PKR yang mahu memaksa penukaran MB di Selangor tiba-tiba semua
kelemahan dan kesalahan ditudingkan ke arah PAS. Banyak sungguh berubah sikap
tolak-ansur dan muafakat yang telah membina Pakatan Rakyat sejak 6 tahun
dahulu.
Isunya hari ini adalah PKR tidak mahu Tan Sri Khalid terus
mewakilinya sebagai MB Selangor. Atas sebab-sebab rumah tangga parti mereka,
PKR merasakan Tan Sri Khalid perlu dirihatkan dan nama yang disebut-sebut
sebagai pengganti adalah Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah yang telah pun memenangi
PRK DUN Kajang baru-baru ini.
Sesungguhnya dalam keghairahan melakarkan lanskap untul
menukar MB secara paksa ini, ramai yang lupa bahawa Selangor bukannya seperti
Pulau Pinang atau Kelantan. Di Pulau Pinang DAP dominan dalam kerajaan negeri
begitu juga PAS di Kelantan. Dalam hal ini, jika parti yang dominan mahu
menukar teraju dalam pentadbiran negeri, ianya boleh dilakukan lazimnya parti
komponan lain terpaksa akur.
Namun di Selangor parti yang dominan adalah PAS dan DAP dengan
masing-masing menguasai 15 kerusi manakala PKR adalah rakan kongsi terkecil
dengan 14 kerusi. Ini bermakna jawatan MB sepatutnya dipegang samada oleh PAS
atau DAP, memandangkan MB Selangor dikehendaki dikalangan ADUN yang berbangsa
Melayu dan beragama Islam, selayaknya calon MB Selangor datangnya dari PAS.
Walaubagaimanapun atas semangat setiakawan pakatan, maka PAS
dan DAP memberi laluan kepada PKR memandangkan DAP dan PAS masing-masing
menjadi ketua pentadbir di kedua2 negeri lain iaitu Pulau Pinang dan Kelantan.
Dan selain itu satu faktor yang hari ini turut seakan dilupakan adalah kualiti
kepimpinan dan kelayakan peribadi Tan Sri Khalid yang telah memimpin Selangor
dengan cemerlang pada penggal yang pertama sehingga memberi kekuatan kepada
Pakatan menang besar dalam penggal kedua.
Hari ini atas sebab gelora rumah tangga, tokoh yang
dijulang dicemuh pula demi mahu merampas kerusi MB darinya.
Lantaran kecelaruan ini sebagai rakan kongsi yang paling tua
usianya dalam politik Malaysia, PAS muncul mempertahankan status quo melalui
ketegasan Pesuruhjaya Selangor dan Badan Perhubungan Negeri Selangor. Ini diikuti
dengan sokongan kuat dari Presiden sendiri, Mursyidul Am dan Pemangku Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat.
Tan Sri Khalid pada pandangan mereka perlu dipertahankan
sebagaimana ditegaskan Mursyidl Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz:
Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut
tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan
dari jawatan Menteri Besar? Setelah satu penggal beliau memimpin dengan
cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan
Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi
Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan. Sudah tentu
persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam
prestasi gerak kerjanya?
Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan,
namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan? Saya kira
persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan
Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih
belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang
nanti kepala tersadung lantai.
Tetapi fraksi PKR yang mahu memaksa penukaran ini terus
bernafsu dengan tuntutuan mereka. Pendirian Presiden PAS diserang, PAS Selangor
diperlekeh. Apa sahaja pandangan dan pendirian yang bertentangan dengan agenda
besar mereka itu dilanggar dan ditendang.
Lupakah kita senario di Selangor sebagaimana yang saya
nukilkan di atas. Ingat Selangor bukan Pulau Pinang, Selangor bukan Kelantan.
Fraksi PKR perlu sedar bahawa di Selangor suara PAS dan DAP mengatasi suara
mereka, atau adakah mazhab “demokrasi” baru mereka sudah bertukar menjadi
feudal, tiada lagi hormat terhadap suara ramai, suara majoriti. Adakah Pakatan
menganut mazhab demokrasi dimana suara keramat adalah suara yang paling kecil?
Sesungguhnya kalau kita kaji dan lihat secara terperinci apa
yang PAS Selangor dan Presiden PAS mahukan, bukannya kerusi MB itu tetapi lebih
kepada mengekalkan status quo. Biarlah Tan Sri Khalid kekal sehingga ke akhir
penggal ini. Beliau cemerlang, prestasinya baik, kalau bergelora sekali pun
rumah tangga, sabar-sabarlah tunggulah sehingga tamat penggal.
Malangnya kematangan politik pimpinan PAS ini dipandang
serong, lebih malang lagi sesama pimpinan PAS yang berbuat demikian, yang duduk
di bawah Presiden apalagi Mursyidul Am dari sudut ranking tiba-tiba menyanyikan
lagu-lagu sumbang, meminjam kata-kata TG Nik Abd Aziz, PAS ada nakhodanya,
tetapi bagi mereka yang sumbang ini, nakhoda kapal sendiri seakan bukan ketua
tetapi nakhoda kapal lain pula dilihat ketua!?
PAS perlu konsisten. Ternyata pendirian PAS Selangor, yang
didukung Presiden dan Mursyidul Am itu benar dan mewakili juga selera rakyat
Selangor yang mahu Selanogr kekal stabil dengan kepimpinan negeri yang baik
jauh mengatasi rekod BN sebelumnya. Kematangan pandangan dan pendirian politik
pimpinan PAS perlu dihormati bukan diugut dengan keluar Pakatan dan
seumpamanya.
Semoga kebijaksanaan dan kematangan mengatasi nafsu serakah
dalam menanggani isu ini.
No comments:
Post a Comment