Kepimpinan Ulamak Tok Guru Nik Abd Aziz (3/2/15)

Tuesday, February 03, 2015

Baru-baru ini saya diminta pandangan oleh sebuah akhbar tempatan berkenaan ketokohan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat. Tuan Guru kebelakangan ini mendapat perhatian umum khasnya pihak media lantaran keuzuran beliau berpunca dari kanser prostat.


Bekas Menteri Besar Kelantan ini sesungguhnya telah meninggalkan banyak kesan pada senario politik Malaysia malah berperanan melonjakkan imej PAS di persada politik tanahair.
Apalah hebat sangat Tok Guru kampong ini sehingga keperibadian beliau mampu memberi impak yang besar dalam Negara malah diperingkat antarabangsa?

Saya nyatakan Tok Guru bukanlah seorang “firebrand” atau pemidato yang petah dan panas sebagaimana sesetengah tokoh. Kerana itu diawal tahun 80an kalau beliau naik berceramah ke pentas politik khasnya di sebelah Pantai Barat, ramai yang tidak beri perhatian kerana ketika itu hanya yang pedas dan panas-panas mendapat tumpuan.
Tambahan lidahnya yang pekat Kelantan tidaklah sangat memikat hati dan fokus mereka yang hadir ketika itu. Malah walaupun menjadi Ahli Dewan Rakyat sejak 1967 sehingga PRU 1982 suara beliau tidak menyerlah di sana.

Tetapi Tok Guru seorang ulamak yang berilmu. Berikutan meletusnya fenomena kepimpinan Ulamak” dalam PAS selepas itu, ketokohan dan keperibadian para ulamak mula dihargai. Ahli-ahli dan pendukung PAS termasuklah anak-anak muda mula mengerumuni majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah politik yang diterajui para ulamak termasuklah Tok Guru, walaupun cara penyampaiammya tetap lembut dan bersahaja.
Tok Guru mengajar dan memberi keyakinan kepada ahli-ahli dan pendukung PAS bahawa Islam akan menang, yang penting kita istiqamah dan ikhlas bekerja. Walaupun dibenci dan digeruni, kebenaran Islam kelak akan menyerlah.

Kemuncaknya adalah apabila PAS menang dan memerintah kembali di Kelantan pada PRU 1990. Tok Guru yang ketika itu Pesuruhjaya PAS Kelantan telah diangkat menjadi Menteri Besar. Walaupun beliau bukanlah ulamak pertama menjadi MB kerana tokoh-tokoh Umno pun sebelum ini di negeri-negeri lain pernah menjadi MB umpamanya Tan Sri Wan Mokhtar di Terengganu tetapi Tok Guru telah membawa imej dan keperibadian Tok Guru pada jawatan MB yang disandangnya itu.
Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Rakyat Malaysia melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana apabila jawatan MB ini disandang oleh seorang ulamak Islam yang bukan hanya berilmu tetapi mengamalkan ilmunya dalam kehidupan seharian termasuklah dalam menjalankan tugas MB. Tidak ada tolak ansur buat Islam dalam pentadbiran Tok Guru. Prinsip dan dasar perjuangan Islam tidak pernah sekali-kali dikendurkan apalagi dijual-beli.

Pemimpin yang sederhana, yang tinggal dalam rumah kampungnya tanpa mahu berpindah ke kediaman rasmi MB. Pemimpin yang mengutamakan ibadah dan mengajak rakyatnya dekat dengan Tuhan, sesuatu yang asing di Malaysia. Dalam waktu yang sama Tok Guru dikelilingi oleh selain golongan ulamak, professional rakyat Kelantan yang ikhlas dan seronok mahu menaburkan khidmat kepada sebuah kerajaan yang berslogankan “Membangun Bersama Islam”.

Dari situlah imej PAS turut bersinar. Rakyat jelata selain ahl dan pendukung PAS yang tegar mula mengenali ketokohan pemimpin PAS. Tok Guru telah menyumbang ke arah mempromosi PAS kepada rakyat Malaysia dan dunia sejurus menyandang jawatan MB Kelantan.
Atas itu saya dipetik sebagai berkata:

“His leadership in Kelantan helped build the PAS image of today,” said Roslan Shahir, Hadi’s former press secretary.

Saya turut menerangkan bahawa Tok Guru juga berperanan dalam menyusun peralihan kuasa secara teratur di Kelantan sejurus Pilihanraya Umum lalu apabila menyerahkan kuasa kepada Timbalannya Ustaz Dato Ahmad Yakob untuk mengambil alih sebagai MB dan kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan yang baru menggantikan beliau. (Beliau juga kini Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menggantikan Allahyarham Ustaz Dato Harun Taib yang meninggal dunia)

Bermakna PAS Kelantan telah sedia dengan pelapisnya untuk memastikan rakyat Kelantan terus menikmati kepimpinan bercirikan Islam walaupun berlaku perubahan kepimpinan tanpa kalut dan gelabah sebagaimana negeri-negeri lain.
Dan hari ini Ustaz Dato Ahmad meneruskan legasi Tok Guru dengan membetuk kerajaan negeri yang anggota EXCOnya terdiri dari gabungan ulamak dan professional yang mantap dan berwibawa.

Begitulah ketokohan Tok Guru Nik Abd Aziz yang hari ini menjadi kebangaan negeri Kelantan dan seluruh Malaysia. Semasa beliau MB Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang membuka laluan bagi perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah Islam atau Hukum Hudud di Kelantan.
Betapa besarnya sumbangan beliau terhadap Islam tidak dapat dinafikan lagi.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau kesihatan yang baik agar terus dapat membimbing kita dan semuga kita terus dipimpin oleh para ulamak seumpama beliau sampai bila-bila.

 

0 comments: