Hari ini kita berada pada tarikh keramat 31 Ogos, tanggal Kemerdekaan Negara yang diisytiharkan kira-kira 54 tahun dahulu iaitu pada tahun 1957. Imperalis British merupakan penjajah terakhir Negara sebelum itu Jepun sepanjang Perang Dunia Kedua.
Sewajarnya kita bersyukur kerana Negara memperoleh kedaulatan sekian lama, kita bebas merdeka menentukan nasib dan masadepan kita tanpa belenggu dan pengaruh sesiapa pun. Kita yang menentukan cara hidup kita dalam proses demokrasi berparlimen yang kita anuti.
Yang jelas Kemerdekaan Negara diserahkan kepada Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman pada tarikh berkenaan yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Sebelum tanggal Merdeka itu beberapa persitiwa penting dan bersejarah berlaku antaranya Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955 dan keduanya Rundingan Baling iaitu rundingan antara wakil kerajaan diketuai Tunku dan pimpinan Parti Kominis Malaya yang diharamkan diketuai Chin Peng dan Allahyarham Rashid Maidin.
Perjuangan menuntut kemerdekaan Negara ini sesungguhnya suatu perjuangan yang panjang dan membariskan banyak nama. Ada yang masih dalam tinta sejarah Negara dan ada yang dilupakan begitu sahaja.
Bermula seawal Dato Maharajalela di Perak, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain-lain. Semuanya berjuang membebaskan tanahair dari pengaruh dan belenggu penjajah. Malah kita jangan lupa Sultan Mahmud, pemerintah terakhir di Melaka merupakan pejuang terbesar mempertahankan kedaulatan bumi Melaka dari penaklukan penjajah Portugis pada tahun 1511.
Hari ini 54 tahun lalu, Almarhum Tunkulah yang telah menempa nama sebagai Bapa Kemerdekaan. Namun sebaris dan sezaman dengan Tunku hakikatnya ramai lagi yang berjuang menurut cara dan kaedah masing-masing, cuma ditakdirkan peluang diraih oleh Tunku. Kita jangan lupa ramai yang lain yang turut menyumbang dan memain peranan.
Dato Onn yang mengemuruhkan semangat menentang Malayan Union tahun 1946 sebelumnya tidak senasib Tunku tetapi beliau juga menyumbang jika tidak kerana ditolak Umno lantaran idea beliau membuka Umno kepada kaum lagi barangkali datuk Hishamuddin itulah PM yang pertama.
Begitu juga Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi yang meniup semangat kemerdekaan jauh sebelum Umno berani memikirkan slogan kemerdekaan. Berjuang dari dalam dengan bekerjasama dengan Imperalis Jepun, Almarhum hampir diserahkan kunci kemerdekaan Negara jika tidak kerana Jepun tiba-tiba menyerah kalah sudah pasti Bapa Kemerdekaan Negara dikenali dengan nama Burhanuddin.
Malah selain Dato Onn, dalam Umno sendiri wira mereka yang berjuang bertungkus lumus pun ada yang disishkan begitu sahaja umpama Allahyarham Khatijah Sidek yang sekadar berdiri sesama ribuan yang hadir pada malam Union Jack diturunkan di padang Selangor Kelab (kini Dataran Merdeka). Dalam memoir beliau ada dinukilakn betapa sebaknya hati beliau melihat persitiwa berkenaan di barisan rakyat biasa sedangkan beliaulah yang telag berkorban dan mengembeling tenaga menghidup dan member nyawa kepada Wanita Umno, sebelumnya Kaum Ibu Umno dalam meneyemarakkan sokongan kaum wanita terhadap Umno.
Saya percaya ramai lagi nama-nama lain yang sebaris dengan mereka ini. Ibrahim Yakub, Mokhtaruddin Laso, Ustaz Abu Bakar al Bakir, Ahmada Boestamam, Shamsiah Fakeh antaranya. Begitu juga penduduk kampong di Temerloh, di Gunung Semanggol, di Hulu Langat dan banyak lagi ceruk rantau Negara.
Cuma memang ada yang memilih haluan kiri, masuk ke hutan berjuang bersama pihak kominis lalu lantaran anutan fahaman mereka terpaksa berbunuhan sesama anak bangsa yang berkhidmat dan bekerja dengan penjajah sebagai pasukan keselamatan tempatan.
Di sinilah kita berbelah bahagi samada mengiktiraf mereka ini atau sebaliknya. Dr Burhanuddin contohnya sebagaimana saya sebut di atas pernah berkhidmat sebagai Penasihat Agama dan Adat Istiadat Melayu kepada penjajah Jepun, tetapi Almarhum tidak terlibat dalam aktiviti keganasan sebagaimana yang dikaitkan dengan Tentera Jepun itu.
Yang kiri dan mengenakan seragam PKM atau Regimen ke 10 ini berbeza. Mereka pejuang ideologi dan berjuang dengan misi utama membebaskan Malaya dari penjajah dan menubuhkan sebuah Daulah Kominis mirip Soviet Rusia (satu ketika dahulu) dan kemudiannya Kominis Cina.
Secara peribadi saya kagum dengan disiplin perjuangan mereka. Kebetulan saya sempat bersama dengan Allahyarham Shamsiah Fakeh sebelum beliau meninggal dunia. Walaubagaimanapun sebagai seorang Islam saya tidak menerima anutan politik mereka ditolak oleh Islam dan semua gerakan Islam seluruh dunia.
Berbalik kepada mereka yang menyumbang dan berperanan dalam perjuangan kemerdekaan Negara saya teringat sebuah buku karangan Allahyarham Ahmad Boestamam yang pernah saya catatkan dalam posting saya di blog ini. Betapa Pak Boes ada mencatatkan bagaimana para pelacur di Kuala Lumpur juga pernah ditahan oleh Biritish bersama pejuang-pejuang politik pada tahun 40an termasuk Pak Boes. Menurut Pak Boes beliau sempat bertanya beberapa pelacur mengapa mereka ditahan dan dibawa ke kem tahanan politik Biritish sedangkan mereka bukan orang politik. Kata mereka kerana mereka membocorkan rahsia tentera Biritish kepada orang-orang Ibrahim Yakub dan Mokhtaruddin Lasso.
Catatan sejarah sudah pasti tidak akan memuatkan peranan para pelacur seumpama ini, tetapi itulah hakikatnya betapa berbagainya manusia yang telah menyumbang kepada kemerdekaan Negara bertuah ini. Ada yang disanjung dan ada yang hanya terbiar begitu sahaja.
Selamat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke 54 semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang ikhlas berkorban sehingga memungkinkan kami hidup aman dalam Malaysia Merdeka hari ini. Amin.
1 comment:
Mat indera kategori mana abang? Saya takde sumber ...Mohon pencerahan
Post a Comment