Friday, July 30, 2004

Ulamak vs TV3 - siapa yang benar

 
Baru saja kita dikhabarkan darihal keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan peraduan SMS yang berunsurkan judi. Lantaran keputusan itu pihak-pihak yang terlibat termasuklah TV3 telah mengeluarkan kenyataan menggantung peraduan tersebut dan akan mengkajinya semula. Belum pun reda isu tersebut tiba-tiba hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Harakahdaily Mufti Perak pula mengeluarkan kenyataan bahawa Konsert Sure Heboh anjuran TV3 adalah haram kerana melalaikan para penontonnya.
 
Berikut kenyataan beliau sebagaimana yang dipetik oleh Harakahdaily:
 
Sementara itu, Ustaz Harussani dalam rancangan 'Menjawab Soalan Agama' siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ipoh pada pagi tadi berkata, persembahan hiburan 'Sure Heboh' adalah haram dan diwajibkan diberhentikan segera.

"Pada saya 'Sure Heboh' ini adalah suatu perkara yang tidak baik kerana ianya melalaikan orang. Maka perbuatan melalaikan orang itu hukumnya haram," ujarnya ketika menjawab soalan pemanggil sewaktu siaran langsung itu. Ujar Ustaz Harussani lagi, mereka yang menghadiri rancangan 'Sure Heboh' itu terdiri dari kalangan remaja Melayu yang beragama Islam.
Tambahnya, mereka yang hadir tentulah akan berseronok dari sebelum Maghrib lagi hinggalah ke lewat malam, malah ada yang meneruskan aktiviti lain selepas konsert itu seperti melepak hingga ke Subuh. Selain itu, beliau turut mengulangi kenyataan bahawa Pejabat Mufti Negeri Perak telah membuat laporan membantah pihak terbabit yang menganjurkan program 'Malaysian Idol', 'Akademi Fantasia' dan Persembahan Bakat Warga Emas.

"Semua program hiburan seumpama itu adalah perbuatan yang membuang masa dan melalaikan termasuklah melemahkan tumpuan pelajar terhadap pendidikan mereka," ujarnya.
Katanya lagi, sejajar dengan kenyataan Malaysia Negara Islam kerajaan perlu menghapuskan program-program yang melalaikan yang bertentangan dengan Islam.
 
Pasti kenyataan ini akan menggemparkan banyak pihak, soal "justification" keputusan ini barangkali tidak penting, yang akan jadi penting adalah ianya akan menghampakan ramai peminat termasuklah penganjurnya. Mungkinkah semua pihak akan akur pada pandangan Mufti ini termasuk pihak TV3, memandangkan Mufti adalah seorang yang diiktiraf "authority"nya oleh pemerintah atau mungkinkah Mufti ini pula akan diambil tindakan kerana bertindak lawan arus. Apa pun.....tungguuuu.....

No comments: