Sunday, October 10, 2004

Lagi cerita bintang-bintang

LAGI CERITA BINTANG-BINTANG

Akhbar-akhbar tempatan masih belum reda melaporkan kontroversi penganugerahan bintang-bintang kebesaran sempena ulang tahun ke 66 Yang Dipertua Negeri Melaka. Melaka kali ini terjebak dengan kontroversi lantaran ramainya yang menerima gelaran Datuk pelbagai kelas, iaitu 84 penerima anugerah termasuk Pak Lah, Adnan MB Pahang, isteri Ketua Menteri Ali Rustam sendiri, Khalid Jefri dan lain-lain. Walaubagaimanapun rekod masih dipegang oleh Pahang dengan 96 yang dianugerah pada tahun 2002.

Ada orang mengatakan kalau dilontar batu ke langit di KL jatuh dan terkena seseorang pasti orang tersebut bergelar Datuk, nak menunjukkan betapa bersepahnya rakyat yang memiliki gelaran Datuk tak kiralah samada betul-betul layak ataupun dibeli pada harga pasaran melalui broker-broker tertentu.


MASITAH: TENGOK SUAMI AKU PUN DAPAT BINTANG

Sesungguhnya anugerah ini merupakan tradisi yang diamalkan oleh Raja-raja Melayu terhadap warga yang telah berjasa kepada negeri ataupun negara. Kemudiannya Yang Dipertua negeri-negeri turut menganugerahkan darjah yang sama, dan dalam kes Melaka negeri yang tidak bersultan jauh mengatasi negeri yang bersultan dalam memberikan darjah ini! Pernah dalam satu Perhimpunan Umno Dr Mahathir yang ketika itu Presiden dengan secara sinis berkata bahawa kita pun nak kepada Sultan kerana boleh dapat gelaran Datuk, itu sahaja.

Memberikan gelaran bagi mengiktiraf jasa seseorang bukanlah tradisi di Malaysia sahaja. Di UK gelaran Sir dan sebagainya dianugerahkan oleh Queen. Malah Rasulullah saw juga turut memberikan gelaran tertentu kepada para sahabat lantaran mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka antaranya Saidina Abu Bakar digelar "Assiddik", Omar digelar "Farouk" dan sebagainya.

Di Malaysia selain tokoh-tokoh tertentu disamping ahli-ahli politik dari parti kerajaan jarang sekali anugerah diberikan kepada tokoh dari parti-parti pembangkang. The few exceptions adalah Datuk Ahmad Boestaman - Datuk Sarawak, Tan Sri Dr Tan Chee Khoon - setelah bersara. Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Nor walaubagaimanapun menerima gelaran Dato' Kedah semasa menjadi Ketua Pembangkang, ketika itu Sanusi Jonid MB Kedah. Sepatutnya semua pihak kenalah bersikap lebih terbuka dalam hal ini dan mencontohi Sanusi.

Berbalik kepada isu Melaka, anugerah di negeri tersebut walaupun diberi oleh Yang Di Pertua Negerinya namun Ketua Menterilah yang sebenarnya berkuasa megeluarkan senerai penerimanya. Dikhabarkan setelah menang jawatan Naib Presiden maka ramailah yang terpaksa dibalas jasanya oleh Ali Rustam, lantaran itulah senarainya berjela-jela.

Adnan Pahang dikhabarkan mulanya enggan terima kerana luka dikalahkan oleh KM Melaka itu masih belum reda.

Kesimpulannya padanlah Rais Yatim dalam isu ini dipetik sebagai berkata:

Anugerah gelaran Datuk yang terlalu mudah diperoleh boleh mengundang sangkaan atau rasa syak kepada masyarakat.

Ditanya adakah anugerah itu kena mengena dengan pemilihan Umno baru-baru ini beliau hanya memberitahu - Apa yang berlaku di sebalik tabir, hanya Allah sahaja yang tahu.



No comments: