Pesanan terbuka buat Ayah Chik (6/2/15)

Friday, February 06, 2015


Kehadadapan yang dihormati ayahanda Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang – Presiden PAS:

Ahad ini Tuan Guru akan mewakili Parti Islam Se Malaysia, PAS,  dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat. Ia bukan kali pertama Tuan Guru selaku Presiden mewakili PAS, dan saya penuh yakin kali ini Tuan Guru seperti biasa akan menghadirinya dengan jiwa yang penuh istiqamah dan teguh terhadap dasar dan prinsip perjuangan parti selain mahu melihat kesepakatan politik melalui PR terus berlangsung dalam suasana harmoni.

Bukan senang mahu kekal dalam satu kesepakatan politik dalam keadaan masing-masing parti punya dasar dan matlamat yang berbeza, namun saya yakin Tuan Guru sedia tahu apa yang penting dan utama buat PAS dan dengan ilmu dan pengalaman pada Tuan Guru sudah pasti Tuan Guru akan menyatakan yang hak dan benar semoga pandangan itu dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh kawan-kawan dalam PR.

PAS kami tahu menyertai dan menghormati PR atas dasar tahaluf siyasi, perjuangan digarabkan bersama demi menumbangkan pakatan yang zalim yang diterajui BN. Walaubagaimanapun ianya kekal selagi mana tidak bertentangan dengan prinsip dan dasar Islam, kami yakin Tuan Guru sedia termaklum dan akan mempertahankan hal ini agar difahami oleh kawan-kawan.

Ahad ini difahamkan beberapa isu penting akan dibincangkan dan keyakinan seluruh ahli dan penyokong PAS diletakkan atas kepala bahu Tuan Guru.

Kami harap Tuan Guru meyakinkan kawan-kawan betapa pentingnya Undang-undang berkenaan Hudud diperkenalkan di Kelantan. Undang-undang ini telah diterima oleh rakyat Kelantan melalui kelulusan dalam DUN dan diperkenankan oleh Tuanku Sultan. Rakyat Kelantan mahu melihat ia terlaksana kerana itu PAS diberi mandat di Kelantan sejak 25 tahun lalu.

Kiranya kawan-kawan boleh faham dan terima kita bersyukur, namun kiranya tidak, kami yakin Tuan Guru akan menyatakan bahawa PAS akan teruskan juga perjuangannnya secara bersendirian dalam hal ini sehinggalah Hukum Islam itu tertegak di bumi Kelantan sebagai contoh buat semua negeri-negeri lain.

Kami yakin Ahad nanti Tuan Guru juga akan menyatakan kepada kawan-kawan dalam PR agar tidak mencampuri urusan sesama parti dalam PR. PAS contohnya melihat Pasma sebagai satu jemaah dalam jemaah yang lebih merugikan perjuangannya. Kiranya kawan-kawan pula menyokong apalagi membiayanya, sudah tentulah ianya dilihat sebagai pendurhakaan terhadap persahabatan. Kawan tidak menikam kawan.

Begitu juga kami yakin Tuan Guru akan memaklumkan agar jangan ada mana pimpinan yang mengkritik dan memperlekeh sesama kerajaan negeri yang dikuasai PR. Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang contohnya mengkritik dan memperlekeh cara kerajaan negeri Kelantan menguruskan bencana banjir baru-baru ini sangat dikesali dan ianya mestilah dihentikan dan jangan lagi diulangi demi menghormati persahabatan.

Dalam pada itu hal berkenaan Pilihanraya PBT pun kami yakin akan Tuan Guru nyatakan “concern” PAS berkenaannya. Pandangan PAS perlu didengar dan hormati, jika sekiranya kawan-kawan boleh terbit dengan formula dimana tidak akan berlaku perbalahan kaum ekorannya, dimana semua kaum diwakili, kami yakin Tuan Guru akan bersikap terbuka. Namun kiranya Pilihanraya ini mengulangi pengalaman yang lama, sudah pasti PAS melalui Tuan Guru akan menentangnya.

Saya yakin ketokohan Tuan Guru akan menyerlah Ahad ini, dan isi serta suara hati PAS akan diluahkan oleh Tuan Guru. PAS mahu kekal dalam PR namun dalam waktu yang sama janganlah ada pihak yang memusuhi PAS atau menyerang PAS dan dasar perjuangannya dari dalam.

PAS kekal dalam PR demi menghormati Tahaluf Siyasi. Kiranya ia tidak lagi relevan maka demi Islam PAS terpaksa mengundur diri.

Semoga Allah swt memberikan kekuatan dan kecekalan kepada Tuan Guru untuk mewakili PAS, sebuah Gerakan Islam yang istiqamah berkecimpung dan terlibat dalam politik Negara demi memartabatkan Islam sejak sebelum Merdeka lagi sehingga ke hari ini.

Siru Ala Barakatillah

 

0 comments: