Ia punya tema yang sungguh gah bunyinya iaitu Kongres
Rakyat. Ia punya matlamat mahu menggerakkan gelombang massa untuk menyelamatkan
Malaysia.
Deklarasi Rakyat yang dikepalai bekas Perdana Menteri dan
bekas Presiden Umno Tun Dr Mahahtir Mohammad ini mahu “menggulingkan” Perdana
Menteri Malaysia dan Presiden Umno kini Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib kini
sudah tempang dan pincang, kata Tun,
Najib sudah bergelumang dan terpalit dengan
berbagai skandal dan masalah.
Najib sudah tidak sesuai lagi kekal sebagai Perdana Menteri
Malaysia dan Presiden Umno, beliau wajar diguling dan ditunjukkan jalan keluar.
Jika undi tidak percaya di Dewan Rakyat tidak mampu
menghimpunkan sokongan yang cukup, maka gelombang rakyat perlu dibangkit dan
dicetuskan. Biar rakyat keluar beramai-ramai sekurang-kurangnya menandatangani
deklarasi tadi untuk tuntut agar Najib letak jawatan.
Biar jutaan rakyat Malaysia menandatanganinya,kerana apabila
jutaan yang menunutut nanti atas gelombang tekanan, Najib tidak punya pilihan
melainkan melepaskan jawatannya.
Itulah cita-cita dan perjuangan Tun kini.
Namun demikian, saya masih ragu-ragu dan pelbagai tandatanya
berligar di dalam kepala, wajarkah gelombang yang kononnya mahu dicetuskan oleh
Tun ini disokong rakyat sebagaimana Tun impikan itu?
Najib bukannya mahu dijatuhkan oleh Tun untuk diganti dengan
pentadbiran yang baru, atau parti dan kelompok baru yang berupaya merobah
sistem dan dasar pemerintahan yang ada. Tetapi berulangkali Tun telah tegaskan,
dan ini diperakui oleh Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz yang
bersama sepakat dalam “revolusi” ini, iaitu Najib perlu dijatuhkan demi
menyelamatkan Umno dan BN dari kalah dalam Pilihanraya umum yang akan datang.
Bagi mereka kiranya Najib kekal menerajui negara, maka Umno
dan BN akan dikalahkan diperingkat Persekutuan.
Bermakna “revolusi” Tun dan konco-konconya ini lebih kepada
mahu “membunuh” karier politik Najib semata-mata bukannya punya rancangan untuk
mengkebumikan Umno dan BN sebagaimana yang disangkakan. Malah kiranya Najib
berjaya diterajang keluar, mereka yakni Tun, Muhyuddin, Shafie Apdal, Mukhriz
dan lain-lain percaya bahawa Umno dan BN akan menjadi lebih kuat dan bertenaga,
yang penting bagi mereka, Umno dan BN akan kekal berkuasa untuk tempoh yang
lebih panjang lagi.
Lalu dalam hal ini dimanakah letaknya parti-parti dan tokoh
pembangkang dan NGO yang turut menyokong dan memberi sepenuh keyakinan pada
rancangan Tun ini?
Mereka turut mahu menurunkan Najib. Bagi Tun itu satu
persamaan, dan perpaduan mereka dipupuk atas persamaan yang satu ini.
Walaubagaimanapun, meski tidur di atas bantal yang sama akan tetapi mereka
punya mimpi yang berbeza.
Tun jelas mahu Najib jatuh dan digantikan dengan pemimpin
Umno lain yang lebih berkaliber dan bertenaga, sekurang-kurangnya yang boleh
akur dan tunduk pada telunjuknya. Jatuh Najib maka berkuasa semulalah Muhyuddin, Shafiee Apdal
dan anaknya Mukhriz.
Manakala bagi blok pembangkang yang menjulang Tun ini,
mereka juga mahu jatuhkan Najib akan tetapi kalau tidak pun Umno jatuh
sekurang-kurangnya mereka nanti punya tempat dalam kerajaan yang baru. Kekallah
tidak mengapa Umno tetapi selebihnya mereka juga mahu posisi dan kuasa.
Asalnya rakyat jelata menyangkakan yang Tun telah berpatah
arang dan berkerat rotan dengan Umno. Muhyuddin, Shafiee Apdal, Mukhriz dan
lain-lain juga diharapkan begitu. Iaitu bersama melawan Umno dari luar. Dengan
kepercayaan begitu lalu berlari-larilah Kit Siang, Mat Sabu dan Rafizi menjulang
tinggi Tun. Segala kezaliman dan dosa Tun terhadap rakyat dan negara serta
merta diampunkan. Dan Tun dalam sekelip mata menjadi suci bagaikan bayi baru
lahir.
Tun dan rakan-rakan pada jangkaan dan bacaan mereka akan
bersama dan memperteguhkan lagi kekauatan blok pembangkang bagi menghadapi Umno
dan BN khususnya pada Pilihanraya Umum nanti.
Malangnya setelah melutut di hadapan Tun dan menari ikut
rentaknya, kini mereka sedar rupanya agenda Tun adalah untuk memperkasakan Umno
dan BN.
Perahu telah terlajak dan sukar diundur lagi.
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang,
awal-awal lagi telah tegaskan bahawa sikap politik PAS diwaktu ini adalah jelas iaitu untuk membawa perubahan kepada sisitem
dan pemerintahan yang kotor dan pincang di bawah teraju Umno dan BN. Bukan
hanya Najib yang mahu disingkirkan tetapi seluruh sistem dan pentadbirannya,
yang membeban dan merosakkan rakyat dan negara.
Kerana itu perubahan total ini hanya mungkin berlaku kiranya
dibawa melalui kaedah demokrasi berpilihanraya. Iaitu perubahan yang aman yang
tidak mencetuskan ketegangan dan porak-peranda.
Malah begitulah juga apa yang disuarakan oleh Datuk Seri
Anwar Ibrahim apabila beliau hadir menghadapi kesnya di mahkamah baru-baru ini.
Kata beliau: “Kita juga telah belajar
dari pengalaman sejarah bahawa peralihan kuasa yang bermakna bukanlah peralihan
tokoh semata tetapi perubahan sistem”.
Yang jelasnya rakyat sudah bosan dengan Najib sebagaimana
mereka juga bosan dan hilang kepercayaan pada Umno dan BN. Sebarang gerak dan
langkah untuk menukar Najib dan merobah tunggak kuasa dari Umno dan BN yang
mengamalkan sistem tempang dan pincang selama ini akan disokong tetapi bukannya
menjatuhkan Najib dan menaikkan pengganti lain dari lubang yang sama, iaitu
Umno dan BN juga.
Rakyat lebih yakin pada perubahan melalui peti undi, iaitu
amalan biasa mereka yang berlaku setiap 5 tahun dalam keadaan aman dan
tenteram.
Kesusahan dan kehimpitan hidup rakyat dewasa ini wajar
dirobah, tetapi bukannya dengan cara mengeruhkan lagi suasana politik dalam negara
yang sudah cekup keruh dengan hasil kepincangan Umno dan BN selama ini.
Atas dasar itu usaha deklarasi rakyat yang ditaja Mahathir
ini diyakini tidak akan dapat bertahan lama kerana pencetusnya sendiri pun
punya rekod yang hodoh dan sukar dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Lebih wajar kita menggembeling tenaga berkerja meyakinkan
rakyat Malaysia bahawa perubahan melalui peti undi sudah wajar sangat dilakukan
apabila tiba masanya nanti. Rakyat seharusnya beri fokus terhadap
penggembelingan tenaga ini dan bukannya terperangkap dengan perjuangan kosong
dan menegakkan agenda peribadi puak-puak tertentu.
Bersatulah kita bersama menghadapi Najib, Umno dan BN secara
bersepadu barulah nasib dan masadepan rakyat dan negara terselamat dan
terjamin.
No comments:
Post a Comment