Di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini ramai yang terkejar-kejar meluangkan masa dan kelapangan memperbanyakkan ibadah, solat, membaca al Quran, berzikir dan seumpamanya. Amalan kita dijanji akan dilipat gandakan oleh Allah swt, sesungguhnya bulan ini adalah bulan bonus bagi mukmin yang beramal dan bertaqwa.
Rugilah mereka yang terikat dengan jadual dunia yang padat sehingga tiada ruang untuk mengejar tawaran Allah swt ini. Rugilah lebih-lebih lagi mereka yang terus terjerumus dalam kancah perlakuan dan perbuatan yang dikutuk dan dibenci oleh Allah dan Rasul Nya.
Dalam pada itu sebenarnya ramai dikalangan kita yang terlupa. Di dalam rumah kita rasanya ada insan yang lebih mulia dari kita. Kita yang bangkit sahor, kemudian berpuasa dan kemudiannya berbuka, solat tarawih, membaca al Quran, bangun beribadah malam tetapi terkadang terlupa bahawa ada seorang insan walaupun mungkin tidak seligat kita tetapi dia yang lebih bekerja memastikan sempurna hidup dan ibadah kita.
Yang saya maksudkan adalah insan bergelar isteri. Dia yang bangun awal, melawan malas dan mengantuk semata-mata bagi memastikan makanan terhidang buat kita dan anak-anak. Dialah juga yang sambil beribadah berfikir bagaimana hidangan untuk berbuka nanti dan dialah juga sambil beribadah memikirkan bagaimana menceriakan keluarga dengan pakaian baru dan hidangan di Hari Raya nanti.
Jangan kita terlupa sepanrtas mana kita mengejar Ramadhan dan keberkatannya, isteri kita perlu dihormati dan jasanya dihargai. Adakah ruang dalam doa kita untuk beliau?
Sayangilah isteri anda lebih-lebih di bulan Ramadhan ini............Selamat Berpuasa.
1 comment:
benar sekali tuan.
Post a Comment