Friday, May 22, 2015

Pemilihan PAS: Adab dan pertauran dalam berkempen (22/5/15)

PAS bakal menyaksikan pertandingan untuk pucuk pimpinannya pada Muktamarnya yang ke 61 awal Jun ini bertempat di Kuala Selangor. Hampir kesemua jawatan bakal menyaksikan pertandingan dari Presiden sehinggalah Timbalan, Naib-naib serta Ahli-ahli Jawatankuasa selain diperingkat Dewan-dewan.

Bagi sesetengah pihak perkara ini merupakan sesuatu yang luar-biasa, sedangkan bagi mereka yang di dalamnya ia sesuatu yang normal yang pernah berlaku sejak di awal penubuhannya lagi sehiggalah kini membuktikan betapa amalan demokrasi subur di dalam PAS.
Pemilihan PAS adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pemilihan Parti Islam Se Malaysia (PAS)(2013) (Pindaan 2014) yang dibuat di bawah Fasal 85 Perlembagaan PAS (Pindaan 2011). Ianya merupakan suatu set peraturan yang cuab mengawal kaedah dan proses pemilihan dalam parti, suatu penambah-baikan bagi parti yang berusia lebih 60 tahun itu.

Di dalam peraturan berkenaan disebut juga Garis Panduan dan Etika Kempen yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh semua samada calon-calon yang bertanding lebih-lebih lagi mereka yang bekempen mempromosi calon-calon berkenaan. Segala-galanya diikat oleh hukum-hakam Islam selain peraturan dan undang-undang yang terpakai.
Pada asasnya semua yang bertanding dibolehkan berkempen walaubagaimanapun ianya perlulah mematuhi peraturan-peraturan ini, dan kesimpulannya dalam PAS calon-calon atau wakilnya boleh mempromosi diri mahupun mengemukakan wawasan dan manifesto masing-masing akan tetapi dilarang memfitnah, mengkeji atau mencela lawannya.

Nak kempen-kempenlah dan saya tahu ada pimpinan yang bertanding yang tidak berkempen pun, akan tetapi janganlah berkempen sehingga melanggar adab dan akhlak Islam sehingga memfitnah, mengkeji apalagi mencela lawan.
Terkadang kita dapati wakil-wakli calon samada yang rasmi dan ramai yang tidak rasmi yang berlebih-lebih seoleh-oleh kita bertanding dalam pilihanraya umum.

Saya tidak pasti apakah Jawatankuasa Pemilihan PAS punya kemampuan untuk memantau semua ini dan mengususlkan tindakan tatatertib jika berlaku kesalahan sebagaimana termaktub dalam Fasal 6.1.2 dan 6.2.2.
Contohnya seorang AJK PAS Pusat pernah mengeluarkan kenyataan berikut yang terbit dalam portal berita TMI:

Inilah wajah baharu PAS dalam konteks hubungan dengan Pakatan Rakyat jika kumpulan baharu dipilih sebagai Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar PAS ke 61 Jun nanti. "Merekalah yang akan menggantikan wajah-wajah seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa dan pimpinan lain yang digelar 'Jebon' dan 'Parasit'," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider
Bagi Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam, apa yang berlaku di Permatang Pauh juga akan berlaku di peringkat pusat jika "wajah-wajah baharu PAS" ini mengambil alih parti Islam itu di peringkat pusat. "Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala' pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat," kata Khalid. “Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana,” kata Khalid yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

Tidakkah apa yang disebut itu punya unsur-unsur yang digariska oleh Fasal 6.2 Larangan-larangan Am dalam Peraturan-peraturan PAS tadi?
Manakala dalam TMI hari ini (kebetulan TMI ini merupakan juru kempen satu pihak yang bertanding) seorang yang bertanding AJK Dewan Pemuda PAS dengan senang menyerang calon Ketua Pemuda PAS. Cuba teliti kenyataannya:

Kemenangan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam persaingan ketua pemuda dibimbangi akan merencatkan agenda pembaharuan sayap itu, kata anak kepada bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Noor. Faiz Fadzil yang juga bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat dalam pemilihan parti kali ini bimbang kenyataan yang dikeluarkan Nik Abduh sebelum ini akan menghalang agenda pembaharuan parti. “Saya risau kalau betul kenyataan dia semalam, dia kata hudud boleh buat di Kelantan tapi bukan di Malaysia.
“Saya risau kalau pemimpin macam ini, apa yang dia nak bawa? Kalau saya nak reform Pemuda, saya takut tak boleh nak reform sebab ketua pun tak tau apa nak buat,” katanya menerusi forum "Masa Depan PAS Pasca Muktamar" yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Saya yakin harapan Ustaz Nik Abduh sedikit pun tidak terjejas dengan serangan liar dan tidak berasas Sdr Faiz itu, tetapi tidakkah kenyataannya itu jelas melanggar peraturan-peraturan yang dimaksudkan?
Saya sendiri akan menggunakan blog ini untuk mempromosi calon-calon yang saya yakin boleh melonjakkan lagi agenda perjuangan Islam yang didukung oleh PAS. Blog ini memang sentiasa membuat promosi apabila berlaku pemilihan dalam parti sejak 11 tahun yang lalu berdasarkan pandangan peribadi saya.

Tawarkanlah diri untuk memimpin tetapi janganlah sampai melanggar adab dan peraturan.
Selamat berjaya.

Wednesday, May 13, 2015

Tukar Presiden atau Nizar (13/5/15)

Sebelum PRU tahun 2008 dahulu tidak ramai di luar Perak yang mengenali Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Beliau ketika PRU 2008 itu merupakan Setiausaha PAS Perak dan apabila gabungan PAS, PKR dan DAP berjaya membentuk kerajaan Negeri Perak, beliau yang ketika itu ADUN Sg Panjang dilantik sebagai MB Perak yang ke 10 walaupun dalam gabungan itu PAS merupakan rakan yang paling kecil.

Dari situ nama Nizar yang sebelum ini tidak dikenali, menjadi sebutan ramai. Maklumlah MB Perak yang pertama yang bukan BN dari PAS pula tu.
Nizar yang menurut rekod menyertai PAS pada tahun 1995, dikira naik begitu pantas dalam PAS. Dalam tempuh 20 tahun duduk dalam PAS beliau telah menjadi ADUN, Menteri Besar, ahli Parlimen dan AJK PAS Pusat.

Sudah pasti kenaikkan mendadak ini adalah hasil dari kepercayaan dan sokongan serta dokongan ahli-ahli PAS dari pelbagai peringkat yang memberikan ruang dan laluan buatnya.
Apa pun dalam sebuah Gerakan Islam seperti PAS, setiap individu adalah merupakan soldadu, dan masing-masing memain peranan mengikut arahan dan halatuju yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan berlandaskan sumber hukum tertinggi di dalam PAS.

Individu tidak penting, yang penting adalah kelangsungan perjuangan PAS itu sendiri dan usaha kearah mencapai matlamat perjuangan PAS iaitu terbinanya sebuah masyarakat dan Negara yang tunduk pada hukum dan peraturan Allah swt.
PAS terus relevan dalam politik Malaysia lantaran perjuangan Islam yang ia dokong. Benar ia punya pasang surut dalam sejarah politik Negara tetapi ia konsisten dan kukuh dalam memperjuangkan prinsipnya lantaran itu ia terus dihormati dan disenangi masyarakat dan rakyat Malaysia sehinggalah kini.

Oleh itu mana-mana individu yang naik dan punya kedudukan dalam PAS jangan sekali-kali menyangka yang mereka ditempat mereka itu hari ini kerana kehebatan atau bakat mereka masing-masing.
Mereka sesungguhnya disitu kerana ahli-ahli PAS yang hari ini mencecah 1 juta bilangannya yang letakkan mereka di situ. Ahli-ahli PAS yang istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan, yang merupakan mata rantai dari mereka –mereka yang sama sejak dahulu ia ditubuhkan yang rela dan bersedia mengorbankan wang, harta, keringat, air mata dan darah kerana yakin pada perjuangan keramat ini.

PAS bukan ditubuhkan semalam atau 1995 tetapi ia wujud dan kekal sejak 1951 lagi.
Bila duduk di atas jangan pula angkuh, sombong, bongkak dengan menganggap hanya ia yang penting dalam bahtera perjuangan yang besar ini. Bila di atas jangan melihat mereka yang lain lekeh, lambat dan menjadi batu penghalang perjuangan.

Kita ini bergerak dalam satu jemaah satu gerakan Islam, jangan sekali-kali memandang kecil pengaruh dan iltizam ahli-ahli jemaah.
Kembali kepada Datuk Seri Nizar tadi, pastinya ramai tersentak apabila melihat tajuk akhbar Sinar Harian hari ini:

Presiden PAS perlu ditukar

Laporan akhbar berkenaan bersumberkan pandangan Nizar dalam satu majlis forum bertajuk “Legasi Perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz” yang dianjurkan di Teluk Intan baru-baru ini.
Nizar dipetik sebagai berkata bahawa PAS perlu melakukan perubahan besar-besaran termasuk memilih Presiden baru bagi memulihkan masalah dalaman parti dan mendapat kembali sokongan rakyat.

Selanjutnya beliau berkata perubahan perlu dilakukan dalam kepimpinan tertinggi pada Muktamar PAS Jun ini dalam usaha menarik kembali sokongan bukan Islam terhadap PAS.
Mengapakah Nizar lantang dan berani begitu? Mengapakah beliau mahu Presiden digantikan?

Bagi saya secara peribadi itu hak Nizar.
Dalam musim pemilihan ini ahli-ahli PAS bebas dan berhak berkempen bagaimana sahaja asalkan tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Hari ini pun kita boleh lihat terdapat usaha untuk mencabar Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, dan kepimpinan pro ulamak tertentu.

Masalahnya Nizar seakan membelakangkan hakikat bahawa perubahan yang beliau tuntut itu sebenarnya sudah pun mula berlaku diperingkat akar-umbi PAS dan mengikut trend yang ada, adalah diyakini kemuncaknya nanti akan berlaku dalam muktamar Jun ini.
Cumanya mungkin gelombang yang sedang berlaku itu tidaklah sebagaimana yang Nizar impikan.

Tidakkah Nizar lihat semasa beliau hadir dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah kali ke 41 pada 20 Mac lalu. Betapa beliau telah dengan begitu bersungguh-sungguh mendesak para perwakilan Kuala Kedah melakukan perakara yang sama, iaitu menolak Tuan Guru dan kumpulan pro Ulamak.
Apa kesudahannya?

Kesudahnnya PAS Kawasan Kuala Kedah sebulat suara kekal mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai calon Presiden mereka. Ini berlaku walaupun Nizar berkempen kuat semasa ucapan perasmiannya!
Begitu juga apa yang berlaku di kawasan beliau sendiri di Kampar, Perak pada 12 April lalu.

Sebagai pemimpin yang hebat yang boleh mahu menjatuhkan Presiden, sudah pastilah mimpinya itu turut akan dikongsi oleh kekuatan akar-umbinya iaitu kawasannya sendiri yang beliau ketuai selama 14 tahun.
Apa kesudahnnya?

Kesudahannya satu Malaysia telah tahu.
PAS Kampar terus mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden, dan lebih memeranjatkan lagi tidak cukup dengan itu, PAS Kampar turut tukar ketuanya dengan menggantikan Nizar dengan Ustaz Mohd Soffian Rejab. Nizar sekadar memperolehi 24 undi berbanding Ustaz Soffian 146 untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kampar.

Dan begitu juga setelah pencalonan kawasan-kawasan satu Negara berakhir baru-baru ini, kita difahamkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang terus mendapat sokongan pencalonan dari hampir 90 peratus kawasan-kawasan seluruh Negara.
Kesimpulannya keghairahan Nizar itu malangnya kelihatan tidak dikongi oleh ahli-ahli PAS.

Lawan dan bertandinglah menentang Tuan Guur Hj Abd Hadi Awang, tiada sekatan pun dalam Perlembagaan PAS tetapi hakikatnya dari trend semasa kelihatan orang-orang PAS terus mahu agenda perjuangan PAS berdasarkan apa yang digariskan dalam Perlembagaannya kekal, diterus dan dipertingkatkan bernkahodakan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Sebagaimana keghairahan Nizar, memang kelihatan orang-orang PAS mahu perubahan besar-besaran kali ini berlaku dalam PAS.

Akan tetapi perubahan itu tidaklah sebagaimana mimpi Nizar. Perubahan yang bakal disaksikan adalah pembinaan saf kepimpinan yang lebih mantap,  yang ikhlas dan  istiqamah berpegang kepada prinsip perjuangan, bersendikan kepimpinan ulamak demi memartabatkan Islam atas muka bumi ini, insyallah.  

 

 

 

 

Apabila ADUN Umno desak larang orang Islam bekerja di premis jual arak (13/5/15)

Tuntutan untuk kembali kepada hukum dan peraturan Islam khususnya dalam mentadbir hal ehwal kehidupan umat Islam di Malaysia telah semakin lantang sejak isu perlaksaan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan yang melibatkan perlaksanaan Hukum Hudud hangat diperdebatkan.

Usaha Kelantan untuk memperkenalkan Hukum Jenayah Syariah ke atas umat Islam di negeri itu sesungguhnya telah membangkitkan kesedaran kepada umat Islam di Negara ini tanpa mengira fahaman atau pegangan politik masing-masing untuk kembali kepada Islam. Memartabatkan hukum dan peraturan Islam mahu dilihat sekurang-kurangya dikalangan umat Islam itu sendiri.
Perlaksanaan Hukum yang sama di Negara Brunei Darul Salam contohnya semakin memberi semangat dan kesadaran kepada umat Islam akan betapa pentingnya untuk kembali kepada formula penyelesaian Islam khasnya dalam menguruskan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Semalan di Dewan Undangan Negeri Johor ADUN BN Kukup Suhaimi Salleh telah mencadangkan agar agensi negeri yang berkaitan diminta untuk melihat kemungkinan mengharamkan masyarakat Islam di Johor bekerja di kedai serbaneka 24 jam terutamanya yang menjual arak.
Beliau berkata isu penjualan arak melibatkan pekerja Melayu yang bekerja di kedai serbaneka tersebut tidak boleh dikompromi kerana mempertaruhkan soal maruah, bangsa dan agama serta berdosa di sisi Islam.

Menurutnya lagi:
"Hukum sudah jelas. Minum (arak) haram, (mereka) yang menjual (arak) haram, yang membungkus botol (arak) haram, yang mengangkut kotaknya ke 7-Eleven haram dan yang menyusunnya pun haram. Takkanlah kita hendak membiarkan perkara haram, yang nampak seperti kecil tetapi besar dosanya di sisi Allah, berlaku secara berterusan. Keuntungan akhirat adalah lebih penting. Sanggupkah kita melihat anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa dan baharu lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia sudah diajar dan terjebak dengan perkara ini,"

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Johor di dewan berkenaan.
Saya bersetuju bahawa perkara ini adalah sesuatu yang serius yang harus diberi perhatian oleh umat Islam dalam Negara ini khasnya mereka yang memiliki kuasa dan mewakili suara umat Islam di Dewan-dewan Negeri dan di Parlimen.

Kalau atas apa sahaja sebab pertimbangan maka kita tidak mampu atau punya kuasa politik untuk mengharamkan pengilangan, pengimpotan dan pejualan arak sama sekali, sekurang-kurangnya kita mengambil prihatin dan inisiatif nasib umat Islam itu sendiri.
Allah swt mengharamkan arak, lalu apakah tindakan kita bagi menunjukkan yang kita tunduk pada pengharaman ini sekurang-kurangnya ke atas kita sesama umat Islam.

