Sebuah hadis Rasulullah saw menyebut bahawa: “Hampir sahaja kemiskinan berubah menjadi kekufuran”. Saya sengaja membawa perkara ini apabila membaca dua laporan akhbar yang berbeza pagi ini.
Pertama tentang cadangan kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah membantu mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan di dalam Bajet akan datang. Presiden CUEPACS dipetik menyebut bahawa ramai kakitangan awam terpaksa melakukan kerja sampingan bagi menampung kehidupan masing-masing akibat kenaikan kos hidup yang tinggi.
Kedua yang jauh berbeza dari di atas adalah berkenaan rompakan ke atas sebuah kafe siber haram di Sungai Buloh Selangor yang mengakibatkan seorang perompak ditembak mati dan beberapa suspek ditahan. Menurut sumber polis simati dan suspek yang ditahan dipercayai anggota tentera dan ada dianataranya berumur sekitar 20an.
Adakah kesempitan hidup kini benar-benar kritikal, suatu isu yang bukan lagi merupakan masalah politik tetapi realiti yang mengancam dan perlu ditangani secara serius oleh semua pihak? Kita tampak gah di luaran tetapi hakikatnya ramai yang terpukul menderita akibat kenaikan kos hidup lantaran ketenatan ekonomi dunia.
Faktor kemiskinan boleh menjadi satu ancaman kerana ia mampu mendesak mereka yang lemah iman melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan penderitaan diri dan keluarganya walaupun langkah itu haram atau membahayakan diri dan keluarganya.
Semua pihak kena beri perhatian dalam perkara ini. Ini masalah benar yang terlonggok di hadapan kita dan inilah yang perlu diberi keutamaan dan perhatian berbanding isu dan perkara lain kerana jika tidak “kekufuran” akan berleluasa!
Semoga Allah swt memberika kekuatan kepada kita dalam bulan Ramadhan ini agar kita mampu bangkit dari masalah besar ini.
No comments:
Post a Comment