa kepada rebahnya sebuah kerajaan negeri sebagaimana yang diimpikan oleh para Mat Jenin BN.

Begitulah juga halnya di Selangor.

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah ujian yang menguji kematangan PR samada dari PAS, DAP atau PKR untuk mengurus perselisihan tanpa menjejaskan semangat setiakawan yang membina kerajaan negeri masing-masing. Kerajaan PR ini masih muda, sudahpastilah ia tidak sunyi dari berbagai masalah, apa pun setakat ini kematangan berfikir dan pandangan jauh pimpinannya dapat menyelamatkan keadaan.

Malah dilihat dari satu aspek, setiap komponan PR berhak menyuarakan pandangan dan menyatakan isi hati masing-masing tanpa perlu rasa takut atau tertekan. Pandangan diambil kira dan dibincangkan secara bertamadun. Akhirnya keputusan yang terbaik buat semua diambil.

Kerana itu penting bagi semua pihak untuk matang dan menerima realiti yang ada. Sensitiviti semua pihak perlu dipelihara, sejarah dan latarbelakang serta adat dan budaya masing-masing diiktiraf. Jangan mengguris atau melukakan hati kawan-kawan.

Tidak bijak contohnya kita pertikaikan pakaian kebangsaan yang telah diterima oleh datuk nenek kita sejak lebih separuh abad. Jika kita tidak bersetuju, tidak perlulah kita mencabar dan mengugut sesiapa.

Kawan-kawan berbangsa Tionghua dan India yang bukan Islam menerima bahawa corong-corong masjid dan surau mengalunkan suara azan lima kali sehari pada waktu-waktunya sebagaimana kawan-kawan Melayu dan bangsa lain yang beragama Islam menerima bahawa makanan yang diharamkan pada mereka tidak diharamkan terhadap kawan-kawan mereka yang bukan Islam.

Lantas jika kita lalu contohnya di Jalan Petaling dimana daging khinzir ditayangkan di hadapan kedai serta daging-daging khinzir disalai di kaki-kaki lima, kita terima dan tidaklah marah sehingga mahu bertindak terhadap mereka.

Begitu juga semasa perayaan Thaipusam, kawan-kawan bergama Hindu yang kebanyakkannya dari keturunan India perlu mengarak berhala-berhala mereka ke tengah jalan dari satu kuil ke satu kuil, kita semua terima walaupun jalan terpaksa di tutup dan kadangkala sesak.

Demikian juga walaupun bahasa ibunda rantau ini adalah bahasa Melayu, kita terima bahawa kawan-kawan kita dari keturunan Cina dan India mewarisi bahasa ibunda yang lain, lalu kita terima penggunaan dan pengajarannya malah siaran radio dan TV yang memuatkan rancangan-rancangannya.

Malah budaya hormat-menghormati ini kini semakin sebati dalam kehidupan kita. Sehinggakan kita perhati kawan-kawan bukan Islam begitu prihatin dalam majlis-majlis perayaan agar hanya makanan halal dihidang apabila kawan-kawan yang beragama Islam diundang. Begitu juga kawan-kawan bergama Islam mengambil prihatin agar daging lembu tidak dihidangkan kepada kawan-kawan Hindu yang bertandang ke rumah mereka.

Memang masih ada segelintir yang tidak dapat menerima, yang nakal dan mahu menguji-uji, kepada mereka ini kita nasihatkan agar tidak meleraikan ikatan persahabatan dan persuadaraan yang sedia terjalin sehingga mencetuskan ketegangan yang hanya akan merugikan semua pihak.

Pakatan Rakyat perlu muncul sebagai juara dalam hal ini jika ia mahu terus dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyat berbagai bangsa. Dalam hal ini saya terpaksa bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa apa yang perlu bukannya toleransi tetapi penerimaan ataupun “acceptance”. Saya yakin hanya PR yang boleh menyerlahkan hal ini dan bukannya BN. Terus kekalkan apa yang kita miliki jangan sampai terburai dan tergadai.
Sila kunjungi laman Merdekareview

Sepanjang terlibat dalam parti dan bidang media Alhamdulillah saya diberikan kesempatan berkenalan dengan ramai personaliti yang terlibat aktif dibidang media khasnya penulisan. Mereka ini merupakan insan-insan penting yang menyumbang tenaga dan fikiran ke arah mempengengaruhi dan mencorak minda masyarakat.

Ada diantara mereka terlibat dalam media berbhasa Melayu, Inggeris malah termasuk juga bahasa Mandarin. Walaupun saya tidak dapat membaca hasil tulisan bahasa Mandarin namun mereka ini sungguh dinamik dan ramai yang mesra dan sudi bertukar-tukar fikiran dengan saya.

Salah seorang daripadanya adalah Sdr Lim Hong Siang yang saya kenali sejak sebelum PRU ke 12. Beliau terlibat dengan portal berita merdekareview yang sangat popular dikalangan mereka yang boleh berbahasa Mandarin.







Lim memang seorang penulis yang berkaliber, tajam dan berani. Pernah dikasari oleh pihak polis semasa membuat liputan. Beliau bekas pemimpin pelajar di USM. Saya masih ingat melayan beliau berkali-kali ditelefon sehingga panas handphone saya kerana beliau memang bertenaga dan kaya dengan pandangan dan bacaan yang sangat komprehensif.

Kalau dalam mana-mana sidang akhbar Lim lah yang akan pantas mengemukakan soalan yang panas sehingga kadangkala menyebabkan yang memberi sidang akhbar tak senang duduk, itulah Lim.

Kini sahabat saya ini adalah Editor bagi merdekareview versi bahasa Melayu di

www.merdekareview.com/bm

Silalah kunjungi laman beliau untuk mengikuti laporan dan analisa berita terkini.

Tahniah Lim semoga anda terus berjaya.

Sunday, July 12, 2009

Cukuplah satu “Natrah Riots”

Kira-kira 59 tahun lalu bumi Melayu luka berdarah apabila di hadapan mata mereka peristiwa “paksa murtad” berlaku dalam keadaan mereka tidak berdaya menghalangnya. Umat Islam yang prihatin ketika itu termasuklah masyarakat India Muslim sekadar mampu meluahkan kemarahan mereka dengan berhimpun beramai-ramai dan akhirnya tercetuslah rusuhan agama yang pertama iaitu yang dikenali sebagai “The Natrah Riots” di Singapura bermula 11 Disember 1950 sehingga 13 Disember.

Beberapa hari lalu kita mendapat perkhabaran bahawa Maria Bertha Hertogh atau Natrah telah meninggal dunia di Belanda. Maria atau Natrah inilah punca ketegangan lebih 50 tahun lalu sehingga Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi (kemudiannya menjadi Presiden PAS), dan sahabatnya Karim Ghani (pemilik Muslim Publisshing House, Singapura) dan beberapa pimpinan masyarakat Islam Singapura terpanggil untuk menubuhkan suatu badan bertindak bagi membela Natrah dan ibu angkatnya Che Aminah Muhammad atau Mak Minah.




Inilah antara gambar yang telah mencetuskan
malapetaka "Natrah Riots"


Badan ini mendapat sokongan dan simpati dari masyarakat Islam antarabangsa termasuklah dari Arab Saudi, India dan Indonesia. Ahmad Ibrahim (kemudiannya Prof Ahmad Ibrahim – Allahyarham) dari SC Goho and Co telah diambil membela Natrah dan Mak Minah.

Ringkaskan cerita pada bulan Disember 1950 itu Mahkamah Rayuan di Singapura memutuskan yang Natrah diserahkan kepada keluarga Roman Katholik Belandanya dan perkahwinannya dengan Mansor Adabi dianggap tidak sah, mahkamah Cuma mengambil masa 5 minit untuk membuat keputusan itu.

Sebelumnya Natrah telah ditahan disebuah “convent” dibawah selia paderi-paderi Roman Katholik sehingga apabila gambar-gambarnya diterbitkan oleh akhbar tempatan, masyarakat Islam menganggap bahawa pihak penjajah telah bertindak biadap dan menghina keterlaluan umat Islam sehingga ada yang menuntut agar diisytiharkan perang jihad di Singapura. Akhbar Singapore Standard bertarikh 5 Disember 1950 contohnya membawa tajuk:

“Bertha knelt before Virgin Mary statue”

Isunya di sini adalah “murtad paksa” dan malangnya kini hampir 60 tahun berlalu, bahana murtad dan murtad paksa ini masih berlarutan malah berpuluh-puluh Natrah telah datang dan pergi. Ini berlaku dalam keadaan penjajah asing telah lama meninggalkan kita dan kemerdekaan lebih setengah abad telah diserahkan kepada anak-anak bangsa.

Apa sudah jadi?

“The Natrah Riots” di Singapura berlaku secara spontan dan malah bukan pun diarahkan oleh Badan Bertindak yang diketuai oleh Dr Burhanuddin. Akibatnya 18 orang telah terbunuh dan 173 tercedera. Akibatnya juga seramai 778 telah ditangkap oleh penjajah termasuklah Dr Burhanuddin, 509 kemudiannya dibebaskan, 200 didakwa (dengan 25 bebas), 100 dihukum penjara dan 5 dijatuhkan hukuman mati (walaupun kemudiannya atas inisiatif Almarhum YTMTunku pada 25 Ogos 1951 hukuman ke atas kelima-lima ini diringankan kepada penjara seumur hidup).

Kita tidak perlu merusuh, berbunuhan, cukup atas kesedaran umat Islam khasnya mereka yang pada tangannya punya kuasa, perkenalkanlah undang-undang dan peraturan bagi menghalang sama-sekali kejaidan yang sama. Maruah dan harga diri umat Islam dan agamanya perlu dibela dan dipertahankan, jangan sampai tercetus suasana yang merugikan semua pihak. Cukuplah dengan satu “Natrah Riots”, segeralah bertindak.

Saturday, July 11, 2009

Halakan “senjata” pada musuh

Saya percaya disaat ini kita semua mendoakan agar PAS menang di Manek Urai 14 Julai ini. Para petugas dan jentera pilihanraya PAS sedang bertungkus-lumus di sana. Masing-masing menyumbang tidak kira samada di medan “perang” ataupun dari luar dengan berbagai bentuk sumbangan dan bantuan serta khidmat.

Kalau PAS menang juga dalam ujian ini bermakna panji-panjinya terus berkibar megah setelah diusung ke medan “perang” dari Kuala Terengganu ke Bukit Gantang dan kini di Manek Urai. Terbukti PAS teruji.



gambar MStar


Dalam memperkatakan darihal Manek Urai ini, rupanya ada juga pihak yang cuba menjadi nakal dan mengeruhkan suasana sekaligus samada sedar ataupun tidak menyumbang kearah terjejasnya kedududkan parti. Apa pun kita ini satu gerakan Islam, jangan bertindak membelakangkan jemaah, parti ini bukan milik mana-mana individu tetapi ia milik seluruh umat Islam yang cintakan Allah dan Rasul. Jangan kerana bernafsu marahkan nyamuk maka habis hangus kelambu dibakar.





Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dikatakan disekat dari turun ke Manek Urai kononnya takut harapan PAS terjejas. Ada pihak mengatakan bukan tak mahu dia turun takut dia nanti kena “boo” oleh orang-orang PAS sendiri. Ada pula yang dengan bangga menyatakan depan media bahawa Ustaz Nasha “malu mata” mahu turun. Hasil dari kesombongan ini Umno mencuri peluang dengan mengadu-domba antara pimpinan PAS di Manek Urai. Penat kita bersilat sesama kita sedang musuh dan sasaran politik sebenar duduk selesa ketawa terbahak-bahak.

Cuba baca apa kata The Star Online dalam hal ini apabila Ustaz Nasha dan Tok Guru Mursyidul Am turun berkempen di Peria, Manek Urai pagi tadi:

Nasharudin's presence at the mosque in Peria drew a wide following and he was mobbed by supporters.

Kehadiran Nasharudin di Masjid Peria telah mendapat perhatian ramai dan beliau telah dikerumuni oleh ramai penyokong.
Ada sesiapa yang kena “boo”?

Menurut laporan Ustaz Nasha baru sahaja menjalani pembedahan kecil di bahagian ususnya, adakah beliau sebenarnya “malu mata” atau memang dihalang atau tidak sihat untuk turun?

Sekarang masanya untuk menghadapi musuh. Kita sedang dalam suasana “perang”, biarlah perluru mengena musuh dan bukan kawan. PAS dalam sejarahnya tidak pernah pun menghalang sesiapa menyumbang tenaga dalam memperjuangkan syiarnya. Biarlah tradisi ini terus kekal tambah-tambah pula jika melibatkan pimpinan tertinggi yang menang melalui mandat muktamar.

Ya Allah menangkanlah merekayang berjuang di jalan Mu ini.

Cuaca ekonomi bakal lebih murung

Semalam selepas solat Jumaat di KLCC saya sempat berbual sambil makan tengahari bersama seorang pemandu teksi di KL. Rakan baru saya ini mengeluh panjang sambil menjamu selera dan berkenalan dengan saya. Kata beliau pendapatan drebar-drebar teksi di KL kebelakangan ini rata-rata merosot. Banyak faktor termasuklah terlampau banyaknya bilangan teksi di pasaran, kemerosotoan ekonomi dunia dan terbaru H1N1?

Apa kena-mengena virus selsema babi dengan permintaan terhadap teksi di KL?

Kata kawan tadi akibat H1N1 jumlah pelancong yang turun ke KL semakin berkurangan. Pelancong luar takut uturn kerana bimbangkan virus puaka ini. Menurut kawan tadi contohnya para pelancong Timur Tengah biasanya berbondong-bondong ke KL dari bulan Jun sehinggalah sebelum Ramadhan, tetapi tahu ini kehadiran mereka amat kurang.

Saya sekadar bersimpati dengan kawan tadi tetapi tidak pula dapat mengesahkan rungutannya itu. Mungkin beliau menyatakan dari pengalamannya. Kebetulan selepas berpisah dengannya saya memandu kebeberapa lokasi yang beliau nyatakan, memang rakan-rakan drebar-drebar teksi sekadar melepak dibeberapa lokasi di KL. Tiada pelanggan.

Jika benarlah perkara ini ia akan turut menyumbang ke arah masalah yang lebih kritikal terhadap ekonomi kita. Bersiap-sedialah masing-masing. Sediakanlah payung sebelum hujan, berjimat-jimatlah, cari pendapatan tambahan, cuaca nampaknya bakal lebih murung dan mendukacitakan.

Sementara itu saya juga mendengar dari rakan-rakan bahawa di Selangor BN sedang mengagih-agihkan sekitar RM300 sebulan sebagai bantuan untuk memancing sokongan. Katanya wang yang diperuntukkan untuk merangsang ekonomi digunakan untuk merasuah sokongan. Kalau beginilah jadinya, negara makin meruncing sementara BN dan Umno belum tentu untung malah bakal semakin ranap akibatnya.

Monday, July 06, 2009

Menanglah pula di Manek Urai

Pertarungan secara rasmi antara gergasi politik PAS (Pakatan Rakyat) dan Umno (BN) bermula siang tadi di Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan setelah selesai proses penamaan calon. Sepanjang lebih seminggu tempoh berkempen masing-masing akan bekerja keras untuk memenangkan calon masing-masing pada hari mengundi iaitu 14 Julai nanti.

Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah adalah manakala calon Umno Tuan Aziz Tuan Mat (gantikan Tuan dengan Nik jadilah Nik Aziz Nik Mat J)

Kita mahu melihat satu pilihanraya kecil yang bersih, telus dan adil, dimana semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang yang sedia ada, selain pihak berwajib dan bertanggungjawab dari pihak SPR sehinggalah pihak polis, masing-masing bertindak bebas tanpa memihak kepada sesiapa melainkan peraturan dan undang-undang yang terpakai.

PAS dan jenteranya saya yakin penuh berdisiplin kerana ia adalah kerajaan negeri di Kelantan. Sebagai parti Islam, PAS akan berkempen secara sihat selain memberi keadilan kepada semua. Namun jika ia disekat-sekat dan dihalang-halang, demi mempertahankan kerajaan “Membangun Bersama Islam” seluruh ahli PAS bersedia untuk bersemuka dan bertembung dengans esiapa sahaja yang khianat pada undang-undang dan peraturan yang ada.

Inilah platform terbaik bagi PAS untuk membuktikan penerimaan masyarakat terhadapnya. Jika insyallah menang lagi PAS kali ini, bermakan ia kemenangan ketiga berturut-turut baginya dari Kuala Terengganu ke Bukit Gantang dan kini ke Manek Urai, PAS sudah sedia untuk melontarkan dirinya bagi memimpin ummah!

Bagi saya pilihanraya kecil kali ini agak nostalgik dan “personal” kerana beberapa perkara . Pertama saya dilahirkan di sini lebih 45 tahun lalu iaitu di kuaters kerajaan Kuala Krai ketika ayah saya Ketua Polis Daerah Kuala Krai (OCPD). Bekas ahli-ahli parlimen Kuala Krai iaitu sahabat saya Ustaz Ibrahim Mahmod @ Medinah dan Hj. Nasir masih ingat akan ayah saya semasa muda mereka dahulu.

Dan kebetulan tanggal 14 Julai, iaitu hari mengundi adalah merupakan tarikh ulangtahun kelahiran saya. Harapan saya menanglah PAS pada hari itu nanti, insyallah. Kepada semua petugas selamat menjalankan tugas dan semoga Allah swr kunriakan kita kememnagan yang dinanti-nanti, perkenankanlah Ya Allah!

Friday, July 03, 2009

Pakatan Rakyat Selangor terus harmoni

Saya setuju dengan kenyataan Dato’MB Selangor bahawa jangan ada mana-mana pihak menangguk di air keruh dengan cuba mengaitkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang harmonis hubungannya dengan keadaan di Kedah.

Kita kesal dengan apa yang berlaku di Kedah hasil dari tindakan ADUN tunggal DAP itu yang mengeruhkan hubungan baik dalam PR di sana. Namun kita mahu beritahu semua bahawa hubungan PR di Selangor ini adalah kukuh dan tak perlulah orang seperti Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa masalah hubungan dalam PR ini wujud dimana-mana termasuklah di Selangor.

Di Selangor kedudukan Pakatan Rakyat begitu unik dimana masing-masing saling perlu-memerlu antara satu sama lain. Kedudukan kerusi yang menyokong kekuatan kerajaan PR Selangor adalah PKR 15 DAP 13 dan PAS 8 manakala BN 20. Ini bermakna jika mana-mana komponan PR memilih untuk keluar Pakatan sebagaimana DAP Kedah itu bermakna kerajaan dokongan rakyat ini akan runtuh!

Kerana itu masing-masing komponan PR di Selangor begitu teliti dan berhemah dalam berpolitikkhasnya dalam memelihara hubungan sesama PR. Majlis Pakatan Rakyat di Selangor begitu aktif dan bermesyuarat hampir dua kali sebulan. Begitu juga peringkat Parlimen juga telah wujud majlis seumpama ini menunjukkan betapa seriusnya masing-masing komponan PR di Selangor.

Bagaimana dengan perbezaan pandangan?

Memang banyak dan kadang-kala memang tegang tetapi ianya ditangani dengan semangat kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Setiap rakan komponan perlu sedar bahawa mereka meniti jambatan yang sangat mencabar, kiranya ia boleh dilakukan dengan cermat, dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri dan mengenepikan senitmen dan kepentingan parti masing-masing semata-mata, kerja meniti jambatan itu akan menjadi semakin mudah dan lancar.

Kerajaan PR mesti memandu rakyat ke arah kestabilan dan kesejahteraan bersama. Sensitiviti masyarakat, adat resam dan budaya perlu dipelihara. Negeri ini negeri bertuah dengan Raja yang bersemayam di atas takhta penuh dengan adapt –istiadat budaya Melayu yang kaya-raya itu serta Islam sebagai agama rasmi, disamping kehadiran masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Biar kita terus memerintah negeri ini tanpa perlu mencetuskan kebimbangan dan ketidakpuasan masyarakat di dalamnya. Status quo yang ada, dikekal dengan perubahan dan pembaikian ke arah yang lebih cemerlang sehingga rakyat tidak mahu ubah-ubah lagi.

Benar kata Tan Sri Khalid bahawa PR Selangor kini berada dalam situasi harmoni, kerana sehingga kini kita masih kekal menghormati antara satu sama lain dan menghormati semua institusi, budaya, kepercayaan dan fahaman yang ada. Biarlah ia kekal begitu.
Ustaz Azizan akan kekal kukuh di Kedah (insyallah)

"Ini media surat khabar saudara yang bangkitkan. Kalau dalam Barisan Nasional banyak perbezaan dalam banyak perkara tetapi tak pula diperbesarkan. Pakatan Rakyat ini pakatan miskin(yang) tak ada media yang besar. Itu bezanya."

Demikian akhbar Sinar Harian memetik ulasan ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan apa yang dikatakan krisis Pakatan Rakyat di Kedah.

Memang kita lihat dari TV3, Bernama TV, media arus perdana semuanya bersubahat dalam memainkan isu di Kedah, seolah nasib yang menimpa kawan-kawan di Perak akan turut menimpa kali ini pada kawan-kawan di Kedah. Maka akan jatuhlah sebuah lagi kerajaan negeri milik Pakatan Rakyat setelah jatuh satu di Perak.

Salah sebuah akhbar tempatan yang hebat memain peranan adalah akhbar milik MCA, The Star yang sejak satu dua hari ini seolah mentalkinkan kerajaan pimpinan Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah. Hari ini terbukti kenyataan Anwar itu apabila penulis kanan akhbar berkenaan Joceline Tan pula membantu menambah keruhkan lagi suasana yang sebenarnya sekadar “rebut di cawan kopi” (memetik kata-kata Ustaz Azizan).

Joceline membakar hangus Ustaz Azizan seolah beliau tidak berkebolehan:

“…………… is also not a very hands-on Menteri Besar. He leaves too many things to his subordinates and the civil service and that’s how things sometimes go seriously wrong.”

Seolah Ustaz Azizan bagaikan seorang yang hanya memetingkan akhirat dan melepaskan hal-hal dunia begitu sahaja:

“He lives in his own world and,like many PAS leaders, is more concerned about the after life than with issues to do with life on earth”

Joceline sebagaimana media perdana yang lain cuba memain dan melaga-lagakan isu perkauman dan agama apabila memutar-mutar isu seolah orang-orang PAS hanya pentingkan agama mereka dan tidak ambil pusing berkenaan kehendak masyarakat bukan Islam.

Bayangkan isu rumah sembelih babi mahu dijadikan senjata untuk menjatuhkan sebuah kerajaan! Anehnya babi juga senjata yang digunakan oleh orang-orang Umno di Selangor untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor satu ketika dahulu. Siapalah pembawa selsema babi ini?!!!

Berbalik kepada isu di Kedah, saya merasakan benar pertama ianya mainan media untuk menangguk di air keruh. Dapat apa sahaja kita guna asalkan kerajaan PR dapat jatuh walaupun kerajaan PR Kedah pada hakikatnya berdiri agak teguh dengan 22 kerusi (tolak 1 jika benar DAP mahu jadi Bebas) berbanding BN hanya 14. Kedua sebagaimana dinyatakan oleh Ustaz Azizan ianya isu kecil dalam rumah tangga PR.

Masalahnya kenapa perlu kita melompat dan melenting. Pakatan Rakyat ditubuhkan atas dasar hormat-menghormati satu tahaluf siyasi antara parti-parti yang memiliki kepentingan bersama walaupun fahamannya berbeza.

Bawa berbincang, bawa berunding, kalau anak-menantu bergaduh maka ibu-bapa dan mertua perlu campur tangan menenangkan. Jangan sampai bercerai-berai.

Joceline dan rakan-rakannya yang punya agenda terhadap kerajaan PR dan PAS perlu sedar bahawa kerajaan PR di Kedah sehingga hari ini sunyidari sebarang kontroversial besar dan sensasi sekaligus menunjukkan betapa teliti dan berwibawanya kerajaan negeri itu. Tiada krisis Perlembagaan di Kedah, tiada krisis dengan Tuanku malah parti-parti pembangkang di Kedah pun sehingga kini bagaikan ketandusan idea, diam membisu.

Lee Guan Aik, ADUN DAP Kedah itu perlu didisiplinkan. Muafakat membawa berkat, jangan marahkan pijat kelambu dibakar. Di Pulau Pinang pun PAS hanya ada 1 kerusi. Banyak yang PAS tidak puas hati terhadap kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, tetapi kelambu tidak pernah mereka bakar. Isu Majlis Agama Islam Pulau Pinang, isu
Pembahagian kerusi PBT, penglibatan PAS dalam kerajaan negeri dan banyak lagi, tetapi akhbar bukan forumnya, bertindak keluar Pakatan dengan kekuatan hanyan1 kerusi bukan penyelesiannya.

Kepada media yang beragenda, jangan harap kerajaan Ustaz Azizan yang dibina dengan sokongan dan harapan rakyat itu akan jatuh dengan mainan anda. Kepada kawan-kawan dari DAP Kedah, bawa-bawalah berunding. Fikir-fikirkanlah kesan dari tindakan kita yang tidak matang itu.