Pilihanraya Sarawak barometer hubungan PAS dan PKR

Monday, April 18, 2016

 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2140 Edisi Isnin muka F16


Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun dibubarkan pada 11 April baru-baru ini dan tarikh penamaan calon serta hari mengundi bagi Pilihanraya Negeri Sarawak kali ke 11 dijangka diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya bila-bila masa sahaja. Rakyat Sarawak kali ini akan mengundi di 82 buah kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 71 pada Pilihanraya Negeri tahun 2011 lalu. Menurut rekod Sarawak mempunyai 1.13 juta pengundi berdaftar.

PAS telah pun mengumumkan akan bertanding di 11 buah kerusi DUN kali ini berbanding 5 pada pilihanraya yang lepas. Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah pun mengisytiharkan calon-calon PAS yang bakal bertanding di 11 kerusi berkenaan iaitu Pujut (Hj Jofri Jaraiee), Lambir (Mohamad Ariffiriazul Paijo), Samalaju (Zharuddin Naruddin), Jepak, (Hj Kiprawi Aman), Kakus (Clement Bayang), Beting Maro (Hamidah Mokhtar), Sebuyau (Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad), Sadong Jaya (Cikgu Hassan Sinkro), Muara Tuang (Zulkifli Ramzi), Samariang (Ustaz Yusof Assidiqi) dan Santubong (Zainal Abidin Yet).

Pertama kali dalam sejarah PAS memperkenalkan calon bukan Islam iaitu Clement Bayang Pengerusi DHPP Sarawak yang membuktikan bahawa PAS komited berjuang untuk kepentingan semua kaum.

Jentera PAS telah pun diaktifkan sejak beberapa bulan lalu dan malah kini kekuatan jentera PAS dari negeri-negeri telah digembelingkan dan sedang turun bertali arus ke Sarawak bagi membantu jentera pilihanraya negeri. Rombongan demi rombongan para petugas dari negeri-negeri telah pun berganti-ganti berkunjung ke Sarawak dengan jadual yang lengkap dan padat.

Kekuatan jentera ini dijangka dipacu secara maksima sejurus tarikh pilihanraya diumumkan oleh pihak SPR. Hijau PAS akan disemarakkan khasnya di kesebelas DUN berkenaan
Sementara itu Setiausaha PAS Negeri yang juga AJK PAS Pusat Ir Muhtar Suhaili telah mengeluarkan kenyataan meminta agar pihak Pakatan Harapan (PH) menghormati PAS dan tidak meletakkan calon di kesebelas kerusi yang telah diumumkan. Ini bagi memastikan BN akan dihadapi secara satu lawan satu oleh PAS.

Malah Ir Muhtar merayu agar pihak PKR yang masih punya hubungan dengan PAS walaupun PKR negeri tidak lagi mengiktiraf PAS, akan memain peranan meyakinkan rakan-rakannya terutama Pan agar memberi laluan kepada PAS demi mengelakkan perpecahan undi blok pembangkang.

Namun demikian ini tidak bermakna PAS menghalang mana-mana pihak bertanding kerana akur kepada amalan kebebasan demokrasi yang dianuti dalam negara. Kiranya PH berkeras mahu bertanding maka PAS rela menghadapi pertandingan tiga penjuru ataupun lebih kerana ia meletakkan harapan tinggi pada kemampuan jenteranya berbanding Pan yang dijangka bakal hilang wang pertaruhan kerana tiada kekuatan di Sarawak.

Sesungguhnya Sarawak bakal menjadi kayu pengukur atau “barometer” hubungan PAS dan PKR.  Inilah kali pertama PAS akan menghadapi Pilihanraya Umum tanpa DAP sejak Pakatan Rakyat berkubur dan kiranya PKR Pusat tidak berjaya meyakinkan PKR Sarawak untuk membaiki hubungan dengan PAS Sarawak khasnya dalam menghadapi Pilihanraya Negeri ini, maka PAS akan menghadapi Pilihanraya Negeri kali ini berseorangan.

Soal menghadapi pilihanraya bersendirian atau dengan bantuan kawan adalah sesuatu yang normal buat PAS, namun demikian kiranya ini berlaku di Sarawak maka fenomina demikian akan memberi isyarat yang tidak sihat pada hubungan PAS dan PKR yang bakal menghadapi Pilihanraya Umum yang lebih besar di masa hadapan.

Kiranya di Sarawak jentera PKR membantu Pan bagi menghadapi calon-calon PAS, contohnya maka ianya pasti akan meninggalkan kesan yang besar buat jentera PAS seluruh negara yang turun ke Sarawak.

Jentera ini jugalah nanti yang akan terlibat dalam mempertahankan kerusi-kerusi PAS dan PKR seluruh negara termasuklah di Kelantan dan Selangor selain memastikan PAS dan PKR menang lebih besar lagi dalam PRU akan datang. Bolehkah jentera berkenaan bertembung di Sarawak dan kemudiannya bertindak normal pada PRU ke 14 nanti?

Jika PAS bertanding di Beting Maro menghadapi BN dan Pan yang akan dibantu PKR contohnya, adakah ini bermakna Presiden PAS nanti akan bertembung dengan Presiden PKR bagi memenangkan calon masing-masing? Adakah ini bermakna Dato Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden PAS akan berebut mendapatkan sokongan pengundi dengan Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR?

Sudah pastilah senario seumpama ini jika berlaku di Sarawak akan meninggalkan kesan yang mendalam pada kedua-dua parti dan bakal melukakan hati jentera dan ahli-ahli PAS dan PKR, kerana hakikatnya kedua-dua parti masih memerlukan antara satu sama lain khususnya bagi menghadapi BN dalam PRU ke 14 nanti.

Dalam keadaan PAS tiada hubungan dengan DAP dan Pan, PKR lah satu-satunya rakan setia PAS dan sewajarnya hubungan baik kedua parti terus diperbaiki dan diperkasakan.
Jangan biarkan Pilihanraya Sarawak ini menjadi retak yang bakal membelahkan hubungan kedua parti yang telah dijalin dengan pengorbanan dan kasih sayang berdekad lamanya.

Suka atau tidak perkara ini mesti dihadapi dan ditangani oleh kedua belah parti. Faktor ini serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana masa depan hubungan kedua parti kini bertenggek pada Pilihanraya Sarawak ini.   roslansms@gmail.com

0 comments: