Kunjungan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Abdul Karim Naik
ke Malaysia kali ini dipenuhi dengan kontroversi. Walaupun ini bukan kali
pertama beliau ke sini, malah Dr Zakir pernah pada tahun 2013 lagi diberikan
pengiktirafan negara apabila dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa oleh
Yang Dipertuan Agong, namun kunjungannya ke Malaysia kali ini tiba-tiba menjadi
panas.
Dr Zakir walaupun seorang lulusan perubatan akan tetapi
memiliki kepakaran dalam dibidang “comparative religion” ataupun perbandingan
agama”. Dan beliau yang berasal dari India dikenali dunia dengan kemahiran ini
setandding dengan “guru”nya Allahyarham Ahmad Deedat.
Kemana sahaja pelusok dunia yang beliau pergi dand idundang
sudah semestinyalah misinya adalah untuk menerangkan Islam selain mengajak
masyarakat bukan Islam agar mendekati dan menerima Islam hasil dari
kepakarannya itu.
Oeh itu kunjungannya ke Malaysia kali ini pastilah untuk
meneruskan misi berkenaan atas undangan pihak-pihak yang tertentu di negara
ini.
Sejurus tiba beberapa NGO Hindu khsusnya Hindu Sangam dan
HINDRAF telah membantah penganjuran majlis yang melibatkan Dr Zakir khasnya di
negeri Melaka dimana beliau dijadulkan memberi ceramah berkaitan perbandingan
agama Islam dan Hindu.
Kedua-dua NGO berkenaan tidak senang dengan gaya Dr Zakir
yang sering membanding-bandingkan agama selain menganggap beliau pernah
menghina penganut dan kepercayaan Hindu dalam ceramah-ceramahnya sebelum ini.
Setelah pihak Polis campurtangan akhirnya tajuk cewramahnya
di Melaka itu telah diubah.
Walaubagaimanapun kontroversi berkenaan kehadirannya terus
memuncak apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Timbalan
Setiausaha Agung DAP Profesor P. Ramasamy pula telah melabel Dr Zakir sebagai
seorang “syaitan” dalam “facebook”nya. Walaupun Ramasamy kemudiannya
mengahpuskan “posting” itu namun ianya telah sempat di “viral” dan
membangkitkan kemarahan masyarakat Islam.
Isunya adakah kehadiran Dr Zakir Naik dan ceramah-ceramahnya
di sini menyalahi undang-undang negara?
Puak NGO Hindu mahu menggambarkan seolahnya begitu.
Manakala Ramasamy pula menganggap kehadiran Dr Zakir ke sini
sebagai satu penghinaan kepada penganut Hindu. Selain itu beliau juga
menganggap tindakan kerajaan membenarkan Dr Zakir mengislamkan beberapa
individu bukan Islam yang terpengaruh dengan penyampaiannya sebagai bukti
keangkuhan masyarakat Melayu Islam ke atas masyarakat bukan Islam.
Ternyata kesemua pihak yang menentang di dalam hal initidak
memahami Perlembagaan Negara.
Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan walaubagaimanapun
Perkara 11 Fasal 1 Perlembagaan Negara menggariskan bahawa: “Tiap-tiap orang
berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4),
mengembangkannya “
Bermakna Islam adalah agama resmi Persekutuan dan ianya
diberi pengiktirafan oleh undang-undang tertinggi negara. Namun demikian agama
dan kepercayaan lain bebas dianuti oleh mana-mana warga Malaysia. Ringkasnya
tiada paksaan dalam beragama di Malaysia.
Akan tetapi walaupun kebebasan bergama terjamin namun
peruntukkan yang sama menetapkan bahawa pengembangan agama di Malaysia ini
punya had dan peraturannya. Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan
menetapkan: “ Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh
mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di
kalangan orang yang menganuti agama Islam.”
Dalam erti kata lain semua warganegara bebas mengamal dan
mengembangkan agama mereka akan tetapi pengembangan agama selain Islam tidak
dibenarkan ke atas masyarakat atau warganegara beragama Islam walaupun Islam
boleh dikembangkan kepada masyarakat lain.
Jelas undang-undang murtad yang melibatkan enakmen agama negeri-negeri
dan Wilayah Persekutuan selari dengan peruntukkan ini yang tidak mengizinkan
agama lain dikembangkan ke atas rakyat bergama Islam.
Oleh itu sebarang program seumpama yang dipimpin oleh Dr
Zakir ini atau sesiapa sahaja di Malaysia sebenarnya selaras dengan
Perlembagaan Persekutuan dan diizinkan dalam negara kita. Tidak berbangkit isu
penghinaan atau keangkuhan orang Islam ke atas bukan Islam sebagaimana dituduh
oleh Ramasamy.
Program-program seumpama ini tidak pernah memaksa masyrakat
bukan Islam di Malaysia untuk hadir dan sebenarnya mereka yang bukan Islam itu hadir
atas kerelaan diri serta memenuhi sifat ingin tahu masing-masing.
Masyarakat Islam di Malaysia telah lama menghormati dan
melindungi masyarakat bukan Islam dan ini satu hakikat yang tidak boleh
dinafikan sesiapa. Tiada pergaduhan atau pencabulan hak kebebasan beragama di
Malaysia sepanjang sejarahnya tidak seperti di India atau Myanmar. Rumah-rumah
ibadat bukan Islam dibenarkan dan begitu juga sambutan dan perayaan agama
masing-masing.
Lantas program-program seumpama yang dianjurkan Dr Zakir ini
seharusnya tidaklah ditempelak dan ditentang oleh mana-mana pihak yang rasional
kerana ianya mematuhi undang-undang negara dan di sana tiada elemen paksaan
yang dikenakan.
Seharusnya semua pihak bertenang dan berfikir secara matang
dan tidak mudah menggelabah sehingga mengeruhkan hubungan baik antara pelbagai
penganut dalam negara ini. Melabel seorang pendakwah Islam bertaraf dunia
sebagai “syaitan” umpamanya adalah sesuatu yang sangat dikesali dan seharusbya
disusuli dengan permintaan maaf.
Penganut Islam dan bukan Islam di Malaysia akan kekal hidup
selamat dan aman damai selagi negara bebas dari pemimpin yang radikal dan
emosional seperti Ramasamy dan koncon-konconya.
No comments:
Post a Comment