Hampir saban hari hal berkenaan Islam menjadi isu perbahasan umum. Sepatutnya ditahap ini kita melihat semakin ramai berbondong menyertai Islam lantaran kemampuan kita berdakwah dan kefahaman masyarakat yang semakin terbuka tetapi sebaliknya apa yang berlaku Islam kelihatan semakin terancam dan mengancam.
Belum pun selesai isu JAIS di Selangor kita bangkit pula isu bacaan ayat-ayat suci al Quran di corong masjid. Masalahnya antara pimpinan dan “authority” dalam Islam saling bertelagah. Ada yang setuju ia ditiadakan dan ada pula yang setuju ia diteruskan terutama sebelum masuk waktu solat.
Yang setuju terbit dengan hujah masing-masing begitu juga yang tidak. Yang keliru kita orang-orang awam apatah lagi yang bukan Islam.
Sewajarnya hal-hal berkenaan Islam ini jangan dipolitikkan terutama kalangan sesama Islam kelak ia tambah mencetuskan kekeliruan serta mengeruhkan suasana.
Jelas isu laungan azan melalui pembesar suara ketika masuk waktu solat diterima semua.
Yang menjadi isu adalah bacaan al Quran.
Dalam hal lain saya pernah menegur sebuah masjid agar tidak menggunakan corong utamanya yang diguna sewaktu laungan azan untuk membesarkan suara penceramah ketika program tazkirah atau pengajian di masjid. Bagi saya pengajian dan tazkirah adalah bagi mereka yang hadir dalam masjid oleh itu biarlah yang di dalam menikmatinya dan tidak mereka yang jauh di luar.
Mungkin ketika khutbah Jumaat ia boleh dipertimbangkan kerana lazimnya ketika solat Jumaat jemaah mana-mana masjid pun melimpah sehingga ke luar.
Namun demikian dalam hal bacaan ayat-ayat suci al Quran ini ternyata kita seakan terperangkap. Menghentikannya bermakna kita seolah mengurangkan sukatan sendiri manakala membiarkannya terganggu pula orang lain.
Mungkin bagi masjid-masjid yang telah lama mengamalknannya biarlah ia diteruskan kerana kalau mahu kira gangguan ia sudah lama diamalkan sepatutnya telah diterima umum. Manakala bagi yang baru tidak perlulah.
Toleransi beragama sangat kritikal dalam Negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Ia mesti berpijak pada asas yang telah diterima sepakat sejak awal pembentukkan Negara ini. Kerana itu tanggungjawab pemimpin untuk meleraikan ketegangan dan pupuk persefahaman namun tanpa mengorbankan yang asas dan pokok.
Semoga Islam terus dihormati dan disenangi insyallah.
1 comment:
komentar yg baik,bertoleransi... dan saya memuji sikap anda atas perkara ini.
Post a Comment