Pasma pun boleh bertnding .... (24/2/15)

Tuesday, February 24, 2015


Ahli-ahli PAS menghormati Majlis Syura Ulamaknya, bukan hanya kerana kuasanya menghurai dan mentafsir dasar PAS melalui ketetapan-ketetapan selain mengeluarkan arahan agar ketetatapan-ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan, tetapi lebih dari itu kerana ia dianggotai oleh mereka yang diiktiraf tinggi ilmu agama dan akhlaknya.
Majlis ini dianggotai oleh mereka yang diiktiraf paling faham dimana menurut peruntukkannya untuk melayakkan diri menjadi ahli majlis ini mereka itu mestilah:

"……..seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya."
Kerana itu dalam PAS majlis ini dihormati dan segala yang dikeluarkan oleh majlis ini diterima, difahami dan dipatuhi.

Orang PAS tidak pernah dididik untuk membenci para ulamak, apalagi punya sangka buruk terhadap badan tertinggi dalam parti yang menghimpunkan ulamak-ulamak terkanan dalam PAS, iaitu Majlis Syura Ulamak.

Mempertikaikan apa lagi memperlekehkan keputusan serta arahan majlis ini bukanlah akhlak orang PAS yang cintakan para ulamak.

Baru-baru ini apabila Majlis Syura Ulamak mengeluarkan arahan agar ahli-ahli PAS tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti NGO bernama PasMa, rasa saya ianya jelas. Dan apabila Setiausaha Majlis Syura menghuraikan bahawa:
"………. langkah itu selaras dengan peringatan Presiden PAS dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-60 baru-baru ini supaya tidak berlaku kewujudan jamaah dalam jamaah, parti dalam parti."

Ahli-ahli PAS yang sedia terdidik melalui proses pentarbiyahan dalam parti semakin jelas dan faham.
Oleh itu apabila saya terbaca tajuk berikut dari laporan sebuah portal berita, TMI, saya sedikit pun tidak gusar:

Ahli PasMa tidak dihalang bertanding pemilihan PAS
Memang ahli NGO ini tidak dihalang bertanding selagi mereka ahli PAS, akan tetapi ahli-ahli PAS yang istiqamah dalam perjuangan tidak perlu diberitahu, mereka jelas dan faham bahawa ahli PasMa lantaran panduan Majlis Syura itu sewajarnya tidak diberi tempat dalam mana-mana jawatan parti sekalipun.

Mana mungkin mereka yang cenderung melahirkan jamaah dalam jamaah, parti dalam parti, dibiarkan mendapat tempat dalam saf kepimpinan.
Mereka yang memilih untuk menjadi sedemikian dan mereka yang memilih untuk menjadi onar dalam jamaah, maka mereka jugalah perlu bersedia menerima hukuman dari para ahli dalam musim pemilihan ini tidak kiralah apa jawatan mereka sekalipun sebelum ini.

Saya yakin dan percaya ahli-ahli PAS seluruh Negara mahu melihat bahtera besar PAS ini tenang belayar menuju destinasinya mencapai cita-cita perjuangannya yang suci lagi mulia itu. PAS tidak ada tempat untuk mereka yang tidak boleh bekerja dalam satu pasukan. Apa lagi mereka yang terlalu laju sehingga mahu menebuk dan membocorkan bahtera besar ini demi agenda peribadi mereka.
Betullah apabila Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi dipetik sebagai berkata mengikut peraturan parti, mana-mana ahli PAS bebas untuk aktif bersama dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiada halangan untuk mereka bertanding.

Tetapi ahli-ahli PAS kesemuanya termasuk Asmuni akur dan faham akan panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulamak. Ahli-ahli PAS taat dan menjunjung konsep Kepimpinan Ulamak, lantas bertandinglah siapa pun yang mahu, tetapi panduan dan arahan Majlis Syura akan tetap digunakan untuk menyaring mereka yang sesuai dan menolak mereka yang tersasar.

 

1 comments:

Anonymous said...

Dun trust asmuni..i dun.