Thursday, August 07, 2014

Konflik di Selangor dan impak ke atas PR dan PAS (7/8/14)


Konflik di Selangor ternyata membawa impak yang menggegarkan ke atas Pakatan Rakyat dan parti-parti komponannya. Ini terjadi kerana yang mahu dicungkil keluar dari jawatan tertinggi negeri berkenaan yakni jawatan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat tiada bermasalah. Kalau pun ada kerana tewas bertanding jawatan tertinggi dalam PKR.
Selangor adalah model negeri Pakatan Rakyat. Ia dikuasai PR apabila ketiga-tiga komponan partinya menang besar dalam PRU lalu (itupun atas rekod cemerlang Tan Sri sebagai MB). PAS dan DAP masing-masing merangkul 15 kerusi manakala PKR 14 meninggalkan BN hanya dengan 12 kerusi.

Ia bukan Kelantan dimana PAS dominan  dengan 32 kerusi PKR 1 dan BN 12. Ianya bukan juga Pulau Pinang dimana DAP menyapu 19 kerusi PKR 10 PAS 1 dan BN 10.
Di Selangor, sungguhpun kerusi PAS dan DAP lebih dari PKR, namun atas semangat setiakawan, dan saya percaya ekoran dari rekod Tan Sri Khalid sendiri yang cemerlang, PAS dan DAP beri laluan kepada PKR untuk Tan Sri Khalid menjadi MB penggal kedua.

Oleh itu atas apa juga sebab apabila kerusi MB itu, mahu ditukar PKR, ia perlu faham bahawa ia perlukan mandat dan lampu hijau dari kedua-dua DAP dan PAS. Ini bukan negeri PKR dari sudut matematiknya.
Saya rasa kenyataan Dr Xavier Jayakumar dalam sidang akhbar PKR Selangor semalam silap apabila beliau mendakwa PR setuju beri kuasa pada PAS di Kelantan dan DAP di Pulau Pinang sementara di Selangor PKR yang pegang teraju.

Persetujuan yang diberi pasca PRU lalu adalah ke atas Tan Sri Khalid, oleh itu kiranya atas apa sebaba logik ataupun tidak PKR mahu tukar orang, maka wajarlah lampu hijau PAS dan DAP diperolehi, atau tiba-tiba walau dengan kurang 1 kerusi PKR di kira “Raja” di Selangor?
Setakat ini kelihatan DAP setuju atas pertukaran yang dihajati oleh PKR itu, namun PAS seakan tidak dapat terima.

Disinilah konfliknya.
Kalau Tan Sri rasuah, curang, salah-guna kuasa, mungkar maka asasnya cukup kuat bagi siapa pun menerima bahawa beliau perlu berundur dan diundurkan. Akan tetapi apabila tiba-tiba pertukaran dibuat tanpa asas yang kukuh dan terbaru dengan pertuduhan liar yang tiada asas, maka bersekongkol menerima pertukaran itu adalah satu yang silap.

Kerana itu Presiden PAS terbit dengan pendirian bahawa biarlah Tan Sri Khalid kekal hingga ke hujung penggal. Kenyataan beliau disokong oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan terbaru Majlis Syura Ulamak yang turut meneliti kononnya pertuduhan ke atas Tan Sri turut berpendapat, Tan Sri perlu kekal melainakan disabitkan atas apa-apa kesalahan.
Tan Sri sendiri mengambil inisiatif berani melaporkan segala pertuduhan bikinan PKR itu ke SPRM untuk disiasat demi membersihkan namanya.

Konflik ini akan reda segera kiranya semua pihak setuju menangguhkan pertukaran berkenaan dan melepaskan Tan Sri kekal sebagai MB hingga hujung penggal.
Namun yang jelasnya PKR sedikit pun tidak mahu melangkah ke belakang, tidak mahu mengalah, tegas mahukan Tan Sri di “halau” keluar dari Tingkat 20 Bangunan SUK. Mereka pun telah terbitkan “kononnya” pertuduhan kecurangan dan salah-laku Tan Sri.

Saya mendapat maklumat pada 9 haribulan ini PKR akan terus membuat pengisytiharan memecat Tan Sri sebagai ahli seterusnya memaksa beliau mengosongkan jawatan MB.
Tidakkah tindak-tanduk ini sesuatu yang drastik semata-mata kerana agenda politik. Langkah Kajang atau langkah apa sekalipun biarlah dilakukan dengan tertib, yang penting kawan-kawan boleh terima, istana boleh terima, rakyat boleh terima.

Kerana itu sesungguhnya cadangan Presiden PAS bukanlah drastik tetapi sangat matang dan beradab. Dan langkah seperti itulah sesungguhnya yang akan dipandang tinggi oleh rakyat, kakitangan kerajaan dan sudah pasti pihak Istana.
Selangor tenteram, maju dan stabil selama ini, malah menjadi contoh buat negeri-negeri lain. Tiba-tiba angkara cita-cita politik pihak tertentu, air yang jernih mahu dikeruhkan, berkerat rotan berpatah arang demi semata-mata mahu melihat nafsu politik dipuaskan.

Rakyat Selangor, kakitangan kerajaan dan pihak istana akan melihat episod yang sedang berlaku ini sebagai sesuatu yang sangat “kartun” dan mengecewakan.
Impak ke atas negeri ini jelas, impak ke atas PR jelas dan malah tercetus impak ke atas PAS sendiri.

Saya tidak tahu bagi yang lain, tetapi bagi saya yang mendukung perjuangan PAS, yang bertunjangkan kepimpinan ulamak yang bermatlamat menegakkan Islam, dalam kemelut dan pancaroba yang tidak menentu ini saya lebih selamat condong dan menerima pandangan para alim ulamak. Saya akur dan terima pandangan Presidens saya, pandangan Mursyidul Am, pandangan Ketua Dewan Ulamak, Dewan Ulamak dan Majlis Syura.
Kalau ada ahli atau pemimpin PAS yang tidak begitu, tidak hormat pada Presiden pada Mursyidul Am pada Majlis Syura dan Dewan Ulamak barangkali wajarlah bagi ia menimbang-nimbang bertukar kulit, berhijrahlah ke bahtera lain. Biar PAS tenang mengemudi bahteranya yang dinkahodai para ulamak menuju destinasi yang satu.

 

 

 

No comments: