Monday, October 04, 2004

Konsert Alternatif: Tahniah Pemuda PAS

SYABAS PEMUDA PAS

Malam semalam Dewan Pemuda PAS Pusat telah menganjurkan sebuah konsert di Taman Melewar sempena sambutan 2 Dekad PASTI. Menurut Harakahdaily konsert tersebut mendapat sambutan hangat dengan dianggarkan sekitar 5000 orang pengunjung.

Antara artis yang telah memberikan persembahan adalah Akil Hayy dan Ito dari Kumpulan Blues Gang. Harakahdaily memberikan komen:



Kemunculan Ito di pentas PAS sememangnya menjadi perhatian ramai pihak dan dikatakan bakal menjadi kontroversi berikutan imej penyanyi itu dan alat muzik yang mereka mainkan masih belum 'clear' atau dengan kata lain masih dipertikaikan kedudukannya dari sudut pandangan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS.

Walaupun PAS sebelum ini pernah menganjurkan program kesenian seperti sambutan Jubli Emas parti itu di Kota Bharu beberapa tahun lepas, parti itu belum pernah mengundang artis yang tampil dengan alat muzik bertali atau tiupan.

Bahkan PAS yang masih belum mempunyai garis panduan yang jelas terhadap hiburan masih lagi memperbahaskan 'halal-haramnya' alat-alat muzik tersebut. Apa yang jelas, nyanyian Ito pada malam itu di atas pentas PAS merupakan satu tindakan berani sayap pemudanya mencari penyelesaian 'konflik' tersebut.

Bagi saya PAS perlu berani mengambil langkah mengemukakan alternatif kepada masyarakat ramai. Kalau yang ini haram macam mana pula rupa yang halal. Kalau kita sekadar tahu menuding yang itu dan ini haram namun tak berdaya terbit atau memperkenalkan alternatif maka masyarakat akan melihat Islam ini bukannya penyelesai masalah tetapi lebih mendatangkan masalah.

Masalah di depan kita pada hari ini adalah gejala sosial dan pengaruh budaya kuning yang begitu serius sehingga telah banyak merosakkan remaja kita. Kalau kita sekadar berdiri mengharamkan perkara yang jelas haram namun tidak berupaya membuka lorong bagi memperkenalkan pilihan yang selamat maka kita akan dikenali sebagai penghukum dan bukan penyelesai masalah.

Memang isu ini kontroversial namun demi kecintaan kita kepada Islam maka masalah ataupun realiti semasa suka tidak suka perlu kita dakapi. Sebagai contohnya kita lihat anak-anak gadis kita memiliki kecenderungan di bidang sukan, tapi dari segi fizikalnya pergerakan mereka terbatas, lalu kita sekadar menghukum haram. Cuba kita lihat dalam sukan Olimpik yang lalu di Athens di mana seorang peserta wanita dari Timur Tengah telah berlari dengan pakaian menutup aurat. Beliau walaupun tidak berjaya namun adalah salah seorang atlit terbaik dari Timur Tengah.



Seorang saudara saya pernah menceritakan pengalaman beliau di Tehran dimana terdapat pusat hiburan yang dibenarkan oleh kerajaan Islam di sana. Menurut beliau kebenaran yang diberi bersyarat - pengunjungnya mestilah ada pertalian mahram. Suami dan isteri, adik-beradik, saudara-mara sehingga ada pengawal di pintu masuk bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi. Bermakna sesama mahram boleh duduk berhibur, berkaraoke, sesuatu yang barangkali tidak terlintas dalam imaginasi kita!

Masyarakat di luar sana tahu bahawa Islam ini baik. Islam melahirkan pemimpin yang baik-baik macam Tok Guru Nik Aziz, mereka boleh lihat. Tetapi mereka tidak berani go beyond that kerana mereka melihat Islam ini terlalu banyak sekatan dan kekangan dalam hidup. Babi tidak boleh makan, arak tidak boleh minum, sedangkan apa yang boleh dan halal yang berjela-jela kalau nak disenaraikan mereka tidak nampak. Oleh itu kita perlu berterusan membuktikan kepada mereka bahawa memang Islam ini baik dan kita semua orang baik-baik dan Islam itu sesungguhnya adalah penyelesai masalah ummah sepanjang masa. Banyak alternatif yang boleh kita teroka demi menjuarai Islam.

Syabas Pemuda PAS keep up the good work.

No comments: