Thursday, January 20, 2005

LAGI PEMBAZIRAN KERAJAAN BN

Di dalam BLOG ini baru-baru ini saya telah melaporkan darihal pembaziran kerajaan negeri Melaka pimpinan Ali Rustam yang membazirkan lebih RM1juta ringgit untuk lawatan pelancongan ke Amerika Syarikat, London dan Dubai yang disertai 23 orang termasuk ahli-ahli EXCO dan anak-isteri masing-masing.

Dalam akhbar THE SUN semalam satu lagi pembaziran yang serupa didedahkan. Kali ini oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Khir Toyo. Dilaporkan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Kewangan Negeri (Public Accounts Committee) dicadangkan membuat lawatan kerja ke Mesir selama 7 hari bermula Januari 23 2005.

Isunya terbongkar apabila salah seorang anggota delegasi iaitu ADUN Sekinchan Ng Suee Lim menarik diri atas alasan tidak bersetuju dengan aturcara yang disusun.

Lawatan kerja tersebut dilaporkan hanya akan melawat Parlimen Mesir selama 2 jam dan selebihnya merupakan aturcara pelancongan termasuklah menyaksikan tarian gelek di Sungai Nil.

Menurut THE SUN kunjungan 7 hari 5 malam itu akan menempatkan rombongan di hotel 5 bintang Sheraton El Gazirah di Cairo dan satu malam di hotel 4 bintang Catherine Plaza Hotel di Sinai. Kos lawatan ini dilaporkan melebihi RM7,950.00 seorang sedangkan menurut sumber syarikat pelancongan kos lawatan yang sama biasanya tidak lebih dari RM5,000.00.

Demikianlah kalau jawatankuasa yang sepatutnya mengodit kewangan negeri pun boleh bebas membazir bayangkan bagaimana pula agaknya kerajaan negeri sendiri?

No comments: