Wednesday, October 20, 2004

Ke mana orang Melayu

KE MANA ORANG MELAYU

Saya terbaca satu artikel baru-baru ini kalau tak silap dalam akhbar THE STAR berhubung keputusan pertandingan Malaysian Idol . Jaclyn atau JAC yang berketurunnan India telah berjaya mengalahkan DINA seorang Melayu dalam pertandingan akhir melalui undi SMS penonton seluruh negara. Artikel tersebut menyatakan rata-rata para pengundi tidak mengundi berdasarkan kaum tetapi mengundi artis yang paling berkualiti antara kedua-dua finalist.

JAC dan DINA

Malah dilaporkan dalam pertandingan Akademi Fantasia I juga peserta Cina Vince berjaya mengalahkan finalist yang rata-rata berbangsa Melayu.

Bermakna artikel tersebut cuba mengambarkan betapa harmonisnya negara ini. Penduduk keturunan Melayu khususnya sanggup mengenepikan ras bangsa masing-masing demi memburu pemenang yang terbaik. Malah itulah realiti dunia hiburan hari ini, tak mengapalah.

Masalahnya orang Melayu bukan dalam soal berhibur sahaja malah dalam hal kepimpinan, memilih pemimpin pun hari ini mereka sudah tidak berapa kisah. Sedangkan memilih pemimpin bukan macam memilih penghibur. Memilih pemimpin memerlukan beberapa kriteria dan merit penting kerana pemimpin tadi bertanggungjawab memimpin nasib dan masa depan kita. Kalau tersalah pilih sudah pasti implikasinya besar dan itu rata-rata orang Melayu khususnya yang memahami agama tahu sangat.

Tetapi dalam soal memilih pemimpin hari ini orang Melayu dah tidak kisah, serupa sahaja macam pilih penghibur. Dalam Pilihanraya Umum ke 11 lalu kita lihat orang Melayu sanggup memberikan undi kepada calon yang bukan Melayu/Islam sedangkan lawannya adalah calon Melayu/Islam mengapa begitu? Kalau yang bertanding tu dua-dua bukan Melayu/Islam tak mengapalah, ini jelas yang satu begini yang satu lagi begitu. Sedihnya orang Melayu buat tak hirau, sedangkan ini tanggungjawab yang penting yang perlu kita pikul bukan hanya di dunia malah sampai ke akhirat lantaran kita seorang Islam.

Contoh di Parlimen P.59 Bukit Gantang, Perak. 62.6% dari 53 880 pengundinya berbangsa Melayu. Tan Lian Hoe lawan Dr. Lo'lo' Ghazali. Yang menang Tan yang kalah Dr. Lo'lo'. Di N.14 kerusi DUN N.14 Bandar, Terengganu. Azmi Lob melawan calon Cina dari MCA. 60.9% dari 18,438 pengundinya Melayu Islam. Yang menang MCA yang kalah Azmi Lob. Dan banyak lagi contoh yang seumpama ini boleh diberi di seluruh negara.

Saya teringat dalam pilihanraya tahun 1990 dahulu di satu kawasan di pendalaman Selangor. Pertandingan antara calon India dan calon Melayu. Seorang pengundi tua bila ditanya nak pilih calon mana dia beritahu, kalau menang calon Melayu ni, ditakdirkan aku meninggal dunia, kurang-kurang dia boleh sedekahkan Al Fatihah, calon yang lagi satu wallahualam.

Renunglah perkara ini dalam kita sedang berlapar menghadapi menghadapi Ramadhan al Mubarak ini. Orang Melayu ke mana maruahnya kalau memilih pemimpin pun nak disamakan dengan memilih penghibur. Bukan saya bertujuan nak melaga-lagakan antara bangsa-bangsa di negara ini namun demikianlah hakikatnya kedudukan orang Melayu. Dalam hal ini saya yakin kalau ada calon Melayu bertanding di Parlimen Bukit Bintang yang hampir 80% pengundi Cina janganlah harap mahu dapat undi dari bangsa lain, undi bangsa sendiri pun belum tentu boleh dapat.



No comments: