Kalau boleh masing-masing mahu elakkan Pilihanraya Negeri di
Selangor. DAP tidak mahu, PKR tidak mahu dan saya percaya PAS juga tidak mahu.
Mengapa tidak mahu, kerana sebagaimana tegas Kit Siang semalam keyakinan rakyat
terhadap PR diperingkat ini perlu dipulihkan.
Dalam erti kata lain, kalau dibubar Dewan Selangor dan
diadakan PRN berkemungkinan prestasi PR akan menurun berbanding PRU yang lalu
dan berangkali tidak juga mustahil boleh berlaku peralihan kuasa.
Saya juga percaya BN juga sebenarnya bukanlah bernafsu
sangat mahu menghadapi PRN di Selangor, kerana suasananya sukar dibaca, mungkin
prestasi PR turun prestasi mereka naik. Mungkin PR tumbang mereka naik. Mungkin
juga mereka terus pupus.
Apa pun demikianlah gambaran kucar-kacirnya senario politik
Selangor berpunca dari keghairahan satu pihak mahu menukar MB separuh penggal.
Apabila nasihat orang lama dan berpengalaman tidak
dipedulikan. Apabila rambut yang mahu ditarik dari dalam tepung disentap dengan
ganas dan biadap. Rambut putus, tepung berselerak menghodohkan wajah sendiri.
Ke mana Selangor selepas ini?
Mungkin Tan Sri Khalid Ibrahim setelah dipukul, dibelasah
dan ditelanjangkan dikhalayak ramai (mirip bagaimana seorang Wirawan pernah
diperlakukan cuma senario sedikit berbeza) sanggup tunduk bagaikan padi,
melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada Tuanku Sultan bagi memilih MB yang
baru dari kalangan parti yang majoriti.
Mungkin juga beliau, dengan darah Bugis yang merah pekat
mengalir dalam tubuh, enggan tunduk. Mandi biar basah. Lantaran sudah diaibkan
biarlah semua sama-sama merasa. Mungkinkah Tan Sri menyembah kepada Tuanku
Sultan memohon perkenan Tuanku agar Dewan Negeri dibubarkan dan PRN diadakan
dalam tempuh 60 hari?
Atau mungkinkah, politik rasional, tolak ansur, beradab dan
beradat diutamakan.
Bagaimana?
Mungkinkah ada pihak yang boleh bertemu muka
dengan Tan Sri Khalid, bawa berbincang. Berlaga lutut duduk demi kepentingan
dan kesejahteraan rakyat dan negeri, kita berdamai. Semua pihak mengenepikan
kepentingan peribadi, nasib dan masa depan rakyat dan negeri diutamakan.
Mungkinkah ada yang sangat besar jiwanya dikalangan pimpinan kita boleh
melakukan demikian.
Kenapa kita harus amalkan politik bertelagah, berkeras
kepala, berkerat rotan dan berpatah arang? Kita bukan berhadapan dengan musuh
politik, kita berhadapan dengan seorang insan yang luka dan cedera egonya
lantaran keghairahan dan nafsu serakah sesetengah pihak.
Personaliti seperti Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru
Mursyidul Am PAS, Timbalan Mursyidul Am PAS, boleh memain peranan, dalam ruang
kosong yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin yang tinggi hidung dan bongkak.
Itu kalau kita bersungguh mahu mengelakkan PRN. Biarlah
rombongan perdamaian dihantar, Tan Sri Khalid yang saya kenal pernah di hari
pertama menjadi MB menyatakan pada saya bahwa beliau tidak perlu kepada jawatan
ini tetapi menerimanya demi kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan negeri.
Kita akui beliau telah memberi khidmat yang baik. Kita ubat
dan rawat luka-lukanya dan kita beri hormat dan penghargaan kepadanya. Beliau
tidak mahu melepaskan kerusi keramat itu saya percaya bukan kerana beliau mahu
mengkayakan diri, keluarga atau kroni, tetapi semata-mata kerana mahu
memastikan ia tidak jatuh kepada tangan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tan Sri Khalid bukan Harun Idris, bukan Muhammad Taib bukan Abu Hassan, bukan juga Khir Toyo. Biarlah kita bertolak ansur, mengalah dimana perlu, yang
penting Tan Sri boleh dibawa berbincang melepaskan kerusi ini dengan cara dan
kaedah yang paling baik dan mulia.Mungkinkah ini boleh berlaku diperingkat ini?
Atau mungkinkah kita bersedia sahaja lantaran keghairahan pihak tertentu, berhadapan dengan PRN yang sepatutnya tidak perlu, membuang masa dan penuh risiko itu.
2 comments:
setuju..
panjangkan segera syor ini kepada tuan-tuan guru untuk usaha tersebut, dalam masa beberapa jam lagi yang masih berbaki sbelum TSKI masuk mengadap...
Biarlah. Kami rakyat nak memilih semula.
Kami rela hilang RM50j dari hilang RM3b.
Post a Comment