Mengapa Ulamak sentiasa jadi Presiden PAS (26/2/15)

Thursday, February 26, 2015


(Memperbetulkan kenyataan TPJ Johor)
Menjelang Muktamar PAS ke 61 beberapa bulan lagi yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti, banyaklah sepkulasi, kempen dan promosi diadakan pelbagai pihak. Ada yang secara langsung ada yang tidak. Apa pun adab berkempen di dalam PAS lazimnya tidak mempromosi diri keterlaluan dan tidak sama-sekali mengkritik dan mencemuh saingan.
Hari ini dalam akhbar The Star Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor zulkefly Ahmad dilaporkan sebagai berkata bahawa

"…the party president need not necessarily be an ulama as those from the professional group could also vie for the top post."
"….Presiden parti tidak semestinya seorang ulamak malah mereka dari kumpoulan profesional pun boleh bertanding jawatan berkenaan."

Dalam hal ini saya bersetuju dengan TPJ Johor itu. Memang tidak terkandung pun dalam Perlembagaan PAS bahawa Presiden parti mesti seorang ulamak. Cuma ianya sesuatu yang lazim lantaran parti pun parti Islam.
Kalau MIC takkanlah orang Melayu mahu bertanding, begitu juga Umno takkanlah orang Cina mahu bertanding. Ianya tidak disebut dalam perlembagaan tetapi sesuatu yang memang diamalkan demi mengekalkan teras perjuangan dan ideologi parti.

Tidak salah seorang profesional mahu bertanding jawatan Presiden PAS. Tetapi PAS bukan umpama parti-parti siasah lain dimana latarbelakang seseorang bukannya sesuatu yang dititik beratkan. PAS adalah sebuah parti siasah Islam, ia memartabat dan mendaulatkan Islam, lalu sejujur dan sewajarnya, mereka yang lebih kanan ilmu Islamnya dan lebih sempurna dan lengkap akhlak dan keperibadian Islamnya, yang itulah terlebih layak untuk bertanding dan memegang jawatan nombor satu.
Namun terbuka ia untuk sesiapa pun akan tetapi lazimnya, ahli-ahli yang mahu kekal duduk dan bernaung di bawah parti Islam, akan lebih mengutamakan seorang ulamak, sebagaimana mereka mengutamakan yang terbaik dari yang baik-baik apabila mereka memilih untuk naik ke hadapan memimpin solat mereka.

Kemudian bagi menegakkan hujahnya TPJ Johor telah memberi contoh beberapa tokoh bukan ulamak yang didakwa beliau pernah menjadi Presiden PAS:
"…..of the seven presidents, three –Datuk Dr Abbas Alias (1953-1956), Dr Burhanuddin Al-Helmy (1956-1969) and Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982) – were from the professional group."

",,,,,dari tujuh Presiden PAS, tiga iaitu Datuk Dr Abbas Alias Alias, Dr Burhanuddin Al Helmy dan Datuk Mohd Asri adalah dari kumpulan profesional."
Maaf rasanya maklumat itu tidak tepat. Benar Dr Abbas seorang profesional, seorang doktor perubatan, pernah menjadi Presiden PAS akan tetapi Almarhum Dr Burhanuddin dan Datuk Asri bukannya profesional tetapi ulamak.

TPJ Johor itu boleh melayari internet dan melihat latarbelakang akademik dan pengajian kedua-dua mereka, yang masing-masnig bermula dari institusi pondok belaka.
Bagi Dr Abbas pula, beliau seakan memangku jawatan berkenaan “in transition” bagi menantikan seorang yang lebih layak, yakni ulamak untuk mengisi jawatan apabila pengasas PAS, Allahyarham Tuan Hj Ahmad Fuad keluar meninggalkan PAS.

Buktinya apabila beliau dengan rela hati berundur pada tahun 1956, apabila Dr Burhanuddin bersetuju menyertai PAS.
Kemudian TPJ Johor dalam usahanya mahu berhujah bahawa Ulamak tidak dibelakangkan apabila bukan ulamak menjadi Presiden, beliau berkata Majlis Syura sesungguhnya seakan Lembaga Pengarah dan CEO nya yakni Presiden melapor diri pada Lembaga Pengarah tadi.

Di sini pun saya merasakan ianya silap kerana Majlis Syura PAS bukan umpama Lembaga Pengarah syarikat tetapi lebih seakan Lembaga Penasihat atau Advisory Committee yang punya “terms of reference” nya yang tersendiri.
Presiden jika CEO dan perlu patuh pada Majlis Syura sebagai Lembaga Pengarah maka tidaklah jadi umpamanya nasihat dan pengarahan Majlis Syura dipandang remeh dan diperkecil oleh pimpinan lain.

Jawatankuasa Pusat itulah sesungguhnya Lembaga Pengarah dan ahli-ahli PAS sebagai pemegang saham. Presiden adalah Pengarah Urusan dan CEO yang sebagaimana pernah diungkapkan oleh Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz, nakhoda pada bahtera besar PAS.

Nakhodalah yang menetapkan arah dan haluan PAS, bila bergelora mahu bikin apa, bila tenang bagaimana.
Kesimpulannya bahtera besar ini mahu belayar menuju ke destinasi bukan hanya dunia tetapi sampai ke akhirat mengejar redha dan keampunan Allah swt, laluan yang tidak ditempuh oleh mana-mana pun parti politik di Negara ini kecuali PAS.

Lantas siapakah lagi yang terlebih layak duduk di kerusi CEO atau kerusi nakhodanya jika tidak seorang ulamak, sebagaimana Dr Burhanuddin, Datuk Asri, Tuan Guru Hj Yusof Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil dahulu.
Dan bagi para profesional yang mahu bersama pelayaran ini, sesuai sangatlah mereka duduk di sayap kiri dan kanan dengan ikhlas dan redha membantu CEO atau nakhoda tadi berpandukan nasihat Majlis Syura.

Biar bahtera ini terus gagah menuju destinasi. Tidak sesat dan tidak karam tenggalam ia.

 

 

1 comments:

Anonymous said...

artikal paling ilmiah…terus kan