Wednesday, January 12, 2005

MENGHADAPI BALA MENURUT TOK GURU NIK ABD AZIZ

Allah swt berfirman dalam Surah al Ankabut ayat 40:

Maka masing-masing Kami siksa dengan sebab dosanya, maka diantara mereka ada yang Kami hujani dengan batu, dan diantara mereka ada yang Kami binasakan dengan suara yang keras, ada diantara mereka yang Kami benamkan ke bumi, dan ada diantara mereka yang Kami tenggelamkan. Dan Allah tidak menzalimi mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam satu majlis solat hajat di JKR10 berikutan bencana tsunami baru-baru ini telah menjelaskan bahwa adalah tidak benar sekiranya kita menisbahkan bala itu dengan kesusahan semata-mata. Sesungguhnya bala itu adalah ujian ataupun cubaan yang Allah swt timpakan ke atas manusia.

Bermakna bukan tsunami ataupun bencana besar sahaja wajar dikaitkan dengan bala, hidup manusia itu sendiri adalah bala iaitu satu ujian. Bukan kesusuahan sahaja merupakan satu bala malah kekayaan dan kesenangan juga satu bala yang jika disalah gunakan akan menjadi laknat ke atas manusia.

Apabila manusia diberi harta, tubuh yang sihat, pangkat dan seumpamanya ianya itu juga merupakan satu bala kecuali manusia tadi bijak menguruskannya. Sekiranya ia bertindak bijak umpamanya harta benda yang banyak tadi digunakan untuk memberi sedekah, membayar dan memberi hutang maka ujian tadi akan menjadi nikmat lantaran sibijak tadi lulus ujiannya. Walaubagaimanapun jika ia khianat maka bala tadi akan menjadi laknat kepadanya.

Menurut Tok Guru dunia ini adalah satu kelas dimana manusia umpama pelajar yang sejak dari akil baligh hinggalah mati akan melalui pelbagai ujian. Sesiapa yang lulus akan berjaya dan sesiapa yang gagal akan keciwa.

Kesimpulannya bencana tsunami ini memang merupakan satu bala sebagaimana kemewahan dan kekayaan itu juga bala namun Allah mahu menguji bagaimana manusia menghadapinya, bagaimana reaksi manusia, adakah akan insaf, tekun dan bersabar ataupun kufur dan terus ingkar.

Jangan kita sangkakan mereka yang kematian sanak-saudara serta musnah harta-benda sahaja yang sedang dibala, kita yang menyaksikan dari jauh juga sedang dibala yakni diuji maka jadilah kita diantara mereka yang berjaya dan tidak sebagaimana surah diatas, manusia yang menzalimi diri mereka sendiri.




No comments: