Friday, June 26, 2015

Kedai mamak punca gejala sosial (26/6/15)



Banyak-banyak lawak di bulan puasa ini saya kira tak ada yang menandingi lawak bahawa Kedai Mamak 24jam kononnya punca peningkatan gejala sosial seluruh negara.

Saya pasti bukan saya seorang yang tersengeh dengan dapatan ini, malah rata-rata kebanyakkan rakyat Malaysia tidak boleh menerima alasan yang dangkal dan mengatasi logik ini.

Menurut Menteri di JPM Shahidan Kassim:

“Terdapat kebimbangan bahawa anak muda menghabiskan masa terlalu banyak di tempat-tempat seperti ini dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat”


Kalau yang mahu dikawal adalah pusat-pusat hiburan termasuklah kelab-kelab malam, pub atau pusat-pusat minum arak, rumah-rumah urut ataupun cyber café, mungkin ada juga masuk akal, kerana tempat-tempat ini memang lubuk-lubuk maksiat iaitu punca-punca kejahatan yang sering meledakkan pula gejala sosial yang meroskakkan masyarakat.

Tetapi menghalakan telunjuk ke Kedai-kedai Mamak yang menghidangkan roti canai dan teh tarik, (arak saya pasti tidak ada dijual di kedai-kedai mamak) sebagai punca peningkatan gejala sosial, saya rasa Menteri berkenaan punya potensi jika menyertai gelanggang Maharaja Lawak.

Menurut Shahidan yang mahu dikawal bukan Kedai-kedai Mamak di pusat bandar tetapi berhampiran kawasan-kawasan perumahan, walaubagaimanapun kedai-kedai makanan segera 24 jam sepeti KFC dan Mc Donalds tidak pula terlibat.

Sesungguhnya kedai-kedai ini mampu beroperasi 24jam oleh kerana di sana terdapt permintaan baginya. Sebilangan besar masyarakat Malaysia bekerja di luar shift 9 pagi ke 5 petang, ada yang tamat bekerja atau baru mahu masuk bekerja di waktu yang orang lain telah tidur dan ini bukan hanya melibatkan pekerja kilang. Ini termasuklah mereka dalam sektor tertentu termasuk kerajaan, umpamanya polis, bomba, kakitangan hospital, agensi penguatkuasa, sebahagian mereka yang dalam sektor kewangan, ICT, sector pembinaan dan pengurusan permbersihan dan lain-lain.

Ramai mereka inilah yang menyumbang ke arah permintaan terhadap kedai-kedai mamak untuk beroperasi 24 jam.

Mungkin ada segelintir penyangak yang berlonggok di kedai-kedai ini bagi tujuan jahat dan negatif, tetapi berapa ramai agaknya? Berapa ramai kalau nak disbanding dengan maksiat dan kejahatan di pusat-pusat hiburan seperti yang saya sebutkan di atas. Bom pun pernah dilontarkan di kelab malam di KL, bukannya Kedai Mamak!

Di kedai mamak tiada GRO, dikedai mamak tiada pelacuran, dikedai mamak tiada yang menelan “ice” atau pil-pil khayal, kerana ia tempat terbuka.

Bagi saya banyak lagi kerja lain boleh Menteri dan kerajaan lakukan dari menghadkan operasi kedai mamak yang sudah menjadi sebahagian dari budaya dan tradisi rakyat Malaysia.

Agak-agaknya berapa bintang juri boleh berikan pada Shahidan dalam"persembahan" ini?

Wednesday, June 24, 2015

Dr Dzul umum parti baru (24/6/15)

Semakin nyata sekarang, sesungguhnya mereka yang kecundang dalam pemilihan PAS tempoh hari benar-benar tidak dapat menerima kekalahan mereka. Mereka bertanding semata-mata untuk menang dan tidak bersedia untuk tewas. Mereka jelas telah berpatah arang dan berkerat rotan dengan PAS.

Ini terbukti dalam laporan akhbar The Star hari ini apabila jurucakap mereka, Dr Dzulkifli Ahmad dipetik berkata bahawa Jawatankuasa Bertindak G18 yang mereka anggotai dan beliau selaku Setiausahanya akan menubuhkan sebuah Parti Islam yang baru dalam masa terdekat.

Kononnya parti itu nanti akan menggantikan PAS di dalam Pakatan Rakyat.
Mat Sabu dinamakan sebagai Pengerusinya dan Salahuddin Ayub  Timbalannya manakala Suhaizan Kayat pula Penolong Setiausaha.

Menurut Dr Dzul lagi parti baru itu akan berkerjasama dengan NGO Islam termasuklah Pasma, ABIM, JIM dan Ikram selain badan-badan lain. Tambah beliau objektif parti baru itu nanti adalah untuk mempelopori politik inklusif yang lebih sesuai buat masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

Dengan pengumuman itu, saya kira wajarlah Dr Dzul dan kumpulan G18 nya itu mengisytiharkan sahaja keluar PAS, dan berjalanlah sendiri. Semoga sebagaimana mereka berani menyatakan sikap dan pendirian, keluar dari bahtera PAS, diharapkan mereka yang menang atas tiket PAS juga akan mengosongkan kerusi masing-masing, kerana kerusi-kerusi Parlimen dan DUN itu sesungguhnya dimenangi atas tiket PAS. Pengorbanan, harta, wang ringgit dan penat-lelah orang-orang PAS lah yang memungkinkan mereka menang dahulu.

Mungkinkah pengumuman ini juga mengesahkan bahawa Salahuddin Ayub telah menolak tawaran AJK Pusat tambahan lantikkan PAS sebagaimana diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS baru-baru ini, jika benar tak perlulah orang-orang PAS bersusah payah untuknya lagi. Dan mungkin ada lagi kawannya yang sama juga begitu?

Saya terhibur juga bila Dr Dzul menyatakan bahawa mereka nanti mahu menunjukkan yang parti baru mereka tidak bermusuh dengan sesiapa. Saya mahu bertanyakan Dr Dzul: Anda bertanding dalam PAS dengan berbagai slogan dan kempen kemudian tewas, anda lari keluar dan tubuhkan parti Islam baru, lalu anda tergamak menyatakan anda tidak bermusuh dengan sesiapa?!

Pastinya parti yang apa sahaja namanya itu nanti akan bertanding dalam pilihanraya. Dan pasti juga mereka akan bertanding bukan dikerusi milik PKR atau DAP tetapi di kerusi-kerusi yang PAS bertanding. Sudah pasti akan berlaku pertembungan dan Dr Dzul boleh berkata tidak mahu bermusuh dengan sesiapa.

PAS saya yakin tidak akan merasa rugi sedikit pun dengan perkembangan ini sekurang-kurangnya segala masalah yang ada dalam parti selama ini telah terkikis keluar dengan sendirinya.

Dan PAS saya yakin bersedia berhadapan dengan sesiapa pun termasuklah parti yang entah apa namanya itu nanti, demi memartabatkan perjuangan Islam yang PAS bawa. Ini bukan pengalaman pertama buat PAS. Ini sekadar siaran ulangan sebagaimana pernah berlaku semasa wujudnya Berjasa, Hamim dan kemudiannya Kumpulan Islah dahulu. Dan kita semua tahu nasib mereka itu.

Tahniahlah Dr Dzul, angkutlah mana saki baki yang merupakan penyokong tegar anda itu, segeralah susun dan tubuhkan parti anda itu.Di sinilah kita berpisah dan bermula dari sinilah nanti kita bertarung dalam gelanggang politik berbeza, tidak lagi dari dalam tetapi sebagai seteru politik PAS yang sebenar.

Tuesday, June 23, 2015

Khalid Samad tak perlu tunggu 100 hari (23/6/15)

"Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala' pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat,"

“Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana,”

Demikian petikan kenyataan ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, pada 21 April lalu sebagaimana terakam dalam The Malaysian Insider.

Beliau masuk bertanding mempertahankan jawatan AJK PAS Pusatnya  dalam Muktamar ke 61 lalu dengan penuh keyakinan bahawa para perwakilan akan menerima segala hujah dan pandangannya. Bahawa PAS mesti diselamatkan. Bahawa PAS mesti dipimpin dan didominasi oleh mereka yang kononnya non konservatif dan progresif seperti beliau.

Ini agar PAS nanti jadi “friendly” mahu berkawan dengan semua dan pemimpinnya semua bijak-bijak belaka dalam berpolitik. Maka tiadalah PAS bersendirian dan ketika itu PAS akan muncul teraju dalam arus perdana politik.

Khalid mahukan PAS yang baru mengikut naluri dan pandangannya. Dalam Malaysiakini beliau dipetik berkata (12 Mac 2015):
 
“Di dalam muktamar, prestasi AJK PAS Pusat akan dikaji dan dinilai dari sudut pencapaian matlamat yang telah diputuskan oleh Muktamar. Dan sekiranya prestasinya tidak memuaskan, AJK (anggota jawatankuasa) PAS Pusat, termasuk presiden, boleh dan layak ditukar melalui proses pemilihan di Muktamar,”

Kita menjangkakan Khalid yang gagah bangkit mahu menukar Presidennya tahukan adat pertandingan. Masakan Khalid yang lantang menegur dan mengkritik bukan sekadar Presidennya, malah semua yang tak sehaluan dengannya habis disasarkan termasuklah Dato Dr Harun Din dan MB Kelantan, tak kan tak tahu adat pertandingan. Takkanlah dalam keadaan “bengis” begitu beliau tidak tahu adat pertandingan.

Apa adat pertandingan? 

Bahawa yang masuk bertanding nanti kesudahannya akan ada yang menang dan ada yang kecundang. Takkanlah nak menang sahaja dan tiada yang akan kalah.

Jangan jadi macam MIC hari ini, nak bertanding pun belum tentu ada gelanggang, masing-masing tidak boleh duduk bersetuju belum pun bertanding.

PAS mengadakan Muktamarnya yang ke 61 dengan penuh tenang dan tertib walaupun kempen-kempennya dikatakan hangat. Pengerusi pemilihan pun bukan lah ulamak tetapi rakan karib Khalid yang ada bersamanya dalam perhimpunan di Muar baru-baru ini yang turut dilaporkan dalam facebook Lim Kit Siang.

Malangnya Khalid tewas. Undi tertinggi buat 18 jawatan AJK Pusat diperolehi oleh Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor dengan 782 undi manakala Khalid cuma berjaya memunggut 332 undi.
Ini bermakna walaupun Khalid telah bersungguh berkempen memomokkan para perwakilan dengan PAS yang kaku dan keras kiranya bukan kumpulan beliau yang menang, namun para perwakilan PAS yang mewakili suara 1 juta ahlinya dari seluruh pelusuk Negara telah menyatakan bahawa mereka tetap yakin, selesa dan percaya dengan kumpulan lawan Khalid. 

Tewaslah Khalid dan menanglah lawannya.

Tetapi bukankah itu adat pertandingan. Segala-galanya ditentukan oleh para perwakilan.
Akan tetapi rupa-rupanya Khalid yang bengis dan lantang itu ada juga kelemahannya. Beliau lemah apabila tewas. Ini terbukti apabila tiada kata-kata tahniah dan akur dengan keputusan perwakilan yang terbit dari Khalid.

Sebaliknya Khalid memilih terus menyerang dan mengkritik mereka yang menang yang diberi mandat oleh para perwakilan. Beliau menganggap kekalahannya dan gengnya sebagai seolah telah di”cah keting” telah dicantas sedangkan ianya keputusan Muktamar sekaligus menghina dan merendah-rendahkan kewibawaan dan kebijaksanaan para perwakilan PAS tempoh hari.  

Dan terbaru beliau memberi pula kata dua, bahawa kumpulan yang menang dalam tempoh 100 hari perlulah membuktikan diri mereka lebih baik jika tidak beliau dan kumpulannya akan keluar menubuhkan parti baru pro PR.

Begitukah kesudahan Khalid agaknya, sekurang-kurangnya dalam PAS?

PAS berjuang untuk Islam, bukannya individu atau kelompok, pemimpin datang dan pergi, jika Khalid yang pintar dan hebat mengkritik dan menegur itu memilih mempertikaikan kewarasan Muktamar, saya percaya lebih baiklah beliau segera memilih haluan dan wadah baru. Pemergian sebegitu tidak sekali-kali akan diratapi.Tak perlulah tunggu 100 hari.

Almarhum Prof Hamka pernah berkata:

“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagallah yang tidak pernah cuba melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Tidak perluluah mengugut atau memberi kata dua pada Tuan Guru Presiden dan saf kepimpinan yang baru yang diberikan kepercayaan oleh ahli-ahli PAS. Jika bahtera besar PAS ini saudara rasakan sudah sempit, buruk dan usang, maka saudara sahajalah (dan geng saudara itu) angkat kaki dan naikilah apa sahaja pesawat atau kapal baru yang saudara pilih. Tanpa saudara sedar, sebanyak mana saudara merendah dan menghina kami disini begitulah sebenarnya pandangan kami dan yang lain terhadap saudara.

Selamat jalan.