Thursday, January 13, 2005

KETENANGAN SERAMBI MEKAH MAHU DIGANGGU GUGAT

Di seberang Selat Melaka Allah swt telah menurunkan malapetaka tsunami ke atas satu-satunya wilayah di sebelah sana yang dikenali sebagai Serambi Mekah iaitu bumi Aceh.
Beribu nyawa melayang, berlaku kemusnahan besar di luar kemampuan imaginasi manusia. Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata menandakan betapa hebat dan besarnya kuasa Allah swt.

Sementara itu berhadapan dengan Laut Cina Selatan sebuah lagi wilayah Serambi Mekah turut juga mahu diganggu-guggat. Namun ancaman ke atas kestabilan negeri Kelantan Darul Naim itu bukannya datang terus dari Allah swt sebagaiaman Aceh akan tetapi ia lebih merupakan perancangan jahat pihak-pihak tertentu yang merasakan bumi Serambi Mekah ini semakin kukuh dan kental dari hari ke hari walaupun hampir lumpuh sejurus pilihanraya umum lalu.



Pelbagai artikel dan tohmahan dilemparkan sejak akhir-akhir ini melalui internet bagi menimbulkan fitnah dan pecah-belah di satu-satunya negeri yang bercita-cita untuk kembali kepada Islam secara tulus dan jujur. Ada surat terbuka untuk Tok Guru, ada fitnah kononnya terdapat keretakan hubungan anatara barisan EXCO di sana, ulamak dan profesional berseteru dan macam-macam lagi bentuk onar dan adu-domba. Ini tidak termasuk fitnah yang saban hari diluahkan oleh akhbar media perdana milik Umno dan kerabatnya.

Sesungguhnya Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru kini semakin dewasa dan matang yang mengakibatkan pihak lawan menjadi gerun dan gundah-gulana. Kestabilan Kelantan akan mematikan terus peluang mereka untuk kembali berkuasa setelah kecundang sejak tahun 1990.

Ramai tidak terdedah kepada apa yang sedang berlaku sebenarnya di Kelantan hasil daripada kekangan maklumat oleh pihak lawan. Maka akibatnya apa sahaja fitnah dan racun yang ditaburkan akan diterima sahaja lantaran kurangnya maklumat resmi dari sana. Adalah sekali-sekala perkhabaran dari Harakah, tapi Harakah pun cuma terbit 2 minggu sekali.

Di dalam ruangan ini saya ingin berkongsi apa yang dibincangkan dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini yang sangat menarik membuktikan betapa Tok Guru sesungguhnya telah berjaya mendidik, melahir dan mengasuh barisan pimpinan pelapis yang berakhlak Islam dan memiliki kualiti kepimpinan yang cemerlang.

Ketua Pembangkang DUN Kelantan Annuar Musa dari Umno membangkitkan bahawa kononnya kerajaan negeri sengaja melanjutkan persidangan dewan kerana mahu memberi ruang kepada wakilnya untuk menuntut elaun lebih dan seumpamanya.

Tohmahan ini telah dijawab oleh kerajaan negeri melalui EXCOnya Sdr Husam Musa. Jawapan inilah yang mahu saya kongsi bersama para pembaca. Kata Husam tohmahan Annuar itu tidak benar.

Malah ada dikalangan ahli-ahli EXCO Kelantan yang sehingga hari ini tidak pernah membuat tuntutan elaun mesyuarat dan perjalanan. Malah penginapan di hotel yang merupakan satu entitlement juga ada yang tidak tuntut. Pernahkah perkara seperti ini berlaku bagi mana-mana EXCO kerajaan dari negeri-negeri yang lain ataupun kalangan Menteri Pusat?

Menurut Husam tindakan ini merupakan sebahagian dari pengorbanan mereka lantaran amanah yang mereka pikul untuk mentadbir negeri. Yang menariknya Husam menambah Tok Guru MB lebih ketat lagi dalam hal-hal memelihara penggunaan wang negeri. Kata Husam:

Jago pitih YAB Tok Guru lagi ketat. Lampu bilik dia ambo kena marah sokmo. Masuk bilik air tak padam letrik pun kena maroh. Buat po tok tutup.

Menurut Husam ini membuktikan betapa Tok Guru telah berjaya melahir dan menanamkan disiplin dikalangan anak-anak buahnya baru hal lampu bilik air dia sudah prihatin bayangkan hal-hal lain.

Mungkin perkara ini suatu yang kecil bagi pihak yang tertentu. Namun saya merasakan kiranya perkara sekecil ini pun MB dan para EXCO nya pelihara insyallah masa depan mereka cerah. Kalau amanah rakyat diberi perhatian dengan serius kerana Allah swt, 1000 surat layang dan fitnah sekalipun insyallah tidak akan dapat mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri.

Semoga Allah terus mempertahankan Serambi Mekah ini dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk kebangkitan kembali Islam diseluruh tanahair nanti.

No comments: