Tuesday, April 26, 2016

BN Sarawak jangan lari dari bertanggungjawab isu nasional

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2142 Edisi Isnin muka F16

Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dan keluasannya iaitu 124 449 kilometer persegi hanya kurang sedikit dari keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia iaitu 130 598 kilometer persegi.

Pada 7 Mei 2016 nanti lebih 1.1 juta rakyat Sarawak yang berdaftar sebagai pengundi layak untuk keluar dan membuang undi di daerah mengundi masing-masing. Dan Dewan Undangan Negeri Sarawak kini mempunyai 82 kerusi DUN berbanding 71 pada pilihanraya yang lepas iaitu pertambahan 11 kerusi menjadikan Sarawak satu-satunya negeri yang mempunyai kerusi DUN yang terbesar di Malaysia.

Kedua terbesar adalah Sabah dengan 60 kerusi diiikuti Perak 59, Selangor dan Johor masing-masing 56 manakala Pahang 42. Terkecil adalah Perlis dengan cuma 15 kerusi DUN.

Barisan Nasional juga akan diketuai oleh Pengerusi yang baru dalam Pilihanraya kali ini setelah Tan Sri Adenan Satem menggantikan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.

BN Sarawak menjangkakan dengan muka baru yang memegang kemudinya, walaupun Tan Sri Adenan sudah berusia 72 tahun, ia mampu memulih imej parti berkenaan yang sedia tercalar di hati rakyat Sarawak ekoran beberapa skandal dan kepincangan Ketua Menteri dan pentadbiran yang lepas.

Namun mampukah kecurigaan dan kemarahan rakyat itu terpadam dengan hanya pertukaran individu untuk memegang tampuk pentadbiran negeri sedangkan keliling-kelalangnya masih muka-muka lama termasuklah Tan Sri Adenan sendiri dan yang kekal berkuasa adalah parti-parti komponan BN yang sama.

Dalam pada itu kenaikkan kos hidup terus menghimpit rakyat Sarawak selain bebanan GST yang terpaksa dipikul semua.

Melihatkan begitu banyak biawak hidup yang terpaksa dipikulnya yang datang dari kepincangan Pusat, Tan Sri Adenan dengan lantang cuba memberishkan dirinya apabila mencabar parti-parti lawan untuk menghadapinya dalam Pilihanraya Sarawak ini dengan hanya memberi tumpuan pada isu-isu tempatan atau isu-isu Sarawak semata-mata.

Jangan seret isu-isu nasional ke dalam pilihanraya ini katannya kerana isu-isu berkenaan dakwanya tiada kaitan dengan Sarawak. Benarkah begitu?

Bukankah kesemua parti komponan Barisan Nasional Sarawak bernaung dan merupakan anggota komponan BN Pusat? Bukankah anggota-anggota komponan BN Sarawak turut duduk dalam kabinet BN Pusat dan dengan itu merupakan sebahagian dari anggota kerajaan yang memerintah diperingkat Persekutuan.

Sarawak merupakan sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Ketua Menteri Sarawak tidak boleh pada mata rakyat meleraikan ikatannya dalam memikul pertanggungjawaban akan apa sahaja kepincangan dan skandal diperingkat Persekutuan kerana parti-parti komponannya menyumbang kepada pembentukan kerajaan Persekutuan BN dan masing-masing duduk dalam kabinet.

Bagaimana mahu mencuci tangan yang sedia kotor sedangkan kekotoran itu masih bertepek kekal pada tangan laksana dakwat kekal?

Malah jangankan isu nasional, isu-isu negeri juga masih banyak belum selesai, dan ia tidak selesai dengan hanya penggantian Ketua Menteri sebagaimana kepincangan kerajaan Datuk Seri Najib di Putrajaya tidak boleh dihapuskan dengan semata-mata menggantikannya dengan mana-mana tokoh Umno juga.

Rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan penjelasan dan jawaban atas isu ketempangan dan kepincangan pentadbiran dan pengurusan negara hasil dari kepimpinan BN Pusat kerana mereka merupakan sebahagian rakyat Malaysia. Demikian juga mereka perlu diperjelaskan berkenaan segala kepincangan dan skandal melibatkan BN Negeri sejak sebelum Tan Sri Adenan menjadi Ketua Menteri lagi kerana mereka pengundi dan rakyat Sarawak.

Calon-calon PAS yang bakal bertanding di sebelas kerusi DUN dalam Pilihnaraya itu nanti akan membawa kedua-dua isu nasional dan negeri keperhatian rakyat. PAS berjuang untuk menyelematkan rakyat dari segala bentuk kezaliman yang terbit dari kepincangan dan salahguna kuasa mereka yang diamanahkan untuk berkuasa tidak kiralah mereka itu samada yang berkuasa di kerajaan Persekutuan mahupun diperingkat kerajaan negeri.

Calon-calon PAS bakal mengemukakan pendekatan dan penyelesaian Islam. Mereka dan keseluruhan jentera PAS yang bertugas akan mengajak pengundi Sarawak khasnya di 11 kawasan kerusi yang PAS tandingi untuk menerima dan kembali kepada Islam satu-satunya penyelesaian yang mampu menyelamatkan kehidupan masyarakat dan rakyat.

Rakyat Sarawak perlu diberi pilihan memilih calon-calon yang lebih baik akhlak dan keperibadiannya serta mampu membimbing dan memimpin rakyat ke arah kebaikan jauh dari kepincangan dan segala bentuk kezaliman dan kemungkaran.

Rakyat Sarawak boleh melihat sendiri usaha dan khidmat PAS di kawasan-kawasan lain sebagai bukti yang hidup yang menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan PAS dalam berjuang untuk membela dan mempertahankan nasib rakyat berlandaskan disiplin Islam. Di negeri-negeri yang PAS kuasai dan membentuk kerajaan campuran contohnya di Kelantan dan Selangor, kedua-dua negeri bebas dari sebarang bentuk kepimpinan yang menghimpit dan menyusahkan kehidupan rakyat.

Wakil-wakil rakyat PAS bergerak dan berkerja serta menyalurkan khidmat dengan prestasi yang baik dan disenangi rakyat dimana-mana sahaja mereka berada.

Sarawak diharapkan jangan ketinggalan dalam menaikkan calon-calon seumpama ini sebagai wakil-wakil mereka nanti.

Sesungguhnya senarai calon-calon PAS yang bakal bertanding di Sarawak kesemuanya mempunyai latarbelakang dan pengalaman yang luas dan cukup cemerlang. Inilah masa dan ketikanya untuk rakyat negeri Sarawak pula mencetuskan gelombang perubahan kerana gelombang ini kiranya bermula dari bumi Sarawak, ia bakal menggunung bergelora sehinga ke pantai dan bumi Semenanjung serta seluruh negara apabila kita menghadapi pula Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

Ayuhlah saudara-saudara di Sarawak bangkit dan cetuskan perubahan. Apa yang anda lakukan hari ini bakal menyelamatkan bukan sahaja negeri malah seluruh negara dengan izin Allah swt nanti.

Selamat berpilihanraya dan memenangkan PAS. roslansms@gmail.com

Friday, April 22, 2016

Malaysia biar bebas dari pemimpin radikal dan tidak rasional

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2141 Edisi Jumaat muka F16

Kunjungan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Abdul Karim Naik ke Malaysia kali ini dipenuhi dengan kontroversi. Walaupun ini bukan kali pertama beliau ke sini, malah Dr Zakir pernah pada tahun 2013 lagi diberikan pengiktirafan negara apabila dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa oleh Yang Dipertuan Agong, namun kunjungannya ke Malaysia kali ini tiba-tiba menjadi panas.

Dr Zakir walaupun seorang lulusan perubatan akan tetapi memiliki kepakaran dalam dibidang “comparative religion” ataupun perbandingan agama”. Dan beliau yang berasal dari India dikenali dunia dengan kemahiran ini setandding dengan “guru”nya Allahyarham Ahmad Deedat.

Kemana sahaja pelusok dunia yang beliau pergi dand idundang sudah semestinyalah misinya adalah untuk menerangkan Islam selain mengajak masyarakat bukan Islam agar mendekati dan menerima Islam hasil dari kepakarannya itu.

Oeh itu kunjungannya ke Malaysia kali ini pastilah untuk meneruskan misi berkenaan atas undangan pihak-pihak yang tertentu di negara ini.

Sejurus tiba beberapa NGO Hindu khsusnya Hindu Sangam dan HINDRAF telah membantah penganjuran majlis yang melibatkan Dr Zakir khasnya di negeri Melaka dimana beliau dijadulkan memberi ceramah berkaitan perbandingan agama Islam dan Hindu.

Kedua-dua NGO berkenaan tidak senang dengan gaya Dr Zakir yang sering membanding-bandingkan agama selain menganggap beliau pernah menghina penganut dan kepercayaan Hindu dalam ceramah-ceramahnya sebelum ini.

Setelah pihak Polis campurtangan akhirnya tajuk cewramahnya di Melaka itu telah diubah.
Walaubagaimanapun kontroversi berkenaan kehadirannya terus memuncak apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP Profesor P. Ramasamy pula telah melabel Dr Zakir sebagai seorang “syaitan” dalam “facebook”nya. Walaupun Ramasamy kemudiannya mengahpuskan “posting” itu namun ianya telah sempat di “viral” dan membangkitkan kemarahan masyarakat Islam.

Isunya adakah kehadiran Dr Zakir Naik dan ceramah-ceramahnya di sini menyalahi undang-undang negara?

Puak NGO Hindu mahu menggambarkan seolahnya begitu. 

Manakala Ramasamy pula menganggap kehadiran Dr Zakir ke sini sebagai satu penghinaan kepada penganut Hindu. Selain itu beliau juga menganggap tindakan kerajaan membenarkan Dr Zakir mengislamkan beberapa individu bukan Islam yang terpengaruh dengan penyampaiannya sebagai bukti keangkuhan masyarakat Melayu Islam ke atas masyarakat bukan Islam.

Ternyata kesemua pihak yang menentang di dalam hal initidak memahami Perlembagaan Negara. 

Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan walaubagaimanapun Perkara 11 Fasal 1 Perlembagaan Negara menggariskan bahawa: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya “

Bermakna Islam adalah agama resmi Persekutuan dan ianya diberi pengiktirafan oleh undang-undang tertinggi negara. Namun demikian agama dan kepercayaan lain bebas dianuti oleh mana-mana warga Malaysia. Ringkasnya tiada paksaan dalam beragama di Malaysia.

Akan tetapi walaupun kebebasan bergama terjamin namun peruntukkan yang sama menetapkan bahawa pengembangan agama di Malaysia ini punya had dan peraturannya. Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan menetapkan: “ Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Dalam erti kata lain semua warganegara bebas mengamal dan mengembangkan agama mereka akan tetapi pengembangan agama selain Islam tidak dibenarkan ke atas masyarakat atau warganegara beragama Islam walaupun Islam boleh dikembangkan kepada masyarakat lain.

Jelas undang-undang murtad yang melibatkan enakmen agama negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan selari dengan peruntukkan ini yang tidak mengizinkan agama lain dikembangkan ke atas rakyat bergama Islam.

Oleh itu sebarang program seumpama yang dipimpin oleh Dr Zakir ini atau sesiapa sahaja di Malaysia sebenarnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan diizinkan dalam negara kita. Tidak berbangkit isu penghinaan atau keangkuhan orang Islam ke atas bukan Islam sebagaimana dituduh oleh Ramasamy.

Program-program seumpama ini tidak pernah memaksa masyrakat bukan Islam di Malaysia untuk hadir dan sebenarnya mereka yang bukan Islam itu hadir atas kerelaan diri serta memenuhi sifat ingin tahu masing-masing.

Masyarakat Islam di Malaysia telah lama menghormati dan melindungi masyarakat bukan Islam dan ini satu hakikat yang tidak boleh dinafikan sesiapa. Tiada pergaduhan atau pencabulan hak kebebasan beragama di Malaysia sepanjang sejarahnya tidak seperti di India atau Myanmar. Rumah-rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dan begitu juga sambutan dan perayaan agama masing-masing.

Lantas program-program seumpama yang dianjurkan Dr Zakir ini seharusnya tidaklah ditempelak dan ditentang oleh mana-mana pihak yang rasional kerana ianya mematuhi undang-undang negara dan di sana tiada elemen paksaan yang dikenakan.

Seharusnya semua pihak bertenang dan berfikir secara matang dan tidak mudah menggelabah sehingga mengeruhkan hubungan baik antara pelbagai penganut dalam negara ini. Melabel seorang pendakwah Islam bertaraf dunia sebagai “syaitan” umpamanya adalah sesuatu yang sangat dikesali dan seharusbya disusuli dengan permintaan maaf.
Penganut Islam dan bukan Islam di Malaysia akan kekal hidup selamat dan aman damai selagi negara bebas dari pemimpin yang radikal dan emosional seperti Ramasamy dan koncon-konconya.

Hormatilah kebebasan beragama dan patuhilah Perlembagaan Persekutuan. roslansms@gmail.com

Monday, April 18, 2016

Pilihanraya Sarawak barometer hubungan PAS dan PKR

 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2140 Edisi Isnin muka F16


Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun dibubarkan pada 11 April baru-baru ini dan tarikh penamaan calon serta hari mengundi bagi Pilihanraya Negeri Sarawak kali ke 11 dijangka diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya bila-bila masa sahaja. Rakyat Sarawak kali ini akan mengundi di 82 buah kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 71 pada Pilihanraya Negeri tahun 2011 lalu. Menurut rekod Sarawak mempunyai 1.13 juta pengundi berdaftar.

PAS telah pun mengumumkan akan bertanding di 11 buah kerusi DUN kali ini berbanding 5 pada pilihanraya yang lepas. Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah pun mengisytiharkan calon-calon PAS yang bakal bertanding di 11 kerusi berkenaan iaitu Pujut (Hj Jofri Jaraiee), Lambir (Mohamad Ariffiriazul Paijo), Samalaju (Zharuddin Naruddin), Jepak, (Hj Kiprawi Aman), Kakus (Clement Bayang), Beting Maro (Hamidah Mokhtar), Sebuyau (Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad), Sadong Jaya (Cikgu Hassan Sinkro), Muara Tuang (Zulkifli Ramzi), Samariang (Ustaz Yusof Assidiqi) dan Santubong (Zainal Abidin Yet).

Pertama kali dalam sejarah PAS memperkenalkan calon bukan Islam iaitu Clement Bayang Pengerusi DHPP Sarawak yang membuktikan bahawa PAS komited berjuang untuk kepentingan semua kaum.

Jentera PAS telah pun diaktifkan sejak beberapa bulan lalu dan malah kini kekuatan jentera PAS dari negeri-negeri telah digembelingkan dan sedang turun bertali arus ke Sarawak bagi membantu jentera pilihanraya negeri. Rombongan demi rombongan para petugas dari negeri-negeri telah pun berganti-ganti berkunjung ke Sarawak dengan jadual yang lengkap dan padat.

Kekuatan jentera ini dijangka dipacu secara maksima sejurus tarikh pilihanraya diumumkan oleh pihak SPR. Hijau PAS akan disemarakkan khasnya di kesebelas DUN berkenaan
Sementara itu Setiausaha PAS Negeri yang juga AJK PAS Pusat Ir Muhtar Suhaili telah mengeluarkan kenyataan meminta agar pihak Pakatan Harapan (PH) menghormati PAS dan tidak meletakkan calon di kesebelas kerusi yang telah diumumkan. Ini bagi memastikan BN akan dihadapi secara satu lawan satu oleh PAS.

Malah Ir Muhtar merayu agar pihak PKR yang masih punya hubungan dengan PAS walaupun PKR negeri tidak lagi mengiktiraf PAS, akan memain peranan meyakinkan rakan-rakannya terutama Pan agar memberi laluan kepada PAS demi mengelakkan perpecahan undi blok pembangkang.

Namun demikian ini tidak bermakna PAS menghalang mana-mana pihak bertanding kerana akur kepada amalan kebebasan demokrasi yang dianuti dalam negara. Kiranya PH berkeras mahu bertanding maka PAS rela menghadapi pertandingan tiga penjuru ataupun lebih kerana ia meletakkan harapan tinggi pada kemampuan jenteranya berbanding Pan yang dijangka bakal hilang wang pertaruhan kerana tiada kekuatan di Sarawak.

Sesungguhnya Sarawak bakal menjadi kayu pengukur atau “barometer” hubungan PAS dan PKR.  Inilah kali pertama PAS akan menghadapi Pilihanraya Umum tanpa DAP sejak Pakatan Rakyat berkubur dan kiranya PKR Pusat tidak berjaya meyakinkan PKR Sarawak untuk membaiki hubungan dengan PAS Sarawak khasnya dalam menghadapi Pilihanraya Negeri ini, maka PAS akan menghadapi Pilihanraya Negeri kali ini berseorangan.

Soal menghadapi pilihanraya bersendirian atau dengan bantuan kawan adalah sesuatu yang normal buat PAS, namun demikian kiranya ini berlaku di Sarawak maka fenomina demikian akan memberi isyarat yang tidak sihat pada hubungan PAS dan PKR yang bakal menghadapi Pilihanraya Umum yang lebih besar di masa hadapan.

Kiranya di Sarawak jentera PKR membantu Pan bagi menghadapi calon-calon PAS, contohnya maka ianya pasti akan meninggalkan kesan yang besar buat jentera PAS seluruh negara yang turun ke Sarawak.

Jentera ini jugalah nanti yang akan terlibat dalam mempertahankan kerusi-kerusi PAS dan PKR seluruh negara termasuklah di Kelantan dan Selangor selain memastikan PAS dan PKR menang lebih besar lagi dalam PRU akan datang. Bolehkah jentera berkenaan bertembung di Sarawak dan kemudiannya bertindak normal pada PRU ke 14 nanti?

Jika PAS bertanding di Beting Maro menghadapi BN dan Pan yang akan dibantu PKR contohnya, adakah ini bermakna Presiden PAS nanti akan bertembung dengan Presiden PKR bagi memenangkan calon masing-masing? Adakah ini bermakna Dato Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden PAS akan berebut mendapatkan sokongan pengundi dengan Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR?

Sudah pastilah senario seumpama ini jika berlaku di Sarawak akan meninggalkan kesan yang mendalam pada kedua-dua parti dan bakal melukakan hati jentera dan ahli-ahli PAS dan PKR, kerana hakikatnya kedua-dua parti masih memerlukan antara satu sama lain khususnya bagi menghadapi BN dalam PRU ke 14 nanti.

Dalam keadaan PAS tiada hubungan dengan DAP dan Pan, PKR lah satu-satunya rakan setia PAS dan sewajarnya hubungan baik kedua parti terus diperbaiki dan diperkasakan.
Jangan biarkan Pilihanraya Sarawak ini menjadi retak yang bakal membelahkan hubungan kedua parti yang telah dijalin dengan pengorbanan dan kasih sayang berdekad lamanya.

Suka atau tidak perkara ini mesti dihadapi dan ditangani oleh kedua belah parti. Faktor ini serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana masa depan hubungan kedua parti kini bertenggek pada Pilihanraya Sarawak ini.   roslansms@gmail.com