Friday, March 31, 2006

Patuhi arahan Allah dan arahan KPN

Isu pemakaian tudung yang diwajibkan ke atas semua anggota Polis wanita semasa kawad perbarisan rasmi telah mengundang kontroversial besar dikalangan ahli-ahli parlimen dan parti-parti politik khasnya.



Ianya lanjutan arahan Ketua Polis Negara yang dimulakan sejak Perayaan Hari Polis baru-baru ini.



Menurut KPN ianya dilakukan semata-mata bagi mewujudkan keseragaman ketika dalam perbarisan namun tidak diwajibkan di luar majlis perbarisan. Jelaslah kalau kita lihat maksud arahan tersebut bermakna semasa menjalankan tugas biasa bukan hanya anggota wanita yang bukan Islam hatta yang beragama Islam pun sekiranya memilih untuk tidak menggunakan tudung maka mereka bebas berbuat demikian.

Angota Parlimen yang bukan Islam telah membantah arahan ini di Dewan Rakyat atas alasan ianya menyekat kebebasan hak asasi anggota bukan Islam. Manakala anggota Parlimen BN khasnya dari Umno bermati-matian mempertahankan arahan ini, sehingga ada yang mengambil contoh anggota Dewan yang mengenakan songkok semasa upacara rasmi Parlimen dan seumpamanya.

Rata-rata anggota Parlimen Umno kelihatan seolah mempertahankan pemakian tudung itu atas alasan agama, dan mengancam rakan mereka yang bukan Islam agar tidak memperlekehkan pakaian bertudung itu.



Soalnya demikiankah pegangan sebenar wakil-wakil rakyat Umno ini tentang pemakaian tudung itu yang sememangnya diwajibkan oleh Islam secara qatie?

Mengapa tidak diwajibkan pemakaian yang sama dikalangan anggota Wanita Umno bagi mewujudkan keseragamana dan juga menjunjung perintah Allah swt? Mengapa tidak diwajibkannya ke atas semua anggota Parlimen dan DUN wanita yan beragama Islam? Mengapa isteri-isteri Menteri dan Menteri-menteri Wanita Umno tidak diwajibkan berpakaian yang sama, menepati hukum dan peraturan Allah dan Prinsip Islam Hadhari itu sendiri khasnya bab ketaqwaan kepada Allah swt?

Sepatutnya atas semangat arahan KPN ini semua anggota Polis wanita yang beragama Islam terus sahaja mula menggunakan tudung kerana ianya sesungguhnya jua merupakan arahan Allah swt.

Namun demikian tak adillah anggota wanita Islam yang tidak bertudung (sebahagiannya sudah pun bertudung) diwajibkan bertudung semasa berkawad, sedangkan isteri-isteri Menteri Islam contohnya berpakaian separuh telanjang sesuka hati mereka!

Jelaslah Islam itu sesungguhnya catik dan sempurna, yang mencacatkannya yang mencemarkannya sebenarnya adalah mereka yang jahil.
Tahniah Datuk Paduka Hj Husam Musa



Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Hj Husam Musa, ahli EXCO kanan Kerajaan Negeri Kelantan yang juga ADUN Kijang di atas penganugerahan darjah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka oleh Ke Bawah DYMM Al Sultan Kelantan sempena Hari Keputeraan Tuanku yang ke 56 semalam.

Naib Presiden PAS, yang juga lulusan Ekonomi dari Universiti Malaya itu sebelum ini pernah dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada YAB MB Kelantan, dan kemudiannya Setiausaha Politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian dengan rekod yang cemerlang sehinggalah memegang jawatan yang ada hari ini.

Sebagai seorang anak Kelantan yang sedang meningkat namanya dengan rekod bersih dan disegani ramai, saya kira pilihan Tuanku itu memang kena pada tempatnya.

Cuma adalah sahabat yang menegur mengapa seorang ahli EXCO Kanan negeri disenaraikan sebaris dengan Ketua Pemuda Umno Wilayah. Sepatutnya meritokrasi merupakan aspek penting yang diambil kira dalam hal penganugerahan bintang yang seumpama ini jika ianya benar-benar bermaksud mengiktiraf jasa dan sumbangan seseorang kepada Raja dan negeri.

Pernahkah kita mendengar Ketua Pemuda PAS atau DAP atau Keadilan negeri menerima anugerah Datuk dari mana-mana Raja-raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri di negeri-negeri yang tidak dikuasai PAS?

Apa pun memang hak menganugerahkan bintang dan darjah kebesaran itu adalah hak istana, Daulat Tuanku!

Wednesday, March 29, 2006

Isu jambatan baru: Kerajaan mahu tutup mulut rakyat

Sudahlah dalam isu kenaikkan harga minyak, bantahan rakyat mahu dipadamkan dengan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang keluar berdemonstrasi, kini kerajaan mahu mengambil sikap yang sama terhadap satu lagi isu.

Cut down on the debate

Hentikan perbahasan (mengenainya)

Kata Menteri Luar Syed Hamid Albar, yang ditujukan kepada ahli-ahli Parlimen semasa sidang akhbarnya di luar dewan. Menurut beliau ahli-ahli Parlimen dan semua pihak sepatutnya tidak lagi membahaskan secara terbuka isu pembinaan jembatan baru yang bakal merentangi Selat Johor menggantikan Tambak Johor.


Inilah Jambatan Bengkok yang penuh kontroversi itu

Kata beliau para pimpinan dan pegawai kerajaan yang terlibat dalam perundingan dengan pihak Singapura itu tahu apa yang mereka lakukan. Kata beliau lagi:

The less we debate openly about the matter, the easier the topics can be finalized including the technical details.

Lagi kurang kita berdebat berkenaan perkara ini, lebih mudah kita menyelesaikan permasalahannya berserta hal-hal teknikalnya sekali.

Sesungguhnya pembinaan Jambatan Bengkok ataupun yang kerajaan panggil Scenic Bridge itu akan menelan belanja RM620 juta iatu bagi bahagian Malaysia.

Kita tidak faham mengapa rakyat tidak dibenarkan bersuara dan memberi pandangan. Kerajaan berhak mendengar ataupun menolak pandangan rakyat namun ia tidak sekali-kali berhak menutup mulut rakyat.

Kalau dalam hal-ehwal Islam pun kita buka seluas-luasnya kepada semua pihak untuk menyentuh dan mengulasnya takkanlah dalam bab Jambatan Bengkok yang mencetuskan pelbagai kontroversi itu suara rakyat mahu dikawal dan dibisukan.

Kini kita mendengar pihak Singapura menuntut pelbagai perkara dari pihak kerajaan termasuklah hak menerobos ruang udara kita serta bekalan pasir untuk kegunaan negara pulau itu.

Sudah pastilah rakyat prihatin dan tidak mahu maruah dan kepentingan negara dipergadaikan semata-mata kerana mahu menawan hati rakan kita d iseberang yang tidak pernah menguntungkan kita itu.

Malah dalam hal ini Tun Dr Mahathir baru-baru ini berkata:

Masa mula-mula menjadi Perdana Menteri pada 1981, saya pergi ke Singapura untuk berbaik dengan Perdana Menterinya Lee Kuan Yew tetapi mereka tidak ikhlas untuk berbaik dengan kita.

Sekarang mereka minta pasir dan ruang udara (kita) sebelum bersetuju membina jambatan baru menghubungkan kedua-dua negara bagi menggantikan Tambak Johor, tapi apa yang dia bagi pada kita? Tiada, kosong.

Bagi saya trend menutup mulut rakyat ini adalah satu trend yang tidak sihat dan membunuh hak bersuara dikalangan rakyat jelata. Takkanlah dah hampir 50 tahun Merdeka kita nak berundur sepuluh tapak ke belakang dari segi amalan hak asasi ini?

Tuesday, March 28, 2006

Bila Menteri secara terbuka perlekehkan rakyat

Kenaikkan harga minyak RM0.30 sen tempoh hari yang merupakan kadar kenaikkan tertinggi dalam sejarah Malaysia sudah pasti menghiris dan membelah kalbu rakyat lantaran kos besar yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Kerajaan telah pun membuat keputusan dan pengumuman. Sebagaimana hak yang ada pada kerajaan untuk berbuat demikian, rakyat juga memiliki hak menerima atau membantah kenaikkan tersebut.


Belon-belon hitam yang dilepaskan
ke udara Ahad lepas simbolik kenaikkan
harga minyak dan rintihan rakyat

Mungkin bagi mereka yang menerimanya penjelasan pihak kerajaan cukup memuaskan hati mereka dan mereka dapat hidup tanpa sedikit pun terasa terjejas dengan kenaikkan kos itu. Itu hak mereka. Namun bagi mereka yang tidak berpuas hati, sudah pasti berhak menyuarakan keresahan mereka itu menurut cara yang mereka yakini berkesan perlu juga dihormati.

Dalam hal ini sistem demokrasi dan hak asasi manusia sebagaimana terpahat dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Malaysia Merdeka menyediakan ruang untuk berkumpul dan bersuara bagi mana-mana warganegaranya yang merasakan perlu berbuat demikian.

Kerajaan yang tidak bersedia menerima rintihan rakyat seumpama ini adalah kerajaan yang tidak yakin, tidak percaya dan tidak menghormati sistem demokrasi dan Perlembagaan yang dibentuknya sendiri!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz semasa mengulas demonstrasi memprotes kenaikkan harga minyak yang dianjurkan oleh MTUC dan parti-parti politik serta NGO sebelum itu dipetik sebagai berkata dalam THE STAR:

You can demonstrate until the cows come home, but the Government will not withdraw the subsidy reduction

Sekiranya lembu pulang ke kandang sekalipun anda boleh terus berdemonstarsi, namun kerajaan ntidak sekali-kali akan menarik-balik pengurangan subsidi (yang diumumkan).

Demikianlah bongkak dan sombangnya kenyataan seorang Menteri yang mewakili kerajaan Malaysia yang dikatakan sedang pesat membangun, Pengerusi NAM dan OIC itu. Kalau perumpamaan seumpama itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin dari negara otokratik umpama Korea Utara, Cuba atau negara-negara mundur di Afrika, barangkali ianya tidak diambil kira, tetapi apabila dikeluarkan oleh seorang Menteri negara kita, maka lumpurnya terpalit di wajah semua wargangera Malaysia.

Bagi saya sebenarnya pemimpin yang tidak dapat menerima dissent ataupun bantahan dari rakyatnya sendiri dengan lebih terbuka dan rasional samalah dengan lembu yang Nazri ambil contoh itu (kasar nampaknya). Menyondol dan mengunyah samada dipukul atau dibiarkan asalkan perut kenyang dan hati senang.

Monday, March 27, 2006

Wira-wira Protes Sampai Turun

Untuk kesekian kalinya rakyat jelata mengadakan perhimpunan membantah kenaikkan harga minyak yang bagi mereka teruk mendera dan menjejaskan kehidupan mereka masing-masing.


Wira-wira PROTES SAMPAI TURUN
diseret polis (gambar HARAKAH)

Kenaikkan 30 sen seliter itu terlalu berat untuk ditanggung dan dipikul oleh rakyat lantaran itulah rakyat keluar ke jalanraya bagi menyatakan bantahan dan sikap mereka setelah pihak kerajaan sengaja memekakkan telinga.

Semalam bantahan di hadapan Menara Berkembar KLCC telah dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia MTUC dan turut disertai oleh parti-parti politik dan NGO. Maka turunlah rakyat jelata dengan anak-isteri dan kaum keluarga masing-masing.


Dr Hatta, Amirah dan Atiqah
(gambar PERAKAN)

Rupa-rupanya di hari cuti hujung minggu itu, dalam keadaan lalu-lintas yang tidak sesesak hari bekerja biasa, pihak Polis entah kenapa tiba-tiba merasakan perhimpunan aman rakyat itu suatu ancaman kepada keselamatan awam dan mereka telah bertindak terhadap yang hadir seolah-olah mereka yang hadir itu umpama perusuh yang ganas dan liar.

Pihak polis telah menggunakan water canon dan merempuh mereka yang hadir dengan belasahan dari belantan dan asakkan dari anjing-anjing dan kuda-kuda mereka.


Aiman Athirah diberkas Polis
(gambar PERAKAN)

Seramai 22 orang aktivis telah ditangkap. Antaranya Dr Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat berserta dua orang anak perempuannya Amirah 9 tahun dan Atiqah 17 tahun. Turut ditangkap adalah AJK Dewan Muslimat PAS Pusat Aiman Athirah.

Bagi saya apakah rasional pihak Polis bertindak sedemikian rupa terhadap warganegara Malaysia yang berprotes secara aman, tanpa sedikit pun mencetuskan ketegangan, rusuhan ataupun kerosakkan kepada hartabenda awam? Dalam sekelip mata sahaja rekod pihak Polis yang cuba dipulihkan setelah beberapa kejadian yang menjadi cemuhan awam menjadi kembali buruk dan hitam sehitam-hitamnya.

Semasa pertama kali bantahan serupa ini dilakukan di hadapan KLCC dahulu serta bantahan di hadapan Wisma Denmark terdahulu dari itu, ramai kagum dengan kematangan dan sikap professional pihak Polis dalam mengawal keadaan. Kita boleh bandingkan dengan negara-negara jiran dimana protes yang melibatkan ratusan ribu rakyat jelata dibiarkan berjalan di bawah pengawasan pihak keselamatan mereka tanpa sedikit pun perlu bertindak biadap dan kasar terhadap rakyatnya sendiri.

Saya malu dengan tindakan pihak Polis semalam, dan saya pasti rakyat jelata juga rata-rata turut malu. Sudah pasti berita buruk dan memalukan ini telah pun sampai ke telinga dunia dan akan hanya memburukkan rekod hak asasi Malaysia di mata dunia yang tak seberapa baik itu.

Tahniah kepada mereka yang berani menyuarakan hak rakyat. Tahniah kepada adik Amirah selaku tahanan termuda PROTES SAMPAI TURUN.

Ayuh seluruh rakyat jelata yang prihatin dan insaf, kita teruskan protes ini ayuh kita terus PROTES SAMPAI TURUN!

Saturday, March 25, 2006

Tahniah Ketua Polis Negara

Arahan Tan Sri Bakri Omar selaku Ketua Polis Negara agar anggota Polis wanita yang menyertai perbarisan ataupun kawad mengenakan tudung sebagai sebahagian dari pakaian seragam mereka telah diselar oleh kalangan tertentu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ketua Pembangkang dan konco-konconya di Dewan Rakyat menganggap arahan tersebut sebagai suatu paksaan khasnya terhadap anggota wanita yang bukan beragama Islam. Malah dalam akhbar hari ini Timbalan Menteri Keselamatan Dalam NegeriFu Ah Kiow dari MCA diberitakan akan memohon berjumpa dengan Menteri beliau yang juga PM untuk mendapatkan penjelasan darihal arahan yang dikeluarkan oleh Tan Sri KPN itu.

Tidak pernah sebelum ini kita dengar arahan KPN dipertikaikan demikian rupa. Namun dalam hal ini seolah arahan itu merupakan lessen terbuka bagi pihak-pihak tertentu untuk menyerang dan membelasah beliau.

Soalnya apakah pakaian sedemikian akan memaksa seseorang anggota bukan Islam menajdi seorang Islam? Dalam hal ini masyarakat bukan Islam khasnya Ketua Pembangkang dan konco-koconya terpaksa berfikiran lebih terbuka sebagaimana mereka sering mendesak orang lain turut berfikiran terbuka kononnya seperti mereka.

Akhirnya sebentar tadi bertempat di PULAPOL sempena Sambutan Hari Polis ke 199 PM Dollah Badawi terpaksa mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

Tidak perlu ada perbalahan dalam isu tudung anggota polis wanita, kerana peraturan yang ada sudah jelas.Peraturan sudah jelas bahawa pemakaian tudung oleh anggota wanita ketika menjalankan tugas harian adalah pilihan, bagaimanapun ia diwajibkan ketika berkawad.

Beliau berkata bertudung adalah termasuk dalam pakaian seragam polis wanita dan semua anggota wanita mesti patuh dengan peraturan yang ditetapkan

Mudah-mudahan dengan kenyataan PM itu akan redalah isu ini, atau adakah nanti menteri-menteri bukan Islam mahu mengirim memorandum bantahan pula kepada PM, atau bagaimana?

Bagi saya apa pun niat Tan Sri Bakri, tindakan beliau sewajarnya mendapat pujian. Sekurang-kurangnya anggota wanita Islam yang dulunya tak bertudung sekarang terpaksa mematuhi arahan KPN yang selaras dengan perintah Allah swt itu.

Manakala bagi yang bukan Islam anggaplah ianya semata-mata sebagai pakaian rasmi, dan tidak lebih dari itu, tak perlulah gundah-gulana sebagaimana Ketua Pembangkang dan konco-konconya termasuklah dari MCA, MIC dan Gerakan yang cavunis perkauman itu.
Pemuda Umno: Masuk angin keluar asap

Menurut akhbar UTUSAN hari ini:

Biro Ekonomi dengan kerjasama Biro Penerangan, Pergerakan Pemuda UMNO menganjurkan Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa di peringkat bahagian di seluruh negara bermula 18 Mac lalu sehingga 1 April ini.

Pengerusinya, Reezal Merican Naina Merican berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini, majlis tersebut bertujuan memberi penjelasan dan pendedahan tentang beberapa isu terutamanya pengurangan subsidi minyak.

Apalah agaknya nak dijelaskan oleh kalangan Pemuda Umno itu?

Harga minyak naik 30 sen seliter, harga barangan dan perkhidmatan sedang dan akan naik (kecuali ayam itupun kerana bahana selsema burung), kos hidup semakin tinggi, gaji dan upah tak naik-naik.

Mungkin Pemuda Umno nak minta rakyat bersabar, terima hakikat, bersama berkorban demi kesejahteraan negara, mengubah cara hidup berdasarkan suasana yang ada.

Apakah rakyat mentah-mentah boleh terima penjelasan sedemikian?

Sedangkan pemimpin dan kerajaan berbelanja besar tanpa segan silu, tanpa pun menunjukkan sedikit pun perubahan.

Kempen-kempen kerajaan dilancarkan dengan bajet dan belanja besar-besar, kempen budi bahasa, kempen RTM Piala Dunia. Itu tak termasuk kempen dan promosi untuk Perlumbaan F1 baru-baru ini yang turut melibatkan makan malam mega dan persembahan Lionel Ritchie serta lain-lain kempen dan promosi yang bakal dilancarkan.

Dan rakyat di kampung dan bandar disuruh berjimat, gunakan perkhidmatan pengangkutan awam, sedang Menteri terbang ke sana ke mari menaiki helikopter yang kos minyaknya sahaja boleh mengangkut ratusan rakyat awam ke tempat kerja masing-masing.

Dan bagaimana pula rasuah dan pembaziran yang berlaku yang melibatkan kepentingan dan wang rakyat. Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT berbelanja sesuka hati mereka tanpa kekangan dan kawalan.


Tong sampah MPPJ bernilai
RM1,000

PBT di Selangor umpamanya lebih berkuasa dari MB nya sendiri.
Rakyat diajak berkorban, berjimat dan bersederhana, tetapi PBT-PBT umpamanya membakar duit rakyat sesuka hati mereka. Di Majlis Perbandaran Petaling Jaya MPPJ baru-baru ini, didedahkan oleh akhbar THE STAR bagaimana tong-tong sampah versi terbaru di kawasan majlis perbandaran berkenaan dibikin dengan kos RM1,000 sebuah!

Itu belum lagi kita perkatakan darihal bagaimana ADUN DAP dari Sekinchan, Selangor yang membangkitkan dalam DUN Selangor betapa seorang ADUN Umno di Kelang telah membina sebuah mahligai peribadi dengan kos mencecah RM5 juta!

Rumah ADUN Umno Selangor
bernilai RM5juta

Lalu apa lagi yang nak didendangkan ke telinga rakyat?

Umno sebenarnya berhadapan dengan Krisis Keyakinan yang terbesar dalam sejarahnya bilamana rakyat sudah mula tidak yakin dengan kejujuran dan perjuangan mereka.Rakyat nak dikerah mengikat perut sedangkan perut mereka sendat dan tyidak ada tali yang mampu mengikatnya.

Pendedahan Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh berkenaan alternatif lain yang sepatutnya digunakan oleh kerajaan bagi mengelakkan kenaikkan harga minyak yang membebankan rakyat jelata kini sudah sampai ke pengetahuan rakyat.

Mungkin menyedari hakikat ini maka Pemuda Umno dikerahkan turun ke bawah bagi membuat penjelasan kepada rakyat, solanya apa yang mahu dijelaskan?

Dan akhirnya dalam pada disuruh adjust lifestyle dan berjimat, kerajaan yang berwawasan ini mengumumkan pula penurunan harga kereta, boleh telan ke? Namun itulah dia kerajaan kita, yang pada saya akan terus dihantui dengan krisis keyakinan ini yang kelihatan tidak mudah akan reda dalam waktu yang terdekat ini.

Kalau datang Pemuda Umno apa harus kita lakukan? Katakanlah kepada mereka sebagaimana senikata lagu P.Ramlee dalam filem Bujang Lapok, lebih baik:

Masuk angin keluar asap (sajalah)