Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2083 Edisi Jumaat muka F8
Ramai akui bahawa kedudukan Umno
dan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
sangat goyah dan rakyat semakin hilang keyakinan pada keupayaan Perdana Menteri
untuk mengemudi Malaysia keluar dari pelbagai kemelut ekonomi dan politik yang
tidak nampak jalan penyelesaiannya.
Hari ini kritikkan terhadap
kepimpinan Najib sebagai PM bukan hanya datang dari rakyat kebanyakkan malah
kalangan pimpinan dan ahli-ahli Umno sendiri turut mempertikai kewibawaan
beliau. Mana sahaja di kedai-kedai kopi, di pasar di majlis-majlis kenduri,
setiap ada berkumpul rakyat Malaysia, mengkritik PM seakan satu topik wajib
lantaran kekecewaan rakyat itu.
Di media sosial, tiada ruang
pujian buat Najib kecuali cemuhan yang merupakan percikkan kemarahan rakyat.
Kiranya media perdana Malaysia bebas sebenar-benarnya TV, radio dan akhbar
media perdana juga pasti terpaksa memberi ruang, namun kawalan ketat
terhadapnya sekurang-kurangnya menyelamatkan kedudukan Najib.
Dalam pada itu pihak pembangkang
pula kelihatan masih tidak tersusun. Masih teraba-raba tidak seperti sebelumnya.
Lahir pula parti baru yang
membariskan pengkhianat-pengkhianat PAS, tidak membantu dalam mengemaskan
keudukan pembangkang untuk menghadapi musuh yang sedang tenat. Demikian juga
sikap keras kepala DAP yang mahu mendominasi penentuan dasar dan haluan
pembangkang, sesungguhnya menghampakan ramai.
Ahli-ahli PAS yang merupakan
komponan terpenting dalam jentera pilihanraya PAS, jentera politik tersusun
yang terbesar dan terbukit keberkesanannya dalam pakatan pembangkang sebelum
ini, sangat kecewa dengan sikap beberapa kerat bekas pimpinan mereka yang telah
mengkhianati perjuangan PAS dan menubuhkan pula parti baru.
Tindakan pihak pengkhianat ini
membawa lari kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket PAS itu sangat disesali.
Namun lebih disesali apabila secara terang-terangan DAP umpamanya terlibat
secara langsung dalam memberi nyawa kepada parti baru ini. Manakala terdapat
pula usaha untuk memberi pengiktirafan kepada parti ini tanpa langsung
mengambil kira hati dan perasaan orang-orang PAS.
Seorang Wee Choo Keong yang
dipecat DAP pada tahun 1998 tetapi diterima sebagai ahli oleh PKR dan
kemudiannya menjadi calon dan memenangi keruis Parlimen Wangsa Maju atas tiket
PKR, sudah pasti menghiris hati ahli-ahli DAP. Tambah sekarang beliau lompat
pula dari PKR dan menjadi “BN friendly”.
Begitulah bengkaknya hati
orang-orang PAS.
PAS telah menyatakan sikap tidak
akan berkerjasama dengan parti baru ini. Mereka telah mengkhianati perjuangan
PAS dan kepercayaan ahli-ahlinya. Lebih parah lagi mereka telah melanggar ikrar
sumpah ataupun baiah yang dilafazkan atas nama Allah swt, perlanggaran yang
mengakibatkan orang-orang PAS sekali-kali tidak akan menerima mereka.
Namun PAS bersedia bertahaluf dan
berkerjasama dengan PKR setelah DAP memutuskan hubungan dengannya.
Di sinilah kefahaman
masing-masing pihak diuji dan keupayaaan memelihara persahabatan menjadi
pertaruhan.
Pakatan pembangkang hari ini
mencari-cari pemimpin setaraf Tengku Razaleigh Hamzah yang memiliki karisma
berupaya menyatukan parti-parti pembangkang yang berbagai ideologi ini untuk
menghadapi Umno dan BN. Ku Li yang luas pengalaman politiknya sedar perbezaan
ketara contohnya antara PAS dan DAP. Lalu beliau himpunkan mereka secara berasingan
dengan beliau menjadi orang tengah setiap masa.
Bagi beliau pembangkang ini tidak
boleh berpecah dan tidak boleh berlawan sesama sendiri jika serius mahu
menghadapi BN.
Tertubuhlah Angkatan Perpaduan
Ummah atau APU yang menggabungkan PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa dan dalam
waktu yang sama wujud Gagasan Rakyat iaitu gabungan Semangat 46, IPF, Parti
Rakyat dan PBS. Kedua-dua komponan pembangkang ini dipandu oleh Ku Li bagi
menghadapi BN dalam PRU 1990 dan 1995.
Hari ini PAS masih mahu menjalin
hubungan dengan PKR manakala DAP hanya mahu berkerjasama dengan PKR dan tidak
PAS. Sementara itu parti baru yang dimaksudkan itu cuba pula untuk mengemukakan
dirinya sebagai alternatif bagi PAS untuk dipilih sebagai kawan oleh PKR dan
DAP.
Dalam hal ini pakatan pembangkang
perlukan ketua yang boleh menyatukan semua pihak sebagaimana Ku Li 25 tahun
lalu.
Ketua tidak boleh kelihatan
memihak kepada mana-mana parti. Ketua perlu terbuka dan perlu menerima
kedua-dua parti tanpa bias. Di sinilah kefahaman, kebijaksanaan dan kematangan
ketua tadi diuji. Di atas perbezaan kawan-kawan yang beliau akui, beliau tetap
boleh menyatukan dan menjadi orang tengah demi agenda bersama yang lebih besar.
Buat masa ini bagi pakatan
pembangkang Dato Seri Dr Wan Azizah adalah Ketua Pembangkang. Ini diiktiraf
oleh PAS dan Dap. Oleh itu Kak Wan perlu memaparkan dirinya sebagai
sebenar-benar ketua tanpa menghiris atau melukakan hati mana-mana pihak
terutama memandangkan PAS dan Dap adalah kawan-kawan lama belaka.
Bagaimana Kak Wan mahu menyelesaikan
krisis ini di sinilah ujian terbesarnya.
Kak Wan perlu faham bahawa PAS
tidak pernah mengkhianati kawan-kawannya. Malah PAS telah banyak berkorban demi
kawan-kawan. PKR dan Dap masing-masing tahu akan sikap dan pengorbanan PAS ini.
Hari ini PAS memilih untuk terus
berkerjsama dengan rakan-rakan yang mahu berkerjasama dengannya. Bermakna
hubungan politik buat masa ini bagi PAS hanyalah dengan PKR.
Kebelakangan ini kita dengar akan
dilancarkan pula Pakatan 2.0 kerana kononnya Pakatan Rakyat sebelum ini telah
mati. Kak Wan sedang gigih mengusahakan Pakatan baru ini, tetapi adakah ianya
satu-satu formula yang tinggal yang boleh menyatukan kesemua parti-parti
pembangkang ini?
Masakan DAP mahu bermesra dengan
Wee Choo Keong apabila beliau menyertai PKR dulu. Bagi DAP Choo Keong adalah
pengkhianat. Begitulah juga buat PAS. Takkanlah mahu dipaksa PAS menerima bukan
seorang Choo Keong tetapi satu parti yang penuh padat dengan mereka yang telah
mengkhianati PAS.
Kak Wan diharapkan berupaya membongkar
dan menyelongkar pelbagai ilmu politik untuk dapat mengekalkan parti-parti
pembangkang yang bertelagah ini dengan beliau dan PKR sebagai orang tengah.
PAS sentiasa bersikap terbuka
terutama dalam menghadapi musuh politik yang sama, namun kiranya tiada juga
formula yang praktikal dan boleh diterima, dapat diusahakan, PAS sudah tegaskan
bahawa ia bersedia berseorangan. Semoga pilihan terakhir ini dapat dielakkan
oleh kebijaksanaan Kak Wan.
Rakyat Malaysia melihat dan menunggu. roslansms@gmail.com