Saya percaya Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri semuanya memuatkan peruntukkan larangan ini terhadap umat Islam di negeri masing-masing. Di Selangor umpamanya Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyebut:
Seksyen 18 (1) - Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) - Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Lantas pemimpin-pemimpin Islam yang duduk di Dewan-dewan Negeri dan di Parlimen, wajib mendesak agar penguatkuasaan pekara ini diberi perhatian dan disamping itu mendesak agar umat Islam dilarang bekerja dimana-mana premis ini, atau sekurang-kurangnya dilarang mengendalikan atau terlibat dalam penjualan arak ini.

Walaupun berlainan fahaman politik saya mengalu-alukan ucapan ADUN Kukup itu. Sebelum ini kita dengar Ketua Menteri Melaka juga pernah menyatakan perkara yang hampir sama khasnya melibatkan pengharaman jualan arak di kawasan majoriti Islam.

Bangkitlah kita semua atas kesedaran dan semoga dalam usia hidup kita, dapat kita lihat usaha untuk memartabatkan hukum Islam ini beransur-ansur terlaksana bermula dengan di Negeri Kelantan dan kemudiannya seluruh Negara insyallah.

 

Tuesday, May 12, 2015

Komplot Kit Siang dan PAS Kota Bharu (12/5/15)

Pada hari Ahad 10 Mei lalu, PAS Kawasan Kota Bharu dengan kerjasama PKR dan DAP Kota Bharu telah menganjurkan satu majlis ceramah umum bertempat di Padang Perdana Kota Bharu, Kelantan. Tema program ceramah berkenaan diberi nama “Kukuhkan Pakatan Hancurkan Barisan”.

Program ceramah politik adalah sesuatu yang biasa dan lumrah dianjurkan di negeri Kelantan. Ia merupakan platform bagi pimpinan parti untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat jelata. Pada kebiasaannya itulah agenda program-program seumpama itu.
Akan tetapi program 10 Mei lalu, sedikit luar biasa.

Antara penceramah jemputannnya adalah Setiausaha Agung PKR dan pemimpin veteran DAP yang juga ketua mereka di Parlimen iaitu Lim Kit Siang.
Mengapa saya katakan luar biasa kerana setelah mendengar berulang kali rakaman ucapan Kit Siang itu saya dapati ianya bukan sekadar bermatlamat menjelaskan isu-isu semasa seperti 1MDB ataupun skandal Tabung Haji, ianya menjangkau sehingga menyentuh isu dalaman PAS! Kit Siang saya lihat punya agenda mahu campurtangan dalam proses pemilihan pimpinan PAS.

Benarkah begitu?

Beliau mulakan ucapannya dengan menggariskan harapan PR untuk menang dan menguasai Putrajaya. Kalau kita teliti betul-betul ucapannya, Kit Siang bukan maksudkan pada PRUke 14 akan datang semata-mata yang hanya akan diadakan selewat-lewatnya 2 atau 3 tahun dari sekarang , tetapi maksudnya lebih tertumpu kepada tempoh “1 bulan”.

Saya catatkan sebanyak 3 kali Kit Siang mengulangi sebutan “1 bulan” itu.
Kata beliau pra syarat untuk menang menguasai Putrajaya nanti adalah mengekal dan mengukuhkan Pakatan Rakyat. Maksudnya jika PR berpecah maka harapan besar itu akan berkecai.Disitulah beliau didapati menyebut bahawa kekal atau tidak PR ini akan ditentukan dalam  tempoh “1 bulan”!

Mengapa “1 bulan”? Apa yang akan berlangsung dalam tempuh “1 bulan” ini?
Saya mungkin salah tetapi yang terlintas difikiran saya dalam tempuh ”1 bulan” apa yang akan berlaku adalah Muktamar PAS Pusat yang akan melihat pemilihan pucuk pimpinan parti. Adakah “1 bulan” yang Kit Siang maksudkan itu adalah Muktamar PAS?

Mengapa kaitkan Muktamar dengan PR seolah akan berlaku ancaman terhadap masa depan PR semasa Muktamar nanti.
Jika apa yang terlintas difikiran saya itu benar maka inilah yang saya maksudkan luar biasa itu, PAS Kota Bharu membuka pentas buat Kit Siang untuk berkempen bagi pihak tertentu dalam Muktamar PAS yang akan berlangsung dalam tempoh “1 bulan”.

Kita tahu Kit Siang dan DAP bermasalah dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS. Sehinggakan DAP membuat keputusan akan teruskan kerjasama dengan PAS dalam PR tetapi tidak lagi dengan Tuan Guru. Suatu keputusan keanak-anakkan atau “childish” yang dicemuh banyak pihak.
Oleh itu saya melihat Kit Siang di Kota Bharu seakan mahu membawa maksud bahawa ghanimah Putrajaya dalam PRU akan datang hanya akan dapat dikaut kiranya dalam tempoh “1 bulan” ini PAS menyingkirkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden. Kebetulan Kota Bharu merupakan kawasan yang cuba mencetuskan gelombang menggulingkan Tuan Guru, malangnya tidak disahut oleh majoriti kawasan-kawasan seluruh Negara.

Kalau benarlah bacaan saya ini, maka Kit Siang dengan cara tidak hormat telah campuratangan dalam urusan parti PAS dan Kota Bharu dengan sengaja memberikan beliau gelanggang untuk melakukan kerja-kerja tidak berakhlak itu.
Selain itu Kota Bharu juga membiarkan Kit Siang dengan senang hati memberikan alasan penolakan Hudud sedang beliau tahu beliau berada di bumi Kelantan yang rakyatnya lebih 1.5 juta orang kuat medukung cita-cita perlaksanaan hukum perundangan Islam ini termasuklah pihak Istana.

Kota Bharu mungkin bermasalah tetapi Kit Siang selaku seorang ahli politik veteran telah dengan bijak meratah peluang menaburkan racunnya demi untuk mencetuskan suatu suasana yang hanya beliau sahaja tahu akibatnya.
Biar orang PAS tumbangkan Presidennya dengan rayuan “1 bulan” aku ini. Biar orang Kelantan akur dan akhirnya tolak Hudud atas kebijaksanaan hujah ku ini.

Jika itulah mainan dan impian Kit Siang, ternyata beliau silap dan salah.
Dalam tempuh “1 bulan” insyallah PR akan lebih diperkasakan dengan saf kepimpinan PAS yang lebih dinamik dan bertaqwa yang bekerja untuk memartabatkan perjuangan Islam yang suci secara jujur demi rakyat dan Negara Malaysia. Dan dalam tempuh itu juga dengan izin Allah swt Rang Undang-undang Persendirian PAS akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan mudah-mudahan diluluskan demi memberi ruang bagi negeri Kelantan untuk mula meperkenalkan Hukum Jenayah Islam di negeri berkenaan.

 

 

 

 

 

Monday, May 11, 2015

Arak hampir cetuskan satu lagi tragedi buat MAS (11/5/15)

Sekali lagi insiden mabuk arak telah mengancam keselamatan penumpang dalam pesawat komersil.

Menurut laporan sebuah pesawat MAS MH 179 yang dalam penerbangan dari KLIA ke Colombo, Sri Lanka Sabtu lepas terpaksa berpatah balik apabila seorang penumpangnya yang mabuk mencetuskan kekecohan dalam pesawat.
Penumpang yang mabuk berkenaan dilaporkan menganggu anak-anak kapal yang sedang bertugas semasa penerbangan.

Menurut laporan itu lagi penumpang yang mabuk dan bertubuh sasa itu hanya dapat dikawal dengan bantuan beberapa penumpang dalam pesawat.
Simabuk telah diserahkan ke pihak berkuasa sejurus kapalterbang berkenaan mendarat kembali di KLIA.

Bayangkan jika simabuk itu tidak berjaya dikawal dan terus mencetuskan huru-hara sehingga menganggu penerbangan pesawat itu.
Kerajaan sewajarnya menimbangkan semula penghidangan arak di dalam pesawat-pesawat milik Negara. Ancamannya terlalu besar, dan insiden mabuk seperti ini mampu mencetuskan kemalangan yang hanya akan merugikan rakyat dan Negara. Cukuplah sudah dengan beberapa tragedy malang yang melibatkan pesawat kita yang telah dan sedang kita tanggung.

Keselamatan penumpang dan Negara jauh mengatasi kebebasan segelintir kecil penumpang yang mahu mabuk-mabuk. Ternyata pesawat bukanlah tempat yang sesuai bagi sesiapa pun untuk mabuk-mabuk.
Semoga cadangan ahli-ahli Parlimen PAS sebelum ini agar arak ini dilarang sama-sekali atas pesawat MAS dan lain-lain pesawat tempatan difikir dan ditimbangkan secara serius oleh kerajaan.

 

Friday, May 08, 2015

Rompin rasional Teng yang tidak rasional

PRK Rompin dan Permatang Pauh telah pun selesai.

Di Rompin BN kekalkan kerusi mereka yang mereka pegang zaman berzaman namun dengan kesusutan majoriti. Begitu juga di Permatang Pauh kerusi tradisi PKR berjaya dikekalkan juga dengan majoriti yang berkurangan.
Pastinya disaat ini masing-masing jentera parti dan penganalisa politik sedang mengkaji berdasarkan angka-angka yang diperolehi, trend kecenderungan pengundi serta faktor-faktor yang mencorakkan keputusan itu.

Di Rompin umpamanya walaupun PAS tidak berjaya menundukkan BN namun majoriti kekalahannya telah berjaya dikurangkan. Jika pada PRU ke 13 lalu calon PAS tewas pada BN dengan majoriti 15 114 undi, kali ini PAS tewas dengan majoriti 8 895 undi.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebagaimana dilaporkan dalam Sinar Harian:
Keputusan PRK Rompin menarik. Data di bawah menjelaskan hal ini.

Jumlah Pengundi (PRU 2013 53,294; PRK 2015 53,596) , perolehan undi calon BN (PRU 2013 30,040; PRK 2015 23,796) – kurang 6,244 undi, perolehan undi calon Pas (PRU 2013 14,926; PRK 2015 14,901) – kurang 25 undi.
Majoriti undi BN PRU (2013 15,114; PRK 2015 8,895) – kurang 6,219 undi, Sementara peratusan keluar mengundi (PRU 2013 85.89 peratus; PRK 2015 74 peratus)," tulis Agus pada laman sosial Facebook miliknya.

Tambahnya, BN harus memikirkan dengan segala kekuatan jentera dan pengumuman peruntukan yang diberi, majoriti undi yang menurun sebanyak 41 peratus perlu direnung dalam-dalam.
Ini kerana pengundi Rompin yang selama ini merupakan kubu BN telah menunjukkan sikap protes mereka. Walaupun belum memberikan kemenangan kepada Pas, tetapi mereka telah membunyikan loceng awal untuk menyedarkan pemimpin BN tentang dasar pemerintahannya yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Analisa yang bersandarkan fakta dan angka-angka mudah dihadam oleh akal kita.
Walaubagaimanpun dalam keghairahan mengeluarkan analisa dan pandagan masing-masing ada juga yang terbawa-bawa dengan sentimen sehingga terbit dengan bacaan yang tempang dan kurang matang.

Salah seorang yang dimaksudkan adalah AJK DAP Pusat, yang juga ahli EXCO kerajaan Selangor, Teng Chang Khim. Beliau tanpa segan silu, tanpa memetik sebarang data atau angka terus mengatakan bahawa pengundi di Rompin tidak minat dengan isu Hudud, dan isu inilah yang telah mengakibatkan kekalahan PAS.

Harus disedari Teng lah merupakan salah seorang pemimpin parti berkenaan yang lantang menyerang usaha PAS melaksanakan Hudud di Kelantan.
Beliau berkata:

“Hudud isu panas yang dihangatkan PAS sendiri ketika ini, namun masih gagal menarik minta pengundi di Rompin”
Apakah alasan beliau sehingga terbit dengan kenyataan itu? Berapa ramaikah pengundi Melayu Islam yang telah Teng temui di Rompin sehingga berani keluar dengan kenyataan sedemikian?

Bagi beliau kemerosotan majoriti BN di Rompin semata-mata kerana faktor GST, tidak ada kena mengena dengan Hudud. Malah dipenghujung kenyataan beliau apabila ditanya tidakkah kenyataan sedemikian rupa akan mencalarkan hubungan dalam PR, Teng menjawab:
“Kalau PAS melenting bermakna parti itu menolak demokrasi. Jadi tidak perlu berjuang untuk rakyat.”

Teng berhak bercakap apa sahaja yang beliau mahu. Memang beliau seorang yang vokal terlalu vokal sehingga dalam DAP pun beliau tidaklah sangat disenangi. Tapi itu masalah beliau.
Bagi kita walaupun undi PAS merosot sekitar 25 undi iaitu dari 14 926 pada PRU ke 13 turun ke 14 901 kali ini, terdapat pencapaian yang membangakan di sana.

Menurut FMT News umpamanya:
Sokongan pengundi FELDA kepada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin meningkat 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Peningkatan sokongan terhadap Pas itu dilihat pencapaian yang membanggakan kerana pada PRU-13, UMNO menang di kesemua 15 kawasan FELDA.
Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Dato Tuan Ibrahim, undi popular PAS meningkat 10.2 peratus. Tambah beliau PAS mencatatkan kemenangan di peti undi Felda Keratong 2 dan 4 yang sebelum ini memihak pada BN. Di Keratong 5 pula walaupun tewas, bilangan undi PAS meningkat.

Kesimpulannya benarkah sebagaimana dakwaan Teng bahawa isu Hudud tidak membantu PAS?

PAS sejak Pilihanraya Persekutuan 1955 dan terus menerus tiap-tiap Pilihanraya Umum dan Kecil akan membawa isu perlaksanaan Islam termasuklah Hudud. Malah saya difahamkan semasa menyertai BN di era Tun Razak dahulu 1973 PAS tidak pernah menyembunyikan tuntutan perlaksanaan Islamnya.
Untuk mengatakan bahawa isu Hudud tidak membantu PAS adalah sesuatu yang tidak berasas sama-sekali. Pastinya 14,901 yang memangkah PAS di Rompin tahu dan faham dasar dan matlamat perjuangan PAS, mereka juga benci pada GST namun mereka senang dan tidak bermasalah apabila PAS memperjuangkan Hudud memandangkan ianya pun sebuah parti Islam.

Yang tidak faham atau lebih tepat lagi tidak senang dan tidak boleh menerima dasar perjuangan PAS adalah Teng.
Untuk kesekian kalinya, apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan nanti akan diteruskan oleh PAS di Dewan Rakyat adalah menepati sepenuhnya peraturan Perlembagaan dan Undang-undang Negeri dan Negara. Ianya suatu proses yang dibenarkan dalam amalan demokrasi berparlimen.

Undang-undang Jenayah Syariah yang mahu diperkenalkan oleh PAS di Kelantan merupakan rentetan dari dasar perjuangan PAS. Ia tidak terkena pakai ke atas bukan Islam. Sewajarnya rakan-rakan PAS membantu menerangkan kepada bukan Islam bahawa ianya sesuatu yang tidak harus dibimbangi oleh mereka kerana ia tidak akan terkena pakai atas mereka.
Rakan-rakan yang Muslim pula bertanggungjawab menyokong usaha yang menepati tuntutan syariat Islam ini.

Apa pun di Rompin kedudukannya membuktikan rakyat tiada bermasalah dengan Hudud dan begitu juga di Permatang Pauh dan saya percaya di seluruh Malaysia. Yang kita tidak faham kenapa Teng bermasalah dan tidak senang?

Friday, May 01, 2015

Apabila serangan memakan diri (1/5/15)

Walau berbagai asakkan ditalakan ke arahnya, walau berbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya, walau bertubi-tubi serangan dilancarkan ke atasnya, samada oleh segelintir mereka di dalam PAS mahupun dikalangan pimpinan tertentu dalam Pakatan Rakyat, namun sebaik pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi yang bakal ditandingi dalam Muktamar PAS Jun ini ditutup semalam, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipercayai terus mengungguli dan mendahalui pencalonan dengan mendapat lebih 80 peratus pencalonan dari kawasan-kawasan PAS seluruh Negara untuk mengekalkan jawatan Presiden PAS.

Dua pencabarnya iaitu Ustaz Ahmad Awang dan Husam Musa masing-masing berkongsi tidak lebih dari 20 peratus baki, itupun ada diantaranya dari kawasan-kawasan yang cawangan-cawangannya antara yang terkecil bilangannya dalam Negara.
Samada mereka berdua ini akan menerima pencalonan ataupun tidak, tidak pula diketahui kerana pada asasnya kedua-dua mereka masing-masing memperolehi lebih 2 pencalonan dan dengan itu layak bertanding.

Bagi jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Muhammad Sabu, satu lagi kejutan berlaku apabila beliau dipercayai menerima kurang dari 25 peratus pencalonan manakala nama yang melonjak naik dicalonkan oleh kawasan-kawasan iaitu Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menerima lebih 70 peratus pencalonan.
Dato Tuan sekiranya menerima pencalonan dijangka berupaya merampas jawatan nombor dua tertinggi dalam PAS itu.

Isunya, apakah yang mendorong ahli-ahli akar umbi PAS khususnya di kawasan-kawasan seluruh Negara untuk bangkit melawan arus yang cuba dicetuskan oleh segelintir tertentu dengan bantuan kuat media sosial dan rata-rata media alternatif yang besar-besar?
Mengapa nama Tuan Guru terus dicalonkan? Dan mengapa nama Muhammad Sabu dicicirkan demikian rupa?

Malah kalau dilihat pencalonan untuk 3 jawatan Naib-naib Presiden, juga dipercayai, mereka yang dikaitkkan kuat dibelakang gelombang kononnya “perubahan” yang cuba dicetuskan dalam PAS itu masing-masing goyang dan tidak mustahil boleh tumbang. Nama-nama baru yang sealiran dengan sikap dan pendirian Tuan Guru dilihat jauh mendahului yang lain, malah selebihnya dipercayai memperolehi pencalonan jika tidak setanding, ada yang jauh ke hadapan penyandang kini.
Ustaz Idris Ahmad umpamanya dipercayai mendapat pencalonan terbanyak yakni lebih dari dua penyandang sekarang iaitu Salahuddin Ayub dan Husam Musa. Manakala nama-nama baru seperti Ustaz Dato Nik Amar, Ustaz Nasrudin Tantawi dan Dato Iskandar Abd Samad dipercayai kuat mencabar bilangan pencalonan yang diperolehi Salahuddin tapi yang pasti lebih dari yang diperolehi Husam.

Bukankah sebelum ini Tuan Guru difitnah dan dicemuh tidak Pakatan “friendly”, “flip flop” dalam kepimpinan, kononnya mahu bermesra dengan Umno, membelakangkan AJK Pusat dan berbagai lagi. Ada segelintir orang dalam  PAS sehingga berkempen meminta Tuan Guru ditukarkan, dan ini mendapat bantuan mereka yang diluar PAS sehingga menyebut nama-nama pemimpin tertentu untuk menggantikan Tuan Guru yang dituduh kononnya sudah tidak layak.
Sebuah NGO juga tiba-tiba digerakkan oleh orang-orang PAS tertentu untuk membantu agenda menggulingkan Tuan Guru ini.

Mengapakah arus yang cuba dicetuskan ini seakan ditolak mentah-mentah oleh akar umbi PAS? Apakah yang mendorong mereka untuk bertindak balas menolak pimpinan yang terlibat yang cuba mencetuskan arus yang tidak menjadi itu?
Bagi para penganalisa di luar PAS berbagai alasan diberikan dan memang mereka berhak menabur sebanyak mana alasan yang boleh terpacul dari akal fikiran mereka tetapi bagi kita yang di dalam PAS, yang telah sekian lama melalui proses pentarbiyahan dalam parti, yang pernah susah dan senang bersama, ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa.

PAS adalah sebuah gerakan Islam. Walaupun ia berdaftar sebagai sebuah badan siyasah sebagaimana parti-parti lain akan tetapi hakikatnya ia sebuah gerakan Islam terlebih dahulu.
Saya pernah sebutkan sebelum ini dan orang-orang PAS semuanya tahu dan akur bahawa cita-cita perjuangan PAS tidak sekadar terhad kepada pencapaian dunia atau menawan Putrajaya semata-mata. Ia lebih luas dan jauh. Orang-orang PAS berjuang untuk menawan ganjaran yang dijanjikan Pencipta mereka, iaitu sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak pernah diimpikan oleh mana-mana parti dan badan siyasah lain.

Inilah yang membezakan PAS dengan yang lain-lain. Selagi parti-parti lain, kawan ataupun lawan, selagi para penggiat dan pengamal media tidak memahami faktor ini maka selagi itulah PAS tidak boleh mereka baca.
Dan malangnya selagi segelintir orang-orang PAS sendiri lupa atau terbawa-bawa dengan mimpi lain, selagi itulah mereka juga akan sukar membaca hati sanubari kekuatan akar umbi PAS, yang berkorban yang bermati-matian sejak dahulu hingga sekarang untuk mengekalkan PAS di atas landasan perjuangan ini.

Pemimpin PAS bertanggungjawab di hadapan Allah swt, bukan hanya kepada ahli-ahlinya. Mereka boleh dikritik, mereka yang menyeleweng dari landasan perjuangan boleh “digulingkan” akan tetapi mereka yang jujur dan istiqamah jangan sekali-kali dicuit atau cuba diserang.
Tuan Guru umpamanya dalam ucapan penggulungannya dalam Muktamar PAS yang lepas pernah menyebut:

“Saya tidak bersedia membawa ahli-ahli PAS ke neraka……”
Ucapan seperti ini tiada dalam kamus mana-mana pemimpin parti-parti lain kerana perjuangan semua mereka hanya terhad sekadar di Putrajaya. Kerana itu ucapan seperti ini menggelikan telinga sebahagian mereka, sesuatu yang tidak “real”, sesuatu yang melalut bagi sebahagian lain, walaubagaimanapun bagi ahli-ahli PAS, yang masuk dan menyertai gerakan Islam ini untuk mengejar redha Allah swt yang jauh mengatasi redha manusia, ianya “real” dan hanya boleh diucapkan secara ikhlas oleh pemimpin mereka yang berani, komited dan istiqamah.

Orang-orang PAS sejak dahulu walau dari berbagai disiplin dan latabelakang akademik dan profesyion termasuklah petani, nelayan dan buruh akan sentiasa selesa dan senang dipandu oleh para ulamak sebagai pemimpin mereka.
Pemimpin ulamak di dalam PAS tidak “maksum”, mereka disenangi tetapi jika menyeleweng, mereka dengan sendirinya terjatuh atau akan dijatuhkan, ramai yang telah begitu mengikut rekod dari Presiden, Timbalan sehinggalah Setiausaha Agung. Yang “laju” yang memiliki cita-cita peribadi semuanya telah tersingkir dan tergelicir.

Kerana itu apabila ada usaha untuk menyerang apa lagi “menggulingkan”seorang pemimpin ulamak yang pada mata dan kepercayaan orang-orang PAS seorang yang terbukti ikhlas dan komited, datanglah dari mana arah sekalipun serangan tadi, maka serangan itu akan dianggap sebagai sesuatu yang cuba mencabar dan mengancam keutuhan PAS itu sendiri yang pada hakikatnya berpaksi atas kepimpinan ulamak.
Apabila PAS terancam, maka tatkala itu kekuatannya yakni ahli-ahli akar umbinya tanpa banyak pengarahan dan dorongan akan bingkas bangkit bertindak balas dan menyelamatkan satu-satunya parti Islam dalam Negara ini.

Bagi saya serangan melampau dan keterlaluan terhadap Tuan Guru telah memakan diri.
Kerana itu ada yang menyangka jawatannya akan terus kekal tiba-tiba memperolehi pencalonan kecil, sesuatu yang sangat tidak masuk akal. Kerana itu ada yang memegang jawatan YDP Kawasan sekian lama, tiba-tiba boleh tergolek jatuh dijatuhkan oleh mereka yang dikira dari “gred” yang rendah berbandingnya.

Inilah makan diri namanya.
Ada penganalisa yang menyatakan bahawa bilangan pencalonan nanti tidak mencerminkan bilangan undi dalam erti kata lain ianya belum boleh diterjemahkan kepada undi bagi menjamin kejayaan mana-mana tokoh dalam Muktamar nanti. Sekali lagi, mungkin bagi parti-parti siyasah lain begitulah bacaannya, tetapi bagi saya, realitinya dalam PAS, memilih pemimpin juga merupakan sebahagian dari amalan agama dan ibadah.

Gendang ancaman tehadap keutuhan dan kelangsungan perjuangan PAS telah dipalu sejak Tuan Guru diserang secara terbuka bermula beberapa bulan lampau. Ia terus kencang bergema.
Kawasan-kawasan telah meluahkan isi hati mereka. Dalam muktamar nanti,kekencangan dentuman paluan itu akan terus dirasai, dan saya percaya, ianya akan diterjemahkan sehingga mencorakkan satu saf kepimpinan yang akan merupakan satu pasukan yang boleh bekerja dan bergerak bersama Presiden mereka.

Saf kepimpinan itu tidak harus dikhuatiri mana-mana pihak kecuali Umno dan BN. Peranan PAS dalam Pakatan Rakyat nanti semakin bermakna kerana suara Presidennya nanti itulah juga suara mereka yang sepasukan dengannya, tiada lagi suara-suara sumbang seperti sebelum ini.
Islam yang diperjuangkan PAS akan lebih difahami dan dihormati samada oleh kawan mahupun lawan.

Itulah sepatutnya wajah PAS, iaitu cerminan asas dan pinsip perjuangannya dan cerminan keinginan dan kemahuan ahli-ahlinya. Wajah ini sekali-kali tidak akan berubah kecuali orang-orang PAS sudah longlai semangat juangnya dan terbuai pula dengan mimpi orang lain.
Terima kasih suara akar umbi PAS, kekallah PAS dengan wajah Islam tulinnya insyallah.