Monday, July 05, 2004

Kes Hanif - Noritta : Orang Melayu hilang arah

Seperti dijangkakan akhbar-akhbar mingguan tempatan mengambil kesempatan hujung minggu memuatkan ulasan, salasilah, komen dan laporan khas berkenaan kes sensasi ini yang diputuskan oleh mahkamah Khamis lepas.

Mahkamah memutuskan Hanif tidak akan dipanggil membela diri, bermakna beliau terlepas dari menjawab tuduhan terlibat dalam membunuh Noritta Samsudin.

Sepanjang kes ini berjalan masyarakat dipaparkan darihal peribadi Hanif dan Noritta serta kawan-kawan yang dikaitkan dengan mereka. Jelas dibuktikan oleh saksi-saksi di dalam mahkamah darihal hubungan seksual "luar nikah" antara Hanif dan Noritta. Malah profil DNA Hanif dibuktikan secara kukuh di dalam mahkamah dan Hanif sendiri mengakui sering mengadakan hubungan seksual dengan simati.

Masyarakat Melayu/Islam melihat sendiri aktiviti belakang tabir, hidup anak-anak Melayu di metropolitan Kuala Lumpur. Hubungan bebas yang berakhir dengan zina dipaparkan secara terbuka. Betapa anak Melayu bertugas sebagai GRO dan memiliki ramai kawan yang mudah berkongsi tubuhnya dengan balasan wang.

Namun bila kes ini selesai masyarakat Melayu dikatakan lega kerana Hanif tidak berakhir di tali gantung. "Saya dapat merasakan beliau tidak bersalah," kata seorang wanita yang diwawancara oleh TV. Seorang lagi berkata, "Memang Hanif handsome dan saya yakin beliau tidak bersalah," kata seorang makcik pula.

Soal Hanif yang sudah beristeri dan beranak berzina dengan simati tidak timbul. Soal jijiknya perangai sedemikian di kaca mata Islam tidak menjadi isu. Yang penting bagi masyarakat Melayu hari ini adalah bahawa Hanif bukan pembunuhnya.

Demikianlah rata-rata penerimaan orang Melayu hari ini sehingga melihat seolah-olah kerja zina Hanif itu sebagai perkara peribadi, masalah yang tidak menjejaskan masyarakat. Bak kata bapa Hanif, Pak Cik Abdul Rahman dalam akhbar The Star, apa yang Hanif lakukan (hubungan seksual luar nikah) adalah satu dosa, tetapi bukanlah dosa besar!

Jangan sampai orang Melayu terus hilang punca dan arah sehingga tak kenal antara kaca dan permata, dosa dan pahala..........

roslansms@hotmail.com


1 comment:

is150 said...

Apa yang nak dimalukan... dah terang-terang masyarakat sekarang nie menolak Islam... itulah akibatnya jika masjid dijadikan tempat bersolat semata-mata...